
Biasanya kaum perempuan kalau dia dah kahwin dan ada anak-anak kepalanya langsung tak fikir benda lain. Asyik-asyik suami! Pendek kata, segala-galanya yang dia rasa dan lalui setiap hari kalau boleh nak kongsi dengan suaminya.
Sebab itulah dia pantang kalau suami ada di rumah tapi mata dan tangan asyik pegang phone. Sampai satu tahap dia boleh rasa ‘dimadukan’ dengan gajet! Samalah dengan kes saudara Amir Syahir ini, baru dia faham dan selami kenapa perempuan suka sangat meluah. Nak tahu lebih dekat, jemput baca perkongsian lelaki berstatus suami ini…
Dulu aku macam tak kisah sangat bila isteri aku mengadu itu ini sebab aku rasa perkara kecil macam tu pun nak mengadu. Lama-lama baru aku faham. Isteri ni memang suka mengadu dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara. Kalau kita tak beri perhatian, dia akan cari medium lain untuk meluahkan perasaan.
Lagi bahaya kalau dia cerita kat media sosial. Habis satu dunia tahu perangai kau. Habis satu dunia tahu masalah kau. Siapa yang malu? Kau nak marah isteri pun tak boleh jugak. Sebab silap kau sendiri yang taknak dengar luahan hati isteri.
Tak mustahil jika kau terlalu sibuk untuk dia, akan ada orang lain yang sanggup luang masa untuk isteri kau nanti. Kalau sayang, luang masa. Jangan duk cipta alasan.
Macam isteri aku dia suka cerita pasal anak-anak murid dia. Kadang-kadang pasal isu hot kat sekolah. Hari-hari ada je la cerita. Melalui penceritaan dia sedikit sebanyak aku dapat memahami anak-anak istimewa dan bidang pendidikan ni.
Perempuan ni bila dah kahwin, dunianya adalah suaminya, anak-anak dan keluarganya. Dah kurang masa dengan kawan-kawan. Aku tengok isteri aku pun, kalau kawan nak ajak makan lepas sekolah memang dia tak pergi. Sebab dalam kepalanya fikir nak ambil anak dan pergi makan dengan suami. Itu lebih penting buatnya.
Sebab tu lah, suami adalah sahabat baik, sahabat susah senang. Dengan cara mengadu, bercerita itu ini dapat membuatkan dia bahagia dan senang hati. Apa salahnya luangkan sedikit masa dengar apa isteri nak cakap. Simpan sekejap telefon tu. Bukan dia minta duit seribu pun.
Sekalipun kau baru balik kerja dan penat, jangan sesekali hampakan keluhan hatinya. Kau tak tahu yang dia lagi penat. Mana dengan kerja, uruskan hal anak-anak dan rumah tangga. Apa salahnya beri dia sedikit masa kau dan pinjamkan sekejap telinga kau.
Suami yang baik adalah suami yang dapat menjadi seorang pendengar yang baik. Kerana bukan senang nak jadi seorang pendengar yang baik. Jangan manjang kau duk main telefon je!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
REZEKI SUAMI Masuk Mencurah-Curah Bila Layan Isteri Dengan Baik Hati

Memang ada benarnya, rezeki suami akan masuk mencurah-curah apabila tunaikan tanggungjawab, kewajipan dan layan anak, isteri dengan sebaik-baiknya.Realitinya, banyak contoh yang dapat dilihat, apabila semakin baik layanan pada pasangan, semakin dimurahkan rezeki berlipat kali ganda dalam kehidupan serta rumahtangga. Begitulah juga jika sebaliknya.
Hadam perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini.
Rezeki suami tak terus murah dengan adanya isteri.Tapi rezeki suami jadi murah bila suami layan isteri dengan baik hati.
Layanan tu yang membuka pintu rezeki suami. Dengan layanan baik hati suami, dengan tak berkiranya suami pada isteri, dengan suami tak abai dan tak culas tanggungjawab dan tugasnya pada isteri, ini membuatkan si isteri itu sentiasa mendoakan suami.
Artikel Menarik: “Saya SUSAH, Sedih, Kaya Isterilah Bersama Saya” – Isteri Itu Magnet Rezeki
Isteri bersyukur dijodohkan dengan suami sebegini.Isteri doa, isteri terima kasih pada Allah dan isteri nak Allah mempermudahkan lagi urusan seharian suami dalam mencari rezeki untuk keluarganya.
Banyak hak isteri yang suami perlu tunaikan. Banyak kewajipan suami yang suami perlu jalankan.
Penuhi hak dan kewajipan ini, berbuat baik dan layan isteri dengan penuh kasih sayang seperti yg dituntut oleh islam dan ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w, maka rezeki suami masuk mencurah-curah asbab kita dah buat apa yg wajib.
Bagi nafkah, wajib. Berbuat baik pada isteri dan anak-anak juga wajib. Layanan tu yang mendatangkan rezeki.
Semoga bermanfaat!
Mesti Baca:Suami Tiada Hak Atur Duit Isteri Bayar Itu Ini, Melainkan Diizinkan & Isteri Redha
Baca Lagi Di Sini: Suami Jangan Rasa Isteri BEBAN, Gembirakan Hatinya, Pasti REZEKI Datang Pelbagai Cara
Mingguan Wanita: Jadi pesanan buat para suami, nak rezeki masuk mencurah-curah, tunaikanlah tanggungjawab dan layan anak, isteri dengan sebaik-baiknya.
Sumber: Firdaus Shakirin
Betul ke wanita bekerja sebab bimbang bebankan suami?
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Ini antara tanda-tanda bila pasangan sayangkan kita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nikah Tak Jadi, Bakal Pengantin Cancel Saat Akhir, Peguam Syarie Nasihat Tuntut Ganti Rugi Di Mahkamah Syariah

Nikah tak jadi, bakal pengantin cancel saat akhir, peguam syarie nasihat tuntut ganti rugi di mahkamah syariah. Persiapan majlis perkahwinan memerlukan kos yang besar dan persediaan yang rapi. Namun, ada kalanya rancangan perkahwinan yang telah diatur rapi tidak berjalan seperti yang dirancang.
Nikah Tak Jadi, Bakal Pengantin Cancel Saat Akhir, Peguam Syarie Nasihat Tuntut Ganti Rugi Di Mahkamah Syariah
Terdapat situasi di mana majlis pernikahan tidak menjadi, dan sebagai gantinya majlis tersebut bertukar menjadi kenduri doa selamat. Dalam keadaan ini, bakal pengantin atau pihak keluarga mungkin mengalami kerugian besar dari segi kewangan dan emosi.
Bagaimanakah mereka boleh menuntut ganti rugi?
Berikut perkongsian daripada Peguam Syarie Kedah, Penang, Perlis, Perak & Selangor, Fahmi Ramli
Tetap teruskan majlis kahwin, walaupun majlis nikah batal. Sekarang viral satu video tentang seorang pengantin lelaki tak jadi yang sangat tenang memberikan ucapan kepada tetamu yang hadir walaupun majlis perkahwinannya tak jadi gara-gara dibatalkan oleh pihak perempuan.
Bila diselidik sikit, rupanya majlis sudah batalkan lebih daripada sebulan oleh pihak perempuan tapi pihak lelaki yang nak teruskan juga. Mungkin ada sebab tersendiri, misalnya sudah bayar tempahan katering, sewa dewan, kad kenduri sudah diedarkan lebih awal atau macam-macam lagi alasan.
Persoalannya, boleh ke pihak lelaki tersebut memfailkan kes di Mahkamah Syariah
kerana kos-kos yang telah dikeluarkan dan maruah keluarga yang tercalar? Mesti sudah bayar banyak benda untuk persiapan. Belum kira lagi dengan malu yang dihadapi keluarga perempuan tersebut.
Anda perlu ingat, bila dah bertunang dan menuju ke arah perkahwinan, anda sebenarnya telah terikat di sisi Undang-undang Keluarga Islam.
✅ Boleh ke tuntut gantirugi di Mahkamah Syariah?
Pertunangan itu boleh terjadi sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk melakukan kearah pernikahan pihak-pihak. Ketika bertunang, adalah haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang wanita yang telah bertunang.
Setiap Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri seluruh Malaysia ada diperuntukkan tentang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan gantirugi perkahwinan.
✅ Siapa yang perlu tanggung gantirugi?
Dalam undang-undang disebut pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu adalah bertanggungan untuk pulangkan:
a) pemberian pertunangan (jika ada)
b) memulangkan nilainya
c) membayar apa-apa wang yang telah dibayar oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu
Maksudnya, orang yang putuskan pertunangan itu perlu tanggung gantirugi dan perlu bayar kos kepada pihak yang diputuskan pertunangan tersebut.
✅ Apa yang boleh dituntut?
a) Belanja kenduri kecil-kecilan semasa majlis pertunangan seperti kos penyediaan makanan kepada tetamu, khemah, photographer dan lain-lain.
b) Baju pengantin untuk majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan. Sama ada telah dibayar secara penuh mahupun separuh.
c) Bayaran upah catering
d) Kad-kad jemputan kenduri
e) Pengubahsuaian rumah/bilik pengantin pihak yang diputuskan pertunangan tersebut. Contohnya kos renovate bilik, bilik air, perabot dan lain-lain.
f) Bayaran DJ & Photographer juga jika telah dibuat, boleh diminta gantirugi walaupun ia mungkin bukan keperluan asas perkahwinan.
g) lain-lain persiapan yang menggunakan kos hanya untuk perkahwinan
✅ Boleh ke nak tuntut kos maruah/saman malu sebab batalkan perkahwinan last minit?
Jawapannya tidak boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Saman malu adalah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Jika pihak yang dimungkiri itu rasa malu dan maruah tercalar, anda boleh buat tuntutan kos gantirugi am di Mahkamah Sivil.
Di Mahkamah Syariah hanya berkaitan dengan kos dan gantirugi yang menjurus kepada perbelanjaan persiapan perkahwinan sahaja.
Jadi, nasihat saya kepada bakal pengantin yang melalui isu yang sama, anda perlu membuat tuntutan ini di Mahkamah Syariah. Kos yang telah dibelanjakan untuk perkahwinan tersebut bukanlah murah zaman sekarang ini.
Kalau anda tidak bertindak, orang yang memungkiri janji tersebut akan merasakan hal ini adalah perkara kecil. Sedangkan, maruah yang tercalar serta penat lelah keluarga dan diri anda yang mengumpul duit untuk persiapan tersebut bukan satu perkara kecil. Bahkan ia sangat besar.
Sumber: Peguam Syarie Kedah, Penang, Perlis, Perak & Selangor, Fahmi Ramli
Baca artikel lain juga: Pasangan Hidap Barah Paru-paru Tahap 4, Lelaki Percepat Tarikh Nikah Saya Nak Jaga Dirinya Hingga Akhir Hayat
Nikah Isteri Yang Tiada Dara Baru Tersedar Pada Malam Pertama
Wanita Berstatus Isteri Nikah Lelaki Lain Tanpa Pengetahuan Suami
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sedih Bila Suami Sendiri Sindir Isteri Dah Macam Bibik!

Isi Kandungan
ToggleSedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.

Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Isteri tertekan, Selangor.
Baca di sini lagi:
Isteri Bekerja Kena Perbetulkan Niat Bantu Keluarga BUKANNYA Takut Ditinggal Suami
Nak ‘Gam’ Suami Pada Isteri Ada Caranya, Bukan Dengan Kontrol Ye!
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI