Mual, muntah dan pening ketika fasa awal kehamilan mungkin dianggap perkara biasa. Namun gejala ini bukan dianggap biasa jika wanita hamil muntah lebih 3 hingga 4 kali sekali, pening sepanjang hari sampai nak makan dan minum pun tak boleh? Asal masuk je mesti keluar balik, tak boleh nak ditahan-tahan lagi.
Komplikasi alahan yang teruk ketika hamil ini sebenarnya dikenali sebagai gejala Hyperemesis Gravidarum. Namun ramai orang yang tak faham situasi ini kerana tidak mengalaminya sendiri dan lebih teruk menganggap wanita hamil mengada-ngada.
Berikut merupakan perkongsian oleh BelNawhen yang merupakan seorang jururawat sebagai rujukan. Mohon fahamkan dan hadam perkongsian ini.
Hyperemesis Gravidarum ni merupakan satu keadaan bila mana si ibu muntah berlebihan semasa hamil.
Bagi kes Hyperem ini, ibu biasanya akan hilang selera makan kemudian muntah lebih dari 3-4 kali sehari, bukan hanya bila makan makanan, minum air masak pun akan muntah-muntah. Ini akan sebabkan si ibu mula dehidrasi dan berat badannya susah untuk naik sewaktu hamil.
Elektrolite (Garam-garam dalam darah) dalam badan juga jadi tidak seimbang. Apabila ujian air kencing dilakukan, air kencing ibu didapati ada ketones. Ketones adalah hasil metabolite apabila lemak dibakar untuk tenaga.
Apabila ibu tidak makan, tidak ada karbohidrat yang mahu digunakan sebagai sumber tenaga, badan akan membakar lemak untuk keperluan tenaga itu sendiri maka ketone terhasil.
Punca utama Hyperem ini tidak dapat dikenalpasti tapi biasanya keadaan ini dikaitkan dengan hormon yang dihasilkan oleh placenta semasa hamil iaitu HCG (Human Chorionic Gonadothopin)
Bagi kes ini ibu biasanya dikenalpasti melalui gelaja :
• Muntah-muntah lebih dari tiga atau empat kali sehari.
• Berat badan akan berkurang kerana muntah atau kurang 5% dari berat badan asal sebelum hamil.
• Mengalami dehidrasi gara-gara muntah.
• Tekanan darah akan menjadi rendah
• Pengsan
Percaya atau tidak, ada ibu dengan Hyperem ini nak jalan pun tak larat sampai perlu menggunakan kerusi roda gara-gara sudah kehilangan hampir keseluruhan tenaga kerana apa yang diambil akan dimuntahkan. Kerana itu, apabila mengalami gejala muntah berlebihan seperti ini, anda dinasihatkan pergi ke hospital supaya gantian elektrolite yang hilang akan digantikan dengan memberikan airan melalui intravena.
Bagi wanita yang bekerja, perkara ini memang menganggu tugasan mana tidaknya, sudahlah kerap perlu pergi ke tandas ada pula tu rakan-rakan tidak faham malahan menuduh pula si ibu mengada-ngada sedangkan perkara ini memang boleh terjadi kepada sesiapa pun.
Anda perlu tahu, hyperem ini akan berterusan hingga 14-16 minggu kehamilan. Ada tu berlarutan hingga melahirkan.
1.Bagi kes seperti ini, ibu akan dinasihatkan untuk mengambil makanan sedikit tapi kerap. Kerana jika perut kosong, maka rasa loya dan muntah akan menjadi lebih teruk.
2.Ibu juga dinasihatkan untuk mengelak apa pun jenis makanan yang boleh menyebabkan ibu loya.
3.Ibu juga dinasihatkan untuk banyak minum air masak ataupun jus bagi mengelakkan rasa loya dan muntah terjadi ekoran perut yang kosong.
4.Ibu dinasihatkan tidak makan makanan berunsur masam atau spesis jeruk kerana ia akan meningkatkan kandungan asid dalam perut kemudian anda cenderung untuk muntah.
5.Ibu juga akan diberikan ubat tahan muntah oleh doktor dan ia selamat untuk ibu hamil.
Tanggungjawab pasangan adalah untuk memberikan keselesaan emosi kepada si ibu. Muntah dan loya sewaktu hamil amat memenatkan ibu dan pasangan perlu bantu ibu dalam melakukan tugasan di rumah dan menjaga anak lain jika ada.
Bagi rakan-rakan sekerja, anda perlu faham bahawa tidak setiap wanita hamil mempunyai alahan yang sama malahan setiap kehamilan antara individu-individu adalah tidak sama.
Ada sahaja rakan saya yang alahan sangat teruk, gagahkan diri ke tempat kerja, sudahnya kami suruh pulang atau ke unit kecemasan bagi mendapatkan bantuan terapi intravena kerana apabila datang kerja pun dia tidak boleh berfungsi sepenuhnya. Kesian pun ada.
Hyperem ini tidak kira siapa pun boleh alami antaranya:
• Ibu hamil kali pertama
• Sejarah hamil sebelum dengan hyperem atau ada keturunan dengan gejala sama
• Hamil kembar
• Obesiti
Kalau diikutkan, siapa sahaja larat dan sanggup muntah-muntah setiap selang 5-10 minit? Nak berlakon muntah pun tak boleh punya.
Anda perlu tahu, Hyperem yang teruk, tidak dirawat hingga menyebabkan ibu dehidrasi, bOleh menganggu perkembangan janin dalam rahim kerana kurang zat makanan selain boleh menyebabkan kematian ibu.
Notakaki:
Janganlah pertikaikan ibu dengan alahan seperti ini jika diberikan sijil cuti sakit (mc). Doktor bukan suka-suka nak bagi cuti kalau tidak ada keperluan. Ingat, ibu hamil ni bawa dua nyawa iaitu nyawa sendiri dan bayi didalam kandungan.
#BelNawhen
#SayaJururawat
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber: Bel Nawhen
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!