Rupanya Ahmad Aqil Akbar Zaid, 10, yang dilaporkan hilang ketika berbasikal dekat rumahnya di Persiaran 5/2, Bandar Baru Putra, Ipoh, awal pagi hari ini sebenarnya merajuk dengan maknya.
Kehilangannya diviralkan orang ramai dan syukur alhamdulillah dia ditemui selamat oleh orang awam di Kuala Kangsar.
Murid Sekolah Rendah Agama Al Hidayah di Ampang, dekat sini, itu ditemui di Taman Harmoni, Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari rumah keluarganya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu keluar sendiri dari rumah dengan membawa pakaiannya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Zaid Mohamed Hashim, 38, berkata, dia dihubungi seorang wanita pada 2 petang yang mengaku menemui kanak-kanak lelaki menyerupai Ahmad Aqil di kawasan perumahan di Kuala Kangsar.
“Wanita itu menghubungi saya bertanyakan sama ada saya ada kehilangan anak.
“Dia kemudian mengirim gambar kanak-kanak berkenaan dan apabila melihatnya, saya pasti itu anak saya.”
Wanita itu memaklumkan dia menempatkan anak saya di rumah jiran berdekatan dan menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian.
Menurutnya, dia dan isteri, Ainun Zaharah Ismail, 36, lega dan bersyukur anak mereka sudah ditemui.
“Dari tadi saya memang sudah tidak dapat berfikir kerana terlalu bimbang anak saya hilang.
“Dialah satu-satunya anak kami dan hati saya lega bila anak saya ditemui.”
Zaid mengucapkan terima kasih kepada penduduk dan orang ramai yang menyebarkan berita kehilangan itu di media sosial sehingga anaknya berjaya ditemui.
Dia dimaklumkan anaknya akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini.
Sebelum itu, hasil kerjasama penduduk menemukan basikal anaknya kira-kira 200 meter dari rumahnya pagi tadi sebelum dia membuat laporan kehilangan anaknya itu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 9.30 pagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kes anak autisme berumur 22 tahun yang digari dan diseret dalam mahkamah akibat menyentuh payudara seorang wanita. Kes ini mendapat perhatian ramai yang sekali gus membuat ramai pihak bersuara dan memberikan pandangan masing-masing terhadap keluarga remaja autistik itu.
Ahmad Ziqri merupakan seorang pesakit austisme didakwa meraba seorang wanita berumur 24 tahun ketika sambutan hari jadi di sebuah restoran Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum ditahan polis.
Apa yang menyedihkan, remaja lelaki yang sebenarnya mempunyai kapasiti mental budak berumur 13 tahun itu terpaksa bermalam di lokap pada hari jadinya akibat kejadian terbabit.
Selepas tular dan viral dimedia sosial, ramai netizen mengecam penahanan terhadap Ahmad Ziqri tersebut. Netizen juga mengecam ibu bapa gadis tersebut kerana memperbesarkan isu dan membuat laporan polis. Walaupun mengetahui keadaan sebenar Ahmad Ziqri yang mempunyai masalah Autisme sudah dijelaskan, mereka masih berkeras juga.
Insiden itu bukan sahaja menyebabkan pelbagai pihak bersimpati malah Ahmad Ziqri sekeluarga turut berada dalam keadaan tidak menentu sejak kejadian tersebut malah begitu gusar menanti hari pendakwaan kes itu 19 September ini.
Akhirnya ibu mangsa tampil menjelaskan keadaan sebenar, malah terpaksa memberitahu anaknya bahawa dia berada dalam filem Gerak Khas supaya anak autisme itu tak trauma.
Luah ibu Ahmad Ziqri, Datin Hasnah Abdul Rahman, sehingga hari ini Ahmad Ziqri tidak bercakap tentang perkara tersebut malah beliau tidak pasti seandainya anak lelakinya pasti apa yang sedang berlaku.
Dalam kes ini Ahmad Ziqri tak menyedari dirinya ditahan sebaliknya memberikan ‘kerjasama’ dengan sangkaan dirinya sedang berlakon dalam Gerak Khas.
Ketika itu, Hasnah hilang akal dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan olehnya kerana buntu untuk menangani perkara itu terutamanya mahu menjelaskan dengan kaedah terbaik kepada Ahmad Ziqri.
Berat untuk seorang ibu melalui dugaan ini, semoga keluarga Ahmad Ziqri tabah menghadapi ujian ini dan tidak putus asa berdepan dengan masalah. Diharapkan pihak berkuasa dapat mengadili kes ini dengan lebih telus dan terperinci serta memihak kepada Ahmad Ziqri.
Ahmad Ziqri pernah viral semasa dia berumur 20 tahun pada 20 Disember 2016 kerana hilang di stesen MRT. Dia terpisah dengan keluarganya kerana menaiki sendiri salah satu gerabak. Pusat Operasi MRT mengkaji rakaman litar tertutup (CCTV) dan berjaya mengesan Ahmad Ziqri di stesen MRT Taman Tun Dr Ismail.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setelah tertangguh sebelum ini, akhirnya hukuman sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan kekasih songsang berusia 22 dan 32 tahun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu berjalan dengan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang.
Kedua-dua pesalah menjalani hukuman sebatan enam kali seorang di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Rosdi Harun; dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail pada 10.10 pagi.
Hukuman sebatan di khalayak umum yang dilaksanakan hari ini adalah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.Bagaimanapun, hukuman dilaksanakan di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Turut hadir bagi menyaksikan hukuman adalah ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.
Turut menyaksikan hukuman adalah Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.
Terdahulu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan pada 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.
Terdahulu, menerusi laporan sebelum ini, dua wanita dijatuhi hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta pada April lalu. Bukan itu sahaja, tertuduh masing-masing berusia 32 dan 22 tahun itu turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas pasangan berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.
Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan bertentangan dengan fitrah yang ditentukan Allah.
Katanya, hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat umum. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, jam 1.50 tengah hari, pada 8 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah.
Portal NSTP sebelum ini melaporkan dua wanita dipercayai pasangan lesbian dicekup di dalam kereta di Dungun sebelum kedua-duanya mengaku memilih melakukan hubungan kelamin sejenis kerana merasa lebih selamat berbanding melakukan hubungan dengan lelaki.
Dalam serbuan 1.50 tengah hari itu, pasangan itu turut mengaku sudah kerap ‘terlanjur’.Malah, penguat kuasa turut menemui satu alat kelamin lelaki tiruan yang disorokkan di bawah kerusi pemandu dipercayai untuk memuaskan nafsu.
Tahniah buat Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas pelaksanaan hukuman ini. Semoga ia mampu memberi peringatan dan pengajaran buat masyarakat dan golongan sebegini agar kembali kepada fitrah. Semoga hukuman ini setimpal dan dapat mendidik mereka.