minyak masak

Terkejutkan bila baca kenyataan ini. Saya sendiri pun ternganga bila mengetahui selama ini saya salah memilih minyak masak. Saya fikir semua masakan guna satu jenis minyak saja. Pada anggapan saya juga, minyak zaitun minyak masak orang kaya. Maklumlah harganya berlipat ganda mahal. Ada di kalangan kawan saya yang memang berduit. Goreng ikan pun dia pakai minyak zaitun. Dia sanggup berhabis duit untuk jaga kesihatan.

Rupanya selepas saya menghadiri bengkel Merdeka Sihat Tampil Berkarisma baru saya tahu kesilapan saya. Saya fikir ramai wanita di luar sana juga melakukan kesilapan yang sama.Kita guna minyak kelapa sawit untuk semua jenis masakan. Ia murah dan mudah didapati di kedai runcit mahupun pasar raya.

TIP DARI SAINTIS TERKENAL DR REDZA

Perkongsian daripada Dr. Redza Benjamin yang merupakan saintis membuka mata saya tentang isu minyak masak. Katanya, wanita mesti ada tiga jenis minyak masak di rumah.Untuk menggoreng contohnya ayam atau ikan, wanita disarankan menggunakan minyak kelapa atau minyak kelapa sawit. Minyak jenis ini menjadikan bahan gorengan lebih rangup

Manakala untuk menumis pula, sepatutnya wanita guna minyak sayuran. Tumis sambal, sayur atau masakan lain gunakan minyak sayuran agar rasanya lebih enak dan sesuai dengan resipi tersebut.Yang terakhir minyak zaitun. Minyak zaitun digunakan untuk menu resipi mentah seperti salad.

IKLAN

Apa lagi habis je bengkel ni, saya pun memborong tiga jenis minyak yang Dr Redza katakan. Mula-mula saya ingat Dr Redza ni acah-acah je tapi lepas saya ubah cara masakan menggunakan minyak berbeza memang hasilnya menakjubkan. Masakan bukan sahaja jadi lebih sedap malah sihat dan berkhasiat. Semoga perkongsian ilmu ini dimanfaatkan oleh wanita di luar sana.

CARA KENAL PASTI MINYAK MASAK YANG KITA BELI ASLI BUKANNYA KITAR SEMULA

1. Letak minyak masak dalam peti sejuk ( bukan bahagian beku) selama kurang lebih 2 jam. Jika selepas 2 jam ada buih keputihan, itu maksudnya minyak yang kita beli adalah minyak kitar semula.
2. Kaedah kedua, masukkan bawang putih ke dalam minyak. Jika warna bawang putih bertukar merah, itu ertinya minyak tersebut dikitar semula. Jadi untuk keselamatan, beli minyak masak yang mempunyai kelulusan SIRIM.

BAHAYA MINYAK KITAR SEMULA

Kandungan toksik yang terdapat dalam minyak kitar semula boleh menyebabkan saluran darah tersumbat, meningkatkan tekanan darah dan mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya.

Ia tidak terjamin dari segi kesucian dan keselamatan kerana kebanyakan minyak kitar semula adalah sisa dari hotel dan restoran. Sebagai orang Islam kita perlu lebih peka isu ini, kita tidak tahu minyak ini digunakan untuk masak menu apa, bimbang menu yang haram.

Kesimpulannya, di rumah juga jangan mengitar semula minyak masak lebih daripada dua kali. Sebaik-baiknya usah mengitar semula demi kesihatan kita.

Penulis: Intan Rohaizat Zakariya