Ahli Akademik, Prof Madya Dr Rusinah Siron menjelaskan cinta yang berputik semasa majlis pertemuan semula atau reunion ini berlaku kerana masing-masing sudah tidak menggunakan kewarasan akal dalam membina perhubungan peribadi.
“Kalau setakat membina ukhwah dan kerjasama dengan kawan-kawan lama, tidak salah malah bagus kerana dapat membina hubungan kerja, hubungan niaga, keluarga dapat disatukan dan menjadi sahabat keluarga.
“Tetapi jika membina hubungan cinta peribadi ini dan kononnya menjadi cinta, itu namanya hawa nafsu menguasai diri. Ditambah lagi masing-masing sudah berpunya dan mempunyai komitmen.
“Jadi peringkat usia midi dan maxi ini, jauhkan lagi unsur-unsur negatif dalam reunion dan kembali kepada objektif utama dalam pertemuan kembali untuk bertautnya hubungan ukhwah yang positif dengan rakan-rakan lama.”’
Teknologi mengeratkan silaturahim sahabat lama, reunion jadi penyatu. Kenyataan ini diakui benar oleh Prof Madya Dr Rusinah.
“Ya memang betul sebab teknologi sekarang banyak memberi penyatuan kepada perhubungan jarak jauh dan dekat. Kawan hilang boleh bertemu, jejak kasih dipertemukan semula, ini semua komunikasi dengan teknologi canggih dengan facebook sudah tidak perlu hanya “face to face”.
“Dengan Facebook sahaja,hubungan jauh dekat bertaut rapat. Boleh kirim berita, kirim ucapan, kirim gambar, kirim jemputan dan pelbagai lagi perkara boleh dilakukan melalui komunikasi dengan teknologi yang canggih.
“Kawan daripada luar negara sudah 10 tahun tidak bertemu juga boleh berbual mesra dengan “skype” dan video. Jadi reunion ini juga adalah impak kepada teknologi. Dengan grup Whatsapp, boleh berbincang, berkomunikasi dan lain-lain.
“Ini semua boleh menjadikan reunion dapat dijayakan dan menjadi penyatu kepada pertemuan semula rakan-rakan yang sudah berbelas dan berpuluh tahun tidak berjumpa.”
IKLAN
Prof Madya Dr Rusinah Siron
Pesan Prof Madya Dr Rusinah kepada mereka yang terperangkap cinta reunion ini, jangan salah gunakan teknologi sehingga meruntuhkan ikatan rumah tangga.
Sebab-Sebab Bertemu Jodoh Ketika Reunion
Jelas Prof Madya Dr Rusinah lagi,ada beberapa sebab memungkinkan seseorang itu bertemu jodoh ketika majlis pertemuan semula atau reunion.
“Sebab pertama, mungkin ketika bersekolah dahulu mereka pernah bercinta. Cinta monyet ketika masa sekolah ini boleh bertaut kembali. Ditambah lagi dalam keadaan diri sekarang yang sudah menjanda atau menduda. Jadi kesempatan ini diambil untuk membina semula kenangan lama dengan kematangan diri yang ada.
“Sebab kedua, keadaan dan masa berubah. Melihat kepada perkembangan diri rakan-rakan lama yang telah berjaya atau telah stabil memberi daya tarikan kepada rakan. Dengan itu ia membawa kepada pertemuan demi pertemuan diatur.
“Mulanya cerita hanya berkisar kepada cerita-cerita zaman sekolah. Kemudiannya ia terbawa-bawa hingga kepada kehidupan peribadi. Akhirnya cerita lama jadi permulaan bibit-bibit cinta yang dibina di bawah kesedaran masing-masing.
“Sebab ketiga, kemudahan komunikasi yang ada dengan telefon bimbit yang boleh melayari pelbagai laman media sosial seperti Whatsapp, Telegram dan lain-lain lagi memberi kemudahan kepada rakan-rakan menghantar berita, gambar-gambar cantik dengan gaya dan cerita masing-masing. Ini memberi kepada akses perhubungan yang lebih cepat dan akhirnya melarat kepada soal-soal hati.”
IKLAN
Faktor-Faktor Pendorong
Mudahnya cinta berputik ketika reunion ini mungkin sebab didorong oleh beberapa perkara. Prof Madya Dr Rusinah menjelaskan ada beberapa faktor-faktor pendorongnya.
“Faktor pendorong pertama adalah erdorong dengan emosi dan mudah sangat terpaut hati. Ingatlah status diri yang sudah berpunya dan keluarga. Kalau diri belum ada yang punya, fikir-fikirlah secara positif. Bukannya dengan lagak meluru. Jumpa selepas reunion terus membina hubungan peribadi. Ibarat pepatah kata orang Barat, Keep it steady and cool. Jangan gopoh sangat membina cinta reunion.
“Faktor pendorong kedua berkaitan dengan keadaan diri semasa reunion itu. Masa itu diri sudah tunggang-langgang dengan masalah rumah tangga, kerjaya dan lain-lain. Jadi bertemu dengan rakan lama yang prihatin dan faham dengan situasi diri. Jadi pertemuan diatur dan juga saling mendorong. Akhirnya terdorong untuk melanjutkan hubungan lebih jauh lagi.
“Faktor pendorong ketiga adalah cinta kilat yang dibina kerana terpana melihat fizikal kawan lama yang dahulu cantik, sekarang sudah beranak lima pun semakin bergetah. Dan pujian diberikan kawan-kawan menjadikan diri rasa dalam dunia khayalan. Ditambah lagi jika pasangan pula tidak pernah ambil perhatian kepada dirinya. Scenario ini biasa berlaku dan terbuainya perasaan akhirnya membentuk perhubungan mesra.
“Faktor pendorong keempat apabila terjerat dengan kawan lama melalui ikatan bisnes dan lain-lain skim hingga akhirnya terpaksa terus menjalin hubungan. Dan jika tidak terkawal, boleh tergadai ‘body’dan maruah tercela.”
IKLAN
Kebaikan Dan Keburukan Bertemu Jodoh Semasa Reunion
Fikir-fikirlah dahulu kebaikan dan keburukan bertemu jodoh semasa reunion sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan atau menghentikan hubungan tersebut. Ini penjelasan Prof Madya Dr Rusinah.
“Kebaikannyaadalah apabila sudah saling mengenali masa zaman “comot-comot” dahulu tanpa prejudis dan mungkin sekampung, sekelas atau satu kejiranan masa zaman persekolahan. Jadi keserasian sikit-sikit sudah ada.
Dengan itu tidak menjadi satu perhubungan yang melemaskan kepada pasangan tersebut. Hanya perlu ‘refreshment’dan ‘refinement’serta tokok tambah dalam perhubungan.Perhubungan sudah matang dan dewasa jadi kematangan itu membawa kepada perhubungan yang lebih santai dan rasional.
“Keburukannya pula adalah pasangan sudah ada keluarga dan mempunyai suami atau isteri masing-masing. Dan perhubungan reunion ini sudah tentu membawa kepahitan dan kekecewaan kepada pasangan masing-masing dan impak negatif kepada keluarga. Akhirnya perhubungan menjadi skandal yang memberi kontroversi kepada keluarga, kerjaya dan masyarakat.”
Tip Elakkan Cinta Reunion
1-Kembali kepada landasan hidup yang benar, sedar siapa diri kita. Dahulu kawan sekelas kita “si-comat” sekarang kita semua sudah dewasa dan ada berkeluarga, kerjaya dan masyarakat yang perlu kita jaga imej dan maruah diri kita. Jadi jangan terlalu ikut emosi dan kehendak hati. Kita sudah cukup dewasa untuk mengatur hidup dan perhubungan dengan siapa dan apa risiko dan baik buruknya
2-Jangan berlebih-lebihan dengan apa yang kita buat dalam hidup kita. Kita banyak tanggungjawab pada diri dan orang-orang yang kita sayang, keluarga, agama dan sebagainya. Jadi jangan habiskan masa dengan telefon bimbit yang banyak memberi impak negatif jika tidak dikawal.
Jangan bergayut dengan telefon bimbit. Setiap mesej-mesej dibalas. Lama-kelamaan ia menjadi habit dan perhubungan dibentuk melalui komunikasi. Jadi elakkan daripada meneruskan secara aktif hubungan komunikasi dengan whatsapp, facebook dan lain-lain seperti hantar gambar personal dan cerita-cerita peribadi, mohon pendapat mengenai hubungan suami isteri dan lain-lain kerana ini akan menjadi terbentuknya cinta yang memberi implikasi kepada kehidupan.
3-Bentuk hubungan yang sihat melalui motivasi dan nasihat dan kembali kepada kenyataan, jangan dilayan perasaan dan menjadi perasan kepada pujian dan inspirasi daripada kawan-kawan. Terima seadanya dan seimbangkan dengan kehidupan kita. Insyallah jika betul caranya, kita tidak terjerat dengan cinta kilat reunion ini.
Nak BAHAGIA? Tanyakan kepada sesiapa saja, tentu jawapan sama akan diberikan: YA. Semua orang nak bahagia. Tahu tak ada, hormon-hormon yang boleh kita hasilkan untuk membantu diri kita rasa bahagia? Ha..sebenarnya mudah saja nak hasilkan hrmon Kebahagiaan ini.
Terdapat empat hormon yang menentukan kebahagiaan manusia: 1. Endorfin, 2. Dopamine 3. Serotonin 4. Oxytocin
Adalah penting kita memahami hormon-hormon ini, kerana kita memerlukan keempat-empatnya untuk kekal bahagia.
PERTAMA – HORMON ENDORFIN
Apabila kita bersenam, badan melepaskan Endorfin. Hormon ini membantu tubuh menghadapi kesakitan dan membuat kita gembira.
Ketawa adalah satu cara yang baik untuk menjana Endorfin. Menghabiskan 30 minit bersenam setiap hari, dan boleh juga membaca atau menonton sesuatu lucu untuk mendapatkan dos harian Endorfin.
Dalam perjalanan hidup kita, banyak tugas-tugas kecil dan besar, ia mengeluarkan pelbagai peringkat Dopamine.
Apabila dihargai kerana kerja kita di pejabat atau di rumah, kita akan merasa best kerana pengeluaran Dopamine.
Ini juga menjelaskan mengapa kebanyakan suri rumah tidak berpuas hati kerana mereka jarang mendapat pengiktirafan atau dihargai atas tugasan mereka. Ketika membeli belah juga mengeluarkan Dopamine dan penyebab kepada gembira. Sekarang, adakah kita sedar mengapa kita menjadi gembira apabila kita membeli-belah?
Nak Tahu Hormon Apa Seterusnya?
KETIGA – HORMON SEROTONIN
Dikeluarkan apabila kita memberi manfaat kepada orang lain. Tidak kisah samada kepada orang lain atau kepada alam semula jadi atau kepada masyarakat, ia mengeluarkan Serotonin.
Malah, menyediakan maklumat berguna di internet seperti menulis blog maklumat, menjawab soalan orang di Facebook juga akan menjana Serotonin. Iaitu menggunakan masa berharga kita untuk membantu orang lain melalui penulisan kita.
KEEMPAT – HORMON OXYTOCIN
Dibebaskan apabila kita dekat dengan manusia lain. Apabila kita memeluk keluarga atau rakan, Oxytocin dibebaskan.
Begitu juga, apabila kita berjabat tangan atau meletakkan tangan kita di sekeliling bahu seseorang dengan pelbagai cara Oxytocin dilepaskan.
1. Jadi, ia adalah mudah, kita perlu bersenam setiap hari untuk mendapatkan Endorfin,
2. Kita perlu mencapai sedikit matlamat dan mendapatkan Dopamine.
3. Kita perlu baik kepada orang lain untuk mendapatkan Serotonin
4. Dan akhirnya memeluk anak-anak kita, pasangan, keluarga dan rakan-rakan untuk mendapatkan Oxytocin dan kita akan gembira.
Apabila gembira, kita boleh menangani cabaran dan masalah dengan lebih baik.
Faham ye, mengapa kita perlu memeluk anak- anak walau di mana situasi pun termasuk ketika mereka mempunyai suasana yang tidak menyenangkan.
Nak buat anak kita lebih dan lebih gembira hari demi hari. Ikuti Cara ini:
1.Memberi motivasi kepadanya untuk bermain di atas tanah – Endorfin 2. Menghargai anak kita atas pencapaian besar yang kecil – Dopamine 3. Menyemai tabiat perkongsian melalui kita kepada anak kita – Serotonin 4. Peluk anak kita – Oxytocin
Sebelum membahagiakan orang lain, bahagiakan diri kita dahulu. Sentiasa zikirkan Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Salam. Memohon kasih sayang, kedamaian dan ketenangan milik Allah sentiasa tercurah kepada kita semua. Aamiin.
Penjualan barangan dalam talian telah menjadi satu trend masa kini. Terdapat pelbagai barangan yang boleh didapati dalam talian termasuklah ubat-ubatan. Tidak dapat dinafikan, pembelian ubat dalam talian memang mudah kerana pengguna tidak perlu ke kedai secara fizikal , selain menjimatkan masa dan tenaga.
Namun, sedarkah anda, pembelian ubat dalam talian mengundang risiko terbeli ubat tidak berdaftar, ubat dicampur ubat terkawal atau bahan terlarang dan ubat palsu. Pengguna juga terdedah kepada pelbagai tuntutan perubatan yang diragui kesahihannya.
Tambahan pula, keberkesanan produk mungkin terjejas sewaktu proses penghantaran kerana tidak memenuhi keperluan Amalan Pengedaran Baik. Pembeli memainkan peranan penting dalam menyemak segala maklumat pada iklan ubat yang dijumpai menerusi internet.
Apa Perlu Dilakukan Sebelum Membeli Ubat?
Perkara pertama yang harus disemak adalah status pendaftaran produk. Pastikan produk yang hendak dibeli mempunyai nombor pendaftaran MAL. Pengguna boleh menyemak status pendaftaran di portal www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status di Google Play.
Ubat yang telah berdaftar dijamin dari segi kualiti dan keselamatannya. Nombor pendaftaran MAL yang diakhiri dengan abjad T, N dan X sahaja boleh dijual dan dibeli dalam talian. Manakala nombor yang diakhiri dengan abjad A dikategorikan sebagai ubat terkawal tidak boleh dibeli dan dijual dalam talian.
Ubat terkawal kebanyakannya digunakan untuk rawatan penyakit kronik dan hanya boleh diberikan dengan nasihat dan konsultasi daripada pengamal perubatan dan hanya boleh didispens oleh ahli farmasi. Berhati-hati dengan penjual yang mungkin membuat kenyataan bahawa produk mereka telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun sebenarnya tidak.
Seterusnya, pengguna hendaklah memastikan bahawa iklan ubat tersebut mempunyai nombor kelulusan KKLIU daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU). Iklan ubat yang telah diluluskan akan diberikan nombor kelulusan yang dimulai dengan abjad KKLIU bertujuan untuk melindungi orang awam agar tidak terpedaya dengan iklan yang tidak ditentukan kesahihannya.
Iklan-iklan ubat yang telah diluluskan oleh LIU adalah iklan yang telah disaring dan diakui kesahihannya. Pengguna perlu tahu bahawa iklan ubat bagi tujuan rawatan, pencegahan dan diagnosis 20 penyakit (kebanyakannya penyakit kronik) adalah tidak dibenarkan.
Sebagai contoh, jika ubat tersebut telah berdaftar sebagai ubat tradisional (MAL yang diakhiri huruf T), kebanyakan indikasi yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah adalah untuk kesihatan umum. Maka, jika pengiklanan produk tersebut untuk rawatan penyakit kencing manis contohnya, ini adalah satu kesalahan.
Sehingga kini tiada produk tradisional yang diluluskan indikasinya untuk merawat kencing manis dan pastinya iklan tersebut tiada kelulusan daripada LIU. Semakan kendiri ini boleh dibuat melalui portal www.pharmacy.gov.my. Kepada pengguna, elakkan membeli produk dengan iklan yang tiada nombor kelulusan KKLIU. Semak dahulu sebelum klik.
Semak Kesahihan Maklumat
Demi melindungi orang awam daripada risiko pembelian ubat dalam talian, pihak berkuasa iaitu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPFKKM) komited menjalankan saringan di platform e-dagang. Sehingga kini, lebih 8000 iklan ubat diarahkan untuk diturunkan oleh pengendali platform e-dagang.
Selain itu, pihak pengendali juga berusaha untuk menyekat kata kunci tertentu hasil perkongsian maklumat BPFKKM. Walau bagaimanapun, penjual yang tidak bertanggungjawab akan cuba mencari peluang untuk menembusi sekatan tersebut.
Bagi membendung isu penjualan dan pengiklanan ubat dalam talian ini, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berwaspada sebelum membeli ubat dalam talian dan menyemak kesahihan maklumat pada iklan berkenaan.
Orang awam disarankan untuk melayari http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/website/waspada-belian-ubat-online bagi mendapatkan panduan, tips dan e-poster berkaitan kempen waspada pembelian ubat online.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi, Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Artikel sumbangan: Normawati Binti Mohamed Noor, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Kawalan Iklan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selepas sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, hari raya adalah hari kejayaan, kegembiraan dan kemeriahan. Kegembiraan sambutan Aidilfitri tergambar apabila masing-masing memakai baju baru, seluruh ahli keluarga berkumpul dan ziarah-menziarahi sesama saudara. Amalan saling menziarahi rumah terutama dalam kalangan saudara terdekat dan sahabat handai adalah satu tradisi yang sentiasa diamalkan sewaktu Aidilfitri.
Bukan itu saja, amalan rumah terbuka juga turut merapatkan hubungan dalam kalangan keluarga dan sanak-saudara. Menerusi amalan ini, seluruh ahli keluarga yang jauh dan dekat dapatberkumpul dan pastinya momen ini terlalu indah dan akan dipahat dalam minda. Begitu juga yang dikongsikan oleh tiga figura yang menjadi penghias muka hadapan majalah Mingguan Wanita istimewa Aidilfitri kali ini. Zarina Zainuddin, Wilma Muhammad dan Datin Mas Anizan, ketiga-tiga mereka memegang status sebagai isteri dan ibu glamor dan akui sambutan hari raya mereka sangat indah terutamanya apabila melihat anak-anak gembira di pagi raya.
Wilma – Memori Sambut Raya Pertama Di Mekah
Usianya sudah mencecah 46 tahun namun pelakon yang pernah popular menerusi filem Pasrah dan Ghazal Untuk Rabiah, Wilma Muhammad tetap anggun. Ibu kepada lima cahaya mata ini juga tidak pernah lekang dari senyuman sepanjang sesi fotografi berlangsung.
Menyentuh mengenai hari raya Aidilfitri, sebagai seorang isteri dan ibu sudah pasti Wilma mahukan yang sempurna dan terbaik untuk anak-anak dan suami. Namun wanita ini sentiasa mendidik anak-anak agar mengamalkan kesederhanaan dan mengelak dari pembaziran.
“Sememangnya sejak dari kecil anak-anak saya sudah didik untuk amalkan kesederhanaan. Jangan berlebih-lebihan kerana akan menyebabkan pembaziran. Bukan saja amalan ini dipraktikkan pada bulan Ramadan dan Syawal namun saya sentiasa sematkan dalam diri mereka agar bersederhana selalu. Bila tibanya hari raya contohnya baju raya tak semestinya sentiasa bertukar yang baru setiap tahun. Kalau baju raya tahun lalu masih elok dan muat dipakai, jadi tak perlu dibeli. Kalau dah tak muat barulah cari yang baru. Jadi anak-anak saya ada yang dapat baju baru, ada yang pakai baju lama. Mereka tak kisah sangat tentang baju baru, tapi mereka nak duit raya lebih,” ungkap Wilma sambil tertawa kecil.
Amal Konsep Bersederhana
Wilma juga menerangkan dia berasa bertuah kerana anak-anaknya sudah memahami konsep mereka bersederhana dalam membuat persiapan raya dan kelima-limanya tidak banyak ragam.
Ditanya destinasi mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri tahun ini, Wilma yang juga berasal dari Lahad Datu, Sabah ini cuma menyambutnya di ibu kota, Kuala Lumpur.
“Tahun ini giliran berhari raya di rumah adik saya pula. Jadi semua keluarga akan berkumpul macam pulang ke kampunglah di rumah adik saya itu. Jadi tahun ini tak buat rumah terbuka sebab raya di rumah adik jadi dialah yang buat,” kata Wilma sambil melemparkan senyuman.
Menyentuh mengenai juadah hari raya yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, Wilma menerangkan pada kebiasaanya mereka akan menyediakan lemang dan rendang Tok di pagi raya.
“Dua menu tradisional ini memang jadi kegemaran saya, suami dan anak-anak. Ada lemang dan rendang Tok pun dah cukup, sudah semestinya juadah ini wajib ada di meja makan. Kuih raya pula anak perempuan akan buat sikit. Biasanya mereka juga akan membuat kek. Kuih raya lain yang jadi kegemaran kami sekeluarga tat nenas dan biskut suji.
Selain berkongsi kisah kemeriahan di pagi raya, Wilma juga punya momen teristimewa yang tidak akan dilupakan ketika melakukan ibadah umrah pada hari raya pertama.
“Ketika itu saya rasa cukup tenang. Dapat melakukan ibadah dengan aman. Paling seronok bila dapat tawaf Kaabah pada raya pertama sebab masa tu rasanya Kaabah tu kita punya seorang. Sebab orang tak ramai sangat macam biasa. Selain melakukan ibadah saya juga sempat menyambut raya di rumah kawan di Mekah. Paling tak boleh dilupakan bila kena naik banyak tangga untuk sampai ke rumahnya,” sambung Wilma yang akui berasa sangat seronok apabila dapat berhari raya di Mekah ketika itu.
Kuatkan Iman & Istiqomah
Bekas peragawati yang pernah membawa watak seksi dan menggoda satu ketika dahulu mengubah cara hidupnya untuk menjadi Muslimah sejati selepas berkahwin dengan arwah suami pertamanya, Mahir Effendi.
“Selepas berkahwin, saya tinggalkan industri hiburan sebab nak fokus dengan kehidupan berkahwin dan mahu tukar cara hidup, mahu lebih fokus pada suami, anak-anak dan keluarga pada masa itu. Bila saya pakai tudung semua terkejut. Mana tidaknya, dari seorang yang seksi dan kemudiannya berubah 360 darjah. Arwah juga tidak memaksa saya memakai tudung sebaliknya mendidik untuk saya berhijab. Lagipun saya memang nak tukar cara hidup dari tersangat seksi dalam filem dan mahu dekat diri dengan Allah.
“Bahagia itu datang bila kita letakkan Allah sebagai Cinta Utama dan Abadi. Insya Allah, Yang Maha Esa akan bagi ketenangan dan rahmat. Saya juga selalu berdoa supaya Allah kekalkan dan kuatkan iman saya untuk terus istiqomah,” luah Wilma Muhammad yang kini bahagia bersama suami kedua yang juga seorang ahli perniagaan dan anak-anak.
Air Tangan Datin Mas Anizan Penyeri Juadah Sekeluarga
Orangnya cukup jelita dan manis. Walaupun baru pertama kali bersua wajah namun Datin Mas Anizan Mohamed Shahid atau lebih mesra dipanggil Mas Anizan, 46, melayan penulis dengan cukup baik. Karakternya yang lemah lembut dan merendah diri menyerlahkan personalitinya sebagai seorang isteri dan ibu yang penyayang. Berbual mengenai sambutan Syawal kali ini, Mas Anizan pulang beraya di kampung halamannya yang terletak di Perak.
“Setiap kali sambut raya sudah pasti anak-anak paling gembira. Anak pertama Mas Aliza, 24 dan kedua Muhamad Masli Danail, 19, masing-masing dah besar jadi hari raya bagi mereka sederhana. Berbeza dengan anak ketiga kak Mas, Ariana Marrisa, 5, dia paling seronok apatah lagi bila sampai di kampung dan berjumpa dengan sepupu-sepupunya. Dia akan sibuk bemain-main sehinggakan saya, mamanya pun dia lupa. Sambutan raya kak Mas sekeluarga memang meriah sebabnya sanak saudara akan berkumpul bersama-sama. Pada masa inilah kami dapat berbual-bual dan berkongsi cerita tentang kerjaya dan kehidupan mereka. Maklumlah setahun sekali bersua.
“Menu wajib kak Mas di pagi raya semestinyalah nasi minyak. Kak Mas akan masak sendiri untuk keluarga. Kiranya air tangan kak Mas ni memang antara juadah wajib dihidangkan atas meja makan. Kak Mas rasa seronok bila dapat sediakan menu istimewa ini untuk ahli keluarga dan juga saudara mara yang datang berkunjung. Kuih raya kegemaran kak Mas pula sudah tentunya biskut makmur dan ahli keluarga lain pula suka pelbagai kuih raya,” ungkap Mas Anizan.
Bertanya tentang rumah terbuka pula, Mas Anizan akui keluarganya sentiasa terbuka menerima tetamu.
“Rumah kak Mas sentiasa terbuka (sambil ketawa). Memang kalau di kampung, 24 jamlah budak-budak tak putus-putus datang beraya. Selagi pintu tak tertutup kami menerima dengan hati yang terbuka. Bila lagi nak dapat suasana macam ni kan. Setahun cuma sekali saja,” kata Mas Anizan.
Rindu Arwah Tiga Anak Buah
Di sebalik keceriaan Mas Anizan menyambut hari raya, sebenarnya ada juga kisah duka yang tidak dapat dilupakan apabila kehilangan ahli keluarga yang tersayang.
“Kak Mas kehilangan tiga anak saudara serentak pada raya ketiga. Itu satu dugaan berat buat kami sekeluarga. Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat pada 2017 itu meninggalkan kesan yang amat sedih buat kami. Kerinduan pada arwah Muhd Syafiq Haikal, arwah Muhd Hafiz Iskandar dan arwah Muhd Harris Ikhwan sentiasa tersemat di hati. Malah kami sekeluarga juga sering terkenang saat-saat manis bersama tiga anak-anak ini terutamanya ketika hari raya,” luahnya dalam keadaan sebak.
Buat Come Back
Menyentuh pula tentang kerjaya seninya, Mas Anizan memilih untuk kembali berlakon setelah lama menyepi. Bakal beraksi di set penggambaran selepas cuti Aidilfitri dengan menjayakan tele drama untuk siaran TV3, pastinya kehadiran semula Mas Anizan bakal merancakkan suasana.
“Dengan izin suami dan atas permintaan pihak penerbit, kak Mas bersetuju untuk kembali sebagai pelakon. Tak nafikan, kak Mas juga berasa rindu setelah lama menyepi dari dunia lakonan. Selain itu kehadiran kak Mas kali ini juga bagi memenuhi permintaan peminat yang selalu bertanya bila kak Mas nak buat come back,” kata pelakon yang pernah membintangi filem Antara Gadis, sekaligus melonjakkan namanya ketika itu.
Untuk kembali beraksi di hadapan kamera, Mas Anizan telah membuat beberapa persediaan. Wanita cantik ini juga akui perlu bersedia meskipun terpaksa mengambil masa menyesuaikan diri.
Zarina Zainuddin- Adakan Rumah Terbuka Untuk Eratkan Kekeluargaan
Setelah sekian lama, kini Zarina Zainuddin teruja bercampur bersyukur apabila diberi peluang untuk membintangi drama bersiri bertajuk, 30 Pesanan Suara , terbitan Suhan Movie. Slot yang ditayangkan pada bulan Ramadan di slot Akasia, TV3 baru sahaja tamat pengambaran.
Ternyata penantian selama ini berakhir kerana dirinya sangat merindui untuk muncul di kata televisyen. Memegang watak antagonis sebagai Puan Intan membuatkan Zarina mampu melepaskan tekanan sedia ada. Membesarkan dua anak autism membuatkan figura ini tidak boleh meninggikan suara di rumah, oleh itu lakonan adalah platform untuknya melepaskan tekanan.
Ditanya tentang adakah dirinya akan memilih watak atau drama terlebih dahulu sebelum meneriwa tawaran lakonan, Zarina mengakui selain memilih watak dirinya juga cenderung untuk menitikberatkan jadual pengambaran agar sesuai dengan keadaan dirinya.
Malahan, dia tidak ketinggalan meminta izin keluarganya terutama suami sebelum menerima satu-satu tawaran lakonan. Baginya, restu suami dan anak-anak adalah elemen terpenting sebelum dia mengambil keputusan untuk menerima tawaran berlakon.
Setelah sekian lama terlibat dalam dunia seni, Zarina tidak nafikan dunia seni melalui fasa yang cukup berbeza dibandingkan di awal kemunculannya dahulu. Jika sebelum ini tanpa telefon bimbit dan internet, para pelakon yang terlibat dalam satu-satu drama atau filem akan menjadi seperti sebuah keluarga yang besar.
Sekarang ini apabila berada di lokasi penggambaran yang sama, masing-masing sibuk dengan hal masing-masing kerana sibuk dengan telefon bimbit sendiri. Hubungan antara pelakon dahulu adalah lebih rapat berbanding sekarang.
Bukan Tugas Yang Mudah
Ternyata membesarkan pasangan kembar Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 23 tahun bukanlah satu tugas yang mudah. Menurutnya, dia sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anaknya. Keadaan keduanya yang mengidap autisme membuatkan Zarina benar-benar mengambil berat tentang apa sahaja keperluan mereka.
Walaupun kdang-kadang sikap Zarina yang kerap melebihkan pasangan kembar ini mengecilkan hati dua lagi anaknya iaitu Muhammad Naim Azrai, 16 tahun dan Muhammad Adam Azrai, 13 tahun, tetapi apa pilihan yang ada. Dirinya sama sekali tidak pernah membezakan kasih sayang, namun anaknya yang normal terpaksa beralah dengan dua abang yang memerlukan perhatian lebih.
Baginya sebagai ibu, dirinya sentiasa inginkan yang terbaik buat anak-anak. Mereka adalah darah dagingnya, sudah tentu dia sama sekali tidak akan mengabaikan amanah yang Allah berikan buatnya untuk dipelihara dengan baik.
Jauh di sudut hati, Zarina berharap anak ketiga dan keempatnya memahami situasi yang dialami oleh pasangan kembar. Azal dan Azil kadang kala bersikap di luar sedar hingga mampu mencederakan diri sendiri, oleh sebab segala perhatian terarah kepada mereka.
Kerap kali juga Zarina melalui situasi getir apabila Razil mengamuk secara tiba-tiba seterusnya cuba mencederakan diri sendiri. Kadang-kadang Razil juga turut memukulnya, sebagai ibu yang melahirkan Zarina tidak pernah melenting kerana memahami keadaan yang berlaku bersebab.
“Sejak dahulu lagi, saya tidak kisah dengan pandangan orang luar tentang anak saya. Paling penting anak saya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengganggu orang lain. Saya juga telah berusaha pelbagai cara untuk memulihkan anak saya. Suami juga tidak jemu membantu saya,”ungkapnya lagi.
Berhijrah Demi Anak-anak
Biar pun berat untuk mengambil keputusan untuk berhijrah, tetapi ianya dibuat demi anak-anak. Anak-anak adalah dorongan paling kuat untuk selebriti ini mengenakan hijab.
Zarina mengharapkan penghijrahan ini akan menjadi contoh yang baik buat anak-anaknya yang semakin meningkat dewasa. Malahan walaupun telah hampir tiga tahun tampil dengan imej bertudung, terus terang dirinya masih berusaha untuk menjadi muslimah yang lebih baik.
“Apa yang telah berlaku pada saya telah Allah aturkan. Saya tidak pernah prejudis tentang orang baik adalah orang yang bertudung dan tak bertudung itu jahat. Paling penting adalah soal hati dan jangan sesekali paksa diri untuk berubah.
“Saya sendiri sudah lama ingin berubah tetapi Allah Maha Mengetahui, akhirnya Dia buka hati saya untuk berubah. Bila bertudung kita perlu jaga pakaian dan amal ibadat kita. Apa guna bertudung tetapi sikap dan perangai masih sama.
“Ramai di luar sana terutamanya artis apabila mereka kembali tak berhijab mendapat kecaman dari masyarakat, sebaiknya anda jangan sombong. Mungkin apa yang berlaku bersebab, barang kali dia belum bersedia dan dia sendiri berperang dengan perasaan. Perkara yang lebih utama, jaga diri kita dan perasaan orang lain,” katanya lagi.
Tambah ibu kepada anak empat ini lagi, selain peminat, anak-anaknya juga kerap kali menjadi pengkritik tetap kepada cara berpakaiannya. Anak-anaknya lebih gemar ibu mereka tampil ringkas dan tidak perlu bermekap tebal. Mereka juga tidak mahu ibu mereka terlalu berhias apabila keluar rumah.
Namun, Zarina sedari awal jelaskan bahawa dia terpaksa bersiap setiap kali keluar rumah kerana dia merupakan seorang selebriti malahan dalam masa yang sama seorang ahli perniagaan. Jadi penampilan perlu dititikberatkan, dari situ anak-anak mula memahami keadaan dirinya.
Persiapan Raya
Di samping itu, dari mata kasar mungkin ramai yang meramal bahawa Zarina seorang ibu yang garang. Sebenarnya Zarina seorang ibu yang penyayang dan berelmbut dengan anak-anak. Jarang sekali dia berkeras dengan anak-anak. Maklumlah ketika kecil dia pernah diasuh dengan tegas, jadi dia tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama.
Zarina cukup selesa menganggap anak-anak seperti kawan, jadi anak-anaknya tidak kekok berkongsi masalah bersama. Tatkala anak melakukan kesilapan, dia akan menegur dengan baik. Tetapi dirinya lebih banyak merajuk atau mendiamkan diri apabila ada perkara yang mengecilkan hatinya.
“Saya memang akan diam dan merajuk jika anak-anak buat salah. Anak-anak pun sudah faham kalau saya merajuk mesti ada benda yang tidak kena. Saya juga suka menangis, kadang-kadang anak-anak ambil kesempatan atas sikap saya,” ujarnya sambil berseloroh.
Tahun ini Zarina dan keluarga akan beraya di Kelantan iaitu di kampung halaman suaminya. Selepas itu akan pulang ke kampung opahnya di Parit, Perak. Jelas Zarina, dia sekeluarga bersama ibu-ibu saudara merancang untuk menganjurkan rumah terbuka untuk menyatukan ikatan kekeluargaan setelah sekian lama tidak berjumpa.
Telah menjadi kebiasaan selebriti dia mengadakan majlis terbuka di kampung dan kemudian apabila pulang ke Subang Jaya, dia akan mengadakan sekali lagi di sini untuk peminat, rakan artis dan juga pelanggan setia pulut kuningnya.
Lemang pulut hitam dan rendang tok adalah menu santapan wajib dia setiap kali tibanya syawal. Selain itu dia juga gemar memasak sendiri setiap kali hari raya.
*************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh tiga figura hebat Zarina Zainuddin, Wilma Muhammad dan Datin Mas Anizan ini, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Jun, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.
Tidak kira dalam pergaulan seharian ataupun medium tanpa sempadan, pasti anda pernah melihat wanita bergelar isteri tanpa rasa segan silu ‘bergurau mesra’ dengan suami orang ataupun lelaki bukan mahram.