
Jauh dari tanah air bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila tibanya Ramadan dan Syawal. Bagi Kak Tad, 49, wanita kelahiran Pulau Pinang yang kini menetap di New Plymouth, Ramadan di New Zealand sering mengundang rasa rindu terhadap suasana Malaysia yang meriah.
Namun bagi Kak Tad, perasaan rindu itu bukan alasan untuk membiarkan tradisi hilang begitu sahaja. Sebaliknya, dia bersama suami berusaha mencipta suasana Ramadan dan Syawal yang tetap hangat buat keluarga walaupun berada di perantauan.
Baca juga: Duduk Di Jepun, Ibu Kongsi Buat Murtabak Ayam Guna Roti Paratha
Keputusan Berhijrah Demi Kehidupan Baharu
Kak Tad berkongsi bahawa dia dan suami tiba di New Zealand pada 9 Ogos 2015, selepas melalui beberapa perbincangan mengenai masa depan keluarga. Keputusan untuk berhijrah sebenarnya dicadangkan oleh suaminya, terutamanya selepas mereka melalui detik kehilangan ibu mertua.
Menariknya, sebelum itu mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke negara tersebut. Namun akhirnya mereka memilih untuk mencuba kehidupan baharu dan menyesuaikan diri dengan budaya serta persekitaran yang berbeza.
“Prosesnya berlaku agak cepat. Kami berbincang dan akhirnya membuat keputusan bersama untuk memulakan kehidupan baharu di sini,” katanya.
Kini Kak Tad bekerja sebagai pekerja kasual di Egmont Honey Warehouse, sambil menguruskan keluarga dan kehidupan harian di negara orang. Walaupun jauh dari tanah air, kehidupan Ramadan di New Zealand tetap dijalani dengan penuh kesyukuran.
Ramadan Di Perantauan, Rindu Yang Tak Terungkap
Menurut Kak Tad, Ramadan di New Zealand terasa sangat berbeza berbanding di Malaysia. Apa yang paling dirinduinya ialah suasana meriah bazar Ramadan yang menjadi tradisi setiap tahun.
“Bila tiba Ramadan, memang terasa rindu. Di Malaysia, suasana bazar itu sangat meriah. Di sini tidak ada semua itu,” ujarnya.
Walaupun begitu, komuniti Muslim di sana tetap berusaha memeriahkan bulan Ramadan. Mereka sering mengadakan potluck, berbuka puasa bersama dan menyewa dewan untuk berkumpul bagi mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Aktiviti seperti ini sedikit sebanyak membantu mengubati rasa rindu terhadap suasana di tanah air, selain memberi peluang kepada anak-anak mengenali komuniti Muslim lain yang turut menjalani Ramadan di New Zealand.
Cipta Suasana Ramadan Untuk Anak-Anak
Bagi Kak Tad, sebagai seorang ibu, tanggungjawabnya bukan sekadar menjalani ibadah Ramadan, tetapi memastikan anak-anak tetap merasai suasana bulan mulia itu walaupun jauh dari Malaysia.
Di rumah, mereka sekeluarga akan mengadakan solat terawih berjemaah, tadarus al-Quran serta menghias rumah dengan elemen Ramadan bagi mewujudkan suasana yang lebih bermakna.
Kadangkala mereka juga menonton filem atau rancangan berkaitan Ramadan bagi mengekalkan memori tradisi yang biasa dirasai di Malaysia.
“Walaupun jauh, kami cuba cipta suasana Ramadan supaya anak-anak tetap merasainya,” katanya sambil menjelaskan bahawa pengalaman menjalani Ramadan di New Zealand memberi perspektif berbeza kepada keluarga mereka.
Cabaran Mendapatkan Bahan Masakan Tradisi
Selain kerinduan terhadap suasana Malaysia, cabaran lain yang sering dihadapi ketika menyambut Ramadan di New Zealand ialah mendapatkan bahan makanan tradisional.
Menurut Kak Tad, kebanyakan rempah ratus dan bahan kering masih boleh didapati di kedai Asia, manakala ayam dan daging halal juga tersedia di pasar tempatan.
Namun tidak semua bahan mudah diperoleh.
“Ikan kecil seperti kembung memang susah nak dapat segar. Biasanya kami beli yang frozen atau cari di kedai Asia,” jelasnya.
Kadangkala mereka juga perlu kreatif menggunakan bahan tempatan. Contohnya, ikan salmon dijadikan bahan untuk masakan seperti asam pedas bagi menggantikan ikan yang biasa digunakan di Malaysia.
Suami Ambil Peranan Sediakan Rendang
Menariknya, dalam keluarga Kak Tad, penyediaan hidangan raya juga menjadi tanggungjawab bersama. Setiap tahun, suaminya akan menyediakan rendang dan kuih raya menggunakan resipi warisan keluarga.
Resipi tersebut diambil daripada arwah ibu suaminya, bagi memastikan rasa tradisi itu tidak hilang walaupun mereka berada jauh dari tanah air.
Bagi mereka, makanan tradisi memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti budaya ketika menyambut Ramadan di New Zealand serta Aidilfitri bersama keluarga.
Raya Lewat Sehari Berbanding Malaysia
Satu lagi perkara yang agak unik bagi Kak Tad ialah perbezaan tarikh Hari Raya. Kebiasaannya, Hari Raya Aidilfitri di New Zealand disambut sehari lewat berbanding Malaysia.
Perbezaan ini kadangkala memberi rasa yang berbeza apabila melihat keluarga di Malaysia sudah terlebih dahulu menyambut hari kemenangan.
Namun bagi Kak Tad, yang paling penting ialah bagaimana keluarga kecilnya tetap dapat merasai kemeriahan Syawal walaupun menjalani Ramadan di New Zealand jauh dari kampung halaman.
Pengorbanan Seorang Wanita Di Perantauan
Bagi Kak Tad, hidup di perantauan memerlukan banyak pengorbanan, terutama dari segi emosi. Rasa rindu terhadap keluarga dan suasana di Malaysia memang tidak dapat dielakkan.
Namun sebagai ibu, dia memilih untuk tidak terlalu menunjukkan kerinduan tersebut di hadapan anak-anak.
“Kadang-kadang kita rasa rindu sangat, tapi kita cuba kuatkan diri supaya anak-anak tidak rasa sedih,” katanya.
Baginya, memastikan anak-anak tetap merasai nilai Ramadan dan Syawal adalah tanggungjawab penting seorang ibu walau di mana pun mereka berada. Kisah Ramadan di New Zealand yang dilalui Kak Tad ini membuktikan bahawa tradisi dan nilai kekeluargaan masih boleh dipelihara walaupun jauh dari tanah air.
@mingguanwanita Kami berpeluang menemuramah Kak Tad yang kini menetap di New Zealand hampir 10 tahun. Beliau berkongsi pengalaman menyambut Ramadan dan Syawal jauh dari tanah air. Walau jauh dari Malaysia, tradisi tetap dihidupkan demi anak-anak. Rindu bazar Ramadan itu pasti❤️ #mingguanwanita #wanitadiperantauan #ramadanperantauan #rayaperantauan #masukberanda ♬ original sound – Mingguan Wanita
Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




