Sebelum ini, Mingguan Wanita berkongsi kisah rider OKU Grab Food viral yang pekak dan bisu. Di sebabkan kekurangannya itu, berlaku kejadian menyebabkan dia terlambat menghantar makanan pembeli yang menanti makanan berbuka puasa yang di order secara online.
Kisahnya menjadi viral apabila Bonda Nor berkongsi di laman facebooknya. Malah, mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang bersedia untuk memberi sumbangan.
Rupanya tak mudah nak sampaikan sumbangan itu. Bermacam liku perlu ditempuh untuk membolehkan Bonda Nor menjejak rider OKU itu. Dan inilah kisahnya..
Order Yong Tau Fu Untuk Buka Puasa, Dekat Maghrib Rider Tak Sampai-sampai
‘Ingat kisah rider Grab Food yang viral tu? Ya, kisah saya order Yong Tau Fu untuk berbuka puasa. Hampir maghrib tak sampai-sampai.
Saya penat tunggu dia, dia pula penat tunggu saya. Saya sentiasa bersedia dengan phone di tangan. Dia juga sedia dengan phone juga.
Dia call, saya jawab. Tapi dia senyap. Dia call lagi, saya jawab lagi. Dan dia senyap lagi. Begitulah sampai 7 kali, sampai saya dah mula geram, dah kenapa dengan rider sorang ni! Dah hampir sejam dok main misscall je ni! Main-main ke apa?
Kemudian Allah gerakkan hati saya pada sesuatu. Saya buka apps Grab semula. Rupa-rupanya sarat chat box di apps Grab dengan mesej dia.
Dia bagitau tak jumpa rumah. Dia bagitau, dia pekak dan bisu. Allahu Rabbi. Patutlah dia call saya, tapi senyap saja. Rupa-rupanya dia call banyak kali sebab terharap-harap saya alert dengan chat box.
Saya pula memang tak biasa guna chat box tu sebab biasanya rider kalau tak jumpa rumah akan terus call saja. Jadi, saya tak boleh expect sebab inilah kali pertama saya guna khidmat rider OKU. Saya tak tahu! Subhanallah.
Rasa Bersalah Sebab Salah Sangka
Bila saya dah balas mesej, Alhamdulillah dia berjaya cari rumah. Tapi dia sampai hantar makanan untuk saya berbuka puasa tu masa dah Maghrib. Saya pula dah sedia atas sejadah, nak solat Maghrib dulu sebelum makan. Jadi, tak sempat jumpa dia sebab anak saya yang buka pintu dan ambil makanan tu.
Usai solat, hati saya masih resah.
Walaupun dah bagi tips pada dia melalui sistem Grab Pay, hati saya tetap rasa tak best. Saya rasa bersalah sebab salah sangka pada dia. Dan saya rasa perlu bagitau masyarakat supaya tak buat salah macam saya. Kena lebih peka pada kemungkinan macam ni.
Jadi saya tuliskan kisah tersebut di FB untuk peringatan bersama. Bahkan saya juga call pihak Grab untuk mengesan siapa rider OKU yang hantar makanan tu.
“Saya nak ucap terima kasih, rider you sangat bagus. Boleh bagi no telefon dia?”
Telefonis itu turut gembira saya memuji rider syarikat mereka.
Ads
“Puan order dari Has Yong Tau Fu kan? Nama rider tu Rizuam. Tapi kalau nak nombor telefonnya, saya kena tanya dia dulu ya.”
Saya akur.
Tiba-tiba Dihubungi Seorang Lelaki Bernama Asyraf
Menunggu dari sehari ke sehari. Kecewa sebab tak dapat feedback seterusnya. Namun, Allah Maha Baik. Dia tahu keinginan saya mahu menebus rasa bersalah itu.
Apa berlaku?
Tiba-tiba, seorang lelaki bernama Asyraf inbox saya di Facebook.
“Saya kawan Rizuam, rider OKU Kuala Terengganu. Ini nombor telefon dia.”
Ya Allah, berderau darah! Walaupun tulisan tersebut viral, tapi saya tak pernah bagitau nama rider Grab itu.
Jadi bila dia sebut nama Rizuam, maknanya dia memang tahu kisah ini dan dia bercakap benar!
Saya guna nombor yang Asyraf bagi untuk hubungi Rizuam, perkenalkan diri dan meminta maaf berkenaan peristiwa tersebut.
“Saya dan suami nak jumpa Wan boleh ke? Nak sampaikan sikit sumbangan.”
Rider OKU Datang Dengan Kaki Terhincut-hincut
Alhamdulillah, saya sempat umum di grup Akademi Bonda Nor dan team speaker Ekspres-i yang saya nak jumpa rider OKU ini dan ternyata ramai nak selit sumbangan.
“Saya nak ajak kawan saya, boleh? Nak minta dia tolong translate. Dia pun runner Grab Food juga. OKU pendengaran saja, tapi boleh bercakap,” ujar Rizuam.
Ads
Rupa-rupanya, Asyraf! Ya, Asyraf yang bagi nombor telefon Rizuam itu pun akan hadir sebagai translator. Masya-Allah, hati saya berbunga-bunga. Rasa lengkap pertemuan kami!
Tuan puan,
Hari ini Rizuam datang jumpa saya dan suami dengan kaki terhincut-hincut. Rupa-rupanya dia baru kemalangan balik kerja waktu malam. Terlanggar kerbau, katanya.
Sejenis gigih! Masuk kerja pukul 10 pagi hingga 10 malam!
“Team runner OKU memang jenis rajin, bonda. Kami sentiasa kejar job,” kata Asyraf.
Dan paling saya sebak bila Asyraf tunjukkan senarai carta top ten runner Grab Food Kuala Terengganu. Dimonopoli oleh runner OKU! Masya-Allah. Allahu Akbar!
Bahkan apabila Rizuam tunjukkan pencapaiannya di sistem pesanan Grab Food, saya teruja melihat lencana pujian. Apa feedback customer? Antara nombor 1 hingga 5, semuanya memilih 5! Wah!
Terus teringat salah satu komen netizen yang saya baca di posting tulisan viral saya itu, “Dah tahu pekak bisu, nak kerja runner buat apa! Menyusahkan orang!”
Ya Tuhan, sedap saja dia mengecam! Kalaulah dia tahu hakikat top 10 runner ini, tentu dia malu sendiri! Ternyata pencapaian team OKU sangat luar biasa, mengatasi runner yang sempurna segala sifatnya!
Dahlah Kaki Rider OKU Sakit, Hari Pula Makin Malam
“Asyraf baca kat mana tulisan yang viral tu? Macam mana Asyraf tau rider tu ialah Rizuam?” soal saya, cuba meleraikan tanda tanya.
“Kami ada grup, bonda. Masa Rizuam nak hantar makanan bonda tu, dia sebenarnya ada order lain juga nak hantar. Jadi dia kalut sikit sebab tak jumpa rumah bonda, sedangkan dia nak hantar juga makanan customer lain. Jadi, dia tanya dalam grup, ada tak sesiapa boleh tolong. Tapi kami semua jauh. Jadi Rizuam pergi hantar order satu lagi tu dulu, lepas tu patah balik ke rumah bonda.”
Ads
Allahu Akbar. Rupa-rupanya kekalutan Rizuam lebih daripada yang saya bayangkan! Dahlah kaki sakit dan hari pula makin nak malam. Rumah saya tak dapat dikesan, kalut fikir nak hantar pada customer lain pula. Kesiannya dia!
Mulut Mereka Tak Pernah Sakiti Orang Lain..
Sebelum berpisah, saya sampaikan pada mereka, kata-kata Ustazah
Asma Harun yang dituliskannya pada tulisan viral saya itu. Tentang OKU pekak dan bisu.
“Mereka sangat mulia, bonda. Mulut mereka tidak pernah menyakiti orang lain. Telinga mereka tidak pernah bermaksiat.”
Saya lihat wajah Asyraf teruja dan berseri-seri mendengar penghormatan itu. Dan sewaktu melihat dia bersungguh menyampaikan pada Rizuam dan Muhsin kata-kata inspirasi itu dengan menggunakan bahasa isyarat, saya sebak!
Sebak melihat mereka mengangguk faham dan tampak ceria memahaminya! Ia memancarkan satu kepuasan luar biasa. Allahu Akbar.
Benar kata ustazah, mereka ini kelompok terpelihara. Tak banyak dosa.
Sembang-sembang dengan mereka, ternyata memang mereka kuat bekerja. Sebab mereka tak layan games, tak tengok movie.
“Kalau layan games, tak jadi kerja pula nanti, bonda! Terlepas job,” kata Asyraf.
“Habis tu, apa aktiviti masa lapang?”
“Kami suka jalan-jalan, bonda. Suka tengok tempat orang. 2 tahun lepas, ramai-ramai OKU pergi Korea.”
Masya-Allah. Kami yang sempurna ini pun tak sebijak itu mengatur kewangan dan perancangan.
Syurgalah buatmu, anak-anak! Allah uji kamu semua dengan sedikit kekurangan, tapi ternyata kamu tidak pula berputus asa, tidak hidup meminta-minta. Bahkan usaha kamu sangat luar biasa mengalahkan kami yang sempurna sifatnya!
Rezeki RM5000 Untuk Rizuam
Alhamdulillah, hari ini dapat sampaikan rezeki Rizuam sebanyak RM5000 sumbangan team Akademi Bonda Nor dan team speaker Ekspres-i. Juga saya bagi planner Semangat! dan buku Bahagia Tanpa Syarat.
Begitulah. Rezeki orang gigih dan amanah pada tugas. Sebab sabar satu jam, Allah kirimkan rezeki sampai RM5000. Barakallahu fikum. Semoga terus sukses Rizuam, Asyraf dan Muhsin!
Oh ya, Asyraf ialah Penolong Setiausaha Sukan Persatuan OKU Pekak negeri Terengganu. Ya, dia tak bisu tapi OKU pendengaran. Dia dengar tapi tak jelas. Dia perlu lihat mulut orang yang bercakap, baru dia boleh teka apa yang diperkatakan.
Seronok saya dan suami belajar bahasa isyarat hari ini. Masa Rizuam buat tanduk kat kepala, kami ingatkan dia buat isyarat marah atau syaitan. Rupa-rupanya bila Asyraf translate, baru kami tahu Rizuam cerita dia langgar kerbau. Hihi.
Hari yang indah buat kami atas jalinan takdir Allah dan ukhuwah ini. Alhamdulillah.
Hati seorang isteri pasti berbunga-bunga bahagia, bila dapat ucapan penghargaan, penuh rasa cinta daripada suami tersayang. Terutamanya pada hari yang penuh bermakna seperti Hari ulangtahun perkahwinan dan hari jadi. Bukan apa, selalunya kaum suami ni,suka simpan perasaan mereka. Payah nak jumpa yang jenis suka meluahkan perasaan, kata-kata yang manis ni pada isteri. Kebanyakannya, isterilah yang kena paham-paham sendiri.Kan!
Rupanya semalam, 4 Mei merupakan ulangtahun perkahwinan ke-enam bagi pasangan selebriti Awal Ashaari,37 dan Scha Alyahya, 34 ini. Pasangan sama cantik sama padan ini telah mendirikan rumahtangga pada 2012 dan dianugerahkan cahaya mata yang comel, Lara Alana, 4 tahun.
Apa yang mencuri perhatian Mingguan Wanita adalah luahan kata-kata romantis Awal buat isterinya Scha sempena ulangtahun keenam perkahwinan mereka. Didalam posting terbaru di Instagram, Awal telah memuatkan memori gambar-gambar sewaktu perkahwinan mereka dengan kapsyen yang cukup romantis buat isteri tersayang.
Antara luahan tersebut;
“Tepat waktu ini, enam tahun yang lalu, saya telah berjanji menjaga, mencintai dan menyayangi dia, Sharifah Nor Azean dengan sepenuh jiwa raga. Hingga saat ini, perasaan dan cinta saya tetap milik dia dan sedikit pun tak pernah kurang, malahan semakin kuat setiap hari. Dia membuatkan saya mahu jadi lebih baik setiap hari, Dan dia merupakan semangat saya. Saya mungkin tak sempurna, tapi dia menyempurnakan saya”
“Bila orang tanya, apa saya nampak pada dia? Saya nampak masa depan saya dimata dia. Dia ibu kepada anak saya, dia tulang rusuk saya, dia segala-galanya”
Sweet sungguh kan! Mingguan Wanita mengucapkan tahniah dan selamat ulangtahun perkahwinan buat Awal dan Scha.Semoga ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Para suami lain pun boleh contohi, luahkanlah kata yang manis-manis buat isteri pun dah mampu buat isteri tersenyum bahagia.
Nik Nuralya Afrina binti Fakharuzin seorang gadis yang ceria dan aktif. Namun begitu segala-galanya berubah pada bulan April 2018 lalu.
Pada awalnya anak sulung Suzanawati Ali hanya mendapat demam. Selepas beberapa hari anak gadis yang berusia 14 tahun ini mengadu sakit dada dan sesak nafas.
“ Saya bawa Alya ke klinik swasta. Doktor kata paru-paru Alya ok dan demam pun tidak ada. Pada 28 April 2018, keadaan Alya makin serius. Kakinya lemah dan tidak mampu untuk berdiri. Saya bawa dia semula ke klinik swasta. Doktor kata Alya stress dan gastrik.
Malam itu saya lihat keadaan Alya makin serius. Alya tidak boleh berjalan dan kahak terkumpul sangat banyak. Itu yang menyebabkan dia sesak nafas. Keesokan pagi 29 April 2018, saya bawa Alya semula ke klinik swasta. Doktor masih kata paru-parunya ‘clear’.
Doktor kata kaki Alya lemah sebab sudah dua hari dia tidak lalu makan dan minum. Saya bawa dia balik ke rumah. Tetapi sampai sahaja di hadapan rumah, Alya jatuh pengsan. Saya terus bawa dia ke hospital. Sampai sahaja di Hospital Serdang, keadaan Alya sangat kritikal.
Bekalan oksigen Alya Cuma ada 31 peratus sahaja dan doktor-doktor di zon kritikal sedaya upaya selamatkan Alya walaupun kami dimaklumkan keadaan Alya sangat kritikal. Selepas 30 minit, Alya stabil selepas diberi bantuan pernafasan melalui mesin.
Pada awalnya doktor mengesyaki Alya dijangkiti virus kencing tikus dan itu menyebabkan Alya dikuarantinkan di bilik khas di ICU. Doktor juga telah melakukan CT Scan sebanyak tiga kali. Namun doktor tidak dapat mengesan sebarang kuman pada otak Alya.
Semasa doktor membuat mengambil air tulang belakang untuk melakukan ujian, keputusan yang diperoleh juga ok. Kemudian pada hari kedua, pakar saraf datang melihat kes Alya. Berdasarkan temuramah dengan saya dan ujian-ujian yang telah dilakukan, doktor mengesyaki Alya dijangkiti Sindrom Guillain-Barre,” ujar ibu berusia 39 tahun ini dia seakan tidak mempercayai apa yang keluar daripada mulut doktor itu.
Reda Ketentuan Tuhan
Betapa sedihnya hati seorang ibu apabila anak tersayang menghidap penyakit yang tidak pernah didengar apa lagi difahami itu.
“ Saya sudah bersedia lebih awal semasa doktor memberitahu keadaan Alya itu. Melalui simptom-simptom yang Alya kena itu, saya cari maklumat dan saya jumpa penyakit Sindrom Guillain-Barre ini.”
Jelasnya Sindrom Guillain-Barre merupakan satu keadaan di mana terdapat masalah keradangan saraf di luar otak dan saraf tunjang. 50 peratus kes penyakit ini berlaku sejurus selepas jangkitan kuman (virus atau bacteria) seperti penyakit sakit tekak atau penyakit cirit-birit.
Terdapat teori yang mencadangkan bahawa tindakbalas autoimunisasi di mana antibodi dan sel darah putih sistem pertahanan badan bertindak balas lalu menyerang selaput atau penebat saraf.
“ Saya dimaklumkan Sindrom Guillain-Barre akan mengakibatkan penyakit lumpuh dan keadaan Alya 100 peratus lumpuh akibat saraf rosak. Allahuakbar! Pada awalnya saya tidak boleh hendak terima. Malam itu selepas solat, saya muhasabah diri. Saya cuba fikir positif dan saya menangis sepuas-puasnya merayu dengan Allah.
Saya redha kalau Allah berkehendakkan begitu. Cuma saya minta Allah pinjamkan lagi Alya walau dalam keadaan Alya seperti bayi. Saya terima dengan redha. Alhamdulillah selepas 5 hari koma, Alya sedar tetapi seluruh anggota badannya lumpuh. Alya Cuma boleh memberi tindakbalas dengan menggerakkan jari-jari tangan. Allah pulangkan Alya tetapi macam bayi,” ujarnya dengan penuh syahdu.
Kos Pemulihan Tinggi
Rawatan dengan suntikan IVIG yang diberi pada Nik Nuralya selama 5 hari menyedarkan dirinya daripada koma. Rawatan itu dicadangkan oleh doktor kerana itu sahaja rawatan yang sesuai untuk Sindrom Guillain-Barre.
“ Peluang pesakit akan sembuh bergantung kepada keupayaan pesakit itu sendiri. Macam Alya ini boleh pulih sepenuhnya tetapi ambil masa. Paling cepat 6 bulan dan paling lama doktor sendiri tidak dapat menjangka.
Alya duduk di wad ICU selama 35 hari. Dia duduk di wad neuro selama 28 dan selama 22 di duduk di wad rehabilitasi.
Hari ke 29 di ICU baru Alya boleh buka sedikit kelopak mata kirinya. Sebelum itu Alya Cuma boleh mendengar. Dia tidak boleh melihat dan bercakap. Cara kami berkomunikasi adalah dengan Alya menulis abjad di belakang tapak tangan saya dan saya catat apa yang ditulisnya itu.
Hari ke 30, Alya mula bagi respon yang baik. Pada minggu ketiga, Alya telah menjalani pembedahan tracheostomy. Sepanjang 65 hari Alya menggunakan bantuan mesin bantuan pernafasan untuk bernafas.”
Cerita Suzanawati lagi, anaknya memang sangat positif dan tidak pernah mengeluh apabila mengetahui dirinya menghidap penyakit tersebut.
“ Masa Alya sudah mula sedar, dia sudah boleh bersembang tapi komunikasi kami tulis di buku catatan. Bila saya Tanya apa perasaannya, Alya kata dia ok sahaja. Tetapi tiap hari saya sering ingatkan Alya. Apa yang kita ada semua Allah bagi pinjam. Nyawa, anggota badan, kesihatan, itu semua pinjaman. Kalau Allah hendak balik semua itu, kita kena redha.
Semangat Alya penguat semangat saya. Kami selalu sembang benda-benda yang positif. Selain itu sokongan keluarga dan sahabat handai juga menjadi penguat semangat kami.”
Kini selepas 5 bulan (ketika temubual ini dilakukan) Alya sudah mampu berjalan menggunakan walking frame. Gadis tabah ini turut menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi di hospital selama sebulan sekali. Tetapi demi anaknya, Suzanawati telah mendapatkan rawatan fisioterapi ‘private’ selama sebulan.
“ Alhamdulillah doktor maklumkan Alya sudah hampir 70 peratus pulih. Doktor juga selalu mengingatkan saya memang pesakit Sindrom Guillain-Barre ambil masa sangat lama dan kos pemulihan penyakit ini sangat tinggi.
Tambahan pula dos IVIG sangat mahal. 1 dos mencecah ratusan ringgit di hospital kerajaan. Tetapi di hospital swasta mencecah sehingga ribuan ringgit. Selama 5 hari rawatan memerlukan berpuluh-puluh dos. Rawatan susulan memerlukan fisioterapi setiap hari.”
Tambahnya lagi, peluang anaknya itu sembuh mendapat feedback positif daripada doktor.
“ Doktor bangga dengan pencapaian Alya. Doktor tidak sangka Alya boleh berjalan dengan tongkat dalam masa tidak sampai 6 bulan. Doktor juga mengatakan InsyaAllah Alya boleh berjalan tanpa tongkat sekiranya saraf kaki kanan Alya boleh pulih sepenuhnya.”
Sehingga kisah ini ditulis, Nik Nuralya masih diberi cuti sakit. Gadis tabah ini tidak dapat menghadiri sesi persekolahan sejak 29 April 2018. Doktor membenarkan dia mula bersekolah pada tahun 2019. Tetapi semua itu bergantung pada kesihatan dirinya juga.
Foto: Koleksi peribadi Suzanawati Ali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
‘Terlalu pendek, kurang menarik.’ Tak disukai ibu mentua, wanita ini ditinggalkan bakal suaminya di majlis perkahwinan mereka yang sedang berlangsung.
Dek kerana mulut ibunya juga, lelaki tersebut akur dan meninggalkan kekasih hatinya. Tidak dapat bayangkan perasaan wanita ini apabila perkahwinan yang diimpikan terhenti di tengah jalan.
Hari bahagia bertukar menjadi episod paling memalukan dalam hidup. Itu yang berlaku kepada seorang wanita Tunisia yang ditinggalkan bakal suami pada majlis perkahwinannya.
Ia selepas ibu kepada si lelaki mendakwa pengantin perempuan ‘hodoh dan pendek’.
Daily Star melaporkan ibu kepada si lelaki hanya melihat gambar bakal menantunya itu, menjelang hari bersejarah itu.
Kurang Menarik
Wanita terbabit dikatakan hanya melihat bakal menantunya itu buat kali pertama di majlis berkenaan.
Ibu kepada lelaki itu dilaporkan kecewa selepas mendakwa bakal menantunya terlalu pendek dan tidak menarik untuk mengahwini anaknya.
Dia kemudian mengarahkan anak lelakinya untuk menghentikan majlis itu serta-merta, kerana dia tidak boleh membenarkan anak lelakinya menikahi wanita dikenali sebagai Lamia Al-Labawi itu.
Lelaki terbabit bersama-sama dengan ibunya dilaporkan kemudian meninggalkan Lamia.
Sebelum ‘drama’ berkenaan, Lamia dilihat bergambar di sebelah pasangannya yang dilihat sedang mengelap mukanya dengan sapu tangan.
Susulan insiden berkenaan, Lamia kemudian memuat naik video di media sosial untuk menerangkan mengenai insiden berkenaan.
Wanita itu memberitahu orang ramai bahawa dia adalah anak yatim piatu dan menghabiskan banyak wang untuk mengadakan majlis berkenaan.
Wanita Ini DiTinggalkan
Bagaimanapun katanya, kebahagiaan itu ‘diragut’ daripadanya oleh bakal ibu mentuanya.
Bakal pengantin perempuan yang jiwanya hancur itu dikatakan dibiarkan menanggung malu dan sekarang dikatakan enggan tampil keluar bertemu orang ramai berikutan penolakan itu.
Bakal Suami
Sementara itu, beberapa portal melaporkan netizen menzahirkan sokongan netizen di media sosial selepas perkahwinannya dibatalkan kerana bakal ibu mentuanya tidak menyukai penampilannya.
Kisah itu tersebar di media sosial di mana Lamia mendapat sokongan daripada netizen.
“Dengan kasih sayang dan persaudaraan, saya memberitahu anda, angkat kepala anda dan hadapi dunia dengan sekuat tenaga anda,” kata pelakon teater Tunisia, Hedi Al-Mejri kepada Lamia.
Mingguan Wanita : Paras rupa bukanlah jaminan bahagia, sedih bila mana ada lagi stigma begini dalam kehidupan sekarang.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...