Ruzaini Jamil Sempat Jahit Bantal Akhir, Doakan Mak Mentua Tenang Di Alam Sana

Share

Pereka fesyen terkenal, Ruzaini Jamil berkongsi berita sedih di laman instagramnya. Ibu mentua, Hajah Aminah Binti Ismail yang begitu dikasihinya akhirnya pergi menghadap Ilahi. Malah, sebelum perjalanan akhir, dia sempat menjahit bantal akhir untuk arwah ibu mentuanya itu.

Biarpun cuma sempat menikmati kasih mentua selama 4 tahun, kasih menantu ini tidak bertepi. Kerana melalui ibu mentuanya itulah dia dapat kenal apa itu kasih mentua. Dan berjanji akan menjaga isterinya sebaik ibu mentua menjaga ketika hayat masih ada.

Sebelum ini, arwah ibu mentuanya dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Kongsinya,

Sempat Jahit Bantal Akhir Untuk Mak Tidur Di sana

Assalamualaikum. 3 hari mak mertua saya pergi bertemu sang pencipta. Hanya 4 tahun lebih saya dapat berkasih sayang dan dapat mengenali apa itu erti mak mertua. Sempat berbisik di telinganya dan cium dahinya sehari sebelum dia pergi.

Boy minta maaf. Dan Boy doakan terbaik untuk mak walau apapun yang terjadi pada mak. Boy redha. Mak jangan risau kalu mak takdak pun boy akan jaga dikda macam mak jaga dia dulu”

Dalam hati boy, ‘mak pergi lah dengan tenang walau tak sempat tengok bakal cucu mak. Tapi boy yakin doa mak sentiasa ada untuk kami.’

Untuk mak, boy sempat jahit bantal untuk mak tidur di sana dengan tenang.

Al Fatihah untuk mak Hajah Aminah Binti Haji Ismail…kami pula akan menyusul nanti.”

Wudhu Terakhir Buat Mak

Sementara isterinya, Hidayati Yahya turut berkongsi kisah betapa beruntung ibunya kerana Allah memberi ibunya nikmat rezeki anak-anak, menantu, cucu malah ahli keluarga yang baik untuknya.

Ketika membawa ibu ke destinasi akhir, isteri kepada Wan Ruzaini Jamil ini berkongsi kisah.

Alhamdulillah… urusan menghantar mak tersayang ke destinasi terakhir telah selamat disempurnakan oleh anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu mak dengan bantuan saudara-saudara, dan jiran-jiran

.

Urusan memandikan mak disempurnakan oleh anak-anak dan cucu mak dengan pertolongan daripada 2 orang makcik. Alhamdulillah dikda diberi peluang untuk mengambil wudhu’ terakhir buat mak. Sungguh, tak dapat nak tahan sebak sebab teringat masa kecil, tubuh kaku ini yang selalu mengajar cara-cara mengambil wudhu’ dengan betul.”

Anak Imamkan Solat Jenazah Ibu

Solat jenazah mak, diimamkan oleh anak mak, abang Halim. Makmum pula terdiri dari anak-anak yang lain, cucu-cucu, menantu-menantu, anak-anak saudara mak, jiran-jiran dan qariah masjid. Cukup dengan hanya mendengar laungan “Allahuakbar” ketika takbiratul Ihram dari suara anak lelaki mak, membuatkan rasa sebak tak henti-henti.

Waktu di liang lahad, mak disambut oleh 3 orang anak lelaki mak, abang Din, abang Halim dan abang Duan, dan kemudiannya dibantu oleh menantu-menantu, cucu-cucu, saudara-saudara dan jiran-jiran sehingga selesai pengkebumian.

Betapa besar Allah kurniakan rezeki untuk mak. Moga Allah kurniakan juga rezeki itu pada dikda nanti.

Baca sini : Dapat mak mentua baik pun rezeki, bukan semua menantu dapat rasa

Suami Beri Izin Jaga Mak Bergilir

Di sini, ida / dikda nak ucapkan terima kasih kepada semua yang turut terlibat menyempurnakan pengkebumian mak, Hajjah Aminah binti Haji Ismail. Allah saja yang dapat membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan.

Buat suami tercinta @ruzaini.jamil … terima kasih kerana izinkan dan beri peluang untuk sayang jaga mak bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain masa mak 3 hari di hospital. Sekarang hanya tinggal abang yang jadi jambatan sayang untuk ke syurga.. 2 lagi jambatan sayang kini tiada kerana Allah telah panggil pulang.” #chuminahsayang

MW : Al Fatihah.. semoga roh Allahyarham Aminah Binti Ismail ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber/Foto : Ruzaini Jamil, Ida Deqda

IKLAN