Rasa cinta & tanggungjawab, Dayang martabatkan ritma melayu klasik jadi rujukan generasi baru. Hakikatnya bergelar seorang penghibur bukannya mudah. Apatah lagi untuk mengekalkan kualiti pada naskhah yang dihasilkan.
Siapa yang tidak kenal dengan sosok tubuh kecil molek Dayang Nurfaizah suaranya begitu menambat jiwa si pendengar.
Walaupun lebih 20 tahun dalam industri hiburan namun Dayang tidak pernah puas untuk menghasilkan karya terbaik. Air tangannya sentiasa dinanti oleh para peminat setia wanita yang berasal dari Sarawak ini.
Rasa Cinta & Tanggungjawab
Pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini, setiap kali tampilkan karya sentiasa mendapat perhatian ramai.
Baru sahaja tampil dengan album kontemporari klasik berjudul Belagu II yang juga merupakan kesinambungan daripada Belagu yang dihasilkan pada tahun lalu.
“Penghasilan album ini adalah salah satu daripada usaha saya untuk memartabatkan ritma Melayu klasik supaya terus malar segar dan menjadi rujukan generasi sekarang dan akan datang.
Ads
“Atas rasa cinta dan tanggungjawab, saya cuba merakamkan kembali lagu-lagu Melayu klasik ini dengan nafas dan susunan muzik baharu tanpa mengubah keindahan dan nilai sedia ada dalam karya-karya ini,” kongsi Dayang kepada Mingguan Wanita.
Bekerjasama Dengan Pemuzik Budapest Scoring Orchestra Untuk Belagu II
Ditemubual pada majlis pradengar album Belagu II baru-baru ini, dayang mengakui melalui proses yang cukup panjang dan rumit.
“Pembikinan album ini dibuat denagn sangat teliti, bermula daripada proses pemilihan lagu, nyanyian sehinggalah kepada gubahan muziknya.
“Proses yang panjang, tetapi sangat berbaloi melihat hasilnya.
“Saya juga tidak pernah terfikir dapat menimba pengalaman berharga bekerjasama dengan Budapest Scoring Orchestra, apatah lagi dalam projek istimewa pembikinan lagu Melayu klasik ini.
Ads
”Bangga bukan sahaja kerana peluang itu, tetapi apabila melihat bagaimana karya Melayu klasik kita dimainkan pemuzik luar yang turut sama mengakui akan keindahannya,” sambung Dayang.
Bakal Jayakan Konsert Istimewa
Dayang akui jadual seninya pada tahun ini agak padat, dirinya bakal tampil dalam sebuah konsert istimewa, Dayang Nurfaizah & MPO: Belagu yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas pada 11 Mac depan.
Dayang juga bakal beraksi di pentas AJL37 sebagai finalis menerusi lagu duetnya bersama Amir Masdi, Debu, pada 12 Februari depan.
“Jadual pada awal tahun 2023 ini agak padat dan menyaksikan saya terlibat dengan beberapa acara penting dan memerlukan persediaan yang sangat rapi.
Ads
“Mungkin orang fikir sebagai penyanyi berpengalaman, saya tidak ada masalah menyiapkan diri.
“Namun sebenarnya ia bukan perkara yang saya boleh ambil mudah. Sebaliknya memberi lebih tekanan kerana mahu memastikan penampilan saya itu hadir bersama kualiti yang diharapkan,” sambungnya.
Menjadi tugas dan tanggungjawab seorang ibu menjaga anaknya daripada kecil hinggalah dewasa. Tidak pernah merasa terbeban biar pun sekelumit. Ibu sentiasa berada di sisi anakanda tercinta tidak kiralah di kala sihat atau sakit. Kadang kala hubungan antara ibu dan anak tidak mampu digambarkan dengan kata-kata dan hubungan ini juga tidak akan terputus sampai bila-bila.
Wanita ini, Hasanah Hassan, 50 tahun, merupakan salah seorang ibu yang diuji. Anakanda yang dilahirkan sihat dan membesar sempurna secara tiba-tiba hilang upaya sekelip mata.
Empat Hari Koma
Sebenarnya, tiada apa kekurangan kepada anak remajanya yang kini berusia 23 tahun. Anak ketiga daripada empat beradik ini, Muhamad Adli Asyraf, seorang yang aktif bersukan. Sering bermain futsal, bola serta sukan lasak lain. Sehinggalah suatu hari di tempat kerja, ketika dia sedang bersarapan, dia terasa pipinya kebas sebelum tumbang.
Kongsi Muhammad Adli Asyraf atau mesra dengan panggilan Ayap, dia hanya sedar seketika dan bertanya kawan sekerjanya apa yang berlaku sebelum ambulan tiba dan kembali tidak sedarkan diri selama empat hari.
Apa yang menyedihkan, kesan daripada rasa kebas itu, tempurung kepala sebelah kirinya dibelah kerana terdapat darah beku dan pasukan perubatan mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan nyawanya.
Mengimbau kejadian yang berlaku pada 12 November 2018 lalu, Ayap sedang duduk bersarapan ketika kejadian. Tiba-tiba mukanya terasa kebas dan dia terus terjatuh dari kerusi.
“Kata kawan sekerja, semasa sedar selepas terjatuh itu, saya hanya sempat bertanya apa yang berlaku dan kemudian pengsan kembali. Masa dalam ambulan pun saya tak sedar sehinggalah tiba di hospital.
“Kata mak, dia cuba panggil-panggil saya tapi saya hanya mampu angkat tiga jari dan terus tidak sedarkan diri,” katanya yang dikejarkan ke unit pembedahan kerana hasil imbasan x-ray, terdapat darah beku di bahagian kepalanya.
Dibedah
Malah keluarganya juga tiada pilihan lain kerana perlu menandatangani borang persetujuan bedah dengan kadar segera kerana keadaannya kritikal. Lebih sebulan selepas sebahagian tempurung kepalanya, dibuang terdapat lekukan besar di kepalanya.
Sebagai ibu, sudah tentu pilu melihat perubahan ke atas diri anaknya. Bayangkan selama ini anaknya cukup aktif, tiba-tiba terdiam kaku dan tidak sedarkan diri. Tatkala mendapat perkhabaran daripada kawannya, dirinya menjadi hilang arah seketika.
Melihat keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri di hospital amat meruntun hatinya. Berkali-kali dia memanggil anaknya tetapi anaknya hanya mampu gerakkan tiga jari sahaja. Penantian selama empat hari bukanlah satu tempoh masa yang singkat, siang malam dia berdoa agar anaknya sedar.
Mustajabnya doa seorang ibu, selepas empat hari tidak sedarkan diri Ayap sedar dan orang pertama yang dicari adalah emaknya. Menitis laju air mata seorang ibu apabila anaknya kembali memanggil “emak”. Hasanah memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga.
Perubahan Positif
Sementara itu, jelas Hasanah, sebelum ini selepas pembedahan pertama keadaan Ayap lebih teruk. Hinggakan dia menguruskan segala keperluan anak bujangnya kerana Ayap tidak boleh berdiri dengan stabil.
“Kalau tak pegang dia akan jatuh. Perlu dibantu lagi. Alhamdulillah juga memorinya tidak terjejas kerana kalau itu yang berlaku risiko nyawa akan lebih terancam. Setelah pembedahan kedua, keadaan Ayap semakin bertambah baik.
“Kini dia mampu pergi ke bilik air sendiri tanpa bantuan saya. Sebelum ini memang 100 peratus saya bantu dia bergerak. Ada kalanya dia akan lepaskan tongkat dan jalan sendiri. Cuba saya awasinya dari jarak jauh. Tidak rugi kami luangkan masa dan wang ringgit untuk Ayap pergi fisioterapi. Kesannya amat positif,” ujarnya yang mulai sebak.
Ayap yang kini cuti sakit dan bekerja di Henry Butcher berkata, pada pembedahan pertama di KPJ Hospital Damansara, bil rawatannya mencecah RM83 ribu. Manakala pembedahan yang berlangsung pada 8 Januari 2019 yang lalu menelan belanja hampir RM52 ribu. Menurut bapanya, Jasni bin Abdullah, 56 tahun, kos rawatan agak tinggi kerana sebahagian tempurung kepala anaknya dibuang.
“Insurans dari pejabatnya hanya RM50 ribu. Nasib baik jugalah ketika bulan empat hari itu, saya baru pencen. Duit baki pembedahan sebanyak RM33 ribu itu saya guna duit bersara dan selebihnya duit daripada sumbangan orang ramai.
“Begitu juga pembedahan kedua, saya kumpulkan duit yang ada demi kembalikan anak saya yang dahulu,”katanya ketika ditemui di rumahnya, Blok B, PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Hasanah rindukan Ayap yang dahulu, sihat dan aktif.
Alami Penyakit AVM
Jelas doktor, Ayap mengalami penyakit Aeteriovenous Malformation (AVM). sebenarnya tidak ramai yang mengetahui mengenai penyakit AVM dan serangan AVM ini mempunyai gejala seperti sakit kepala yang teruk, muntah dan juga kejang di leher.
AVM disebabkan pembentukan tidak normal ketika bayi di dalam kandungan atau masalah konginental. Serangan itu tidak dapat dibuktikan ada hubung kait dengan keturunan dan tidak juga disebabkan oleh masalah persekitaran. Biar pun kurang arif tentang penyakit ini, Hasanah akan sentiasa pastikan dia berada di sisi Ayap.
Setiap kali Ayap mengalami emosi yang tidak stabil, sebagai ibu Hasanah cuba menenteramkan anaknya. Malahan dia cuba bersabar dengan perubahan sikap Ayab yang sensitif. Bagi Hasanah, mungkin apa yang berlaku pada Ayap adalah normal kerana perbezaan hidup Ayap dahulu dan sekarang.
Perubahan
Dahulu dia bebas bergerak, bekerja dan berkawan, kini segala-galanya berubah. Dia tidak mampu bersukan seperti selalu, malahan juga tidak punyai daya untuk melepak bersama kawan-kawan. Keadaan ini memberi kesan kepada emosi Ayap secara keseluruhannya.
“Saya bersyukur, anak-anak saya yang lain dan setiap ahli keluarga menyokong penuh Ayap. Kawan-kawan Ayap juga banyak luangkan masa datang ke rumah, memberi sokongan kepada Ayap. Dalam masa dua bulan ini saya cuba memahami dan menerima keadaan Ayap sebaik mungkin.
“Sebagai ibu saya berdoa Ayap akan kembali pulih dan sihat 100 peratus seperti dahulu. Saya mahu dia kembali aktif, dapat berkawan agar dia tidak murung dan sedih dengan nasib dirinya.
“Apa pun yang berlaku, saya dan Ayap perlu hadapi ujian ini. Setiap kali saya sedih, saya akan lihat gambar Ayap sebelum dia sakit. Gambar lamanya banyak memberi motivasi kepada diri saya untuk terus menyokong Ayap ,” ujarnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.
Bagi anda yang bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan demi meringankan beban keluarga ini, bolehlah salurkan bantuan ke akaun CIMB Bank atas nama Muhammad Adli Asyraf Jasni di nombor akaun 7057679401.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Pemergian Datuk Ismail Kamus pada pertengahan ramadan ibarat kehilangan sebutir permata yang tiada galang-gantinya. MW mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarganya. Al-Fatihah.
Pendakwah tanah air dan pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Datuk Ismail Kamus menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.30 tengah malam di kediaman beliau di Ampang.
Berita pemergian tokoh ternama tanah air itu dikongsi oleh Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia menerusi laman Facebook rasmi kira-kira tengah malam semalam.
“Tokoh pendakwah tanah air dan Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus telah kembali ke rahmatullah Jam 12.30 pagi, 8 Mei 2020 di kediaman beliau di Ampang.
“Semoga Allah SWT menempatkan beliau ditempat yang mulia di sisi Allah SWT ta’ala,” kata pusat perubatan berkenaan dalam Facebook.
Dimasukkan Ke Hospital Akibat Serangan Jantung
Allahyarham yang berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.
Menurut Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.
Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Ramai Yang Menzahirkan Ucapan Takziah
Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Dalam masa yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut berkongi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Ismail.
Di akaun Twitternya, Azmin mendoakan agar Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan diberikan ganjaran syurga Allah SWT. Al-Fatihah.
Sayu menerima khabar pemergian Al Fadhil Ustaz Dato Ismail Kamus yang baru sahaja kembali ke pangkuan Allah SWT. Semoga Allahyarham Ustaz dikurniakan husnul khatimah dan diberikan ganjaran syurga Allah SWT. Al-Fatihah. pic.twitter.com/lSroaX0f1p— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) May 7, 2020
Sumber: Astro Awani
MW: Perginya seorang insan yang mulia di bulan ramadan. Semoga Allah SWT menempatkan almarhum di kalangan para solihin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sungguh malang tidak berbau. Jodoh, ajal dan maut adalah ketentuan takdir tuhan. Baru seminggu kahwin dan inai masih merah di jari, Azimah Zahari, 31, kehilangan suaminya yang maut akibat kemalangan di Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Lubuk Kawah pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai Penolong Penyelia pasar raya di Temerloh menunggang motosikal dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.
Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.
Kejadian yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen selain bersedih dengan tragedi tersebut.
Majlis Perkahwinan 4 Februari Lepas
Azimah memberitahu, dia dan suami baharu sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 Februari lalu.
Ujar anak bongsu dari tiga beradik itu, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 17 selepas tamat waktu bekerja.
“Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada naik motosikal atau kereta. Tapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak ‘service’ motosikal.
“Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.
“Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu dan memang tak sangka, suami saya terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam beritahu pada saya,” kata Azimah.
Tambah Azimah, keadaan suaminya ketika itu dalam keadaan separuh sedar dan mengerang kesakitan sebelum dihantar ke hospital.
“Bila tiba di hospital, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.
“Lepas doktor cakap macam tu, saya betul-betul terkejut, tergamam… Macam tak percaya benda ni boleh berlaku.
“Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal,” jelas Azimah yang ditemui di kediaman keluarga di Kampung Baru Chenor di sini pada Sabtu.
Luah Rindu Pada Arwah Ibunya
Jenazah Allahyarham Hairul selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira jam 4.28 petang pada Sabtu.
Ujar Azimah, suaminya adalah seorang anak yatim piatu dan mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak 2016.
“Suami juga anak bongsu dari empat adik-beradik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari kejadian kecuali sebelum ini ada meluahkan rasa rindu pada arwah ibunya.
“Arwah seorang periang, suka tersenyum dan kuat menyakat dan kami memiliki hobi sama, suka ubah suai kenderaan tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya.
“Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” akui Azimah lagi.
Harap Kerap Selenggara Jalan
Dalam pada itu, dia berharap kejadian yang menimpa suaminya menjadi pengajaran pada semua pihak selain segera diselenggara sebaik mungkin oleh pihak terbabit.
“Itu lah laluan kami untuk balik kerja. Jalan tu selalu ada air dan saya perasan memang ada lubang.
“Jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki…. Cuma nyawa je tak melayang lagi.
“Sekarang, berlaku pada suami saya. Jadi, saya minta dan berharap, pihak berkaitan dapat baiki atau selenggara sekerap jalan itu,” tambah dia lagi.
Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di lokasi kejadian pada Sabtu mendapati laluan tersebut telah diturap.
Tempat terhad dan yuran RM100 sajerrrr.
Apa anda dapat jika jadi vendor?
* Ruang berniaga dan mempromosi bisnes di Fiesta Homebakers MW X CSR
• Link IG atau FB akan disenaraikan dalam artikel portal Mingguan Wanita
• Peluang memenangi produk CSR sebagai vendor paling aktif mempromosi
• Peluang memenangi produk CSR sebagai booth vendor paling cantik & kreatif
• Peluang memenangi produk CSR sebagai vendor paling pantas habiskan 200 biskut
sampel
• Sijil penghargaan penyertaan
• Diberi keutamaan untuk mengikuti siri fiesta yang lain.
• Apron dan topi chef eksklusif CSR
• Goodie bag dari CSR
Berbaloi-baloi. Dengan yuran RM100, anda menerima
ROI penyertaan sebagai vendor bernilai RM3,000!
#fiestahomebakersmingguanwanitacsr #himpunanakakakakbakers #ushaushabiskutraya #biskutraya2023
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...