Ekonomi tahun 2018 ini serba mencabar. Kenaikan harga barangan, pengenalan cukai GST sedikit sebanyak memberi tekanan kepada ekonomi rumahtangga. Mak-mak pastinya paling terasa sekali. Mana hendak mencari pendapatan sampingan mahu mengurangkan beban suami. Mak bekerjaya juga menerima kesan yang sama.
Bermula dari dapur, suri rumah mahupun mak bekerjaya boleh saja merancang belanjawan mereka dengan praktikal dan berhemah. Ikuti panduan 10 tip mudah praktis ini. Yang pastinya, akan membuatkan anda lebih menghargai apa yang ada di dapur anda.
TIP A ‘ATUR BELANJA DAPUR’
Buatkan jadual belanjawan dalam tempoh sebulan. Beli apa yang perlu dan rancang makanan yang mahu dimasak dalam bulan itu. Sebaiknya, senaraikan barangan dengan harganya sekali. Cara ini membolehkan anda melihat pergerakan wang anda pada bulan-bulan seterusnya.
TIP B ‘BIJAK KALA MEMBELI’
Maksudnya di sini, sebelum berbelanja, anda telah menyenaraikan keperluan. Jika tidak begitu mendesak, letakkan ia di senarai paling akhir. Ada duit lebih, barulah boleh dimasukkan dalam troli barangan.
Ads
TIP C ‘CERMAT KUASAI DAPUR’
Mak-mak yang hebat adalah mak-mak yang cermat menggunakan bahan mentah atau peralatan di dapur. Memasak ikut keperluan keluarga, bukannya ikut suka sehingga akhirnya tidak dimakan oleh anak-anak mahupun suami. Belajar dari orang tua ataupun banyakkan belajar agar mahir memasak sekaligus tidak menggunakan bahan mentah yang tidak diperlukan.
TIP D ‘DAHULUKAN APA YANG PERLU’
Jangan sesekali membeli keperluan yang tidak diperlukan oleh keluarga mahupun anak-anak. Katakan anda begitu teringin memiliki kuali berjenama yang memudahkan kerja-kerja memasak. Apa kata anda simpan sedikit wang dari belanja dapur itu. Setelah cukup barulah membelinya. Tahan keinginan dan elakkan berhutang.
Ads
TIP E ‘ENERGI DARI DAPUR’
Mencipta makanan yang enak tidak memerlukan anda membeli bahan mentah yang mahal. Jika pandai mengubah resipi mengikut citarasa anda dan keluarga itu sudah membolehkan suami dan anak-anak jatuh kasih dengan air tangan anda. Lihat apa yang ada di dalam peti ais dan ubah suai mengikut keperluan.
TIP F ‘FUNGSI SEPENUHNYA’
Gunakan sepenuhnya alatan yang ada di dapur anda selagi ia masih berfungsi dengan baik. Tidak perlu memasak berkali-kali. Memasaklah sekali sehari tetapi masih boleh dinikmati sehingga ke tengahari atau menjelang malam hari.
Ads
TIP G ‘GALAKAN KEMPEN BUAT SENDIRI
Mengapa perlu berbelanja lebih semata-mata mahu menikmati keenakan sesuatu makanan? Cuba belajar di internet dan buat saja sendiri. Sekarang ini banyak panduan dan teknik membuat makanan proses sendiri dengan bantuan carian di ‘google’.
TIP H ‘HALANG DIRI DARI BOROS’
Pernahkah anda membeli makanan dan akhirnya makanan itu dibuang ke tong sampah? Itu salah satu amalan pembaziran sekaligus menyusutkan nilai wang anda. Nasi yang berlebihan jangan dibuang, tetapi boleh digunakan untuk membuat nasi goreng atau diadun dengan tepung untuk dibuat cekodok.
TIP I ‘INGATAN BUAT KELUARGA
Tulis nota belian dan belanjawan ikut keperluan anak-anak di peti sejuk. Tujuannya mengingatkan anak-anak dan keluarga yang anda sebenarnya sedang menggalakkan kempen penjimatan di dapur.
TIP J ‘JIMAT LAGI MENJIMATKAN’
Rancang jika anak-anak mahu menikmati makanan kegemaran mereka. Beli bahan mentah bukan sekali guna, sebaliknya boleh digunakan untuk keperluan yang lain. Contohnya membeli seekor ayam, tetapi boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan untuk tempoh seminggu itu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Penyondol tak semestinya muda, usia bukan halangan jadi perosak rumah tangga. Dalam masyarakat hari ini, istilah “penyondol” semakin menjadi bualan hangat, terutamanya di media sosial. Istilah ini sering digunakan untuk merujuk kepada individu yang menjadi perampas dalam hubungan orang lain.
Penyondol Tak Semestinya Muda
Walaupun stereotaip sering mengaitkan penyondol dengan individu muda dan menarik, hakikatnya penyondol tidak semestinya muda. Ada juga individu berusia yang terlibat dalam situasi seperti ini, dan fenomena ini memerlukan perhatian lebih mendalam.
Usia Bukan ‘Halangan’ Jadi Perosak Rumah Tangga
Fenomena penyondol berusia bukanlah sesuatu yang asing, tetapi jarang dibincangkan secara terbuka. Mereka mungkin golongan yang sudah matang dan mempunyai pengalaman hidup yang luas.
Keinginan mereka untuk menjadi “penyondol” boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk emosi yang tidak stabil, masalah kewangan, atau keinginan untuk mencari keselesaan emosi yang dirasakan kurang dalam hidup mereka.
Kadangkala, golongan ini terlibat dalam hubungan dengan individu yang lebih muda daripada mereka. Hal ini sering kali dipengaruhi oleh faktor seperti keyakinan diri mereka yang tinggi, daya tarikan intelek, atau kemampuan kewangan yang lebih kukuh.
Faktor Penyumbang
Kesepian dan Kekurangan Perhatian
Sesetengah individu berusia mungkin merasa kesepian akibat perkahwinan yang gagal atau kehilangan pasangan hidup. Situasi ini menyebabkan mereka mencari kebahagiaan dan perhatian dari hubungan baru, walaupun ia melibatkan orang yang sudah berpasangan.
Kekuatan Ekonomi
Ada juga kes di mana penyondol berusia menggunakan kestabilan kewangan mereka untuk menarik perhatian pasangan yang mereka ingini. Dalam keadaan tertentu, daya tarikan material menjadi alat yang efektif bagi mereka.
Krisis Usia Pertengahan (Midlife Crisis)
Pada usia tertentu, sesetengah individu menghadapi krisis identiti dan emosi. Ini boleh membawa kepada keputusan impulsif untuk mencari semula cinta atau kegembiraan dengan cara yang tidak disangka-sangka, termasuk menjadi penyondol.
Impak Terhadap Hubungan
Kehadiran penyondol, tanpa mengira usia, pastinya memberi kesan negatif terhadap hubungan sedia ada. Pasangan yang menjadi mangsa akan mengalami kekecewaan, rasa terkhianati, dan kesakitan emosi yang mendalam.
Dalam konteks keluarga, ia boleh merosakkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa, menjejaskan kepercayaan, dan meninggalkan luka yang sukar untuk sembuh.
Untuk menangani isu ini, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai kesetiaan dan hormat dalam hubungan. Pendidikan mengenai pentingnya menghormati batasan dalam hubungan orang lain perlu diterapkan dalam masyarakat, tanpa mengira usia.
Individu juga harus diajar untuk menghargai hubungan yang mereka miliki dan menangani masalah peribadi mereka dengan cara yang matang tanpa merosakkan kehidupan orang lain.
Penyondol tidak mengenal usia. Sama ada muda atau berusia, tindakan menjadi penyondol bukan sahaja mencerminkan kelemahan peribadi tetapi juga merosakkan keharmonian sosial.
Sebagai masyarakat, kita perlu menanamkan nilai-nilai kesetiaan, hormat, dan tanggungjawab dalam setiap hubungan untuk memastikan kesejahteraan emosi dan sosial kekal terpelihara.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak semua dikongsi di media sosial dan jika bahagia tidak semestinya perlu tayang semua kpada umum. Semuanya bergantung kepada pilihan masing-masing dengan tujuan dan keperluan sendiri.
Segelintir daripada kita teruja berkongsi kebahagian dan setengahnya selesa menyorok setiap kegembiraan kerana inginkan privasi. Oleh sebab itu tak semua yang memilih untuk berkongsi segalanya di media sosial.
Zaman ni, bukan hanya soalan bila hendak kahwin, bila hendak ada anak, bila hendak tambah anak saja yang akan ditanya tanpa menjaga sensitiviti orang.
Tapi soalan kenapa sudah lama tak update pasal suami, kenapa sudah lama tak update pasal isteri, kenapa sudah lama tak update pasal keluarga dekat laman sosial ini pun sudah mula menular di kalangan para prihatin dengan isu semasa.
Percayalah semua yang dibuat, semua yang diupdate, semua yang tak diupdate semuanya ada tujuan dan sebab tertentu.
Tak Semua Dikongsi, Masing-masing Ada Tujuan
Ada yang update mungkin sebab hendak simpan kenangan dalam facebook, ada yang tak update mungkin sebab dia tak nak tunjukkan sangat tentang keluarga dia.
Pendek kata semua yang dibuat atau sengaja dibuat adalah bersebab. Dan yang paling pasti bukti kebahagian seseorang itu bukan terletak pada berapa kerapnya pasangan itu update pada media massa.
Ada yang update sebab dia memang betul-betul tengah bahagia dan dia hendak kongsikan kebahagian dengan semua kenalan di muka buku.
Ada yang tidak update sebab dia nak jaga privasi dia dan pasangan. Bukan sebab dia tak bahagia.
Ada yang update sebab dia hendak mengelirukan atau nak memberitahu atau nak menutup ketidakbahagiaan dia bersama pasangan di media massa.
Update Bersebab Tak Semua Dikongsi
Semua yang dilakukan oleh pengguna muka buku hari ini adalah bersebab.
Mak, ayah, kalau benar anda perihatin, doakan yang baik-baik tak perlu muqaddimah kepada dosa dengan bertanya hal-hal yang tak sepatutnya anda tanya. Jaga diri, jaga keluarga sebaiknya.
Yang hidup PJJ (pasangan jarak jauh) dengan pasangan tu bertabahlah sentiasa jika kalian terpilih untuk tidak sentiasa bersama dengan pasangan.
Yang hidup sentiasa bersama bahagia itu juga bersyukurlah dengan kebahagiaan yang diberi itu dan sentiasa berhati-hati dengan segala yang Allah beri.
Yang hidupnya sedang diuji dengan pasangan yang tidak membahagiakan pun bertabahlah dan sentiasa bersyukur mana tahu berkat anda sabar Allah jadikan andalah insan yang paling bahagia nanti.
Takkanlah bahagia dan tidak bahagia pun nak beritahu pada umum.
Jaga lidah, jaga tulisan jaga adab ketika bertanya. Jangan sampai soalan-soalan kalian itu menjadi punca kepada keretakkan rumah tangga orang lain.
MW: Jangan terlalu cepat menghukum dan melabelkan orang itu bahagia, orang ini tidak kerana jarang update media sosial kerana segalanya hak peribadi masing-masing. Paling penting jaga lidah dan jaga tulisan.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Diuji Rumah Tangga Musnah Di Tengah Jalan
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Alasan Sibuk Belajar
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Diuji Hadirnya Cinta Baru
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Diuji Suami Berkahwin Lagi
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Ibarat Roda
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Buat Analisis Dulu
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Ada Kekuatan
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!