Kemalangan maut akibat dirempuh pemandu mabuk memang sukar dimaafkan apatah lagi orang tersayang yang menjadi tempat bergantung hilang sekelip mata. Nyawa bukan mainan dan boleh dicari ganti hatta di beli dengan wang ringgit. Akibat sikap pentingkan diri, memandu dalam keadaan mabuk mengakibatkan nyawa insan lain yang tidak berdosa menjadi mangsa. Seribu kesalan pasti dirasai buat keluarga mangsa ini.
“Saya tidak maafkan, nyawa tidak boleh diganti dengan wang, saya kini betul-betul hilang arah,” kata Zahlawati Zahlan,47.
Dia adalah isteri kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi semalam.
Hilang Arah Dan Punca
Zahlawati berkata, kehidupannya bergantung kepada suami yang melakukan pelbagai pekerjaan sambilan terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Arwah buat pelbagai kerja termasuk menghantar makanan yang ditempah pelanggan melalui perniagaan kecil-kecilan saya.
“Kini saya hilang arah dan punca. Arwah meninggalkan empat anak tiri berusia tujuh hingga 15 tahun dan anak bersama saya berusia enam tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Zahlawati Zahlan,47 isteri kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dirempuh pemandu mabuk.
Panggilan Tidak Berjawab
Menurutnya, dia mengetahui kejadian yang menimpa suaminya selepas cuba menghubungi telefon namun panggilan tidak berjawab.
Ads
“Dia keluar untuk menghantar makanan di rumah rakannya di Pantai Dalam pada jam 9.30 malam. Kira-kira jam 1.30 pagi saya cuba hubungi arwah sebanyak lima kali namun tidak berjawab, namun panggilan keenam dijawab orang awam yang memaklumkan suami saya terbabit kemalangan.
“Saya terus bergegas ke lokasi dan mendapati arwah sudah tidak lagi bernyawa, dia dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu mempercepatkan pindaan undang-undang terhadap pemandu mabuk ini bagi mengelakkan ramai lagi menjadi mangsa.
“Undang-undang perlu diperketatkan, suami saya menjadi mangsa, malah bulan ini saja berapa ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa?
Ads
“Kini saya sudah hilang orang tersayang yang mencari rezeki untuk keluarga. Tindakan perlu diambil dengan segera,” katanya.
Foto Ihsan PDRM
Cedera Parah Di Kepala
Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Zaili Mohamed disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.
Ads
“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.”
“Suspek memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu setelah ditahan orang awam.”
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan,” katanya.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga kejadian ini dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal. Nyawa bukan boleh dicari ganti dengan wang, semoga hukuman dapat diperketatkan bagi mengelak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa. Alfatihah.
Di sebalik senyum manis dan wajah tenangnya, pelakon dan pengacara Elfira Loy menyimpan kisah perjalanan hidup yang tidak ramai tahu mengenainya. Dalam satu sesi bual bicara penuh emosi menerusi podcast Wardah Heart to Heart bersama hos Dayah Bakar, Elfira mendedahkan bahawa permulaan kariernya sebagai pelakon bukanlah kerana minat… tetapi demi membantu insan paling penting dalam hidupnya — ibunya.
“Orang ingat saya suka berlakon. Tapi sebenarnya tidak. Saya masuk dunia seni sebab nak bantu ibu. Ketika itu kami sekeluarga perlu tambah pendapatan untuk tampung keperluan adik-beradik,” luah Elfira perlahan, mengimbas kembali memori remajanya.
Kali pertama dia mendapat bayaran adalah selepas menjayakan sebuah teater. “Saya masih ingat perasaan masa tu… dapat duit hasil titik peluh sendiri. Dalam hati saya cakap, ‘Oh… kerja ini boleh tolong ibu saya.’ Dari situ saya teruskan, walaupun saya sebenarnya seorang yang introvert, yang tak selesa berada di depan kamera.”
“Ibu saya pun tak tahu saya tak suka berlakon. Saya pura-pura gembira sebab saya tahu, kalau saya sedih, ibu saya akan dua kali ganda lebih sedih. Saya belajar untuk pendam perasaan sejak kecil.”
Di sebalik kepayahan, Elfira sentiasa mencari kekuatan dalam hubungan peribadinya dengan Allah SWT. “Saya dari kecil memang banyak bergantung pada Allah. Apa-apa yang saya rasa, saya cerita pada Dia. Itu cara saya tenangkan diri.”
Matang Sebelum Waktunya
Pengalaman sebagai anak sulung dalam keluarga yang melalui fasa penceraian ibu bapa menjadikan Elfira seorang yang matang sebelum waktunya. Dia sedar, jika dia lemah, adik-adiknya akan rasa lebih terkesan. “Saya tak boleh terlalu larut dengan kesedihan. Saya kena kuat untuk mereka.”
Tidak cukup dengan ujian keluarga, Elfira juga pernah melalui episod hitam dalam hidup apabila pertunangannya putus pada tahun 2018. “Saya tak sangka orang boleh buat saya macam tu. Saya tak pernah luah dekat sesiapa. Bila wartawan tanya pun, saya diam. Tapi dalam diam tu… hati saya hancur.”
Namun di sebalik kesedihan itu, dia kembali mencari cahaya, di masjid, dalam doa, dan dalam kekuatan spiritual.
“Itu titik perubahan saya. Saya kembali kepada Allah sepenuhnya. Saya nampak hikmah di sebalik semuanya. Allah bagi semula semua yang saya perlukan… cuma satu saja tak dapat,” katanya penuh makna.
Kini, Elfira bersyukur kerana penghijrahannya diterima baik oleh keluarga, rakan-rakan dan juga peminat. Dia tidak lagi terlalu memikirkan apa orang kata, tetapi lebih fokus kepada redha Allah dalam setiap langkahnya.
“Saya selalu ingat kata-kata seorang ustazah, bahawa dalam hidup ini ada dua jalan – satu untuk Allah, satu untuk manusia. Kalau kita hanya ikut jalan manusia, kita akan lupa Allah. Tapi kalau kita buat kerana Allah, insya-Allah… manusia pun akan faham akhirnya.”
Dengan penuh rendah hati, Elfira mengajak semua wanita untuk tidak takut berubah ke arah kebaikan. “Kadang kita takut nak mula… takut makan diri. Tapi percayalah, mungkin itulah amalan yang akan selamatkan kita nanti.”
Sudah ajalnya, satu lagi kes melibatkan bayi lelaki maut dipercayai terjerut tali bidai tingkap di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di Dungun, semalam.
Muhammad Azhari Zul Azri, 20 bulan, disedari terjerut tali terbabit oleh ibunya, Noryasmin Mat Yasin pada 6.50 petang.
Maknya Solat Asar, Anak Ralit Bermain
Sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan bermain bersama kembarnya ketika ibunya mengerjakan solat Asar di dalam bilik rumah berkenaan, manakala abang dan kakaknya berusia lingkungan tiga hingga empat tahun berada tidak jauh dari mangsa.
Bayi yang berumur setahun lapan bulan itu pula bermain di atas sofa bersebelahan dengan bidai itu sebelum dipercayai terjatuh dan lehernya terjerut dengan tali bidai terbabit.
Sebaik selesai mengerjakan solat, ibu mangsa terkejut mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum menghubungi suaminya, Zul Azri Hashim, 39.
Zul yang bekerja sebagai penyelia projek bergegas pulang ke rumah dan mengejarkan anak mereka ke Klinik Kesihatan AMBS untuk mendapatkan rawatan. Polis masih menunggu proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sumber: Astroawani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebelum ini, Mingguan Wanita pernah menyiarkan beberapa tulisan Abdul Ghani Haron yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ghani ini. Ahad lalu, jam 5.30 petang Cikgu Ghani menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri, Che Su Desa, 63 dan dua anaknya dalam ambulans hospital.
Bekas guru ini sering membuat kerja-kerja amal semasa hayatnya. Sejak 19 Disember lalu, arwah dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan kuman pada tiub yang dipasang dekat tubuh untuk dialisis.
Selepas menjalani pembedahan membuka tiub dialisis, bacaan tekanan darah arwah mulai menurun, membuatkan ahli keluarga memutuskan untuk membawanya pulang. Dalam perjalanan pulang dengan ambulans ke rumah itulah, Cikgu Ghani menghembuskan nafas terakhirnya.
Minta Sediakan 1500 Kampit Beras
Kata isteri arwah, Che Su sebelum meninggal dunia, pada tengah harinya, suaminya sempat berpesan kepadanya dan anak untuk menyediakan 1,500 kampit beras lima kilogram. Tujuannya mahu disedekahkan kepada orang ramai esok.
Sememangnya itulah niat arwah sejak sekian lama. Semasa hayatnya ada, itulah yang dibicarakan kepada isterinya. Mahu sedekahkan 1,500 kampit beras pada hari jenazahnya dibawa ke masjid.
Bagaimana pun, isteri berasa musykil dengan permintaan itu. Memandangkan kita takkan tahu bila tarikh diri sendiri meninggal dunia.
Bagi memenuhi permintaan terakhir arwah, 1,500 kampit beras lima kilogram diagihkan kepada orang ramai bermula 6.30 pagi dan habis dalam tempoh kurang daripada sejam.
Isteri Dan Anak Berniat Teruskan Kerja Amal Suami
Biarpun Cikgu Ghani sudah tiada, isteri dan anak-anaknya tetap bertekad mahu meneruskan kerja-kerja amal yang pernah dilakukan oleh arwah. Selagi masih diberi kepercayaan, itulah yang akan mereka lakukan.
Cuma, tidaklah sekerap sebagaimana ketika hayat arwah masih ada.
Katanya lagi, wakaf air bertapis yang ada di rumah mereka tetap diteruskan sehingga bila-bila. Kerana itulah permintaan arwah suaminya.
Malah, Cikgu Ghani juga berpesan agar sebahagian pencennya dimasukkan ke tabung sedekah jariah agar dapat digunakan untuk tujuan amal.
Jenazah Cikgu Ghani dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Barakah, Tikam Baru.