Reunion adalah majlis perjumpaan semula, terutamanya di kalangan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah. Memang bagus kerana dapat mengeratkan kembali silaturahim yang berpuluh tahun terputus. Namun yang tak best, bila ada suami/isteri orang yang curang dengan pasangan mereka selepas kembali bertemu kekasih lama!
Begitulah yang terjadi kepada lelaki ini. Dia mengaku, rumah tangganya musnah akibat majlis reunion yang dihadiri. Lebih mengejutkan, bukan dia saja yang curang, bahkan isterinya (ketika itu) juga curang! Ikuti pengakuannya pada Mingguan Wanita.
Sama-sama Curang Lepas Reunion
Setiap pasangan pasti menginginkan bahtera rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hujung nyawa. Namun tidak sedikit pasangan yang terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah. Penyebabnya pelbagai. Ada yang kerana sudah tiada persefahaman lain, masalah kewangan dan banyak juga akibat salah seorang curang. Untuk kes Fauzan dan Farhana, mereka sama-sama curang!
“Korang berdua memang sepadan. Nama pun lebih kurang sama sebutan. Tahniah. Moga kekal ke jannah,” terngiang kata-kata ucapan di awal perkahwinan dahulu. Ramai yang memuji akan pasangan Fauzan dan Farhana yang cukup sepadan.
Fauzan bekerja sebagai Pengurus Bank manakala Farhana seorang pendidik. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 14 tahun yang tinggal di asrama. Kesibukan masing-masing tidak pernah menghalang untuk mereka hidup bahagia.
Belajar Satu Sekolah Dan Satu Universiti
Bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Kedah. Fauzan senior dua tahun daripada Farhana dan merupakan abang angkat Farhana ketika di sekolah. Ketika memasuki universiti yang sama di Australia, hubungan mereka semakin rapat. Hidup di rantau orang membuatkan Fauzan sering membantu Farhana di sana. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin sekembali ke Malaysia.
Ads
Kalau hendak diikutkan, mereka tidaklah sampai tahap bercinta kerana masih terluka dengan pengalaman cinta ketika di sekolah menengah. Farhana pernah bercinta selama tiga tahun dengan rakan sekelasnya dan Fauzan pula pernah bercinta selama dua tahun dengan rakan setingkatan.
Hubungan dengan pasangan masing-masing terputus setelah mereka menyambung pelajaran ke Australia. Namun atas rasa sayang dan keakraban yang terjalin, mereka berasakan diri mereka serasi untuk hidup bersama lantas mengambil keputusan untuk berkahwin. Bagi mereka, cinta boleh dipupuk selepas kahwin..
Reunion Rakan universiti
Sering kali Fauzan dengar tentang kisah rumah tangga yang hancur setelah menghadiri majlis reunion dengan rakan sekolah. Malah, dia pernah bincangkan perkara itu dengan Farhana.
Namun mereka yakin dengan hati masing-masing yang tidak akan berubah. Tambahan pula, usia perkahwinan yang mencecah 15 tahun membuatkan mereka rasa rumah tangga mereka sudah cukup stabil dan kukuh untuk menghadapi apa juga dugaan. Sepanjang tempoh itu, bukan sedikit cabaran yang diterima apatah lagi keduanya berparas rupa menarik walau pun sudah mencecah usia lewat 30-an. Namun semuanya dapat ditepis dengan sebaiknya.
Ads
Undangan untuk majlis perjumpaan rakan sekolah menengah diterima. Fauzan dan Farhana bersetuju untuk turut serta. Masing-masing ingin berjumpa rakan lama. Siapa sangka, majlis itulah yang men jadi punca segala-galanya.
Pertemuan Dengan Bekas Kekasih Dalam Reunion
Fauzan terjumpa dengan bekas kekasihnya yang masih lagi kekal single walau pun usia semakin lanjut. Kini mempunyai perniagaan sendiri. Farhana juga bersua kembali dengan bekas kekasihnya yang kini duda dengan seorang cahaya mata. Ketika itu, salam ukhuwah dihulur tanpa ada apa-apa niat.
Bahkan, Fauzan dan Farhana turut memperkenalkan pasangan mereka kepada bekas-bekas kekasih mereka. Kebetulan mereka berempat saling mengenali sebagai senior-junior.
Disangka pertemuan itu hanya terhenti sekadar itu. Dalam diam, Fauzan dan Farhana masih berhubungan dengan bekas kekasih masing-masing. Fauzan membantu bekas kekasihnya itu mendapatkan pinjaman untuk membesarkan perniagaannya. Farhana pula sentiasa menjadi tempat untuk bekas kekasihnya bertanyakan tentang pelajaran anak tunggalnya memandangkan Farhana seorang guru.
Ads
Saling menipu
Benar kata orang, jangan sesekali menyediakan lorong ke arah jalan yang kita tidak mahu. Apabila jalan terbentang luas, godaan demi godaan akan muncul. Perasaan sayang muncul kembali. Namun, Fauzan dan Farhana sedaya upaya menyembunyikan kecurangan masing-masing. Pandai makan, pandai simpan.
Hampir tiga bulan berlalu, Fauzan dan Farhana semakin berani untuk berjumpa dengan kekasih mereka. Sudah pasti, tanpa pengetahuan masing-masing. Kesibukan kerja Fauzan membuatkan dia mencuri masa berjumpa dengan kekasihnya selepas waktu kerja, dengan alasan OT. Farhana pula, sebaik pulang dari mengajar, boleh mencuri ruang untuk keluar bertemu janji. Anak-anak tiada di rumah membuatkan mereka berdua punya banyak waktu terluang.
Hidu Kecurangan Masing-Masing
Namun, perkara yang tidak elok lambat laun akan terbongkar jua. Fauzan dapat menghidu kecurangan Farhana dan begitu juga sebaliknya. Ketika itu tiada rasa marah kerana sedar kesalahan dan kecurangan masing-masing. Akhirnya, Fauzan dan Farhana memilih untuk berpisah secara baik. Penjagaan anak-anak juga dikongsi bersama.
Kini Fauzan telah berkahwin dengan kekasih lamanya dan begitu juga Farhana. Walau pun pahit namun masing-masing tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana segala-galanya berpunca daripada diri mereka sendiri. Atau mungkin juga, cinta mereka terhadap kekasih lama mereka lebih mendalam berbanding cinta antara mereka. Ya, perkahwinan mereka dahulu bukan berlandaskan cinta sepenuhnya. Apa pun segala-galanya telah ditakdirkan.
Elyana penuhi harapan anak. Apabila doktor memaklumkan kanser dirinya berakhir pada Disember tahun lalu pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali dengan nama pentas, Elyana sangat bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah ini.
Seperti sedia maklum, Elyana pernah mendedahkan menghidap kanser limfoma tahap empat dan sudah menderitai penyakit itu sejak 10 tahun lamanya.
Sinaran yang muncul juga merupakan perkhabaran yang cukup bermakna bukan saja pada diri penyanyi yang pernah popular dengan lagu, Diriku Tapak Sulaiman malah buat suami Khairul Anuar Husin dan anak mereka, Cinta Sumayyah, 11, serta Cahaya Ramadhani, 3.
Elyana Penuhi Harapan Anak
Keluarga merupakan pendorong utama Elyana selama dia bertarung melawan penyakit. Malah anak kesayangan Cinta Sumayyah juga pernah meluahkan harapan untuk ibunya menjadi normal seperti ibu orang lain.
Seperti mana yang dimaklumkan sewaktu sidang media Konsert Separuh Akhir Gegar Vaganza musim Kelapan (GV8) baru-baru ini dirinya mahu melunaskan impian yang diharapkan oleh anak kesayangannya itu.
“Saya percaya setiap apa yang kita fikir, cakap, itu semua doa.
“Jadi saya selalu impikan untuk hidup lama supaya dapat menemani anak saya sampai dia besar, sehingga ada yang mampu menjaganya sama seperti saya menjaga.
“Malah Cinta juga selalu berkata, dia berharap saya boleh menjadi ibu normal seperti ibu orang lain, iaitu ibu yang tidak sakit dan boleh menemani dia ke mana sahaja.
“Selama ini, banyak aktiviti dia terpaksa lakukan sendiri jadi dia mahu rasa seperti kawan sebayanya yang ditemani ibu,” ungkap Elyana yang masih perlu menjalani empat sesi kimoterapi bermula Februari ini.
Kunci Kesabaran, Setiap Ujian Pasti Ada Pelangi
Malah Elyana yang ditemani suami sewaktu sesi tersebut juga memaklumkan dirinya berasa sebak apabila doanya selama ini menjadi kenyataan.
“Apabila doktor maklumkan kanser saya sudah hilang, rasa tak percaya, seperti mimpi. Apa yang doakan selama ini akhinrya menjadi kenyataan.
“Saya sangat gembira, sebak. Inilah yang orang kata “sabarlah setiap ujian pasti akan ada pelangi di hadapan”
“Inilah yang pelangi yang saya nanti-nantikan selepas 10 tahun bertarung dengan kanser.
“Malah anak saya, Cinta turut sama teruja dan gembira. Sehingga ada ketika dia rasa tidak percaya serta bertanya kepada saya, sama ada betul ke saya sudah bebas kanser,” ujar Elyana.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah mendengar perkhabaran gembira ini. MW sendiri pernah menemubual dan hadir ke rumah Elyana. Ternyata pengalaman yang dikongsi Elyana dan suami cukup membuatkan air mata menitis. Begitu tabah Elyana dan pasangan mengharungi hidup penuh dugaan ini.
Semasa bersih beras untuk memasak, apakah yang seirng mak-mak fikirkan. Mungkin ada yang fikir nak masak lauk apa dan tak kurang juga memikirkan sesuatu sama ada baju nak kena jemur dan sebagainya.
Mungkin juga ada mak-mak sibuk memikirkan tentang anak-anak atau pun pasangan itu sendiri, apa yang dibuat pada waktu ini dan fikirkan anak-anak yang semakin membesar dengan peel masing-masing yang tak pernah habis.
Sedangkan apa yang sering ustaz dan ulama pesan, cara yang paling mudah untuk lembutkan hati anak-anak dan ahli keluarga lain adalah membaca surah-surah tertentu semasa bersih beras.
Jangan ingat, dengan baca doa selepas solat atau semasa anak tidur sahaja sudah cukup nak lembutkan hati anak. Perkara yang senang, kita permudahkan. Cuma ambil masa beberapa minit sahaja dan lakukan semasa bersih beras untuk memasa, bacalah surah ini.
Tip yang paling mudah untuk diamalkan hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja.
1.Semasa basuh beras, berselawatlah ke atas Baginda Nabi Muhammad s.a.w
2. Bila masukkan air untuk disukat, bacalah:
i) Surah Al-Insyirah (Alam Nasyroh) – Ini pesanan beberapa ustaz, tujuannya adalah sebagai doa untuk mengelak penyakit kronik kepada orang yang makan nasi tersebut, dengan izin dari Allah SWT.
ii) Surat Al Kauthar (Inna a’ Toina kal kauthar) – Sebagai penerang hati, belajar cepat dapat, dengan izin dari Allah SWT.
iii) Surah Al-Qadr – ( Inna anzalna hufi lailatil qadr) – Surah ini akan memudahkan ahli keluarga membetulkan diri dan memperbaiki amal, dengan izin dari Allah SWT.
iv) Zikirkan Ya Kareem , Ya Raheem- Baca beberapa kali dan hembus dalam nasi. Ini bagi menguatkan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga.
Perokok takkan sedar yang asap rokok lebih berbahaya pada orang ketiga. Bukan dirinya sendiri. Dia cuma boleh dapat rasa nikmat sementara saja. Tak sedar nikmat sementara itulah nanti yang akan membunuhnya. Malah membahayakan orang persekitaran terutama anak kecil atau bayi.
Perkongsian cerita Dr Rusyainie Ramli, Pegawai Perubatan Angkatan Tentera ketika dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi 1 tahun perlu diambil iktibar.
Ini Sebab Kenapa Doktor Kata Jangan Cium Anak Lepas Merokok
Tercungap-cungap anak kecil berusia 1 tahun lebih itu. Nampak otot rusuknya terperosok ke dalam setiap kali dia menarik nafas. Saya yang baru tiba di klinik terus memeriksanya. Kadar saturasi oksigen dia sudah menurun dari sepatutnya. Paru-parunya ketat betul, siap ada bunyi tak normal lagi. Saya dah runsing kalau anak kecil ini jadi biru.
Menurut Dr Rusyainie anak itu kelihatan lembik tidak bermaya. Si kecil itu merengek kerana tidak selesa.
“Demam pula tu. Xray dadanya nampak ada jangkitan paru-paru.”
“Saya dan tim segera pasangkan dia oksigen berserta ‘nebuliser’. Kami sediakan dia cepat-cepat untuk dihantar ke hospital terdekat. Dekat tak dekat la. 70 km tu. Maklumlah klinik saya di hujung tanjung. Surat rujukan kami siapkan. Ambulans sedia menunggu di hadapan. Dalam hati saya berdoa semoga perjalanan anak kecil ini dipermudahkan.”
Ceritanya keluarga ini baru saja dipindahkan ke tempat Dr Rusyainie bekerja. Anak ini pula kerap alami jangkitan demam batuk selsema. Sekejap sekejap sakit. Ditambah pula dengan sejarah ‘atopy’ dalam keluarga. Atopy maksudnya mempunyai masalah kesihatan berkaitan alahan seperti asma, ekzema dan ‘allergic rhinitis’.
“Yang paling buat saya berang ialah AYAHNYA PEROKOK! Pesakit saya mempunyai 3 adik beradik. Semuanya kecil-kecil dan belum bersekolah. Tak payah bercerita tentang merancang keluarga la kan. Nanti besok pun tak habis. Duduk bertanya dengan ayahnya, bau asap rokok melekat kat baju sebatu dah boleh tahu.”
Dia mempertahankan dirinya yang dia tidak merokok dalam rumah. Wah. Konon-konon ayah mithali la tu kan.
“Paru-paru bayi dan anak kita ni masih belum matang sepenuhnya. Dahlah secara alaminya, memang saluran pernafasan kanak-kanak lagi sempit berbanding dengan orang dewasa. Sistem pertahanan mereka melawan penyakit pun belum kuat macam orang dewasa. Mereka ini sangat ‘vulnerable’ dan ‘fragile’ dengan toksin-toksin yang ada dalam asap rokok. Yang nikotin yang sedap dalam rokok ayah dah sedut habis. Sisa tu bagi kat anak. Bagus punya ayah kan.
Sisa-sisa rokok tu walaupun depan mata tak nampak, bahan-bahan kimia macam nikotin, ammonia, tar (yang turap jalan tulah), formaldehyde (kita guna untuk awet mayat), arsenik (ni racun kalau kalau nak bunuh orang senyap-senyap) dan asap beracun karbon monoksida tu melekat kat baju dia, rambut, kulit dia semua. Elok sangat la lepas dia buang gian, dia masuk rumah, peluk cium dan main-main dengan anak dia. Semua sisa tu disedut dan ditelan anak yang tak berdosa dan yang tak reti apa-apa tu.
Kajian Saintikfik Tak Kan Menipu
Kajian saintifik dah buktikan yang perokok pasif ketiga (‘3rd hand smoker’) ni memang bukan dongeng penyedap cerita. Kesannya sama saja dengan perokok pasif (‘passive smoker’ atau ‘2nd hand smoker’). Molekul rembesan sisa asap tu lebih kecil dari yang perokok tu dapat. Maka lagi senang la toksin rokok tu diserap ikut paru-paru, kulit dan salut darah. Maknanya dengan pegang anak pun lepas merokok, racun disedekahkan pada anak. Apa punya jenis ayah tu?
“Kanak-kanak yang naif ni terpaksa berhadapan dengan masalah penyakit paru-paru yang lebih teruk dan kerap berbanding dengan kanak-kanak yang ayah mereka bukan perokok. Sebab tu kalau mereka ni sakit lebih lama dan susah nak sembuh. Tapi banyak ayah bila kita cakap kat dia, dia buat dek saja. Muka toya memang minta disepuk.”
Anak-anak yang ayah perokok memang lebih terdedah pada masalah pembelajaran. Jangan dok sentap kalau anak tu ada masalah nak belajar kat sekolah. Tengok diri sendiri tu. Perokok ke tak.
“Anak perokok senang dapat kanser macam leukaemia. Kejam ke tak ayah macam tu. Lahirkan anak ke dunia semata-mata untuk dianiaya. Anak tu amanah tuhan ok.”
Anak pada perokok akan tiru perangai buruk ayah dia tu pada usia yang muda. Sebab tu tak pelik kalau budak sekolah rendah dah mula merokok. Tengok kat rumah dia. Ayah dia merokok ke tak. Dah mula merokok, pintu segala kecelakaan memang akan terbuka. Jadi hisap ganja tu memang biasalah kat budak-budak. Takkan dah lupa kot 7 budak bawah umur yang bakar sekolah tahfiz. Memang mula dengan merokok la pastu kaki ganja. Seterusnya sendiri mahu ingat la kan.
Sementara menyiapkan anak kecil itu ke hospital, sempatlah ayah dia mendapat tazkirah pagi khamis dari saya yang takkan bagi can punya. Anak kecil itu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Kasihan dia dek penangan ayah yang tak reti bahasa.
Sumber/Foto : FB Rusyainie Ramli – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KPM bertindak tempatkan Pengetua, HEM & Warden di JPN Negeri, susulan pelajar jatuh bangunan asrama. Isu seorang pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan...