Berdepan dengan kehilangan orang tersayang perit untuk diterima apatah lagi dengan sekelip mata.Kegembiraan sepasang suami isteri tidak berpanjangan selepas menerima kehadiran cahaya mata pada 28 Ogos lalu apabila isteri dikasihi meninggalkan, dia dan anak yang baru lahir itu, selepas 11 hari berpantang.
Perkongsian status Facebook Hamijan Mijan atas pemergian isterinya Siti NurHidayah Mohd Saad,23 membuatkan ramai yang bersimpati dan sedih dengan apa yang berlaku.
Malah, wanita itu juga dikatakan sempat memuat naik status terakhir di facebook sehari sebelum pemergiannya dengan tidak sabar mengajak suami untuk bercuti ke Cameron Highland setelah habis pantang pada hari ke-45. Namun impian itu tidak kesampaian akhirnya apabila dia dahulu dijemput Ilahi.
Ads
Kematian Mengejut
Hamijan jalaludin, 22, berkata, dia tidak menyangka isterinya pergi secara tiba-tiba kerana NurHidayah tidak menunjukkan sebarang tanda, bahkan, beberapa jam sebelum kejadian mereka masih sempat berbual seperti biasa.
“Lepas subuh, saya tidur sampai pukul 11, saya (hanya) tersedar apabila anak menangis. Saya bangun buatkan susu anak dan memanggil isteri tetapi tidak dia tidak menyahut. Jadi saya pergi dekat dan menarik selimut, dan melihat tangan arwah sudah kebiruan,” kata Hamijan.
Panik dengan keadaan isterinya yang sudah tidak sedarkan diri, dia terus memanggil ambulans dan membawa isterinya ke hospital.
Ads
“Namun sampai di hospital, isteri disahkan meninggal dunia,” kata Hamijan.
Terdapat Darah Beku
Menurut Hamijan, doktor mengesahkan terdapat darah beku di peranakan isterinya yang menjadi punca kepada kejadian tersebut, selain mengalami hipoglisemia (bacaan gula dalam darah rendah) kerana mengalami diabetes semasa mengandung.Bagaimanapun, keputusan penuh dari doktor masih belum diketahui.
Ads
Meskipun sedih, namun dia reda dengan pemergian isteri tercinta dan janjinya akan menjaga zuriat, tanda cinta mereka yang telah diberi nama Muhammad Hud Hayyan dengan baik.
“Saya akan menjaga, bayi kami, dengan bantuan keluarga,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, Semoga diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang ditakdirkan.
Kisah tragis anak tergamak membunuh mak kandungnya dengan tangannya sendiri dan mayat tersebut dihumban ke dalam tangki najis baru-baru ini cukup menyayat hati. Terkini, abang sulung suspek telah menceritakan punca sebenar adik bongsunya sanggup bertindak agresif dan diluar kewarasan fikiran sehingga sanggup melakukan perkara sedemikian.
“Saya tak sangka adik sanggup bunuh mak,” kata Muhammad Fariz Ismail, 41, anak sulung kepada wanita yang dikelar lehernya hingga mati pada minggu lalu.
Menurutnya, tindakan agresif adik bongsunya yang berusia 29 tahun itu jelas keterlaluan akibat daripada pengaruh menghidu petrol.
“Ini mak kita, itu pun adik kita. Bukan orang luar. Nak buang pun tak boleh sebab itu adik kita sendiri.
“Saya harap dia dikenakan hukuman setimpal. Kalau dia ada (di rumah) pun dia akan serang kami sekeluarga.
“Saya pun tak tahu apa punca sebenar sehingga dia sanggup kelar leher mak. Tapi selalunya dia akan bertindak agresif selepas hidu petrol,” katanya.
Beliau berkata, suspek sering bertindak agresif ketika berada di rumah termasuk mengacu pisau kepada ibunya.
“Saya harap dia dihadapkan ke muka pengadilan sebab dia memang tak boleh nak dibimbing dah. Kami pun dah habis fikir untuk pulihkan dia.
“Masalah dia bila masa ok dia akan ok. Tapi bila dia tak ok, keluarga terdekat akan cedera dan jadi mangsa.
“Sebelum ini pun dia banyak kali acu pisau kepada arwah mak. Kakak dia pun dah pernah kena (cedera).
“Kalau dia sendiri tak nak berubah, tak boleh nak buat apa. Kami dah berusaha macam-macam cara untuk pulihkan dia,” katanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, suspek mula terlibat dengan gejala negatif itu sejak berusia 13 tahun lagi.
“Sekolah pondok kami hantar, pusat pemulihan pun kami hantar. Tapi tak berubah juga sampai sekarang,” katanya.
Ditanya mengenai perasaannya selepas mendapat berita suspek telah ditahan polis, beliau menyatakan rasa syukur.
“Alhamdulillah, kalau dia masih bebas kami takut dia akan serang kami di rumah pula.
“Dia kalau tak hidu petrol akan bertindak normal macam kita. Tapi bila dah hidu petrol, itu yang dia jadi hilang pertimbangan dan agresif,” katanya.
Mingguan Wanita mendoakan semoga pihak keluarga kuat dan sabar mengharungi dugaan ini.Semoga pelaku, menerima hukuman dan pembalasan yang setimpal.
Baca Disini: Hinanya Pengakhiran Seorang Mak, Dibunuh Anak Sendiri & Dihumban Dalam Tangki Najis!
Khas buat peminat petai, jika selalu petai dibuat sambal atau dimakan mentah begitu sahaja, apa kata kali ni cuba Nasi Goreng Petai yang dikongsikan oleh pelakon Datin Paduka Ainur Syakina Azman,23 atau lebih dikenali Eina Azman ni.
Isteri kepada Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden ini memang gemar berkongsi resipi dan video masakannya didalam Instagram.Perkongsian resipi Nasi Goreng Petai ini antara yang paling banyak mendapat tontonan oleh para pengikutnya iaitu lebih 410 000 views.
Ayam (dipotong kecil)
2 Biji Bawang Merah
7 Ulas Bawang putih
Sedikit Belacan
2 Batang Cili merah
Segenggam Cili Padi
Sedikit Sos tiram
Sedikit Sos ikan
Sedikit Kicap manis
4 Biji Telur
Semangkuk Petai
Nasi Putih
Garam
Gula
Minyak Masak
1.Gorengkan hirisan ayam dalam kuali.
2.Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih,belacan, cili merah dan cili padi.
3.Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk didalam kuali sehingga naik bau/garing.
4.Masukkan sedikit sos tiram, kicap manis,sos ikan, garam dan gula.
5.Masukkan pula telur dan kacau sebati.
6.Masukkan petai yang telah dikopek kulit, kacau dan biarkan seketika.
7.Akhir sekali, masukkan nasi putih dan kacau rata.
Dalam kehidupan kita, sebenarnya adalah penting untuk menghargai diri sendiri dahulu barulah mengutamakan dan menghargai orang lain.Rasa seperti mementingkan diri sendiri, namun ada alasan tersendiri kita perlu bertindak demikian.
Perkara ini dikongsikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang merupakan seorang pendakwah dan penulis buku-buku motivasi. Berikut merupakan perkongsian beliau yang wajar dijadikan renungan.
Apakah petunjuk, seseorang itu mempunyai harga diri yang tinggi?
Pertama, dia mudah menghargai orang lain. Sebab itu kalau kita lihat dalam kehidupan seseorang ini yang mana mereka ini mudah mesra, menghormati orang lain, boleh bergaul dengan baik dengan orang lain, itu petanda bahawa dia mempunyai harga diri yang tinggi.
Sebaliknya kalau kita lihat ada orang suka meremehkan orang lain, mengejek-ngejek orang lain, selalu memandang kecil kepada orang lain, itu petanda bukan orang lain yang diremehkan itu rendah, tetapi dirinya yang rendah.
Analoginya mudah. Hanya orang yang ada wang boleh memberi wang kepada orang lain. Begitu juga hanya orang yang punya harga diri sahaja yang boleh menghargai orang lain. Sebab itu hanya apabila kita menyayangi diri kita sendiri, barulah kita boleh menyayangi orang lain.
Kedua, mempunyai ‘self talk’ yang positif. Dalam masa 24 jam, sebenarnya kita lebih banyak bercakap dengan diri kita berbanding kita bercakap dengan orang lain. Petanda orang yang mempunyai harga diri yang tinggi ialah percakapan dirinya terhadap dirinya sendiri ialah percakapan-percakapan yang positif.
Bila dia dengar sahaja kuliah atau dengar sahaja tazkirah atau membaca tulisan yang bermotivasi seperti ini, ‘self talk’nya sentiasa positif;
“Input ini adalah yang terbaik untuk aku. Aku boleh amalkan dan insyaallah aku akan sampaikan kepada orang lain. Motivasi atau input-input yang baik ini akan menyinari hidupku dan aku akan buat satu perubahan yang akan memberi inspirasi kepada orang lain.”
Begitulah orang yang mempunyai harga diri yang tinggi. ‘Self talk’nya, percakapan dirinya ialah yang positif.
Tetapi malangnya ramai orang yang punyai ‘self talk’ yang negatif. 90 % yang dicakap terhadap dirinya adalah negatif. Kalau dia membaca buku motivasi suara hatinya akan berkata:
“Ala aku boleh dengar sahajalah, mana boleh aku amalkan.” Sehinggakan sampai satu tahap dia berkata; “Entah-entah orang yang menulis ini pun tidak amalkan apa yang dia tulis.”
Akibat self talk yang negatif, ramai manusia yang gagal untuk membuat perubahan ke arah kebaikan. Dia bukan didorong ke hadapan, sebaliknya sentiasa digeser ke belakang.
Oleh itu, penting sekali kita mendapat keyakinan, hasil daripada percakapan-percakapan yang positif daripada dan kepada diri kita sendiri. Sebab itu misalnya, dalam ibadah solat kita juga sebenarnya sedang mengingatkan diri kita sendiri melalui bacaan-bacaan di dalam rukun solat.
Dalam rukun qauli, bacaan surah al fatehah yang kita baca… wajib didengar oleh telinga kita sendiri. Ini satu selftalk yang positif yang mengingatkan bahawa kita hamba Allah, yang meminta pengampuna-Nya, kekuatan-Nya. Dalam duduk antara dua sujud, kita minta sihat dan kita minta hidayah dan sebagainya. Insya-Allah ‘selftalk’ ini positif, dan akan membentuk diri kita yang positif juga.
Sebaliknya, orang yang punya harga diri yang rendah, dia akan sentiasa melakukan sabotaj terhadap dirinya sendiri. Ya, kegagalan itu bermula di dalam diri kita sendiri, sebab itu kita gagal ‘menakluki’ diri kita sendiri. Justeru, sering diperingatkan bahawa kita sebenarnya perlu bertanding dengan diri kita sendiri.
“What happen in you is more important then what happen to you…” Begitu kata-kata ahli-ahli yang bijaksana. Apa yang berlaku di dalam diri kita sebenarnya lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita.
Sebab itu kita kena hapuskan sikap ‘self sabotaging habit’ ini. Kalau dibiarkan berterusan kita akan menjadi “Toxic people”, manusia beracun yang melemahkan diri sendiri dan orang lain.
Mula-mula kita sabotaj diri kita, kemudian akhirnya kita jadi ‘toxic people’ yang mensabotaj orang lain.. Kita boleh menghasut, kita boleh mengumpat dan kita boleh memfitnah orang lain hasil daripada perasaan negatif yang ada di dalam diri kita.
Orang yang memfitnah, mengumpat ialah orang yang penuh dengan racun. Orang yang sebegini tidak akan berjaya di dalam hidupnya. Dia tidak akan menyelamatkan dirinya dan dia tidak akan mampu menyelamatkan orang lain. Dia ‘membunuh’ dirinya sendiri, keyakinannya sendiri, harga dirinya sendiri dan dia tidak akan pernah membina aspirasi kepada orang lain.
Ketiga, mampu menyayangi orang lain hasil dia menyayangi dirinya sendiri.
Bagaimana keadaan itu?
Saya pernah menonton satu filem tentang hari ibu. Yang mana seorang wanita tua telah ditinggalkan oleh anak-anak dan suaminya di rumah orang tua. Pada waktu itu ibu itu mengeluh, lalu berkata, “Yang paling malang dalam hidup ini apabila tidak disayangi.” Dia tidak disayangi oleh suami dan anak-anaknya.. Tetapi kawannya di sebelah menepuk bahunya dan berkata bagi membetulkan persepsi ibu tadi dengan berkata, “yang paling malang dalam hidup ini bukan tidak disayangi tetapi apabila kita tidak menyayangi.“
Punca kita tidak disayangi ialah apabila kita tidak menyayangi diri kita sendiri. Hanya orang yang menyayangi dirinya mampu menyayangi orang lain. Kalau kita tidak mampu untuk menyayangi diri kita yang paling dekat, mana mungkin kita boleh menyayangi orang lain yang ‘jauh’?
Kelihatannya seperti kita terlalu mementingkan diri?
Sebenarnya, tidak! Kita tidak mementingkan diri sendiri sekiranya kita menyayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.
Tamsilannya begini. Ketika kita menaiki kapal terbang, pramugari selalunya memberi panduan sekiranya oksigen dalam kapal terbang itu berkurangan, maka akan keluar corong yang berwarna kuning. Arahannya ialah kita perlu bernafas dahulu barulah kita membantu anak kita yang masih kecil untuk bernafas. Walaupun kita sayang anak kita, malah sanggup mati untuk mereka, tetapi aturannya ialah kita perlu ambil corong oksigen itu dan bernafas terlebih dahulu baru kita bantu anak kita bernafas.
Apa maksudnya?
Hanya orang yang hidup sahaja boleh memberi kehidupan. Hanya orang selamat sahaja yang mampu menyelamatkan. Dan hanya orang yang menyayangi dirinya dahulu boleh menyayangi orang lain.
Sayangnya, ramai kaum ibu yang kadangkala oleh kerana terlalu sayang anaknya…dia jaga anaknya sampai mengabaikan kesihatan dirinya sendiri. Ini salah. Kita perlu menjaga kesihatan diri kita untuk menjaga kesihatan anak kita. Ini bukan mementingkan diri… tidak! Tetapi untuk menyayangi orang lain perlu terlebih dahulu menyayangi diri kita.
Justeru, pada saya orang yang tidak menjaga kesihatan dirinya ialah orang yang mementingkan diri. Kenapa? Kerana jika dia jatuh sakit, orang lain terpaksa menjaga dirinya. Tetapi bagi orang yang sihat, dia yang mahu menjaga orang yang sakit. Jadi orang yang menjaga dirinya agar tidak sakit ialah orang yang tidak mementingkan diri!
Kunci katanya ialah, “Kita tidak boleh menyayangi orang lain tanpa terlebih dahulu menyayangi diri kita sendiri dan kita tidak mampu menyayangi diri kita sendiri kalau tidak terlebih dahulu menyayangi Allah SWT. “
Sebab itu dalam kehidupan ini, kita perlu sentiasa meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan menyedari bahawa diri kita hakikatnya adalah amanah Allah terhadap diri kita sendiri.
Justeru dalam Islam, kita tidak boleh menjatuhkan diri kita kepada kebinasaan. Contohnya, kita tidak boleh membunuh diri. Kalau dipersoalkan, apa salahnya kalau saya membunuh diri saya sendiri, saya bukan membunuh orang lain?
Ingatlah bahawa menurut Islam, diri kita pun bukan kita yang empunya. Diri kita hanyalah amanah daripada Allah SWT. Sebab itu kalau orang itu sayang yang benar-benar kepada Allah, dia akan sayang kepada dirinya sendiri. Dan orang yang menyayangi dirinya sendiri insya-Allah, akan boleh menyayangi orang lain.