Ketika kisah ini ditulis, sudah lebih 70 hari anaknya meninggal dunia. Allahyarham anaknya juga telah selamat dikebumikan. Namun Wan Hasmiza Wan Ismail masih dalam keadaan tertanya-tanya. Siapakah yang melanggar anaknya pada malam 18 Oktober 2018 lalu?
Ditambah pula, sebagai penghidap kanser Limfoma tahap 2B, Wan Hasmiza berharap selagi dia masih hidup dia mahu kematian anaknya itu ada titik noktahnya. Dia mahukan keadilan buat anaknya.
Wan Hasmiza merayu agar saksi kejadian yang melihat kemalangan maut melibatkan anak sulungnya Nor Hafiz Hafizan Raja Nor Azuan, 19 tahun di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan tampil dengan segera bagi meredakan pertanyaan yang membelenggu jiwa raganya.
Ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor, ternyata ibu kepada empat orang anaknya ini masih bersedih dengan tragedi yang menimpa keluarganya.
Gambar kenangan bersama Along
“Sebagai ibu, saya mengharapkan keadilan buat anak saya. Perkataan pertama yang saya dengar adalah anak saya dilanggar lari. Cuma saya mahu keadilan untuk anak saya. Saksi atau si pelaku, kalau tengok atau terbaca cerita saya ini, tolonglah.
“Tolonglah letak anda di tempat saya. Kalau saya sihat seperti orang lain, mungkin saya tidak terdesak seperti ini. Hafiz tunggak keluarga kami dan jadi semangat saya. Apabila dia sudah tidak ada, saya mahukan keadilan buat dia.
“Dia banyak berjasa dekat saya. Saya mahu seandainya si pelaku atau saksi yang nampak kejadian berlaku pada malam itu, tolong tampil bagi keterangan dekat saya. Kalau takut hendak pergi ke Balai Polis, anda boleh datang bertemu saya di rumah. Boleh hubungi nombor telefon saya, 018-4675768,” katanya dengan nada cukup sedih.
Wan Hasmiza bersungguh-sungguh mahu mengetahui cerita sebenar yang berlaku pada malam Jumaat itu.
Ads
“Saya sudah beri masa yang teramat panjang. Sekarang ini tidak ada sebarang berita yang saya terima. Saya mahukan keadilan buat dia. Minta tolong sangat. Siapa sahaja. Tidak kira bangsa apa sekalipun, siapa yang rasa dia yang terlanggar, maknanya bukan saya kata dia yang langar tetapi terlanggar anak saya, tolonglah jumpa dengan saya.Kalau tidak mahu malu, boleh datang secara personal ke rumah dan jumpa saya.
“Tolong beritahu cerita sebenar sebab sekarang ini saya dalam keadaan teka-teki sama ada betul anak saya dilanggar lari atau terbabas. Saya redha dia pergi. Tetapi saya hendak betul-betul cerita itu perkara yang sebenar,” katanya bersungguh-sungguh.
Rindu Tidak Terhingga
Rindu. Hanya mereka yang bergelar ibu sahaja tahu akan perasaan Wan Hasmiza. Anaknya sudah tidak ada di hadapan mata. Sekadar gambar yang disimpan di dalam telefon bimbit jadi kenangan tatkala rindu menjelma. Sesekali jatuh juga air mata melihat senyuman manis anak sulungnya itu.
“Sebagai emak, saya amat rindu pada Hafiz. Ya Tuhan. Hanya Dia sahaja yang tahu. Di atas dunia ini, dialah semangat saya apabila saya disahkan sakit kanser. Dialah yang banyak membantu saya selain daripada anak nombor dua dan suami saya.
“Dia yang banyak membantu saya. Daripada tidak boleh masak, dia yang tolong masak. Dia tolong suapkan saya. Sekarang ini saya mengharapkan dia berada dalam syurga Firdaus di kalangan orang soleh lain. Cuma sekarang ini saya mahu keadilan.
“Saya harap sangat agar dia datang dalam mimpi saya. Namun, hanya sekali sahaja dia datang dalam mimpi sahaja. Itu pun masa saya dalam keadaan bukan betul-betul sedar. Ketika itu saya seperti hilang arah. Mungkin dia datang untuk memberi tahu bahawa dia tidak senang di ‘sana’.
Ads
“Jadi, saya ubah hidup saya. Saya ubah cara saya. Saya banyak buat solat taubat, solat tahajud dan solat hajat untuk dia. Selepas itu dia tidak datang lagi dalam mimpi saya sehingga ke hari ini,” katanya yang ingin sangat bertemu anak kesayangannya di alam mimpi.
Tidak Sempat Sambut Hari Lahir
Menurut wanita berusia 40 tahun yang terpaksa berhenti kerja Februari 2018 lalu berikutan kesihatannya semakin lemah kerana kanser, dia begitu terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut ulang tahun ke 19 anak sulungnya itu.
“Semuanya sudah saya sediakan termasuk membeli makanan, penyediaan permainan malah pemilihan tema baju yang bakal disambut pada hari Ahad. Saya ingatkan untuk maklumkan pada anak hari Jumaat itu tetapi Allah lebih sayangkan dirinya,” ceritanya lagi.
Wan Hasmiza menunjukkan barangan yang tidak sempat digunakan untuk majlis hari lahir Hafiz
Mengimbas semula kisah malam tersebut, kata Wan Hasmiza sekitar jam 11 lebih, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa anaknya kemalangan di Jalan Klang Lama dan kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya baru sahaja masuk tidur ketika itu ditambah rasa tidak sihat akibat kanser. Bila ketukan di pintu, pihak polis memaklumkan kejadian ini. Awalnya saya menyangka bahawa anak kemalangan biasa sahaja.
Ads
“Tapi selepas pihak polis pulang, saya ternampak seorang lelaki seperti mencari-cari rumah seseorang. Saya tegur dia, katanya dia mencari rumah Nor Hafiz. Bila saya kata saya emak Along, dia maklumkan anak kemalangan di Lebuhraya LDP dan mayatnya ada di lokasi kejadian.
“Mulanya saya tak percaya kerana pihak polis baru maklumkan lain tapi dia cakap dia bawa bukti iaitu kad pengenalan anak, ketika itulah saya mula rebah sehingga perlu dipapah. Kami bergegas ke lokasi kejadian dan benar Along sudah terbujur kaku,” katanay dengan nada sedih.
Jelas Wan Hasmiza lagi, dari cakap penunggang motosikal, mereka mengakui sudah mengalihkan motosikal Along dari lorong tengah ke tepi sementara mayat anak masih berada di lorong laju. Wan Hasmiza menjelaskan lagi akibat kemalangan, bahagian kepala anaknya cuma ada sedikit luka. Tak ada patah di bahagian tubuhnya.
Bantu Gelandangan Dan Wakafkan Al-Quran Untuk Keluarga
Pada hari kejadian, Wan Hasmiza terkilan kerana anaknya tidak sempat makan lauk kari makanan kesukaannya.
“Biasa lepas balik dari Politeknik Shah Alam, arwah akan makan nasi dahulu tapi pada hari itu, dia solat dulu. Makan pun tak sempat sebelum bergegas ke tempat kerja. Sebab itulah saya begitu terkilan kerana anak tak sempat jamah makanannya.
“Selepas kemalangan barulah saya dapat tahu bahawa anak saya disayangi ramai. Dia juga aktif dalam kerja dakwah dan kebajikan Islam dengan memasuki Persatuan Pelajar Islam Selangor,” katanya lagi.
Daripada kawan-kawannya juga barulah Wan Hasmiza mengetahui bahawa duit gaji kerja sambilan anaknya itu telah banyak dihabiskan membantu gelandangan dan mewakafkan Al-Quran untuk keluarganya. Sebab itulah dia selalu tidak ada duit.
“Betapa mulianya hatimu anak !” ujar Wan Hasmiza mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak-mak jangan ambil mudah dengan pemeriksaan ultrasound untuk kesan tanda cyst pada ovari. Sekurang-kurangnya 6 bulan sekali kena buat pemeriksaan di klinik sakit puan atau hospital. Alasan malu dekat doktor lelaki itu, memang tak boleh pakai.
Nasihat daripada Hazira Azmi, pesakit yang pernah disahkan alami cyst ini patut mak-mak ambil peduli. Jangan fikir kita bebas bergerak, kita sihat. Sebabnya sakit-sakit dalaman ini bukannya boleh tengok dengan mata kasar. Kena buat pemeriksaan baru nampak keputusannya.
Lepas Setahun Cyst Tumbuh Balik
3 tahun lepas aku operate buang cyst. Lepas 1 tahun cyst tumbuh balik. So buat checkup 6 bulan sekali. Tuppp aku stop pergi checkup, kononnya sihat la teww.
Okey petang tadi buat checkup setelah sekian lama tak bertemu dengan ultrasound. Okey ini hasilnya. Sembang punya sembang dengan Doktor macam kita sembang dengan kawan.
Dengar ni nasihat aku. Korang tak nak dengar lantaklah. Kalau sayangkan rahim tu. Sila baca dan hadam.
1. Jangan makan apa-apa suppliment termasuk pil putih pil kecut jerawat dan whatever jenis suppliment. NEVER girls ! Dalam badan kita dah ada estrogen. ( rasanya macam aku dengar estrogen ). Makan lagi supplement menambahkan estrogen dan boleh mengaktifkan hormon. Ingat cyst ni asal dia dari hormon. 2. Jangan minum soya. Nasib baik aku bukan peminat soya. 3. Kurangkan makan ayam. 4. Banyakkan makan ikan dan sayur . Ikan Parang tak boleh makan. 5. Amalkan pemakanan yang sihat 6. NO FAST FOOD 7. NO makanan dalam Tin ( tuna, sardin etc ) 8. NO STRESS
Agar RAHIM Sihat! Tolong Buat Pemeriksaan 6 Bulan Sekali
Please checkup at least 6 bulan sekali. Jangan kau berani nak bagi alasan, ala malu la. Kalau kena dengan Doktor laki macam mana. Jawab aku ” Abah kau! Malu konon “.
Dah memang realiti Doktor O&G ni banyak lelaki, terima je la. Aku dari dulu Doktor laki yang check. Kau ingat tak malu? Tapi nak buat macam mana. Hakak redho jela. Nasib tadi Doktor perempuan yang check.
Tak payah berangan nak makan ubat kurus, ubat cantik. Hatta ada KKM sekalipun. Mudah sungguh orang kita percaya dengan KKM tu. Ntah betul ke tidak. Heh!
Tip Untuk Yang First Timer Nak Buat Pemeriksaan Ultrasound
Ini tip untuk 1st time check up.
1. Korang boleh pergi mana-mana klinik sakit puan. Bagitau je nak scan. Nanti kalau Doktor detect ada cyst atau apa-apa penyakit, dia akan refer terus ke hospital.
2. Simptom-simptom tak semua sama setiap orang. Yang saya rasa ada something keras dalam perut dan rasa tak selesa. So kalau tanda-tanda macam ni ada, anda boleh pergi checkup.
3. Kos operation government murah je. Saya punya 3 tahun lepas RM300 je. Yang tu half gov. Swasta beribu.
4. Cyst dah buang, kemungkinan tumbuh balik. Then cek balik korang punya keturunan ada tak yang sejarah kanser rahim, fibroid atau penyakit wanita. Kalau ada beware. Penyakit keturunan pun salah satu sebab. Macam saya.
5. Avoid any supplement. No need. Dapatkan nasihat doktor dulu sebelum nak consume apa-apa. Rahim orang perempuan sangat sensitif gais.
6. Doakan semua dikurniakan kesihatan yang baik-baik saja.
7. Jangan stress.
8. Segala penyakit Allah yang bagi. Penawar pun Allah yang bagi. So banyakkan berdoa. Jangan lagha sangat k gais.
Islam mendidik umatnya agar berbuat ihsan kepada haiwan dengan memberikan perhatian kepada usaha menjaga kebajikan mereka. Inilah di antara salah satu daripada ciri-ciri keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam yang jarang diberikan perhatian. Bersesuaian dengan Sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut :-
“Pada setiap sedekah terhadap makhluk yang memiliki hati (jantung) yang basah (hidup) akan dapatkan pahala kebaikan. Seorang Muslim yang menanam tanaman atau tumbuh-tumbuhan yang kemudian dimakan oleh burung-burung, manusia, atau binatang, maka baginya sebagai sedekah.” (Bukhori, Muslim).
Kisah yang ingin diceritakan ini, dikongsi oleh seorang anak mengenai arwah bapanya, Haji Bujang bin Tanda yang telah meninggal dunia 18 tahun lalu. Ratusan ekor burung seperti aina, pipit, merbah bahkan dari spesies yang tidak diketahui seolah-olah membuat barisan mengiringi jenazah kerana sikap arwah yang rajin bersedekah kepada makhluk Allah ini.
“Arwah bapa meninggal kerana serangan jantung. Saya sendiri tidak sempat menghadapnya kerana sebaik ke rumah, bapa sudah meninggal dunia. Berita kematiannya mengejutkan ramai orang kerana arwah tampak sihat sebelum ini,” kata anaknya, Jamilah Haji Bujang, 47 tahun.
Suami Jamilah, Hamdan Mohd Yusof seorang pengurus jenazah di Pantai Dalam. Dia memaklumkan betapa mudahnya memandikan arwah bapa mentuanya.
“Arwah seolah-olah tidur lena. Tubuhnya lembut, sendi-sendinya senang diuruskan. Waktu mandinya juga singkat dan mudah.”
Selesai urusan kafan, jenazah di bawah ke Masjid Al-Ikhlasiah untuk disolatkan. Ratusan orang datang dan saling mengucapkan salam takziah kepada kami sekeluarga. Masa yang sama, masing-masing mengakui kebaikan yang selalu dibuat oleh arwah bapak yakni kebaikan dan pertolongan yang selalu dihulurkannya tanpa mengira siapa.
“Ketika jenazah dibawa ke masjid, saya perasan ratusan ekor burung bertenggek di wayar talian elektrik. Bermacam-macam jenis malah ada spesies burung berwarna hijau yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.
“Burung-burung itu seolah-olah membentuk satu barisan panjang dan berbunyi sewaktu keranda bapa melalui mereka. Bahkan ratusan orang mengikuti solat jenazah pada hari itu.
“Hal burung itu saya anggap biasa tetapi kejadian aneh sekali lagi berlaku di tanah perkuburan. Kali ini burung-burung hijau bertenggek di ranting-ranting pokok yang terdapat di tanah perkuburan itu. Masih berkicau-kicau. Saya cuit emak dan abang, rupanya mereka juga perasan hal ini. Subhanallah,” tutur Jamilah pula.
Rajin Bersedekah Pada Makhluk Allah
Sekalipun sudah hampir 20 tahun bapanya meninggal dunia, perbuatan bapanya itu masih terkesan di hati. Sampaikan hari ini, Jamilah sendiri meneruskan cara yang dilakukan oleh arwah bapanya itu.
“Bila saudara mara mula balik, mak buka satu cerita. Sejak pencen dari Telekom, bapa gemar bercucuk tanam. Ada pisang, serai, lengkuas, halia, cili, kacang botol dan sebagainya. Arwah cuma ambil sedikit saja hasil tanamannya. Sekadar melepaskan “sesak” di dapur ketika emak memasak. Selebihnya di sedekah kepada jiran tetangga dan ahli masyarakat yang datang meminta.
Cerita emak lagi, kalau pisang masak, bapa tidak akan benarkan pokok itu ditebang. Dia mahu burung, tupai makan sesisir dua pisangnya terlebih dahulu. Selepas itu barulah tandan pisang ditebang dan di sedekah pada jiran-jiran terdekat. Arwah juga akan mengumpul sisa-sisa nasi dari kedai makan untuk diberikan pada ayam dan itik yang diternak.
“Kadang-kadang bukan ayam itik sahaja yang datang makan. Kucing, burung, anjing liar juga akan berkongsi rezeki yang sama. Mereka seolah-olah tahu jam 3 petang, arwah akan datang membawa satu baldi penuh dengan sisa nasi dan lauk pauk yang dikutip dan dikumpulkan dari kedai makan berhampiran rumahnya.” Cerita emaknya yang terkesan sehingga mengubah diri Jamilah jadi pemurah dalam soal sedekah.
Jamilah sedar perbuatan baik itu bukan saja dilakukan kepada manusia tetapi juga kepada makhluk Allah yang bernyawa. Hal ini kerana di dunia, Allah sudah menunjukkan pengajaran kepada insan yang berbuat baik kepada haiwan-haiwan.
Cerita Pak Kasim Asam Pedas Melaka
Kata pemilik kedai makanan, Pak Kasim Asam Pedas Melaka sudah jadi rutin arwah Haji Bujang datang ke kedainya untuk mengambil sisa-sisa nasi dan lauk. Ramah menyapa pelanggan yang datang ke kedainya.
“Dengan arwah semuanya boleh jadi. Baik masalah tanah setinggan, nak pinjam duit sampailah kenduri kahwin anak. Mulutnya memang bising sikit tapi hatinya baik. Arwah tak pernah mengecewakan harapan orang yang datang meminta bantuannya. Itulah sebab arwah popular dan sangat dikenali. Bila arwah meninggal, sudah tak ada siapa lagi yang ambil sisa nasi di kedai saya.”
Satu lagi sikap bapanya dia akan menyapu keliling kampung. “Bapa akan bawa sebatang penyapu lidi dan kereta tolak. Habis jalan-jalan utama dibersihkan. Itulah rutinnya setiap hari sampaikan sekampung kenal perangainya.”
Apa yang lebih terkesan di hati anak keempat dari enam beradik ini ialah arwah bapanya bersama sahabat-sahabatnya memberikan sebahagian wang simpanan mereka untuk mendirikan surau yang diberi nama Al-Ikhlasiah. Hari ini, surau itu sudah tiada lagi tetapi digantikan dengan sebuah masjid tersergam indah yang mampu menampung ribuan jemaah di dalamnya di Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hati-hati dengan setiap kata-kata yang diluahkan mahupun komen yang ditulis pada orang lain.Apatah lagi bila ia melibatkan penghinaan pada bentuk fizikalnya.
Ibarat buku bertemu ruas, Pesuruhjaya Sumpah Suharnizan Md Sidek hari ini memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap seorang personaliti media sosial (influencer) yang didakwa menghina bentuk fizikalnya atau body shaming.
Peguamnya, Mohd Rasheed Hassan berkata, saman sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Eira Aziera atau nama penuhnya adalah Noorazira Pissal, 37.
“Saman sudah didaftar di mahkamah dan petang ini saya sudah terima emel daripada Tetuan Yahaya Ahmad & Co dari Sungai Petani, Kedah, yang mengatakan bertindak bagi pihak Eira Aziera.
“Jadi saman dan pernyataan tuntutan akan diserahkan menerusi emel dan kurier kepada peguam Eira (personaliti) dan dalam tempoh 14 hari, kehadiran perlu difailkan.
“14 hari selepas itu, pembelaan perlu difailkan. Tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Johor Bahru adalah pada 11 November depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Rasheed berkata, sebutan pada 11 November ini akan dibuat secara dalam talian dengan pendaftar sahaja.
Mengeluarkan Kata-Kata Kesat
Pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi, Suharnizan menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara ‘live’ sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.
Eira Aziera
Eira Aziera membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya sebelum video berkenaan tular.
Bagaimanapun tindakan personaliti tersebut mendapat kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosinya dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.
Suharnizan ditemani Mohd Rasheed kemudian mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada 15 September lalu berhubung kes tersebut.
Mohd Rasheed memaklumkan walaupun terdapat permohonan maaf yang dibuat secara langsung menerusi Facebook ‘influencer’ itu, isu ‘body shaming’ boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MW: Hati-hati dengan setiap bait tutur kata mahupun komen yang diluahkan. Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...