
Bila tiba musim cuti persekolahan, pasti ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak melamcong ke destinasi-destinasi menarik sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Jika ingin melancong di dalam negara, Sabah boleh dijadikan destinasi pilihan. Negeri yang terletak di utara, timur laut Borneo ini sering digelar negeri seribu pesona. Keindahannya bukan sekadar pada satu sisi, tetapi merangkumi dwi alam yang menakjubkan. Dari puncak Gunung Kinabalu yang megah menusuk langit hingga ke dasar laut Sipadan yang memukau penyelam seluruh dunia.

Gunung-Gunung Yang Menguji Jiwa
Menyebut Sabah, bayangan Gunung Kinabalu pasti terlintas. Namun, tahukah anda bahawa tiga gunung tertinggi di Malaysia berada di sini? Selain Kinabalu, ada Gunung Trusmadi dan Gunung Sinsing yang kian menjadi buruan para pendaki. Laluan mendaki yang lebih mencabar memberi pengalaman berharga melihat perubahan kanopi hutan, lautan awan di puncak, serta biodiversiti flora dan fauna yang mengagumkan.

Hidupan Liar Ikonik Borneo
Buat pencinta alam, pantai timur Sabah seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau adalah syurga hidupan liar. Dari orang utan, monyet belanda, beruang madu hingga gajah Borneo dan burung enggang. Setiap detik pengamatan menyalakan rasa cinta kepada alam. Destinasi wajib termasuklah Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre, Bornean Sun Bear Conservation Centre, Hutan Simpan Tabin dan Taman Bukit Tawau.
Tidak hairanlah, produksi antarabangsa seperti National Geographic Channel dan Animal Planet memilih Sabah sebagai lokasi dokumentari.

Dunia Dasar Laut Yang Memukau
Sabah turut dikenali sebagai syurga penyelam. Pulau-pulau seperti Pulau Tiga, Pulau Mantanani, Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Pulau Selingan, Taman Marin Tun Mustapha dan Tun Sakaran menawarkan pengalaman snorkeling dan selam skuba bertaraf dunia.
Pulau Tiga terkenal dengan gunung berapi lumpur, manakala Pulau Selingan menjadi lokasi penyu bertelur, satu pengalaman ajaib untuk seisi keluarga.

Pelancongan Komuniti: Jiwa Sabah Yang Sebenar
Keunikan Sabah bukan hanya pada alamnya, tetapi juga pada budaya dan komuniti. Inap desa di Kampung Sunsuron, Tambunan membolehkan pelancong menyelami kehidupan masyarakat Dusun, lengkap dengan tarian dan masakan tradisional. Di Kampung Salinatan, Nabawan, pelancong boleh bermalam di rumah panjang komuniti Murut Tahol dan menikmati pengalaman hidup cara orang asli Borneo.
Usaha penduduk kampung membangunkan pelancongan komuniti bukan sahaja menambah sumber pendapatan, tetapi juga memelihara ekosistem dan warisan budaya agar terus hidup untuk generasi akan datang.

MATTA Fair 2025: Sabah Destinasi Kegemaran Malaysia
Sempena MATTA Fair 2025 (5-7 September di MITEC, Kuala Lumpur), Sabah diumumkan sebagai ‘Destinasi Kegemaran Malaysia’. Pelbagai promosi menarik ditawarkan oleh ejen pelancongan Sabah, termasuk baucar rebat pelancongan untuk pakej terpilih.
Di Zon Sabah, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan budaya, merasai produk komuniti, dan berinteraksi terus dengan wakil pelancongan dari negeri di bawah bayu ini.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




