Aik, pakai baju putih pun salah? Haaa… mesti penggemar pakai baju putih rasa tak puas hati. Sabar ya, baca dulu penjelasan daripada Ustaz Farid Rashidi kali ini, ada sebabnya bila terkaut dosa sekali. Jemput hadam dulu perlahan-lahan.
Pakai Baju Putih Tak Salah Tapi…
Trend sekarang ramai yang memakai baju kemeja putih, blouse putih atau baju t-shirt putih. Ada yang dipakai sedondon dengan pasangannya. Tahukah anda, salah memakai baju putih juga boleh mengundang dosa.
Eh, kenapa? Salahkah pakai baju putih?
Tak. Baju putih tak salah pun. Yang salah ialah cara memakai dan material yang digunakan si pemakai.
Hah? Suspennya!
Ingat tak, pernah masa belajar di sekolah dahulu, para ustaz, ustazah dan cikgu displin selalu pesan khususnya kepada pelajar perempuan supaya tidak memakai baju kurung putih yang nipis, jarang dan menampakkan warna kulit.
Pesanan mereka sangatlah betul. Bukan hanya peraturan sekolah. Ini kerana haram dan berdosa memakai pakaian putih (dan warna lain) yang nipis, jarang, menampakkan warna kulit dan aurat.
Sebenarnya bukan sahaja untuk pelajar sekolah, tetapi juga untuk semua perempuan di luar sana apabila usia mencecah aqil baligh. Tak kiralah, bujang trang tang tang ke, dah berkahwin ke, janda kak limah ke, mak budak ke asalkan yang namanya perempuan. Nenek tak payahlah, muntah hijau atok nanti.
Sebuah pesanan yang disampaikan oleh Saidatina ‘Aisyah dalam satu riwayat:
وعن علقمة بن أبي علقمة ، عن أمه قالت : دخلت حفصة بنت عبد الرحمن على عائشة وعليها خمار رقيق ، فشقته عائشة وكستها خمارا كثيفا
Daripada al-Qomah bin Abi al-Qomah, daripada ibunya berkata: “Hafsah binti Abdul Rahman (anak saudara ‘Aisyah) masuk menemui ‘Aisyah r.a ummul mukminin dalam keadaan Hafsah memakai tudung nipis di kepalanya. Lalu Aisyah r.a mengoyakkannya, kemudian memakainya tudung yang tebal.”
Juga menurut al-Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya Ithaf Sadah al-Muttaqin, jilid 3 /134 menyebutkan:
“Aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan.”
Katanya lagi:
“Syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya).”
Sebagai jalan selamat mengelak dosa, bila pakai baju putih, janganlah pakai baju dalam lain warna supaya tak jelas kelihatan dan pakailah baju lain untuk mengelakkan nampak warna kulit. Biar longgar, tebal dan tidak menampak bentuk badan.
Ya benar, putih itu suci. Tetapi boleh jadi putih itu bisa menjadi kotor akibat percikan dosa manusia.
Nak pakai baju putih, tak salah. Pakailah dengan bersyariat, tidak mendedah aurat. Jangan tunggu hingga orang lain yang tolong memakaikan tubuhmu dengan pakaian putih sudahlah.
Bantu share pesanan ini agar ramai kaum hawa berhati-hati ya. Diizin share ke seluruh sfera bumi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI