
Isi Kandungan
ToggleBukan nak cari salah tetapi lelaki patut kenapa kaum Hawa kurang gemar kalau lelaki keluar malam melepak dengan kawan-kawan sampai ke pagi.
Ada wanita tak mampu nak meluah bila dapat suami yang tak boleh ditegur, tapi kalaulah lelaki tahu bahawa beberapa sebab inilah yang buat wanita cukup berkira kalau laki minta keluar lepak malam-malam…
1. Penat melayan anak-anak
Jangan nak kata tugas isteri memang kena jaga anak sebab kalau dah sama-sama cari rezeki, suami patut tolong uruskan anak-anak. Tambah kalau ramai, ada yang minta susu dan ada yang menangis nak tidur. Boleh stres dalam masa 5 minit!
2. Rumah masih bersepah
Tak sempat nak buat kalau anak mula meragam. Balik-balik suami hanya tahu mengarah dan kritik bab rumah bersepah. Tolonglah faham, kadang perempuan tak cukup tangan nak buat semua benda. Nak kemas, waktu malam sebelum tidur lelaki kena sama-sama buat. Esok bangun pagi waktu nak pergi kerja, tidaklah sakit mata nak tinggalkan rumah.
3. Tetiba anak sakit
Dugaan anak sakit ni bukan boleh duga, kalau kena anak sakit waktu suami pergi melepak, tak ke rasa bersalah? Jangan nak salahkan isteri kalau jadi macam-macam.
4. Tiada teman berbual
Biasanya waktu malam adalah peluang isteri nak mengadu dan berkongsi cerita tetapi kalau suami sibuk nak keluar, masa bila dia boleh meluah? Ya, inilah yang boleh buat kaum wanita kecil hati. Rasa sunyi pun makin menebal kalau anak-anak dah tidur.

5. Sunyi
Perasaan ini akan mula terjah bila pusing kanan kiri tiada orang di sisi. Ada televisyen pun tak ada guna kalau tengok sendirian. Sekali pun duduk dengan mak ayah, wanita tetap tak suka suami keluar malam. Kalau mak ayah mula tanya ke mana suami, lagilah hati rasa panas. Rasa ditinggalkan dan tidak adil bila suami sedap melepak di luar.
6. Bahaya
Soal ini kita minta jauhkan daripada berlaku tapi kena fikir juga sebelum terlambat. Dengan keadaan jenayah yang makin berleluasa, lelaki patut ada di sisi wanita.
Sepatutnya bila dah kahwin, lelaki wajib ambil tahu tentang perasaan wanita. Dan patut peduli tentang perasaan yang wanita tak suka suaminya keluar malam melepak setiap hari. Moga lelaki boleh hargai kaum wanita sebelum rasa kurang enak itu ‘meletup’ dan keruhkan hubungan suami isteri.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Ramai Bukan BEBAN Tapi Setiap Mereka Telah Ditentukan Rezekinya

Isi Kandungan
ToggleBeruntunglah pasangan suami isteri yang dianugerahkan anak ramai. Usah mengeluh atau merasakan anak yang lahir itu satu bebaban. Kita tidak tahu setiap anak itu telah ditentukan rezekinya dan tidak mustahil, kita yang menumpang rezeki mereka.
Ini antara ulasan yaang diberikan oleh Mohd Shariman bin Che Deris tentang anak ramai ini.
“Pandai buat anak je, berderet ramai tetapi menjaganya tidak, mendidiknya jauh sekali, pakat-pakat jadi sampah masyarakat” Ini namanya ibu bapa yang derhaka.
Apatah lagi jika di sebalik ketidakmampuan hidup berkeluarga ini, ada ibu bapa yang masih tetap beringinan dan mahukan anak yang ramai. Benar, di sebalik setiap anak itu ada rezekinya yang tersendiri namun perlu di ingat bahawa rezeki ini bukannya macam cerita Alladin yang semudah minta dan dikabulkan oleh Jin, ia perlu diusahakan dengan tenaga, fikiran dan idea. Hanya berpeluk tubuh dengan rezeki sedia ada adalah satu kezaliman untuk anak-anak. Inilah antara punca berlakunya ibubapa derhaka.
Bayangkan sahaja, dulunya anak seorang dan dengan pendapatan ayahnya RM1,500.00 sebulan,alhamdulillah sudah cukup untuk memenuhi asas hidup, kini anaknya sudah bertambah kepada enam orang dan dengan gaji yang hanya RM2,000.00 kehidupan sudah bertambah perit dan sempit.
Benar, dan ini diperakui masayarakat bahawa mempunyai anak yang ramai adalah satu cabaran tidak hanya kepada ibu bapa malah lebih lagi kepada anak itu sendiri. Malangnya ada ibubapa yang terlupa akan hakikat ini, dan menganggapnya sebagai remeh, kerana itu dalam soal mempunyai anak ramai ini setiap ibu bapa perlu sedar akan lima perkara utama :
- Apakah anak sekarang ini telah disara dengan baik dan mampu dipenuhi keperluan persekolahan, keperluan asas dan sosial anak-anak?
- Apakah sekarang ini cukup ruang untuk dibesarkan anak-anak dengan baik, memisahkan antara jantina bagi menjaga aurat anak-anak?
- Apakah sekarang ini anak-anak mampu diberikan masa dan ruang yang cukup untuk dimanjai, dibelai dan dididik?
- Apakah sekarang ini, anak-anak rapat dan mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan tiada mempunyai masalah di sekolah?
- Apakah kesihatan ibu bapa cukup baik untuk membesarkan anak-anak ini sehingga melepasi tempoh persekolahannya?
Jika kesemua lima soalan ini, jawapannya ‘Ya’ bermaksud, ibu bapa ini telah bersedia dengan komitmen baru, dan sebaliknya kerana soal mempunyai anak ramai adalah perkara yang perlu dilihat dalam aspek keseimbangan hidup.
Ambil Perhatian
Kesedaran perlu wujud di kalangan ibu bapa yang mahu mempunyai anak yang ramai Apakah formula kejayaan untuk mereka yang mempunyai anak ramai ini? Ada enam perkara asas yang perlu diambil perhatian oleh setiap ibu bapa yang mahu berkeluarga besar.
Urus Masa Dengan Baik
Anak-anak memerlukan ibu dan ayahnya, keupayaan memperuntukan masa untuk anak-anak adalah sangat perlu bagi memastikan perkembangan emosi dan mental anak-anak adalah baik dan sesuai dengan umurnya.
Kawal Dan Urus Emosi Dengan Cemerlang
Ramai yang berkata bahawa 95% perubahan kepada anak adalah bergantung kepada ibu bapanya, dalam erti kata mudahnya apabila mempunyai anak ramai, ibu bapa akan berhadapan dengan pelbagai ragam emosi. Di sana menangis, di sini mungkin merajuk, di laman pula bergaduh, di dapur pula mungkin berebut makanan. Ibubapa perlu sentiasa dalam mode emosi yang stabil dan tidak meletop tanpa kawalan dibimbangi kelak akan lebih memburukkan suasana dalam keluarga.
Mempunyai Kewangan Yang Cukup Dan Sesuai
Ini adalah satu kewajipan yang mesti ada, bayangkan betapa banyak keperluan untuk anak di setiap kali buka sekolah, hampir-hampir saja mungkin mencecah RM200.00 untuk seorang anak, bayangkan jika ada 8 orang anak. Jika ekonomi tidak kukuh mahu roboh jiwa hilang semangat nak menyediakan modal anak-anak. Itu belum lagi kira, duit belanja sekolah dan keperluan pembelajaran lainnya.
Mempunyai Ruang Dalam Rumah Yang Cukup
Ini sangat penting kerana kajian membuktikan anak-anak perlukan ruang privasi mereka yang tersendiri bagi perkembangan fizikal dan emosi diri, mempunyai anak yang ramai menuntut ruang yang lebih untuk anak-anak. Ada keluarga yang apabila waktu tidurnya, hanya cukup dengan satu tilam dan tidur beramai-ramai. Ini sangat tidak digalakkan apatah lagi jika bercampur anak lelaki dan perempuan. Pemisahan ruang ini perlu ada untuk anak lelaki, anak perempuan dan anak dewasa serta ibu bapa.
Persetujuan Bersama
Menjaga anak ramai bukanlah hanya perlu digalas oleh ibu semata-mata, malah peranan ayah adalah sangat penting, dek kerana itu perlu ada persetujuan bersama antara suami dan isteri jika mereka mahu mempunyai anak ramai agar tidak berlakunya ‘finger pointing’ dalam keluarga.
Mempunyai Kesihatan Yang Baik
Membesarkan anak-anak memerlukan tenaga, fokus dan kesihatan yang baik, apatah lagi jika mempunyai anak yang ramai. Setiap anak ini akan menuntut kita bekerja keras melayani karenah mereka dan percayalah, menguruskan anak-anak yang ramai memerlukan kekuatan tenaga fizikal, emosi dan mental yang tinggi, jiwa perlu besar dan ketahanan perlu kuat.
Keluarga Meriah
Anak-anak adalah permata, berkeluarga besar akan mendatangkan lebih kemeriahan, keriangan dan keseronokan dengan keletah dan karenah mereka di sepanjang hari, inilah juga yang akan mendatangkan rezeki dan rahmat Allah S.W.T

Setiap ibu bapa mempunyai pilihan samada mahukan anak ramai atau sekadarnya sahaja, ianya satu keputusan yang perlu dibuat bersama. Suis utama adalah kepada ibu bapa itu sendiri bagaimana mahu dilayari bahtera keluarga ini dengan baik dalam keadaan mempunyai anak yang ramai tanpa dihukum sebagai ibu bapa derhaka.
Realitinya perit namun ianya berlaku apatah lagi di zaman millennial ini yang masing-masing ibu bapa sibuk dan terikat dengan pelbagai macam kekangan masa dan ruang sehingga akhirnya anak-anak terbiar dan mula terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Bilalah Bidadariku Ini Berehat..” Sepatutnya Suami Pun Kena Belajar Hargai Isteri Macam Yang Ustaz Ebit Lew Ajar

Kalaulah suami faham betapa mencabarnya tugasan seorang mak-mak zaman sekarang, tentu mudah untuk memperoleh rumah tangga bahagia. Sungguh sungguh mencabar tugasan isteri. Dengan kerjaya lagi, urusan rumah tangga, itu belum anak-anak yang masih membesar dan aktif perlukan perhatian.
Suami yang baik takkan lepas tangan. Tapi dia sentiasa hargai pengorbanan isteri. Walau dalam apa cara sekalipun, penat lelah isteri akan turut dirasainya sama. Sebab dia tahu, walau cuba dia bayar dengan wang ringgit, nilainya takkan terbalas. Dan inilah pesanan Ustaz Ebit Lew yang terkesan di hati.
“Ciannya bidadariku ini. Bila pegang tangannya, rasa kepenatan dirinya. Bilalah bidadariku ini berehat. Terasa rindu sangat padanya. Ya Allah maafkanlah diriku ini. Sentuh tangannya sebak kerana inilah tangan yang tak pernah berehat. Inilah bidadariku..”
Saya bisik padanya, bidadari abang…
Nak tahu tak, abang tak pernah dapat balas pengorbanan sayang bidadari abang sampai bila-bila. Walau apapun yang abang cuba lakukan. Walau apapun abang beri. Walau apapun, apa-apa pun. Hati rasa sebak sangat. Sebab abang tahu hanya Allah yang mampu balas pengorbanan bidadari ini. Terima kasih Allah yang Maha Baik..
Saya pegang tangannya dan doa ya Allah berilah bidadariku sentiasa cantik menawan sihat muda dan bahagiakan hatinya..saya redha padaNya. Bahagiakanlah hatinya. Tenangkanlah hatinya. Tunaikan segala hajatnya kerana inilah bidadariku yang telah berkorban segalanya. Saya mohon ampun kekurangan diri saya dalam membimbing dan memberi masa untuknya.
Cian sayang.. berapa jam tidur hari ini? Bila masa sayang rehat? 24 jam penat bekerja tak berhenti. Penat jaga anak-anak? Ya Allah..anak menjerit menangis berlari melompat, minta itu ini. Sehari bersepah-sepah rumah. Anak tengah aktif semuanya..ya Allah tuhanku. Cian bidadari abang. Ya Allah, tak sempat makan sempurna. Tak sempat urus diri sendiri? Tak sempat nak rehat? Ya Allah tuhanku.. tapi bidadari abang tetap ukir senyuman lagi. Sedih rasa.
Kenapa Beri Bunga, Bukan Hari Lahir Pun
Abang kenapa bagi bunga pada sayang? Bukan hari lahir sayang pun…
Yer bidadari abang. Hari ini hari lahir anak ketiga kita Qadeejah. Tapi abang teringat abang menangis dalam bilik pembedahan. Hari itu abang saja tengok betul-betul setiap lapisan perut sayang yang sakit. Teringat masa tu rasa sakitnya sayang. Dah macam apa perut tu dibuka dan lain lain. Masih ingat darah, dan setiap lapisan. Jahitan setiap lapis.

Lepas dengar bunyi tangisan qadeejah abang menangis masa azankannya. Ya Allah tuhanku. Sampai mati abang takkan dapat balas pengorbanan sayang. Demi cinta anugerah Allah ini abang cuma penat bekerja. Sayang dah bagi darah,nyawa,air mata segalanya. Sayang mati berkali-kali. Ini pun dah cukup buat sayang jadi ahli syurga. Ya Allah itulah kelebihan seorang wanita. Seperti para pejuang syuhada dulu-dulu. Macam mana lah abang nak kejar sayang..ya Allah.
Terima kaseh Allah anugerahkan bidadariku ini. Selamat hari lahir anakku Qadeejah sayang 10/4. Semoga jadi anak solehah buat umi. Hamba Allah yang takwa mukminah. Jadi daie Allah.
Terima kaseh ParamountCoffeeHouse yang memudahkan majlis tiba-tiba ini. Lari sana sini dari ceramah KDN tadi dan esok 3 hari 2malam Transformasi Pekerja dan Peribadi Unggul bersama Kementerian Pertanian di Besut.
Sumber/Foto : Ebit Lew
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jadilah Lelaki Terbaik Buat Anak, Walau Telah Pergi Ayah Sentiasa Hidup

Isi Kandungan
ToggleBetapa pentingnya seorang ayah untuk menjadi contoh terbaik untuk anak. Sentiasa ada di sisi anak lelaki baik perempuan, dalam susah mahupun senang.
Ustazah Asma Harun, pernah rasai sakitnya kemurungan. Dan arwah ayahlah yang sentiasa ada, mendorong, memujuk malah memberikan jalan hikmah yang akhirnya membantu membebaskan dirinya dari belenggu keletihan.
RINDU YANG TIDAK KESAMPAIAN
Dalam riuh rendah orang sekeliling, selalu sahaja hati ini tiba-tiba rasa sunyi sepi sayu, halus sahaja rasa tu tapi menghiris-hiris. Air mata laju tidak terbendung. Rindu yang sangat dalam.
Saat saya rasa lemah, sedih, sakit, sempit dalam melalui jalan dakwah ini, saya cuba pejamkan mata dan bayangkan wajah lembut dan kata² arwah ayah. Rindu suara ayah. Ayah baru sahaja pergi tahun lepas.
Masih jelas dalam ingatan, satu ketika saya dah nekad nak berhenti daripada teruskan master, rasa dah tak boleh nak siapkan thesis. Waktu itu juga ujian bertalu-talu, dihimpit dengan tekanan di tempat kerja (belajar dan kerja sepenuh masa), mengandung kali ke 7 dan keguguran (dr. kata kandungan terhenti pembesaran mungkin terlalu stress), tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, jadual kuliyah dan ceramah, masalah kewangan dan lain-lain. Ketika itu saya rasai sakitnya kemurungan.
Dalam tempoh dua tahun, selalu mengunci diri masuk bilik bila due date assignment dan exam, walaupun orang kata ustazah buat cincai je asal lulus sudah, tapi sudah terbiasa mesti mujahadah dalam belajar, target mesti A dan 3.8 ke atas, di situ ada nikmatnya.
Selalu Juga Kalah Pujuk Rayu Anak
Paling sedih bila anak kecil duk ketuk-ketuk pintu menangis sebab nak kita, macam-macam alasan mereka bagi, nak bagi beg la, nak tunjuk sesuatu la, selalu juga kalah pujuk rayu anak. Suamilah yang banyak berkorban. Banyak sangat. Moga Allah berkatimu.
Arwah ayah selalu telefon tanya khabar dan bagi semangat supaya habiskan belajar. Satu ketika saya telefon ayah bagitahu perlu berhenti kerana keadaan saya dah teruk dari sudut emosi, fizikal dan mental. Ayah terdiam seribu bahasa. Saya tahu ayah sangat sedih.
Tak lama lepas tu ayah telefon, Ayah kata..
“Asma’, cuba lihat orang bukan Islam yang bersungguh belajar hingga PhD untuk dapat habuan dunia, kita ni belajar untuk dunia dan akhirat, tak cukupkah SYURGA ALLAH sebagai pengubat segala sakitnya ujian tu, betulkan niat Asma’, buat kerana Allah”.
AllahuAkbar, ketika itu saya terduduk hanya mampu menangis sahaja. Teresak-esok. Saya ditegur lembut oleh ayah, saya nak siapkan master sebab nak kejar pengiktirafan manusia atau kerana mendalami ilmu kerana cari redha Allah, untuk perbaiki diri yang serba lemah.
Jika kerana manusia, maka kita sentiasa akan diuji dengan manusia. Jika kerana Allah, Dia sentiasa ada dalam hati, dalam langkah dan jatuh bangun kita.
Betul-betul Merayu Minta Tolong Dengan Allah
Saat itu ditikar sejadah memohon ampun pada Allah, kerana lemah menjaga niat, meletakkan tujuan dunia itu lebih besar daripada akhirat. Betul-betul merayu minta tolong dengan Allah, tunjukkan jalan, bukakan kekusutan dan leraikan belenggu yang mengikat.
AllahuAkbar, Dia ya Saami’ Maha Mendengar, Dialah ya Qaarib Yang Maha dekat. Tekanan demi tekanan rupanya laluan untuk merasakan nikmatnya kalimah,
لا حولا ولا قوة الا بالله

AllahuAkbar, Allah buka satu persatu jalan keluar setiap kesulitan, kesempitan dan kesakitan. MasyaAllah Maha Baik Allah ya Barr, rupanya Allah tidak membiarkan saya selesai pengajian sebelum jelas akan niat dan tujuan. Itulah Tarbiyyah Allah kepada hambanya yang lalai. Fahami dan yakinlah Allah ya Rahman ya Rahim sentiasa sayang kita.
Ayah, duhai ayah. Tak mampu nak tuliskan kebaikan ayah. Peringkat awal saya mula langkah untuk berdakwah, ayah lah yang sanggup bersusah payah membaca dan mencatatkan nota, lalu telefon menjadi perantaraan kami hingga berjam-jam.
Ayah akan tanya esok ceramah dimana dan tajuk apa, Ayah akan berikan isi penting dan dalil yang berkaitan. Ayah selalu tegaskan, hafal dalil Quran, Hadis dan Sirah, jangan cakap kosong, semua kena semak dulu, nak sampaikan ilmu buat betul-betul.
Jadilah lelaki Terbaik Buat Anak Anda..
Selesai ceramah ayah telefon lagi, bertanya bagaimana ceramah tadi. Seringkali saya cakap nak berhenti, malu sangat sebab penyampaian yang teruk, gugup sampai hilang habis isi, suara pun terketar-ketar. Tiap kali itu Ayahlah yang tidak henti beri semangat. Ayah tak pernah hilang percaya walau anaknya sendiri tak yakin lagi. Ayah duhai ayah. Tak mampu lagi catatan ini diteruskan..
Coretan ini buat semua ayah di dunia, jadilah lelaki yang terbaik buat anak anda. Sekali anda menjadi seorang ayah, iya adalah untuk dunia dan akhirat. Andalah tokoh paling penting dalam hidup anak, jadilah contoh yang terbaik, anda akan sentiasa hidup walau telah pergi.
Rindu bertamu menguatkan lagi rasa ingin bertemu, moga di Syurga Allah tempat kita semua kembali bersatu, insyaAllah.
Sumber/Foto : Asma’ binti Harun , #UAHSahabatDuniaAkhirat
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI