
Isi Kandungan
ToggleBerdepan anak-anak zaman sekarang cabarannya memang lain macam. Bukan semua, segelintir mak ayah berdepan dengan masalah anak ponteng sekolah. Di mata mak ayah anak ke sekolah. Hakikatnya, bila mak ayah jauh dari pintu pagar, anak melencong ke tempat lain.
Tahu-tahu dapat panggilan dari pihak sekolah menyatakan anak tidak hadir untuk sekian-sekian hari. Permasalahan ini sememangnya berlaku dan Guru Bimbingan dan Kaunseling di SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee berkongsi info untuk mak ayah.
Apa perlu dibuat untuk memantau kehadiran anak-anak di sekolah.

Tahu-tahu Dah 3 Hari Anak Ponteng Sekolah
Isu ponteng adalah isu global sejak zaman tok kaduk lagi. Lebih dahsyat, bila anak pergi sekolah dengan memakai pakaian seragam tapi tak sampai ke sekolah. Melencong ke tempat lain.
Mak ayah mati-mati ingat anak ke sekolah. Rupanya tidak.
“Tuan. Anak tuan dah 3 hari tak sekolah. Tuan tahu tak?”
“Eh, cikgu. Anak saya pergi sekolah lah. Saya yang hantar dia setiap hari. Macam mana cikgu boleh kata dia tak datang sekolah?”
“Macam ni lah tuan. Apa kata kalau tuan datang sekolah. Kita bincang.”
Portal Semak Kehadiran Anak Ke Sekolah
Itulah antara dialog yang kerap kedengaran bila ada kes ponteng. Lebih perit, bila mak ayah hanya tahu anak tak datang sekolah bila dapat surat amaran pertama. Sedih betul.
Tapi sekarang, jangan risau. KPM telah memberi satu solusi kepada ibu bapa untuk menyemak kehadiran anak-anak di sekolah. Kiranya, anak tak boleh tipulah.
Macam mana nak semak? Senang saja.
https://public.moe.gov.my buka link ini. Lepastu daftar.
Kemudian pilih kehadiran. Nah. Semua nama anak tuan-tuan dan puan-puan yang bersekolah di sekolah kerajaan akan tersenarai. Pilih, dan semaklah kehadiran mereka.
Tolong cakna ya mak ayah. Kalau tak nak menyesal satu hari nanti.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Anak Sedih, Itu Jurulatih Mereka. Rayu Tolong Jangan Ambil Tindakan, Mereka Sayang Cikgu”

Isi Kandungan
Toggle“Anak sedih, itu jurulatih mereka. Rayu tolong jangan ambil tindakan, mereka sayang cikgu” begitulah yang diluahkan oleh bapa kepada salah seorang pemain bola tampar yang ditampar jurulatih.
Sebelum ini satu video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di laman media sosial.
“Anak Sedih, Itu Jurulatih Mereka.”
Seperti mana dipetik menerusi Sinar Harian, Juruteknik kilang, Abd Halim Bakar, 50 menyatakan apa yang berlaku mungkin sedikit kesilapan jurulatih berkenaan namun mengakui tamparan yang dilakukan tidak sehingga mendatangkan kecederaan kepada anaknya yang berusia 14 tahun.
Abd Halim juga turut meluahkan anaknya lebih merisaukan keadaan jurulatih itu kerana telah banyak mengorbankan wang ringgit dan masa untuk memastikan sukan bola tampar terus membangun.
Katanya, bukan seorang bakat anaknya yang digilap jurulatih berkenaan, malah anak yang berada di Tingkatan Empat turut diasah bakat oleh individu terbabit.
“Daripada tak tahu tentang bola tampar, sampai sekarang anak-anak saya telah dapat mewakili Melaka ke kejohanan bola tampar, sedangkan anak saya bersekolah kampung sahaja.
“Kadang kala mereka tak ada tempat nak berlatih, sampai ke kawasan tanah merah tapi jurulatih mereka tetap membantu dan berkorban masa untuk mereka,” ujarnya.
Tamparan Biasa & Tak Menyakitkan
Bapa kepada lima orang anak itu juga telah bertanya kepada rakan anaknya yang turut ditampar jurulatih terbabit dan remaja itu juga menganggap tamparan biasa dan tidak sehingga menyakitkan mereka.
“Anak sedih sebab itu jurulatih mereka dan mereka rayu tolong jangan ambil apa-apa tindakan, mereka sayang cikgu itu.
“Memang tak nak ambil tindakan pada cikgu yang banyak berbakti pada Melaka terutama bola tampar dan kami pun tidak berniat untuk membuat laporan polis,” tambahnya yang turut memberitahu anaknya bimbang sekiranya guru lelaki berkenaan dikenakan sebarang tindakan hingga tidak lagi menjadi jurulatih mereka memandangkan individu itu benar-benar ikhlas untuk melihat sukan bola tampar mampu menaikkan nama negeri Melaka.
Berlatih Bersama Sejak Di Sekolah Rendah
Jelasnya lagi, sejak anaknya bersekolah rendah lagi mereka telah berlatih dengan jurulatih tersebut sehinggalah sekarang anaknya berada di sekolah menengah.
Jurulatih itu juga telah berhubung dengannya dan memohon maaf malah berhasrat untuk berjumpa serta membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Pelik selepas dua minggu baru tular, namun tindakan netizen buat dia takut dan dia ambil masa sesuai untuk tenangkan jiwa.
“Dia (jurulatih) hubungi saya, dan dia bersedia datang minta maaf untuk bersihkan namanya,” katanya.
Abd Halim turut berasa pelik apabila insiden yang berlaku pada 16 Disember lalu di Johor tular selepas pasukan anaknya berjaya ke peringkat separuh akhir di Selangor yang mana ketika itu pasukan bola tampar Melaka mendapat tempat keempat.
Sumber / Sumber Foto : Sinar Harian
Rajinnya Datuk Sheila Majid Berolahraga Untuk Pastikan Badannya Sentiasa ‘Fit’
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Budaya Pelik Perkahwinan Serata Dunia

Perkahwinan itu merupakan penyatuan dua insan dalam satu ikatan. Daripada berstatus pasangan kekasih, mereka kemudian bergelar suami isteri yang sah dan diraikan mengikut adat dan budaya masing-masing. Walaupun begitu, masih wujud amalan pelik ataupun kepercayaan yang masih lagi diguna pakai sehingga kini. Khabarnya lagi, sekiranya amalan itu tidak diteruskan, kemungkinan besar perkahwinan pengantin tadi bakal ditimpa malang dan jodohnya tidak panjang. Berikut adalah ritual pelik lagi aneh yang masih kekal diamalkan bagi meraikan pasangan pengantin baru diseluruh dunia.
1. Juadah dari mangkuk tandas
Di Perancis sudah menjadi kebiasaan pasangan pengantin baru wajib menikmati hidangan istimewa. Tetapi selepas anda mengetahui cara makanan istimewa tersebut dihidangkan, pastinya anda akan memikirkan berkali-kali nak makan atau pun tidak. Ini kerana semua sisa makanan tetamu akan disatukan dan dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk khas menyerupai mangkuk tandas. Pasangan pengantin baru itu wajib menghabiskan makanan tersebut tanpa meninggalkan sedikit pun sisa-sisa. Sekiranya makanan itu tidak dimakan, pasangan pengantin baru itu perlu membayar cukai sebagai denda yang khabarnya cukup besar nilainya.
2. Bersedia dikotorkan
Di Scotland, pasangan pengantin baru akan disirami dengan sebaldi cecair yang merupakan gabungan apa sahaja bahan yang boleh didapati di dapur. Antaranya sos tomato, tepung, daging cincang, isi ikan dan apa-apa sahaja yang kotor. Ahli keluarga dan teman-teman kepada pengantin akan bergilir-gilir mengotorkan pengantin dengan campuran cecair itu. Setelah dikotorkan dengan sengaja, pasangan pengantin kemudian di bawa keluar dalam keadaan kotor sebegitu. Masyarakat di Scotland percaya, pengantin wanita terutamanya yang dikotorkan itu akan menjadi lebih kental dan kuat mentalnya dalam mendepani apa jua ujian dalam rumah tangga di masa depan.
3. Berkahwin dengan pokok
Tradisi perkahwinan di India cukup unik, ini termasuk ada juga pengantin yang memilih untuk berkahwin dengan objek. Perkahwinan ini dikenali sebagai ‘manglik’. Manglik merupakan perkahwinan di antara manusia dengan pokok, anjing sebelum mereka dibenarkan berkahwin dengan manusia. Bagi masyarakat disana, mereka yakin sekiranya pengantin itu tidak berkahwin dengan objek terlebih dahulu, dikhuatiri sama ada pengantin lelaki atau pengantin perempuan akan meninggal dunia sebaik mereka berkahwin nanti.
4. Ibu pengantin yang membawa malang
Dalam kepercayaan masyarakat Benggali pula, ibu kepada pengantin lelaki dan juga pengantin perempuan dilarang keras menghadiri hari perkahwinan anak-anak mereka. Ini kerana masyarakat di sana mempercayai wujudnya semangat jahat yang datang daripada ibu pengantin dan boleh mengancam keharmonian rumah tangga pasangan ini. Jadi jangan pelik ya kalau ibu kepada pengantin tak nampak pula kelibatnya di hari perkahwinan anak mereka.
5. Memanah pegantin perempuan
Di China salah satu daripada agenda ritual pengantin di sana adalah dengan mengadakan sesi memanah yang dilakukan oleh pengantin lelaki ke atas pengantin perempuan. Walau bagaimanapun anak panah yang digunakan oleh pengantin lelaki tidak mempunyai bahagian mata yang tajam. Lazimnya anak panah tersebut akan disasarkan oleh pengantin lelaki ke arah isterinya sebanyak tiga kali. Selesai sesi memanah, pengantin lelaki akan mengutip kembali anak panah yang telah digunakan dan mematahkannya kepada dua bahagian. Menurut kepercayaan masyarakat di sana, simboliknya penggunaan anak panah itu menunjukkan ikatan cinta pasangan baru berkahwin ini akan berkekalan selamanya.
6. Lebih berisi lebih baik
Jika pengantin perempuan lain sanggup mengikat perut, demi kelihatan jelita dan langsing di hari perkahwinan mereka, lain pula kisah pengantin perempuan di Mauritius. Pengantin perempuan di negara tersebut, diarahkan makan sebanyak mungkin bagi menaikkan berat badan. Katanya pengantin yang berisi lebih baik dan ia juga melambangkan kesuburan, kekayaan serta kemewahan. Untuk pengetahuan anda lagi, lelaki di Mauritius lebih cenderung mencari calon isteri yang berisi kerana ia lebih menawan.
7. Lamaran dengan menggunakan gigi ikan paus
Di Fiji tradisi yang masih terus diamalkan adalah dengan menggunakan rantaian gigi ikan paus sebagai sebahagian daripada tradisi melamar pengantin perempuan. Gigi ikan paus tersebut dikenali sebagai ‘tabua’ dan ia akan dipersembahkan kepada bapa bakal pengantin perempuan sewaktu sesi lamaran oleh pengantin lelaki. Hampir ke semua keluarga di Fiji menyimpan tabua bagi kegunaan anak-anak lelaki mereka terutamanya apabila tibanya masa mereka ingin melamar gadis pujaan hati.
8. Bersedia untuk diludah
Puak kaum Masai di Kenya masih lagi mengekalkan adat kepercayaan yang menjadi pegangan nenek moyang mereka sejak dahulu lagi. Di sini, tidak ada istilah, bercinta sebelum kahwin. Sebaliknya urusan perkahwinan diserahkan sebulat-bulatnya kepada orang tua dan mereka akan mengadakan satu mesyuarat bagi memilih calon suami yang sesuai untuk dijodohkan dengan anak perempuan mereka.Hanya apabila calon suami sudahpun ditemui, barulah majlis perkahwinan berlangsung. Di hari perkahwinan itu, lazimnya pengantin perempuan akan dibotakkan kepala mereka keseluruhannya. Kemudian kepala pengantin perempuan itu akan dilumurkan dengan lemak kambing yang telah dijadikan minyak. Bagi melengkapkan ritual tradisi itu, si bapa pengantin perempuan akan meludah ke bahagian kepala anaknya dan ke bahagian payudaranya simbolik restu,tuah dan nasib yang baik.
9. Putih
Secara normalnya, pemilihan warna putih cukup sinonim dengan pengantin. Ia merupakan lambang kesucian, peralihan dan penghormatan terhadap ikatan suci pasangan pengantin baru. Di Jepun, pengantin perempuan di sana akan menggenakan busana pengantin serba putih dilengkapi dengan solekan wajah yang putih. Ia merupakan simbolik kepada kesucian dan juga lambang keegoan seorang menantu perempuan terhadap ibu mertuanya. Ini kerana pengantin perempuan disana akan memakai hiasan kepala khas yang memberi pengertian ego dan pentingkan diri. Selain itu ia juga menjadi simbol kepada kelembutan dan isteri yang mentaati sang suami.
10. Kasut pengantin lelaki
Di India, pengantin lelaki lazimnya akan menanggalkan kasut mereka sebelum melangkah ke upacara pernikahan. Sebaik kasutnya ditanggalkan, akan ada ahli keluarga pengantin perempuan yang ditugaskan untuk ‘mencuri’ kasut pengantin lelaki. Manakala pihak keluarga pengantin lelaki pula ditugaskan untuk mengawasi kasut si pengantin lelaki daripada dicuri. Sekiranya kasut tersebut berjaya dicuri, pihak pengantin lelaki perlu membayar denda untuk mendapatkan kasut itu semula.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Miss V” Tidak Terjaga Boleh Sebabkan Radang Pelvis,Jejaskan Kesuburan Wanita

Isi Kandungan
ToggleSekiranya terdapat sebarang perubahan pada cecair Miss V atau vagina, perlulah berjumpa doktor dengan segera, untuk memastikan sama ada ia disebabkan oleh radang pelvis ataupun jangkitan biasa.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai, Sungai Petani, Kedah, Dr. Norhayati Bt Kassim menjelaskan radang pelvis adalah keadaan di mana berlakunya jangkitan kuman di bahagian pelvis (uterus, saluran falopio, ovari dan kawasan sekitarnya).
Kebiasaannya, kuman yang menyebabkan jangkitan ini adalah chlamydia trachomatis dan gonorrhoea. Selalunya kuman ini ditularkan secara hubungan seksual.
Radang Pelvis tidak semestinya disebabkan oleh penyakit hubungan jenis (STD) semata-mata.
Ia juga boleh terjadi kepada pesakit yang menggunakan IUCD sebagai kontraseptif, disebabkan jangkitan yang berlaku semasa kelahiran, keguguran ataupun sebarang prosedur atau pembedahan di bahagian pelvis.
Ia juga boleh terjadi di kalangan pesakit diabetes yang tidak terkawal gulanya.
Kebarangkalian Mendapat Radang Pelvis Meningkat Jika Anda:
-membuat hubungan seks tanpa kondom
-berusia di bawah 25 tahun, kerana chlamydia biasa menjangkiti mereka yang masih muda
-aktif dari segi seksual pada usia muda
-mempunyai pasangan seks baru
-mempunyai beberapa orang pasangan seks
-mempunyai sejarah mengalami jangkitan kelamin, atau suami anda mempunyainya.
Simptom-Simptom Radang Pelvis
Biasanya pesakit akan mengalami tanda-tanda seperti :
-sakit di bahagian ari-ari ataupun bahagian bawah abdomen,
-sakit semasa membuang air kecil atau pun sakit semasa bersama suami
-berserta keputihan yang banyak dan berwarna kuning kehijauan dan berbau dari vagina
–diikuti dengan demam panas yang tinggi
-sakit pinggang belakang.
Apakah Komplikasi-Komplikasinya Terhadap Faktor Kesuburan Wanita?
Masalah kesuburan sebenarnya berlaku tidak kira jantina kerana statistik menunjukkan faktor lelaki dan wanita menyumbang kepada masalah kesuburan adalah sama.
Bagi wanita, ketidaksuburan disebabkan sistem peranakan bermasalah seperti ovari tidak menghasilkan ovum ketika ovulasi disebabkan pelbagai punca.
Antara puncanya, masalah ovari seperti menopaus awal, menghidap penyakit sindrom ovari Polisistik (PCOS), sakit kronik berpanjangan seperti diabetes, kanser atau kegagalan buah pinggang, kesan sampingan ubatan seperti kemoterapi atau pengambilan dadah, masalah genetik dan kemungkinan masalah radang pelvis.
Masalah radang pelvis ini selalunya menyebabkan keadaan di mana berlakunya pelekatan yang teruk di bahagian organ peranakan wanita dan risiko kecederaan ovari dan tiub falopio semasa proses mengeluarkan nanah atau abses semasa pembedahan.
Keadaan ini akan menyebabkan kesuburan wanita terjejas selepas pesakit sembuh dari jangkitan ini. Satu daripada lapan pesakit selalunya mengalami masalah kesuburan. Jika PID anda ringan dan cepat dirawat, kebarangkalian untuk anda hamil adalah tinggi. Satu episod PID tidak berkemungkinan menjejaskan kesuburan anda.
Jika anda menghidap PID yang teruk atau tidak dirawat, kebarangkalian tiub anda tersumbat adalah tinggi. Episod PID yang berulang meningkatkan risiko anda tidak dapat hamil. Kerosakan pada tiub falopio yang diakibatkan oleh PID juga meningkatkan risiko kehamilan luar rahim.
Pencegahan & Langkah-Langkah Awal Bagi Mengelakkan Radang Pelvis
-Mengamalkan gaya hidup sihat,
-Elakkan hubungan kelamin secara bebas, ataupun hubungan seksual secara selamat dengan menggunakan kondom,
-Elakkan bertukar-tukar pasangan, dan yang paling penting menjaga kesihatan luar dan dalam.
-Elakkan penggunaan ‘douching’ kerana ini akan mengganggu keseimbangan pH dan normal flora di dalam vagina.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI