Penjaga cuai akan didenda. “Sesaat hilang dari pandangan ibu, anak meninggal terjerut tali bidai.’ Kes sebegini kerap terjadi kerana malang tak berbau.
Kadang-kadang dalam berjaga-jaga sekalipun, berlaku juga kemalangan di kalangan kanak-kanak. Parahnya hingga meragut nyawa seperti yang dilalui oleh bayi berusia setahun ini.
Sesaat hilang dari pandangan ibu, anak berusia setahun menemui ajal ketika sedang leka bermain di dalam bilik.
Itu kejadian berlaku baru-baru ini di Oldham, Greater Manchester.
Menurut laporan Mirror, anak kecil itu dikatakan sedang leka bermain bersama abang yang berusia tiga tahun di dalam bilik tidur di rumah keluarga mereka.
Dari Pandangan Ibu
Menerusi perbicaraan di Mahkamah Koroner Rochdale, dilaporkan ketika kejadian tragis itu berlaku, ibu mangsa meninggalkan bilik terbabit hanya seketika.
Namun apabila kembali semula ke bilik tersebut, si ibu mendapati mangsa sudah tiada dalam bilik berkenaan.
Ads
Dengan tangkas si ibu mencari, namun alangkah terkejutnya dia apabila menjumpai anak lelakinya itu sedang terjerut pada bidai di bilik hadapan.
Berhadapan dengan situasi cemas itu, wanita berkenaan terus memanggil suaminya dan bergegas mendapatkan jiran mereka yang merupakan seorang jururawat.
Ads
Difahamkan, jirannya itu sempat memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa sehingga pasukan kecemasan tiba sebelum dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Manchester.
Terjerut Tali
Pun begitu, kanak-kanak terbabit disahkan mengalami kerosakan otak dan atas nasihat doktor rawatan diberhentikan, mangsa meninggal dunia.
Selepas inkues tersebut, ibu mangsa memberi pernghormatan terakhir kepada anaknya dan menasihatkan ibu bapa agar menyedari risiko tali bidai terhadap kanak-kanak.
Wanita itu juga berharap agar orang ramai sedar bahawa bidai adalah sangat bahaya. Dia tidak mahu keluarga lain turut melalui insiden tragis pada Februari lalu seperti keluarganya.
Penjaga Cuai Akan Didenda
Sementara itu, kepada ibu bapa, tolonglah lebih berwaspada ya, perhatikan anak-anak kecil.
Ads
Di negara kita, ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam menjaga anak-anak mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak itu hilang, kemalangan atau kehilangan nyawa boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Kesalahan itu termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Jika disabit kesalahan, ibu bapa atau penjaga yang cuai boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Mingguan Wanita : Jadikan kisah ini sebagai pengajaran terutama mak ayah yang memiliki anak yang masih kecil kerana bahaya ada di mana-mana.
Orang yang berhati busuk tak mustahil akan melakukan perlakuan buruk, sihir cinta. Dalam al-Quran juga tercatat tentang sihir. Bermakna aktiviti ini memang wujud di tengah-tengah manusia dari dulu lagi. Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj menerima kiriman e-mel dari seorang isteri.
Tentang suaminya yang disihir cinta selepas sehari diijab kabul. Demi sayang wanita ini terus setia sampai 13 tahun lamanya. Sampailah akhirnya ini yang isteri itu alami.
Kisah Dari E-mel Isteri Yang Menderita Akibat Sihir Cinta
Saya amat tertekan sekarang. Tolong saya! Masalah saya adalah suami saya yang tidak mempunyai perasaan. Saya sudah berkahwin 13 tahun dengannya. Sebelum berkahwin dia amat penyayang dan romantik.
Selepas berkahwin keesokan harinya, dia terus berubah sama sekali. Saya masih mampu bertahan sampai sekarang demi anak dan juga famili. Mereka semuanya baik.
Saya tak tahan dengan sikapnya yang tak pernah ambil tahu perasaan saya atau apa saya buat.Saya tak boleh menyentuhnya sama sekali. Saya juga tak boleh berbual dengannya seperti pasangan lain.
Dia pernah menghalau saya jika saya sentuh atau cuba bermanja dengannya. Jika saya berbual dengannya dia akan suruh saya diam dengan nada menengking. Apa salah saya.
Saya pernah minta dia melepaskan tapi dia enggan. Saya mempunyai tiga orang anak dengannya. Seks juga mengikut kemahuannya. Saya tak boleh mendekati suami dan hanya dia yang boleh mendekati saya.
Saya amat sedih melihat orang lain bahagia dan mesra dengan suami. Tapi sayatak begitu. Saya selalu membawa diri bagi menenangkan hati. Pernah saya bertanyakan tidakkah dia mencintai dan menyayangi saya. Sebaliknya, saya yang dimarahi.
Katanya saya gila. Bukankah kita sudah berkahwin, kenapa nak tanya semua itu?
Saya bekerja, tapi suami cuma duduk di rumah. Masanya dihabiskan di meja komputer dan bermain piano. Sekarang saya nak tahu, saya gila atau dia yang gila? Sampai bila saya nak memendam rasa.
Tanda-tanda Gangguan Sihir Panggilan
1. Selalu alami mimpi ngeri
2. Bermimpi mendengar orang memanggil nama
3. Selalu was-was, selalu syak wasangka pada teman atau orang yang mencintainya termasuk isteri atau suami
4. Mimpi jatuh dari tempat tinggi
5. Mimpi melihat haiwan yang mengejarnya
Nasihat Untuk Mereka Yang Alami Gangguan Sihir
Bawalah suami berubat kerana agak mustahil kasih sayang boleh berubah selepas sehari disahkan menjadi pasangan suami isteri.
Biasakanlah diri mengamalkan bacaan surah al-Falaq
Sumber: Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Keluarga memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Sebelum berkahwin, tentunya mak ayah dan adik beradik adalah orang yang akan sentiasa ada di sisi saat susah senang. Mereka sentiasa ingin yang terbaik untuk kita. Wanita ini berkongsi tentang kisah cintanya yang tak direstui keluarga. Ikuti luahannya.
Jodoh Tak Panjang
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Terputus Di Tengah Jalan
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Alasan Sibuk Belajar
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Dalam Dilema, KL
Jawapan:
Dengan Nama Allah yang maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single”, dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Apakah Dianggap Curang?
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Ibarat Roda
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan boleh menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Buat Analisis Dulu
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Ada Kekuatan
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Hadapi Cabaran
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya , maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang terhadapnya.
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus.Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Sumber: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap mak tentunya inginkan yang terbaik untuk anakya. Begitu juga bila anak sudah berkawhin dan mempunyai pasangan. Sudah tentulah, sebagai mentua, dia ingin menantu sempurna dan dapat membahagiakan anaknya.
Mampukah keinginan mentua untuk dapat menantu sempurna itu tercapai. Rasanya, belum tentu dapat tapi sebolehnya menantu akan cuba jadikan yang terbaik. Cuma tak tahulah macm mana pula pandangan mentua pada dirinya.
Kita bukanlah sempurna. Baik mentua atau menantu, kita bukanlah yang terbaik dan mentua jangan terlalu berharap untuk dapat menantu sempurna, sebab sampai kiamat kita tak akan jumpa.
Perkongsian yang boleh dianggap agak ‘panas’ dan makan bila pendakwah memberi jawapan ‘pedas’ kepada salah seorang perempuan apabila ditanya tentang mentua yang merasakan menantu tidak sesuai dengan anaknya.
Dalam satu perkongsian di tiktor, tular tentang wanita Indonesia yang mengajukan soalan tentang menantu yang tidak sempurna. Namun, jawapan yang diberikan oleh pendakwah terkenal negara itu, Mamah Dedah cukup pedas.
“Saya baru sahaja mengizinkan anak berkahwin dan menerima menantu baru. Namun selepas mereka berkahwin, ternyata menantu saya itu tidak seperti yang saya harapkan. Dia tidak memenuhi ciri-ciri yang saya bayangkan sebelum ini dan saya rasa dia tidak sesuai untuk anak saya.”
Kemudian, soalan tersebut dijawab tenang oleh Mamah Dedeh dengan jawapan yang cukup memberi kesan kepada mereka yang mendengar.
“Kita harus memahami peribahasa ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Jika anda mengharapkan bertemu calon menantu sesempurna seperti dalam bayangan anda, sehingga kiamat tidak akan berjumpa orang seperti itu.
“Ada pepatah yang mengatakan ‘Insaan Mahalul Khatha wan Nisyaan’ yang bermaksud ‘manusia itu tempatnya adalah salah dan lupa’. Jangan terlalu cepat menghukum si menantu, ada baiknya kita muhasabah diri dahulu.
Adakah kita sudah cukup sempurna untuk mengharapkan yang sama?
Mingguan Wanita : Terimalah kelebihan dan kekurangannya. Sebab menantu di didik oleh mak ayahnya.
Dua beranak yang menjadi mangsa kes bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru disahkan maut akibat luka parah di leher ditetak senjata tajam jenis pisau pemotong daging. Polis masih menyiasat motif kejadian tragis ini.