Setiap kali menjelang hari raya, antara bahan yang hangat dibincangkan khususnya bagi mereka yang sudah berumahtangga ialah giliran balik raya. Baik yang baru berkahwin mahupun yang telah berpuluh tahun bersama tetap akan melaluinya.
Haaa… bukan mudah nak buat keputusan balik raya sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal tiba dan ini juga mungkin mengundang pertengkaran antara suami isteri.
Walaupun menyakitkan perasaan, namun pertengkaran dikatakan dapat mematangkan pasangan selain lebih mengenali diri dan personaliti suami mahupun isteri.
Ok, kita lihat dulu dari sudut buruknya, pertengkaranboleh menyebabkan pasangan suami isteri berpisah ataupun bercerai berai. Gagal mengawal emosi, geram dan kecewa menyebabkan ada isteri yang menuntut untuk berpisah tatkala bertikam lidah. Ambooii… sampai tahap ni ya?
Masalah ini biasanya terjadi berikutan sikap mementingkan diri sendiri serta enggan bertolak-ansur antara satu sama lain.
Dan kegagalan suami mengawal amarah kadang menyebabkan tangan cepat saja naik ke tubuh isteri dan tak kurang juga terkeluar lafaz talak yang akhirnya menimbulkan penyesalan yang berpanjangan.
Untuk elak, semak tipmacam mana nak mengawal diri ketika bertengkar dengan pasangan..
1. Janganlah ambil keputusan drastik
Jangan sesekali mengambil keputusan untuk keluar atau lari daripada pasangan ketika bertengkar. Tindakan anda sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah malah menambahkan lagi amarah pasangan selain boleh mengusutkan lagi keadaan.
Meskipun alasannya untuk menenangkan diri tapi tindakan tersebut mungkin akan hanya menyusahkan pasangan dan membimbangkannya. Terutama sekali jika pasangan sudah mempunyai anak-anak.
2. Luahkan isi hati pada orang yang betul
Mungkin rasa tak tahan nak pendam, jadi mak-mak boleh luahkan isi hati dengan rakan karib, ibu ataupun sesiapa yang anda percayai. Lebih elok jika anda berbincang dengan pasangan anda sendiri untuk menyatakan perasaan tidak puas hati.
Tetapi sla beringat, kalau anda meluahkannya pada pasangan sila pastikan dengan cara yang baik bimbang pertengkaran makin besar.
Pastikan anda tak mencari orang lain yang di luar persekitaran hidup anda untuk mengelakkan berlakunya skandal atau hubungan sulit. Kebanyakan hubungan sulit selalunya terjadi kerana anda meluahkan perasaan pada orang yang salah. Bermula bibit simpati timbul bibit cinta kerana pendengar lebih prihatin daripada pasangan sendiri. Jadi jangan biar diri anda terperangkap dengan cinta terlarang!
3. Tenangkan fikiran
Sebesar mana pun pertengkaran yang anda lalui dengan pasangan janganlah anda terlalu memikirkannya. Anda akan jadi buntu mencari jalan penyelesaiannya. Tenangkanlah fikiran anda beberapa ketika dan janganlah terlalu asyik memikirkannya.
Ambil masa, supaya jalan penyelesaian yang anda pilih betul dan tidak membahayakan rumah tangga. Ini kerana fikiran pasti akan terganggu selepas pertengkaran, jika anda terikut dengan emosi yang masih marah, anda mungkin membuat keputusan atau mencari jalan penyelesaian yang salah.
4. Minta pada Allah
Dalam Islam mereka yang merasakan dirinya gagal mengawal emosi dengan baik seperti perasaan marah yang meluap-luap, sedih mahupun kecewa dinasihatkan mengambil wuduk dan bersembahyang sunat.
Mengambil wuduk boleh melapangkan fikiran dan melegakan kegelisahan hati yang sedang hebat bergelut dengan emosi. Berwuduk dan bertafakur seketika agar anda dapat merasakan ketenangan meresap dalam jiwa. Doakan agar pasangan anda berubah laku dan rumah tangga anda sejahtera daripada Allah.
5. Tak payah panjangkan isu
Kena ingat, kedua-kedua keluarga adalah keluarga kita. Jadi tak sepatutnya timbul masam muka atau perbalahan hanya kerana masalah balik beraya. Dengan kerja yang cuti bergantung kepada majikan, keluarga masing-masing juga faham andai kata hanya dapat pulang sekejap atau tidak dapat pulang langsung.
Anggaplah masalah ini sebagai satu daripada dugaan hidup yang telah ditetapkan untuk anda. Jangan menghukum diri sendiri atau menuding jari menyalahkan pasangan atas pertengkaran yang berlaku. Lihatlah semula pada diri anda, kaji sikap anda dan perbaiki apa yang perlu.
Apa yang paling penting dalam hubungan suami isteri termasuk soal balik kampung pada hari raya ialah sikap tolak ansur antara satu sama lain.
Memang pernah berlaku terpaksa berhari raya dua tahun berturut-turut di rumah yang sama kerana masalah tertentu. Namun, ia bukan satu masalah jika kita dapat menerima dan memahami keadaan tersebut.
Jangan biarkan emosi yang tak sihat merosakkan rumah tangga hingga anak-anak turut menjadi korbannya. Berfikirlah dengan waras, jangan terlalu menurut kata hati. Ingatlah bahawa setiap pertengkaran yang berlaku antara anda dan pasangan pasti ada hikmah dan pengajarannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI