Ajal, maut di tangan Tuhan. Pernah berjanji sehidup semati, selepas dijangkiti Covid-19, Allah jemput ibu ayah selang 24 jam sahaja.
Sudah tentu kehilangan kedua-duanya dalam masa sehari saja tentu memberi tamparan hebat buat keluarga ini.
Pihak MW mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Ramli Awang dan Salmah Shariff, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Pernah Berjanji Sehidup Semati
“Ibu dan ayah pernah berjanji sehidup semati. Selepas dijangkiti Covid-19, Allah jemput mereka selang 24 jam sahaja dan kami adik-beradik reda pemergian keduanya,” kata Zuriyani Ramli, 42.
Dia yang masih dirawat di Hospital Sik akibat positif Covid-19 berkata, ibunya, Salmah Shariff, 75, meninggal dunia pada 11.50 malam Jumaat lalu, selepas dimasukkan ke wad pada 11 malam hari sama.
Ayahnya, Ramli Awang, 83, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital sama pada 12 tengah malam semalam.
Zuriyani berkata, dia sempat membacakan surah Yasin dan mengajar ayahnya mengucap dua kalimah syahadah kerana mereka berdua dirawat di wad yang sama.
Selepas DiJangkiti Covid-19
“Sebelum dimasukkan ke wad, saya sudah seminggu demam dan batuk, namun demam sudah kebah dan saya ke hospital untuk mengambil ubat batuk pada Jumaat lalu.Namun, doktor meminta saya melakukan ujian saringan dan disahkan positif Covid-19.
“Saya kemudian meminta adik menghubungi ambulans bagi mengambil ibu dan ayah ke hospital kerana mereka menjadi kontak rapat di rumah. Keadaan ayah agak tenat kerana dia menghidap strok sejak beberapa tahun lalu, dan kerap demam.
“Ibu pula tidak demam kecuali batuk dan letih, namun selepas disahkan positif Covid-19, keadaan ibu menjadi tidak stabil dan meninggal di Jabatan Kecemasan Hospital Sik,” katanya.
Anak keempat daripada sembilan beradik itu berkata, dia menjaga ayahnya di rumahnya di Kampung Kota Bukit, Jeneri, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, manakala ibunya pada awal PKP itu.
Katanya, sebelum ini, kedua-dua mereka tinggal bersama adik lelakinya Rozainal, 31, yang masih bujang di rumah keluarga di Kampung Batu 9, Jalan Jeniang, dekat sini.
“Bayangkan pada malam pertama saya di wad, saya menerima berita kematian ibu, manakala ayah pula berada dalam keadaan tenat, hanya air mata yang menemani saya selepas tidak dapat melihat dan mengucup dahi ibu buat kali terakhir.
“Saya hanya fikir perlu kuat kerana masih ada ayah di wad, saya pergi menjenguknya dan membaca Yasin, namun pada tengah malam semalam, ayah pula pergi selamanya di hadapan saya,” kata ibu kepada lima anak ini.
Ads
Berniat Sambut Aidiladha Bersama
Zuriyani berkata, sebelum pemergian ibu dan ayahnya, mereka selalu menyebut untuk menyambut Aidiladha bersama anak dan cucu beramai-ramai.
“Namun, Allah lebih sayangkan mereka, ibu ayah adalah pasangan yang sangat bahagia dan menjadi contoh kepada anak, mereka selalu beri nasihat supaya kami tidak tinggal solat.
“Kini tiada lagi kata nasihat mereka dan jenazah ibu dan ayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 9, petang semalam,” katanya dalam nada sebak.
Tidak Tahu Bagaimana Dijangkiti
Zuriyani memberitahu, dia tidak tahu bagaimana dirinya boleh dijangkiti Covid-19 berikutan hanya berada di rumah menguruskan rumah tangga dan menjaga orang tuanya.
“Kelima-lima anak berusia antara enam hingga 20 tahun bersama suami Rasyidi Yaacob, 43, kini sedang dikuarantin di rumah, manakala adik-beradik saya turut difahamkan akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.
“Keadaan saya pula beransur pulih dan tidak mengalami demam lagi kecuali hanya mengalami batuk lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo ketika dihubungi memaklumkan, suami isteri itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sik pada Jumaat lalu, dengan gejala jangkitan salur pernafasan dan disahkan Covid-19.
Ads
Katanya, kematian pasangan itu adalah disebabkan masalah pneumonia akibat dijangkiti virus Covid-19.
Mingguan Wanita : Kehilangan mak, ayah sudah tentu sesuatu yang tak boleh diterima apatah lagi dalam keadaan pandemik sebegini. Semoga keluarga ini tabah dan kuat menerima ujian berat ini.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka pada 24 Julai 2021. Peserta diberi tunjuk ajar menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Tahu tak baja kulit telur ini cukup bagus untuk tanaman dan pokok bunga? Haaa… lepas ini jangan ke dalam tong sampah ya, ambil dan tumbuk jadikan baja untuk tambah nutrien pada tanaman di rumah.
Kalau ikutkan memang ada banyak jenis baja dipasaran yang boleh dijadikan sebagai ‘makanan tambahan’ buat pokok-pokok mahupun tanaman kesayangan agar menjadi lebih subur, segar dan membesar dengan sihat.
Tetapi tak salah kalau anda tambah dengan zat yang ada pada telur, tambah pula boleh dapat cara senang!
Menerusi perkongsian Norisniyati Abdul Hamid beliau berkongsi cara menghasilkan baja organik daripada sisa kulit telur yang cukup mudah dilakukan. Apa yang penting ia selamat digunakan, menjimatkan kos dan paling penting ia kulit telur dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Takde lah dibuang begitu sahaja.
Bahan-Bahan:
Kulit Telur
Cara Membuat:
1.Basuh kulit telur tersebut.
2.Jemur kulit telur pada cahaya matahari.
3.Tumbuk hancur kulit telur tersebut menggunakan lesung batu.
4.Taburkan pada pokok/ tanaman seminggu sekali.
Siap! Selamat Mencuba!
Sumber: Norisniyati Abdul Hamid (Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mulut orang memang susah nak ditutup. Ada yang terlebih ‘prihatin’ dengan keadaan diri kita.Baru-baru ini pelakon Datin Almy Nadia ada memuat naik gambar-gambar percutian keluarga mereka sekeluarga di Jerman. Namun sebenarnya ia lebih kepada mengikut suami, Dato’ Fizz Fairuz yang ada penggambaran drama di negara Eropah tersebut.
Pasangan bahagia ini dikurniakan dengan dua orang puteri yang comel dan Almy sendiri sedang sarat mengandungkan anak yang ketiga.
Namun apa yang menjadi isu apabila terdapat followers beliau yang terlebih ‘prihatin’ dan mempertikaikan keadaan Almy Nadia yang boleh naik flight walaupun sedang sarat mengandung.
Menjawab segala persoalan tersebut ini penjelasan oleh Almy Nadia sendiri di dalam Instagramnya;
“Sesi luah perasaan.. baca dan faham ok semua…. Terima kasih pada semua yang ambil berat pada saya,bertanya tentang kandungan saya, bertanya tentang due saya bila,bertanya bila saya nak meletop, bertanya girl atau boy.. ok meh saya jelaskan yerk.. Kenapa saya boleh naik flight kenapa saya boleh gi germany masa perut saya besar.. sebelum saya fly atau beli tiket flight saya bertanya pada doc saya ,minta pandangan,pendapat,jadi doc saya sendiri yang bagi kebenaran untuk pergi ikut en suami saya ke germany”.
Lakukan Pemeriksaan Dengan Doktor
“Jadi doc saya dah bekalkan surat untuk pastikan yang saya boleh fly.. jadi untuk makluman semua,jika anda mengandung atau pregnant tolong check dengan doc boleh atau tak naik kapal terbang? minta pendapat doc faham, bukan main naik ja, semua itu risiko”.
Ada Surat Doktor
“Doc saya siap pesan nak pergi ikut en suami saya boleh tapi balik before 10/11.Saya bagitau saya balik ok 8/11.. jadi syukur alhamdulillah semua selamat dengan nasihat doc,bukan saya main suka-suka naik kapal terbang faham, kastam pun tengok surat dari doc saya faham, diaorang takkan lepas tanpa surat doc faham..”
“Jadi moral of the story jika anda mengandung tolong jumpa doc dahulu faham,jangan dengar cakap orang faham, tanpa nasihat doc dan surat doc anda tak dibenarkan naik kapal terbang fahammmmmm. Harap penjelasan saya jelas yerk untuk semua.. tq tq”
MW: Jadi buat yang tertanya-tanya tu dan terlebih prihatin dengan keadaan kandungan Almy Nadia semoga dapat lebih faham dengan penjelasan ini. Pastinya, Almy Nadia sendiri tahu prosedur sebelum dibenarkan naik kapal terbang dan nak memastikan yang terbaik serta keselamatan anak didalam kandungannya.
10 saat. Itulah tempoh masa lif yang dinaiki Mansur Hussin terhempas. Dia masih trauma untuk menaiki lif.
Mansur, 64, adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
“ Mahunya saya tak trauma, lepas kejadian, saya takut naik lif seorang diri. Pagi tadi, saya berani turun untuk beli sarapan pun sebab ada orang dalam lif itu.
” Setelah siap beli sarapan, saya mahu naik ke rumah tapi tak berani. Saya tunggu orang naik lif sebab saya hendak naik bersama mereka.
“ Beberapa kali pintu lif buka dan tutup, tetapi saya tidak berani nak masuk.
” Akhirnya saya kata, Ya Allah, bukan kerana lif ini saya akan pergi. Saya tawakal dan terus masuk sahaja ke dalam lif itu.”
Mangsa diselamatkan oleh pasukan penyelamat dan penduduk setempat
Lapan individu cedera dalam kejadian pada 2 Ogos 2019 lalu. Lebih 10 tahun dia menetap di Blok C PPR Kerinchi, dan ini pengalaman kali kedua Mansur menjadi mangsa lif rosak dan terhempas secara tiba-tiba.
Kaki Lebam
Semasa ditemu ramah, kelihatannya dia masih trauma dengan apa yang berlaku. Walaupun dia hanya lebam pada kakinya, namun tragedi itu masih tidak dapat dilupakan.
“ Kejadian kali pertama, lif yang saya naik itu hendak menuju ke tingkat 3. Manakala kali kedua ini, lif yang saya naik itu mahu menuju ke tingkat 5.
” Pada saya, kejadian kali kedua inilah paling teruk saya rasakan sebab lif jatuh dari tingkat yang lebih tinggi. Rasa gayat itu lebih,” akuinya.
Pada hari kejadian, menurut Mansur dan mangsa-mangsa lelaki lain baru sahaja balik dari masjid selesai menunaikan solat Jumaat.
“ Sebelum pintu ditutup, naik seorang budak bujang (lelaki). Dia masuk dan naik tingkat 5. Sebaik sahaja dia keluar dari lif dan tidak sempat lagi pintu itu ditutup, lif itu terus terjatuh.”
Hanya Mampu Lihat
Nasib baik budak lelaki itu sempat keluar lif. Sebaik dia menoleh ke belakang, lif itu terus jatuh. Terus dia lari turun dan nak tengok apa yang terjadi.
“ Saya nampak kejadian itu kerana saya berdiri di bucu belakang lif. Masa itu saya nampak pintu tidak ditutup rapat. Lif terus jatuh. Saya hanya mampu tengok sahaja apabila lif itu turun ke bawah.
” Pada mulanya saya hairan kenapa lif itu tidak naik ke atas? Lif itu turun dengan laju. Rasa sayup (dalam hati) itu memang lain macam ketika itu.
“ Masa itu memang tidak ada bunyi apa-apa pun di dalam lif. Saya tidak tahu hendak buat apa. Nak beritahu mereka (mangsa-mangsa lain) tidak sempat, saya hanya tawakal sahaja, standby (bersedia) untuk benda (lif) itu akan sampai (ke bawah).”
Sempat Membongkok
“ Sebelum sampai (jatuh) ke bawah, dalam lif memang senyap. Semua tergamam dan terkedu. Hanya satu dua penumpang di dalam itu mungkin perasan benda (lif) itu jatuh. Saya nampak keadaan seperti tidak boleh buat apa-apa.
” Jadi saya membongkok sedikit sebagai persediaan sebelum lif pun sampai bawah (jatuh). Meletup (bunyinya) lif itu bila jatuh ke bawah,” imbaunya lagi.
Kata Mansur lagi, ketika lif itu hendak terhempas, tidak sampai 10 saat sahaja masanya. Dia nampak tingkat demi tingkat di hadapan lif ketika lif itu hendak terhempas.
Sewaktu hendak terhempas juga, suasana gelap di dalam lif kerana tidak ada elektrik. Butang lif tidak menyala. Hanya lampu kecemasan sahaja yang menyala.
“ Masa lif jatuh, tidak lama kemudian saya dengan bunyi orang mengerang kesakitan. Ada yang terlentang dan terduduk ketika lif terhempas.
” Saya tidak terduduk seperti mereka kerana sempat membongkok. Tetapi saya tidak boleh bergerak sebab ada orang jatuh atas kaki saya. Kaki sakit akibat ditimpa orang.”
Reda Dengan Kejadian Berlaku
Selama setengah jam Mansur dan mangsa-mangsa lain terperangkap di dalam lif sebelum diselamatkan oleh pihak Bomba.
“ Ramai orang di bawah cuba menolong untuk mengeluarkan kami. Tetapi mereka tidak boleh buka pintu yang tersekat. Bomba yang membuka pintu untuk mengeluarkan kami.
“ Semasa kami terperangkap itu saya lihat ada yang mengerang kesakitan. Saya kasihan pada budak lelaki berumur 10 tahun itu. Apabila ayah dia usik kakinya, dia menjerit kesakitan. Saya hanya mampu cakap pada budak itu agar bersabar,” tambah Mansur lagi.
Walaupun dua kali menjadi mangsa, Mansur reda dengan kejadian yang berlaku.
” Saya harap benda ini (lif) kalau boleh tukarlah. Kadang-kadang lif itu tidak berjalan (berfungsi). Maintenance datang usik itu usik ini hanya untuk bagi lif itu bergerak. Tetapi selamatkah lif itu untuk penumpang?” Akhirinya dengan pertanyaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...