bayi tertelan cincin

Kes seorang bayi tertelan cincin, Nur Dahlia Aleesa berusia 9 bulan ketika di dalam buaian 2 Julai lalu di rumahnya di Telok Mas, Melaka  menjadi viral, mengundang pelbagai komen dan kritikan. Tiga hari selepas bayinya dibenarkan keluar dari Hospital Melaka, Mingguan Wanita (MW) menemuramah Siti Khatijah Abu Bakar, 24 tahun, ibu kepada empat anak ini untuk berkongsi pengalaman tak terduga itu.

Selepas kejadian anaknya tertelan cincin, Siti Khadijah mengakui pelbagai perasaan menyerang diri dan dia seperti trauma apa tah lagi apabila membaca pelbagai komen dan kritikan yang ditujukan kepadanya oleh natizen sebaik sahaja kisah anaknya itu diviralkan di laman sosial. Akibatnya dia mengalami gangguan kesihatan. Sebagai ibu, sukar baginya menggambarkan apa yang ada di dalam hati ekoran tragedi itu.

Cerita Sebenar Bayi Tertelan Cincin

Berkongsi kisah sebenar tragedi itu yang dikongsi ibunya. Pada hari Ahad iaitu pada petang kejadian, mereka sekeluarga, kecuali suaminya sedang bersiap-siap untuk ke rumah terbuka bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang diadakan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka.

Sebelum itu, Caca (nama panggilan manja Aleesa) tidur selepas menyusu. Ketika kami sedang bersiap-siap, Caca terbangun dan menangis. Kakaknya Nur Dhaniyah Qistina yang berusia 5 tahun, membantu saya menidurkan semula Caca. Dia menghayun buaian sambil menyanyi menidurkan adiknya itu.

Selang beberapa minit tak terdengar lagi suara Caca menangis. Saya fikir Caca sudah terlena semula. Kemudian saya terdengar suara Caca batuk-batuk seperti tercekik sesuatu. Saya meluru ke buaian dan mengambil Caca untuk melihat apa yang terjadi. Saya menekan-nekan perut dan menggosok-gosok belakang Caca, tetapi tidak ada apa-apa yang keluar dari mulutnya.

Saya bertanya Dhaniyah berkali-kali, kenapa dengan adiknya itu. Apa yang dia makan. Tiba-tiba Dhaniyah beritahu Caca makan cincin…  Mendengar apa yang diberitahu itu, saya terus panik, dan lihat cincin di tangan Caca sudah tiada. Rasa tak tentu arah saya dibuatnya. Tetapi keadaan Caca seperti tidak ada masalah, cuma menangis sedikit ketika saya kerap mengangkat dan menggosok serta menekan perutnya. Walaupun tidak ada apa pun terkeluar dari mulut Caca, saya terus berusaha untuk mengeluarkan cincin tersebut.

Dalam masa yang sama, saya cuba menolak kemungkinan Caca tertelan cincin dan meminta anak sulung, Danish Erwan berusia 7 tahun, mencari cincin Caca di dalam buaian dan tempat-tempat lain, kalau cincin itu terjatuh di mana-mana. Bila dah merata mencari tak juga jumpa, saya tahu mungkin benar cincin itu ada di dalam perut Caca.

Kemudian saya terus menelefon suami yang sedang membawa bas ke Kuantan akan apa yang berlaku. Saya benar-benar panik. Suami minta saya bertenang dan tidak menyalahkan saya,” cerita Siti Khadijah mengenai peristiwa itu.

Ibu muda itu memberitahu, cincin bersadur emas berharga RM30 itu dibeli sehari sebelum kejadian (hari Sabtu) di Kuala Terangganu sebelum mereka pulang ke Melaka.

Tetapi masa yang sama, Caca seperti tak ada apa-apa masalah pun. Saya angkat anak dari buaian dan dia cuma menangis sedikit sahaja. Masa yang sama, saya jadi kurang percaya yang anak tertelan cincin tetapi pada satu masa lagi saya mulai bimbang selepas saya lihat cincin di jarinya sudah tiada. Dalam panik itu, saya suruh anak sulung, Danish Erwan berusia 7 tahun untuk mencari cincin tersebut. Cari di buaian tak jumpa-jumpa. Saya cari bawah katil, cari celah kain kerana mahu pastikan yang Caca tak telan cincin itu.”

IKLAN

Suami tenangkan saya, minta saya jangan panik dan jangan sedih-sedih. Suami tak salahkan saya atas kejadian ini kerana kami seperti tidak yakin yang Caca sudah menelan cincin tersebut.”

Ketika pulang berhari raya di Terangganu, saya sempat singgah ke kedai barangan kemas bersama ipar saya sehari sebelum kami pulang ke Melaka. Saya berkenan dengan rekaan cincin itu. Saya fikir cincin itu pasti cantik untuk Caca. Harganya pun berpatutan. Suami tak tahu saya membeli cincin itu kerana dia di rumah menjaga anak-anak ketika itu. Memang tak sangka sama sekali, cincin itu mendatangkan musibah pada anak saya…” ujarnya dengan suara masih sebak.

Bayi Tertelan Cincin Diwadkan

Dalam rasa gundah dan risau itu kebetulan ipar Siti Khadijah sampai ke rumahnya untuk sama-sama ke rumah terbuka bekas Ketua Menteri itu. Dia menceritakan apa yang berlaku kepada Caca yang tertelan cincin. Kebetulan, iparnya itu bersama dengannya ketika membeli cincin tersebut.

Tetapi apabila melihat keadaan Caca seperti tiada apa yang berlaku, menyebabkan ipar meminta mencari lagi cincin itu di tempat-tempat lain. Habis satu rumah mereka mencari cincin itu semula tetapi hasilnya cincin itu tetap tidak ditemui.

Disebabkan Caca nampak ok dan boleh tersenyum bila diagah oleh abang dan kakak-kakaknya, hati saya sedikit tenang. Kerana anak-anak sudah bersiap, kami pergi juga ke jamuan hari raya itu. Walaupun Caca berselera makan dan boleh makan apa sahaja yang diberikan oleh abang dan kakaknya serta terlonjak-lonjak gembira melihat orang ramai, tetapi hati saya tetap risau. Saya pergi hanya sekejap sahaja untuk lepaskan hajat anak-anak. Habis makan terus pulang. Selepas solat Asar, saya tidak berlengah terus membawa Caca ke hospital.

Urusan di hospital berjalan lancar apabila saya memberitahu bahawa anak saya tertelan cincin. Masuk ke bahagian kecemasan, kes Caca ditanda sebagai “urgent”. Saya bertemu doktor dan X-Ray perlu dibuat sebanyak tiga bahagian tubuhnya untuk mengesan kedudukan cincin itu.

Alhamdulillah, X-Ray kali pertama, terus ternampak cincin berkenaan di dalam usus. Caca terpaksa diwadkan untuk prosedur selanjutnya iaitu proses pembedahan bagi mengeluarkan cincin tersebut,” ujar Siti Khadijah yang makin risau apabila sah cincin itu berada di usus anaknya dan sebak membayangkan anak kecil itu terpaksa dibedah.

IKLAN

Menurut doktor, pembedahan perlu segera dibuat bagi mengelakkan cincin itu melukakan bahagian usus Caca tambahan bahagian atas cincin itu memang tajam. Setelah mendapat pengesahan tersebut, Siti Khadijah terus memberitahu keadaan Caca kepada suami yang masih di dalam tugas.

Tertekan Dikecam Netizen

Disebabkan suami masih bertugas, saya menelefon mak yang tinggal di Masjid Tanah untuk membantu saya menjaga anak-anak lain di rumah sementara saya menjaga Caca di hospital. Saya pulang sebentar ke rumah untuk mengambil beberapa barang keperluan. Sampai semula ke hospital doktor datang bertemu saya menerangkan beberapa prosedur yang perlu dijalani Caca dalam proses mengeluarkan cincin tersebut.

Bagaimana saya sangat bersyukur kerana Caca tidur lena selepas diberi makan nasi lemak pada malam itu, biarpun saya sendiri tidak boleh tidur mengenangkan anak saya itu terpaksa menjalani pembedahan. Tambahan pula saya terperasan ketika di rumah terbuka petang itu, Caca akan sendawa berkali-kali selepas diberi makan. Seperti terlalu banyak angin di dalam perutnya.

Disebabkan mata tidak mahu terlelap risaukan Caca, saya membuka telefon bimbit untuk berkongsi apa yang doktor maklumkan dan membaca kisah Caca yang sudah menjadi viral. Ada pelbagai komen yang diberikan baik positif dan banyak juga yang negatif.

Saya menangis apabila membaca kutukan yang dilemparkan kepada saya tanpa faham apa yang saya rasakan sebagai seorang ibu. Tidak ada seorang ibu pun mahu kejadian seperti ini terjadi,” ujar Siti Khadijah yang mengakui sangat tertekan dan berasa rendah diri apabila terlalu banyak komen negatif itu sehingga suami menenangkan dirinya dan meminta dia untuk tidak melihat ruangan sosial itu lagi.

Doa Orang Sekeliling

Rahmat Allah serta doa-doa orang sekeliling termasuk ada cadangan dia memberikan anaknya makan pisang, antara peluang yang dirasakan masih boleh dicuba oleh Siti Khadijah untuk menyelamatkan anaknya daripada dibedah. Dia membayangkan mungkin cadangan itu boleh digunakan sementara menanti pembedahan ke atas Caca.

IKLAN

Jam 6 pagi itu, saya bangun dan solat. Ketika itu Caca masih tidur lena. Doktor datang dan beritahu tentang beberapa perkara dan masalah. Saya serahkan semuanya atas kebijaksaan doktor dan petugas hospital dalam usaha mengeluarkan cincin itu dari perut Caca.

Selepas doktor pergi, saya membeli cekodok pisang daripada seorang peniaga yang datang menjual di wad itu. Apabila Caca bangun saya memberikan Caca makan sebiji cekodok bersama secawan milo. Setengah jam selepas makan, saya tengok mukanya mulai memerah. Dia seperti meneran. Caca menangis sedikit tetapi berusaha terus meneran.

Beberapa ketika meneran, akhirnya dia buang air besar. Lampin pakai buangnya dipenuhi najis agak banyak sehingga terkeluar dari lampin dan cadar. Saya membawanya ke sinki. Sebaik membuka lampin itu, cincin terpelanting dalam sinki. Tak sedar saya menjerit begitu kuat memanggil jururawat.”

Menurut Siti Khadijah lagi, dia benar-benar berasa lega, dan gembira apabila cincin itu keluar bersama najis anaknya itu. Walaupun saiz cincin itu agak besar tetapi dia bersyukur berkat doa daripada semua, cincin itu dapat keluar tanpa mencederakan Nur Dahlia Aleesa.

Barangan Yang Ibu Ayah Patut Elak

Kata doktor, kes bayi tertelan bendasing banyak terjadi sebab kanak-kanak suka membawa tangan mereka ke mulut. Apabila tangan itu bercampur air liur menyebabkan cincin itu mudah terlucut dari jari dan masuk ke mulut dan potensi untuk tertelan amat besar.

Doktor turut memberitahu, gelang kaki berloceng bentuk love juga patut dielakkan pada kanak-kanak dan bayi kecil, kerana loceng itu mudah tercabut. Selain suka memasukkan tangan ke mulut, kanak-kanak kecil ini juga suka menarik kaki mereka ke mulut.

Saya akan ingat nasihat doktor itu sampai bila-bila,” ujar Siti Khadijah dan memberitahu terdapat sedikit kesan merah di punggung anaknya. Kini kesan itu beransur hilang.

Kata Siti  pengalaman ini cukup berharga dan menjadi pengajaran yang tidak akan dilupakannya. Cincin itu kini telah disimpan di tempat yang selamat agar kejadian itu tidak berulang lagi. Suaminya, Mohd Shuada Bakar juga menasihatinya lebih berhati-hati ketika memberikan anak-anak barang perhiasan diri.

Alhamdulillah Allah melindungi anak kecil saya sehingga tiada pembedahan dilakukan. Terima kasih atas doa-doa anda semua,” katanya yang mengusahakan spa di rumah. Siti yang berkebolehan mengurut badan untuk wanita sahaja dan spa, setiap hujung minggu akan pulang ke rumah ibunya dan dia akan ke rumah pelanggan seperti ditempah. Seperti katanya, dia tidak menyangka kes bayi tertelan cincin yang melibatkan anaknya menjadi viral.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI