Nik Nuralya Afrina binti Fakharuzin seorang gadis yang ceria dan aktif. Namun begitu segala-galanya berubah pada bulan April 2018 lalu.
Pada awalnya anak sulung Suzanawati Ali hanya mendapat demam. Selepas beberapa hari anak gadis yang berusia 14 tahun ini mengadu sakit dada dan sesak nafas.
“ Saya bawa Alya ke klinik swasta. Doktor kata paru-paru Alya ok dan demam pun tidak ada. Pada 28 April 2018, keadaan Alya makin serius. Kakinya lemah dan tidak mampu untuk berdiri. Saya bawa dia semula ke klinik swasta. Doktor kata Alya stress dan gastrik.
Malam itu saya lihat keadaan Alya makin serius. Alya tidak boleh berjalan dan kahak terkumpul sangat banyak. Itu yang menyebabkan dia sesak nafas. Keesokan pagi 29 April 2018, saya bawa Alya semula ke klinik swasta. Doktor masih kata paru-parunya ‘clear’.
Doktor kata kaki Alya lemah sebab sudah dua hari dia tidak lalu makan dan minum. Saya bawa dia balik ke rumah. Tetapi sampai sahaja di hadapan rumah, Alya jatuh pengsan. Saya terus bawa dia ke hospital. Sampai sahaja di Hospital Serdang, keadaan Alya sangat kritikal.
Bekalan oksigen Alya Cuma ada 31 peratus sahaja dan doktor-doktor di zon kritikal sedaya upaya selamatkan Alya walaupun kami dimaklumkan keadaan Alya sangat kritikal. Selepas 30 minit, Alya stabil selepas diberi bantuan pernafasan melalui mesin.
Pada awalnya doktor mengesyaki Alya dijangkiti virus kencing tikus dan itu menyebabkan Alya dikuarantinkan di bilik khas di ICU. Doktor juga telah melakukan CT Scan sebanyak tiga kali. Namun doktor tidak dapat mengesan sebarang kuman pada otak Alya.
Semasa doktor membuat mengambil air tulang belakang untuk melakukan ujian, keputusan yang diperoleh juga ok. Kemudian pada hari kedua, pakar saraf datang melihat kes Alya. Berdasarkan temuramah dengan saya dan ujian-ujian yang telah dilakukan, doktor mengesyaki Alya dijangkiti Sindrom Guillain-Barre,” ujar ibu berusia 39 tahun ini dia seakan tidak mempercayai apa yang keluar daripada mulut doktor itu.
Reda Ketentuan Tuhan
Betapa sedihnya hati seorang ibu apabila anak tersayang menghidap penyakit yang tidak pernah didengar apa lagi difahami itu.
Ads
“ Saya sudah bersedia lebih awal semasa doktor memberitahu keadaan Alya itu. Melalui simptom-simptom yang Alya kena itu, saya cari maklumat dan saya jumpa penyakit Sindrom Guillain-Barre ini.”
Jelasnya Sindrom Guillain-Barre merupakan satu keadaan di mana terdapat masalah keradangan saraf di luar otak dan saraf tunjang. 50 peratus kes penyakit ini berlaku sejurus selepas jangkitan kuman (virus atau bacteria) seperti penyakit sakit tekak atau penyakit cirit-birit.
Terdapat teori yang mencadangkan bahawa tindakbalas autoimunisasi di mana antibodi dan sel darah putih sistem pertahanan badan bertindak balas lalu menyerang selaput atau penebat saraf.
“ Saya dimaklumkan Sindrom Guillain-Barre akan mengakibatkan penyakit lumpuh dan keadaan Alya 100 peratus lumpuh akibat saraf rosak. Allahuakbar! Pada awalnya saya tidak boleh hendak terima. Malam itu selepas solat, saya muhasabah diri. Saya cuba fikir positif dan saya menangis sepuas-puasnya merayu dengan Allah.
Saya redha kalau Allah berkehendakkan begitu. Cuma saya minta Allah pinjamkan lagi Alya walau dalam keadaan Alya seperti bayi. Saya terima dengan redha. Alhamdulillah selepas 5 hari koma, Alya sedar tetapi seluruh anggota badannya lumpuh. Alya Cuma boleh memberi tindakbalas dengan menggerakkan jari-jari tangan. Allah pulangkan Alya tetapi macam bayi,” ujarnya dengan penuh syahdu.
Kos Pemulihan Tinggi
Ads
Rawatan dengan suntikan IVIG yang diberi pada Nik Nuralya selama 5 hari menyedarkan dirinya daripada koma. Rawatan itu dicadangkan oleh doktor kerana itu sahaja rawatan yang sesuai untuk Sindrom Guillain-Barre.
“ Peluang pesakit akan sembuh bergantung kepada keupayaan pesakit itu sendiri. Macam Alya ini boleh pulih sepenuhnya tetapi ambil masa. Paling cepat 6 bulan dan paling lama doktor sendiri tidak dapat menjangka.
Alya duduk di wad ICU selama 35 hari. Dia duduk di wad neuro selama 28 dan selama 22 di duduk di wad rehabilitasi.
Hari ke 29 di ICU baru Alya boleh buka sedikit kelopak mata kirinya. Sebelum itu Alya Cuma boleh mendengar. Dia tidak boleh melihat dan bercakap. Cara kami berkomunikasi adalah dengan Alya menulis abjad di belakang tapak tangan saya dan saya catat apa yang ditulisnya itu.
Hari ke 30, Alya mula bagi respon yang baik. Pada minggu ketiga, Alya telah menjalani pembedahan tracheostomy. Sepanjang 65 hari Alya menggunakan bantuan mesin bantuan pernafasan untuk bernafas.”
Cerita Suzanawati lagi, anaknya memang sangat positif dan tidak pernah mengeluh apabila mengetahui dirinya menghidap penyakit tersebut.
Ads
“ Masa Alya sudah mula sedar, dia sudah boleh bersembang tapi komunikasi kami tulis di buku catatan. Bila saya Tanya apa perasaannya, Alya kata dia ok sahaja. Tetapi tiap hari saya sering ingatkan Alya. Apa yang kita ada semua Allah bagi pinjam. Nyawa, anggota badan, kesihatan, itu semua pinjaman. Kalau Allah hendak balik semua itu, kita kena redha.
Semangat Alya penguat semangat saya. Kami selalu sembang benda-benda yang positif. Selain itu sokongan keluarga dan sahabat handai juga menjadi penguat semangat kami.”
Kini selepas 5 bulan (ketika temubual ini dilakukan) Alya sudah mampu berjalan menggunakan walking frame. Gadis tabah ini turut menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi di hospital selama sebulan sekali. Tetapi demi anaknya, Suzanawati telah mendapatkan rawatan fisioterapi ‘private’ selama sebulan.
“ Alhamdulillah doktor maklumkan Alya sudah hampir 70 peratus pulih. Doktor juga selalu mengingatkan saya memang pesakit Sindrom Guillain-Barre ambil masa sangat lama dan kos pemulihan penyakit ini sangat tinggi.
Tambahan pula dos IVIG sangat mahal. 1 dos mencecah ratusan ringgit di hospital kerajaan. Tetapi di hospital swasta mencecah sehingga ribuan ringgit. Selama 5 hari rawatan memerlukan berpuluh-puluh dos. Rawatan susulan memerlukan fisioterapi setiap hari.”
Tambahnya lagi, peluang anaknya itu sembuh mendapat feedback positif daripada doktor.
“ Doktor bangga dengan pencapaian Alya. Doktor tidak sangka Alya boleh berjalan dengan tongkat dalam masa tidak sampai 6 bulan. Doktor juga mengatakan InsyaAllah Alya boleh berjalan tanpa tongkat sekiranya saraf kaki kanan Alya boleh pulih sepenuhnya.”
Sehingga kisah ini ditulis, Nik Nuralya masih diberi cuti sakit. Gadis tabah ini tidak dapat menghadiri sesi persekolahan sejak 29 April 2018. Doktor membenarkan dia mula bersekolah pada tahun 2019. Tetapi semua itu bergantung pada kesihatan dirinya juga.
Foto: Koleksi peribadi Suzanawati Ali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jangan pandang rendah pada penghantar makanan. Kita tak tahu survival mereka. Kadang-kadang, mereka inilah punyai pendapatan harian yang lebih banyak berbanding dengan orang makan gaji.
Ada sesetengah penghantar makanan ini bukanlah dari mereka yang tidak pendidikan. Sebaliknya, mereka ini adalah golongan intelektual yang mencari rezeki sambilan dalam meneruskan hidup.
Mungkin ada juga yang penghantar makanan ini bekerja sambilan. Daripada membuang masa, sekurangnya jadi ‘rider’ ini bolehlah tambah pendapatan. Sebab itulah, jangan pandang rendah pada mereka.
Begitu juga usaha rider ini, dia bukan calang-calang orang. Bekerja sambil belajar dalam pengajian tertingginya, Ijazah Kedoktoran.
Segelintir masyarakat beranggapan penghantar makanan adalah mereka yang tidak mempunyai sijil pendidikan. Semuan ini tidak benar. Sebaliknya, mereka ini adalah orang yang tidak memilih pekerjaan mengikut taraf pendidikan yang dimiliki.
Begitu juga dengan penghantar makanan ini, Mohd Akmal Azhar, 36 tahun. Dia bukan calang-calang rider kerana usaha gigih dan kerja kerasnya telah membuahkan hasil dan bergelar graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal dari Universiti Malaysia Pahang (UMP).
“Memang ada pelanggan tanya kenapa saya jadi ‘rider’ Foodpanda, tetapi kemudiannya mereka faham, ini semua adalah untuk ‘survival’
“Jadi, jangan sesekali kita menilai buku hanya dengan melihat kulitnya dan kita tidak boleh pandang rendah kepada penghantar makanan ini sebab bukan semua tiada pelajaran,” katanya
Mphd Akmal mengakui bekerja sebagai penghantar makanan dan dalam masa yang sama menyiapkan tesis PhD adalah sangat mencabar. Dia menghabiskan masa antara 10 hingga 12 jam sehari menghantar makanan yang dipesan pelanggan di sekitar Kuantan.
“Apabila buat penghantaran itu, dapatlah pulangan dan perasaan itu membuatkan saya untuk terus mencari duit selagi boleh.
“Namun, dalam masa sama kita ada tanggungjawab lain kerana kita perlu selesaikan urusan pengajian, jadi saya kena pandai bahagikan masa,” katanya.
Mohd Akmal memperuntukkan masa satu jam sekurang-kurangnya setiap malam bagi penulisan tesis. Dia yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Bidang Pengajian Bioteknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata buat masa ini akan meneruskan pekerjaannya sebagai penghantar makanan sementara mendapat tawaran dari mana-mana pihak.
Kurnia Sumbangan Dari Istana Pahang
Kisahnya ini turut menarik perhatian pihak Istana Pahang. Sehingga dia diundang ke Istana Abdul Aziz mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
.
Dalam pertemuan itu, Tengku Hassanal turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada Mohd Akmal atas kecekalan dan kejayaan beliau menyiapkan tesis pengajian dengan sempurna.
“Tiga tahun pertama saya sememangnya fokus dalam tugasan di makmal. Tahun keempat saya mula fokus dalam penulisan tesis dan perlu mencari sumber pendapatan sendiri bagi membiayai pengajiannya itu.
“Memandangkan ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19, justeru saya memilih untuk bekerja di waktu siang sebagai penghantar makanan untuk menambah pendapatan dan menyiapkan penulisan tesis pada waktu malam,” katanya.
Sebelum ini, dia pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Pahang selama enam tahun sebelum kontraknya tidak disambung pada tahun 2017.
Tugas Harian Rider
Katanya, memandangkan jarak antara kediamannya di pekan Gambang ke bandar raya ini kira-kira 50 kilometer, seawal jam 9 pagi, dia sudah keluar dari rumahnya.
“Sekarang saya perlu kerja lebih kuat dan isteri saya baru melahirkan anak ke 6 kami.
.
“Saya akui kerja ini ada risiko, tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya ada juga kerja untuk dijadikan sumber pendapatan,” katanya.
Mingguan Wanita : Hebat dia, siang kerja rider malam siapkan tesis. Moga terus maju jaya Dr Akmal.
Sayunya baca kisah keluarga kecil ini. Suami wanita ini baru saja koma dan masih lagi di wad ICU Hospital Shah Alam. Bayangkan ketika hari raya semakin hampir, ibu kepada tiga orang anak ini terpaksa membawa ketiga-tiga anaknya berkampung di wad, demi menjaga suami yang masih belum sedar.
Kita yang orang biasa ini pun boleh lenguh satu badan bila tegak duduk di kerusi, inikan pula anak-anak kecil. Yang paling menyayat hati bila doktor maklumkan suami wanita ini cuma ada 50-50 saja peluang untuk hidup.
Baca perkongsian MamaBaba Jannah Muhammad ini dan doakanlah suami ibu tiga orang anak ini kembali pulih. Moga dipenghujung Ramadhan ini, ada doa-doa yang dimakbulkan dan diangkat olehNya. Amin.
Kisah Petang Semalam,
MJM ziarah mak saudara di Hospital Shah Alam. Before naik wad, pi cari buah2 kat mart dlm hospital utk dibawa kepada mak saudara di wad. Sedang leka cari buah, mata lama menatap seorang anak perempuan kecil, besar sikit je dari Jannah, sedang dodoikan seorang adiknya dlm lingkungan 8bulan++. Leka tengok si kakak buat aucak2 kat si adik yg sedang duduk dlm stroller, pandai si kakak tu mengasuh adiknya. Tercari2 jugak bayangan mak ayah budak kecik ni, tapi tak jumpa. Lalu, MJM lupakan saja mereka bermain dan terus naik ke wad.
Selepas selesai waktu habis melawat, MJM pun turun untuk balik ke ofis…Di laluan balik td, ternampak seorang perempuan sedang tunduk sambil menutupkan muka, dan perempuan tu kemudian mengambil si baby kecil dlm stroller yg sedang menangis utk menyusu, disamping sebelahnya ada budak perempuan yg mula2 MJM jumpa tadi dan seorang budak lelaki…
Entah kenapa, MJM dah jalan separuh jalan nak sampai ke kereta, tiba2 tergerak hati nak bagi duit raya kat budak2 tu…So, MJM patah balik nak jumpa budak2 tadi tu…Tapi sebelum tu, MJM terus jumpa dgn mak budak tu, utk mintak izin nk bg duit raya…Risau pulak kalau mak budak2 tu ingat MJM nak apa2kan anak2 dia…
MJM : Assalamualaikum kak, akak mak budak2 ni ye?
Mak budak2 : iye saya, kenapa? (Masa ni nampak wajah keletihan dan sayu di wajahnya).
MJM : Saya nk mintak izin dgn akak, nk bg duit raya kat anak2 akak, boleh? Sebab tadi sy suka tengok anak akak yg perempuan tu mengasuh adik dia…
Mak budak2 : (sambil tersenyum)…ok boleh je dik…terima kasih ye…
MJM pun mula pergi kat 3 org anak2 akak tu sambil hulur duit…Tersenyum2 simpul anak2 akak tu sambil mengucap terima kasih…MJM pergi dapatkan mak budak2 ni utk ajak berborak2 kosong before MJM balik…
MJM : Akak duduk mana? Akak datang sini ziarah siapa?
Mak budak2 : Akak duduk kapar. Akak ziarah suami akak. Dia kat icu, koma dari hari isnin, belum sedar lagi…Doktor cakap 50-50 (dengan suara yg sayu dengan linangan air mata)…Akak risau sangat2, anak2 akak kecik lagi…Harapkan pada suami akak je yg bekerja, akak tak keje…Anak2 akak pun taknak pergi sekolah, sebab nak datang hospital dan tolong mengasuh adik diorang ni…Alhamdulillah boleh nak harap pada si kakak mengasuh adik dia ni, sementara akak jaga suami akak kat icu…Budak2 ni duduk kat kerusi ni jela sebab budak2 takle masuk dlm icu…Adik tlg doakan ye, berkat bulan Ramadhan ni…
MJM : (Masa ni tiba2 je air mata MJM terus turun laju kat pipi)…InsyaAllah kak, sy doakan semoga suami akak cepat sedar n sembuh ye kak…akak kena kuat utk anak2 akak…
Masa ni MJM dh tak boleh nak cakap sebab memang sebak sangat especially tgk wajah anak2 akak ni yg masih kecil yg belum tahu apa yg ibu dan ayah diorang lalui…
Sempena bulan Ramadhan ni, sama2 sahabat2 mendoakan suami akak ni diberi kesembuhan dan kembalikan kegembiraan buat anak2 kecil ini untuk berkumpul bersama2 keluarga di rumah yg menjadi syurga buat mereka…
Berbulan madu di Makkah dengan buat umrah, boleh atau tidak. Bulan madu lazimnya sinonim dengan percutian romantik, di mana pasangan pengantin baharu meluangkan masa bersama untuk mempereratkan hubungan setelah melangsungkan perkahwinan.
Berbulan Madu Di Makkah Dengan Buat Umrah, Boleh Atau Tidak
Namun, bagi pasangan Muslim, memilih Makkah sebagai destinasi bulan madu sering menjadi persoalan. Adakah ini keputusan yang bersesuaian, memandangkan Makkah adalah tempat suci yang membawa misi penyucian jiwa dan bukan semata-mata destinasi percutian?
Keistimewaan Makkah Sebagai Tempat Ibadah
Makkah, sebagai kota suci bagi umat Islam, memegang kedudukan istimewa dalam hati setiap Muslim. Di sinilah terletaknya Baitullah, kiblat yang menjadi pusat ibadah solat, dan tempat ibadah agung seperti tawaf, sa’i, serta wukuf di Arafah.
Kunjungan ke Makkah bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi membawa misi yang jauh lebih besar: mendekatkan diri kepada Allah, memohon keampunan, dan memperbaharui keimanan.
Dalam konteks ini, pelaksanaan ibadah umrah memerlukan kesungguhan hati, persiapan rohani, serta fokus kepada tujuan utama iaitu mencari reda Allah. Oleh itu, meletakkan niat untuk menjadikan Makkah sebagai destinasi bulan madu boleh menimbulkan konflik antara matlamat duniawi dan ukhrawi.
Cabaran Menyatukan Matlamat
Menggabungkan bulan madu dengan pelaksanaan ibadah umrah memerlukan pemahaman mendalam tentang tujuan kunjungan ke tanah suci. Bagi sesetengah pihak, ia mungkin dilihat sebagai peluang untuk memulakan kehidupan perkahwinan dengan restu Allah, manakala bagi yang lain, ia dilihat kurang sesuai kerana sifat romantik bulan madu berpotensi mengganggu kekhusyukan ibadah.
Dalam suasana ibadah, fokus utama adalah kepada Allah dan menghayati kebesaran-Nya. Sebaliknya, bulan madu biasanya berorientasikan masa berkualiti bersama pasangan, bersantai, dan menikmati suasana romantik. Perbezaan matlamat ini boleh menyebabkan pasangan terleka daripada tanggungjawab ibadah yang menuntut sepenuh perhatian.
Menurut Mutawif dari Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ahmad Junaidi Omar ia bergantung kepada niat dan tujuan individu tersebut ke tanah suci.
Bagaimanapun ramai yang menganggap tren bulan madu di Makkah dengan menunaikan umrah dilihat kurang bersesuaian kerana Baitullah merupakan tempat penyucian jiwa.
“Bagi pandangan saya, boleh buat pakej bulan madu sambil umrah, namun seeloknya dielakkan.
“Hal ini kerana tujuan utama menunaikan umrah adalah untuk beribadah di mana Makkah dan Madinah adalah tempat untuk penyucian jiwa,” katanya.
Menurut Ahmad Junaidi yang sudah berpengalaman selama lapan tahun sebagai mutawif, jika ia dilakukan kerana tren dan bukannya untuk mengambil keberkatan maka tidak sesuai.
Cadangan Alternatif
Jika niat untuk mengunjungi Makkah adalah untuk melaksanakan ibadah umrah, adalah lebih baik mengasingkan perjalanan ini daripada niat bulan madu. Dengan cara ini, pasangan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah, sambil memastikan setiap langkah memenuhi adab dan tuntutan agama.
Selepas selesai melaksanakan umrah, pasangan boleh merancang perjalanan bulan madu ke destinasi lain yang lebih sesuai untuk bersantai dan menikmati suasana romantik. Ini membolehkan kedua-dua matlamat – penyucian jiwa dan mempereratkan hubungan – dicapai dengan cara yang seimbang dan tidak bercanggah dengan prinsip agama.
Memilih Makkah sebagai destinasi bulan madu memerlukan pertimbangan teliti. Sebagai kota suci, Makkah bukan sekadar lokasi percutian, tetapi tempat ibadah yang membawa tanggungjawab besar kepada setiap Muslim yang berkunjung. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan niat dan amalan semasa berada di tanah suci selaras dengan tujuan murni Islam.
Dengan perancangan yang bijak, pasangan pengantin baharu boleh memanfaatkan peluang melaksanakan umrah untuk memohon keberkatan dalam perkahwinan mereka, di samping menyusun bulan madu di destinasi lain yang lebih sesuai. Keutamaan harus diberikan kepada menjaga adab dan menghormati kesucian Baitullah, agar setiap langkah menjadi ibadah dan mendapat ganjaran di sisi Allah.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...