
Selagi boleh, kebanyakan kita sanggup bekerja siang ke malam demi mencari duit lebih tetapi rezeki makin sempit malah kadang diuji dengan masalah yang anda sendiri tak boleh jangka. Ada yang mampu telan, akan terus bangkit, tetapi kalau yang jenis cepat serik pastinya buntu dan menangis.
Untuk keluarkan anda daripada masalah kewangan dalam dunia bisnes, mari betulkan beberapa sudut yang mungkin anda terlepas pandang. Jom baca perkongsian daripada Ebit Lew ini…
Malam tadi 11.50 malam pergi Bukit Bintang jumpa ramai orang. Seorang abang tanya saya, ustaz ebit lew kan? Syukur jumpa di sini. Saya berniaga ustaz. Macam-macam saya buat. Tapi hidup saya semakin sempit. Saya rasa tuhan tak adil pada saya. Saya dah buat macam-macam. Saya berusaha siang malam. Bukan tambah rezeki tapi tambah hutang jer. Masalah makin banyak. Dekat rumah pun semuanya jadi panas jer…saya dah buntu ustaz…
Abang, Allah sayang. Allah sayang kita. Mungkin malam ini jadi permulaan semuanya. Abang betul nak kelapangan dan kekayaan kan?
Yer ustaz. Sebab tulah saya berniaga.
Kaya tu bermula di sini. Tangan saya tunjukkan hati. Cuma disini. Bila syukur Allah tambah nikmat. Pertama syukur kita kenal Allah. Syukur kita Islam. Minta pada dia yang maha kaya. Jaga solat awal waktu abang. Maaf saya sebut orang jaga solat awal waktu tidak akan merungut dengan hidupnya. Dia sedih, dia susah, dia senang, dia kaya tapi dia rasa ketenangan dan rasa diri dekat dengan Allah. Sebab dia tahu,dia tak seorang. Dia sedang diuji oleh Allah yang maha baik..
Ya Allah, ustaz…saya mengaku saya selalu tinggal solat subuh. Solat lain pun lambat-lambat, kadang-kadang sibuk kerja tinggal..
Kedua abang, abang ada ibubapa. Ada isteri. Ada anak-anak. Ada ustaz. Hargailah mereka. Nabi saw bersabda yang terbaik di kalangan kamu, yang terbaik pada isterinya. Akulah orang paling baik terhadap isteri. Yakni Rasulullah saw paling baik pada isteri..jika nak lemah lembut. Paling lembut dan romantik pada isteri. Jika berdakwah paling banyak berdakwah pada isteri. Jika memberi hadiah atau sedekah. Paling banyak beri pada isteri.
Zaman ini ramai orang dengan ibubapa kasar. Buat mak bapa macam orang suruhan. Buat isteri macam orang gaji. Bagi makan sikit. Bagi tempat tinggal. Gaji pun takde. Balik rumah marah-marah. Pegang telefon 24 jam. Takde dah nak buat taklim. Ajak solat tahajud sama-sama. Beri isteri rehat sikit. Tolong buang sampah. Tolong jaga anak sejam. Bagi isteri masa nak mandi, nak solat, nak rehat sekejap.
Ya Allah, ustaz…saya memang kasar ustaz. Begitulah saya dalam rumah dengan keluarga. Ya Allah..
Abang kita sebenarnya telah kaya. Diberi keluarga oleh Allah. Tapi kita kejar kaya lain lupa doa yang dirumah itulah asbab ketenangan dan kekayaan dalam hidup ini.

Ketiga abang bekerja niat dakwah. Niat bangunkan orag lain. Kita marketing, jumpa orang, buat apapun niat utama kita nak bawa manusia yang lain kepada Allah. Bukan kepada diri kita. Walaupun difitnah, diumpat, dibalas buruk usahlah dilayan. Kita tak hidup untuk orang. Kita hidup untuk Allah. Allah punya semua. Sebarkan salam, beri makan, sebarkan senyuman. Beri nasihat. Barulah Allah bantu kita. Kalau seseorang jadi orang seseorang bila dia susah dia dibantu oleh orang itu. Bila kita jadi orang Allah. Bila kita susah Allah bantu kita.
Berilah masa buat dakwah. Bawa isteri sama-sama belajar iman dan berjuang di jalan Allah. Pimpin mereka masuk syurga.
Abang tadi mengalir air mata dari mula saya cerita. Sebab begitulah hati bila kita diuji. Sakit, ujian, keperitan seruan Allah kita balik pada dia.-ebit lew
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Menangis Jangan Terus Jerit, Suruh Diam! Mungkin Anak Ingin Perhatian

Isi Kandungan
ToggleAnak menangis jangan terus jerit, suruh diam atau pukul! Mungkin anak hanya ingin perhatian daripada mak ayah.
Kadang-kadang mak ayah terlalu leka dengan urusan harian atau kerja sehingga terlupa anak di depan mata perlu dimanja dan dibelai.
Bayangkan jika mak, ayah dianugerahkan anak-anak syurga atau orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mampu menguruskan diri dan hanya harapkan mak ayah untuk uruskan, pasti sukar bukan.
Oleh itu, layanilah anak anugerah Allah ini sebaik mungkin. Waktu kecil anak-anak hanyalah sekejap saja, suatu hari mak ayah pasti akan merindui momen-momen ini seperti mana yang dikongsi oleh Ustaz Firdaus Mokhtar ini.
Mungkin Anak Hanya Ingin Perhatian
Ada satu hari tu saya teman ummi pergi temujanji dengan doktor pakar di Hospital Sungai Buloh. Isteri ada sekali memandangkan sesi dia dengan pesakit sebelah petang.
Sedang menunggu giliran nombor terpapar dekat skrin tergantung atas kaunter, sampai seorang akak ni. Tolak anak dia atas kerusi roda. Berhenti betul-betul sebelah aku.
Aku pandang ke akak tu, dia pun balas pandangan. Dia senyum. Pemurah orangnya ni.
Anak dia mungkin sekitar umur 10 tahun kalau ikut saiz badan. Lelaki dan sedikit berisi. Anak kurang upaya. Tak boleh duduk dengan betul, macam menyandar baring tapi sambil duduk. Ada bantal kecil segi empat sama menahan belah kanan badan adik ni.
Anak Tak Mampu Uruskan Diri
Tangan semua sempurna rupa. Cuma berlipat ke dalam di pergelangan kedua belah tangan. Yang tak boleh diluruskan. Ada gaya seperti tak boleh uruskan diri sendiri.
Di hidung adik ni ada tiub panjang. Dilekat kemas ke arah bawah melalui tepi pipi kanan. Terus panjang tiub tu masuk ke dalam baju dia melepasi leher. Aku tak pasti tiub apa. Macam tiub makanan pun iya.
Akak tadi berbisik ke adik itu dan dia terus ke kaunter bawa kad biru. Kad temujanji. Mungkin baru nak dapatkan nombor giliran.
Melihatkan itu baru aku perasan, rupanya ramai dalam tempat menunggu tu mak ayah dengan anak-anak sekitar umur yang sama.
“Rasanya hari ini memang hari untuk temujanji kes macam anak-anak ni,” tiba-tiba isteri aku menyatakan pendapat. Aku angguk tanda setuju.
Sungguh Ajaib
Akak tadi patah balik ke anak dia. Senyum lebar sungguh ke anak dia. Adik tu merespon. Angguk angguk dan senyum juga.
“Hmm.. hmm.. hmm..” suara adik tadi bercakap sesuatu. Aku tak faham. Tapi akak tadi bercakap balik dengan dia. Seolah dia mendengar setiap butir cakap adik tadi. Ajaib. Yang aku dengar cuma bunyi orang kemam mulut.
Kadang-kadang nampak akak tu sapukan mulut anak dia dengan kain sapu. Air liur dia meleleh. Berusaha nak bersembang dengan mak dia. Akak tadi masih tersenyum-senyum melayan anak istimewa dia.
Nampak dia terhibur betul berdua tu. Keadaan yang bising dengan perbualan ramai di kawasan menunggu bagai langsung tak dipeduli. Mak dengan anak tu macam di alam lain, bergembira dan sama-sama menanti sesuatu.
Aku perhati sahaja. Leka sekejap. Aku senyum sendiri.
Tenangnya akak ini. Melayan anak yang sudah besar tapi terbatas pergerakan. Mungkin banyak renyahnya sebab semuanya mak yang kena buat. Nak bergerak ke sana sini, mak kena tolak kerusi roda dan mungkin banyak keadaan kena dukung dan angkatkan dia.
Nak makan pun bersuap. Mandikan, basuhkan rambut dan seluruh badan. Berak kencing semua mak itu juga yang bersihkan siang dan malam.
Anak Menangis Jangan Terus Jerit, Suruh Diam
Bukan waktu kecil bayi tu, ini dah 10 tahun. 10 tahun menguruskan anak dengan gaya menjaga bayi besar. Siap boleh bergelak ketawa dengan anak yang tak keluar pun butir kata percakapan dia.
Allahu.
Kawan-kawan, kita Tuhan bagi anak yang sihat dan sempurna. Tak lama mana pun zaman kanak-kanak dia. Sekejap sahaja sudah besar. Dah pandai urus diri. Dah pandai bercakap memberi kita faham kehendak dan apa yang dia nak.
Memang sifat anak-anak kadang-kadang meragam dan kasar bermain. Baru sikit anak menangis kita dah jeritkan. Kita dah cubit dan pukul suruh diam. Mungkin dia letih. Atau nak perhatian kita.
Teringat pagi hari tu baru marahkan Khalilah. Pagi pagi baru bangun, bergaduh pula dia dengan Abidah. Walidnya geram terus marahkan Khalilah.
Tuhan tunjuk terus depan mata hari ini, orang lain Tuhan uji anak sakit dan tak upaya. Seharian perlukan bantuan bergerak dan upaya daripada seorang mak. Elok je akak tu layan. Kau dah kenapa senang sangat nak marah anak?
Oh Tuhan. Berikanlah kami hati yang tenang dalam membesarkan anak-anak. Dan berilah kesabaran buat semua ibu bapa yang Kau uji dengan anak-anak yang istimewa.
Berikan mereka pahala yang sangat banyak kerana mereka bersungguh menyantuni anak-anak mereka. Ampunkan dosa mereka ya Allah. Berikan mereka syurga-Mu nanti bila mereka kembali kepada-Mu.
Amin.
Firdaus Mokhtar,
Menangis.
Baca Juga Di Sini:

Mak Ayah Marah Anak Jangan Bandingkan, Elak Cemburu Dan Benci Dengan Adik Beradik
Mak Ayah MARAH Anak Tanda Dia Sayang, Jangan Simpan Dalam Hati, Hargailah Mereka
Ibu Ayah 90% Tabiat Anak Mengikut Tabiat Kita. Marah Anak, Sebenarnya Kita Marah Diri Sendiri
Marah Anak Tak Perlu ‘Jerit’ Nanti Makin Melawan, Ada Cara Nak Lembutkan Hatinya
Tak Perlu Marah Anak Sepahkan Barang Sebab Dia Sedang Berkreatif Jadi Hebat
Mingguan Wanita : Hargailah waktu bersama anak-anak, jangan sesekali abaikan perasaan mereka. Anak-anak juga berhak disayangi, kasihanilah mereka.
Sumber : Ustaz Firdaus Mokhtar
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Berpantang Betul Sebabkan Ibu Ini Meroyan Hampir Nak Tikam Anak, Kemurungan Akhirnya Hilang Dengan 9 Cara

Isi Kandungan
ToggleSekitar Februari 2015, ibu ini tak melalui proses berpantang dengan betul selepas melahirkan anaknya yang bernama Bilal Miqdad. Setahun kemudian, ibu ini alami keguguran. Sekali lagi, berpantang tak dilakukan dengan sempurna.
Selepas tempoh itulah, ibu ini Puan Mastura Rashid tak sedar yang dirinya sedang alami ‘meroyan’ akibat kepenatan, stress tapi dalam masa yang sama tak tahu hendak dikongsikan apa yang dilaluinya itu pada siapa.
Malah tidak tahu cara mana hendak bermula. Meroyan yang dialami bukan ketika di dalam pantang. Tetapi ketika anak-anak sedang membesar.
Kisah ibu meroyan ini bukan MAIN-MAIN. Pernah Puan Mastura hampir tak dapat kawal diri, capai pisau dan mahu tikam anak-anak. Allahu..
Sampailah suatu hari, rakannya mengesan akan MEROYAN yang dilaluinya. Dan dari titik itulah dia mula merawat diri. Lihat apa yang beliau lakukan untuk kembali pulih.
Saya Capai Pisau Dan Hampir Tikam Anak-anak
Itu kenyataan yang harus saya terima sampai bila-bila.
Memori menakutkan yang akan tetap diingat sampai mati.
Watak berubah sekelip mata. Ibarat drama yang ditonton di TV.
Waktu jiwa terlalu kacau, badan terlampau penat, sakit, saya hampir hilang kewarasan. Berhalusinasi sentiasa sambil badan menggigil menahan marah dan benci. Jeritan marah memecah rumah setiap hari juga menjadi biasa.
Sebenarnya susah nak buat pengakuan secara terbuka. Mungkin juga akan dianggap pernah gila.
Tapi disebabkan pujukan dan kata-kata semangat dari Ibu Rose untuk bersama-sama muncul di PM LIVE ASTRO RIA pada 13/7/2017, saya mula terbuka untuk berkongsi dan dah bersedia. Mungkin pengakuan ini dapat membantu anda di luar sana, supaya lebih bersedia dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini saya malu, sangat malu, sebab saya pasti orang lain tidak akan faham malah akan mula memandang serong. Apa taknya, meroyan ni dianggap hanya terjadi ketika di dalam pantang saja. Tapi rupanya, boleh terjadi selepas pantang dan waktu anak dah mula membesar.
Serius, saya tak ada ilmu waktu tu. Tak tahu apa perlu dibuat.
Kisah Meroyan Ini Bermula
Februari 2015
Sejak melahirkan Bilal Miqdad pada Februari 2015, badan saya tak pernah sihat akibat tak dapat berpantang dengan betul. Bilal prolonged jaundice. Ketika di hospital, luka c-sect pecah semula pada hari ke-7. Darah membuak-buak keluar hingga bertakung di wheelchair dan lantai hospital.
Dalam keadaan terpinga-pinga, saya hampir dimasukkan semula ke OT untuk buka dan jahit semula luka lama. Alhamdulillah doktor dan nurse di Hospital Ampang banyak membantu dan memberi semangat supaya luka boleh baik dengan sendiri.
Saya tidak digalakkan berurut selama setahun supaya tidak mengganggu proses pemulihan di kawasan perut.
Kemudian, saya ditegah oleh doktor dari memakan apa-apa saja jamu atau herba yang boleh memberi kesan pada kuning Bilal. Badan Melayu, kalau tak pantang, tak berjamu, tak berbengkung, mana nak sihat.
Kuning Bilal sembuh sepenuhnya bila dah nak habis pantang sedangkan baby orang lain, 1 minggu pun dah hilang kuning. Sangat penat dan stress bila tiap-tiap hari perlu ke hospital atau klinik untuk ambil darah Bilal.
Asal balik saja ke rumah, saya bentan. Darah menitik-nitik ke lantai, ari-ari sakit melampau dan demam urat menjadi perkara biasa.
Februari 2016
Saya keguguran pula. Jadi bayangkan, badan yang lemah bertambah sakit. Kegembiraan menerima ahli keluarga baru setahun lalu semakin pudar.
Saya masih trauma memikirkan luka yang pernah pecah setahun lalu. Terbayang-bayang situasi di mana bila saya sarat mengandung nanti, parut c-sect pecah dan meletup macam belon.
Anak-anak yang lain pula masih kecil, perlukan perhatian, hyper dan aktif buatkan fikiran tambah berserabut. Mereka mula dirasakan sebagai beban.
Saya mula menjadi pemarah yang melampau. Setiap hari asyik menjerit-jerit. Rumah bersepah-sepah dan anak tidak terurus. Kadang-kadang saya tak tahu pun apa yang saya marahkan sangat. Menangis ketika mandi perkara biasa, sambil menggigil menahan marah dan benci yang datang secara tiba-tiba.
Orang luar nampak seperti tiada apa-apa. Sebab ketika berada di luar rumah, saya bersikap seperti biasa. Tapi bila balik ke rumah, saya mula jadi panas dan menggelegak.
Saya mulai membenci ahli keluarga sendiri. Lama-kelamaan saya benci dengan semua orang. Saya rasa tiada siapa pun yang memahami sedangkan mak paling banyak membantu dan berkompromi.
Kawan Saya Kesan Tulisan Di Facebok Seperti Adanya Simptom Meroyan
Dalam berlawan dengan emosi diri, Mastura banyak berkongs tentang meroyan dan tindakan orang meroyan di Facebook. Ketika itulah junior sekolahnya, Rida Baharudin dapat mengesan sesuatu tentang dirinya.
Rida dapat rasakan saya sebenarnya sedang bercakap tentang diri sendiri. Malu, tapi lega bila ada yang sedar dan cuba membantu.
Percaya tak, saya tak tahu pun apa yang sedang terjadi pada diri sendiri. Saya agak mungkin disebabkan terlampau tertekan, cerita-cerita di Facebook menjadi sangat emosional hingga disedari Rida.
Rida juga pernah mengalami meroyan yang teruk, jadi saya fikir, orang sebegini sangat memahami dan sensitif dengan perubahan sekeliling.
Rida juga menasihati saya untuk mendapatkan rawatan doktor. Tapi perkara paling saya takuti, saya akan dicop gila bila diketahui berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa.
Ini Yang Paling Teruk Saya Nak Lakukan Masa Meroyan,
Kurung Diri Dalam Bilik
Waktu ni, saya lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Anak-anak berterabur. Mak yang bagi makan, masak dan uruskan kain baju saya dan anak-anak. Kakak nombor 2 juga selalu bantu dengan menjaga anak-anak.
Waktu ni juga, saya tidak boleh masuk ke dapur. Saya jadi serabut.
Pernah Capai Pisau Pemotong Daging, Meluru Dan Nak Tikam Anak-anak
Pernah waktu sedang memotong sayur, anak-anak bergaduh dan masuk ke dapur sambil menangis, tiba-tiba saya capai pisau pemotong daging, dan meluru sambil mengacah akan menikam mereka.
Anak yang ketakutan terus berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Dah beberapa kali ini terjadi sampaikan saya tak boleh langsung pegang pisau di dapur.
“Bunuh Mas! Bunuh semua!”, terngiang-ngiang waktu tu.
Memasak jadi perkara paling dibenci. Sebab saya takut hilang kewarasan diri.
Bila Sendirian Atau Dengar Bising Suara Anak-anak Akan Berhalusinasi
Sentiasa berhalusinasi bila berseorangan atau ketika mendengar bunyi bising suara anak-anak, buat saya semakin teruk. Nampak baldi, saya teringatkan muka bilal. Rasa nak rendam dia dalam air. Suara-suara jahat di belakang telinga sentiasa mengganggu.
Menangis Dan Rasa Diri Tak Berguna, Tapi Tak Buat Apa-apa
Saya menangis. Rasakan diri ibu dan isteri yang paling tak berguna. Yang paling jahat di dunia. Suami balik ke rumah, lauk pun belum dimasak apa-apa. Kadangkala saya hanya goreng telur saja.
Tak tahu nak mengadu pada siapa.
Fikirkan Nak Bunuh Diri
Kemuncak hilang kewarasan diri adalah bila saya whatsapp kakak, saya katakan saya mahu membunuh diri. Baru lepas solat waktu tu, tapi jiwa saya kosong. Otak bercelaru.
Kakak punyalah risau, dia telefon saya berkali-kali, saya tak angkat. Waktu tu saya dah nekad. Tapi tiba-tiba terbayang gelak ketawa anak-anak.
Terbayang wajah suami yang penat bekerja dan menunggu masa nak balik ke rumah. Terbayang saat senang dan susah yang dilalui bersama. Terbayang wajah dia yang sangat sayangkan saya dan anak-anak. Terbayang rupa dia mencari dan memeluk Bilal selepas balik dari kerja.
Saya terus menangis tanpa henti. Menggigil-gigil bencikan diri.
Rasa Penat, Badan Sakit, Pergerakan Terbatas
Saya hanya nakkan MASA UNTUK DIRI SENDIRI SAJA. SAYA PENAT. BADAN YANG SAKIT BUATKAN PERGERAKAN TERBATAS.
Sambil menangis, saya paksa diri untuk tidur, dan bila bangun saja, saya rasa lega yang amat sangat.
9 Usaha Mastura Hilangkan Meroyan Dan Rawat Diri
Pertama : Sibukkan Diri, Tapi Hati Tak Juga Gembira
Sepanjang tahun lepas, waktu kemurungan belum memuncak, saya mula buat bekal untuk di jual Shariff Miqdad di sekolah. Lepas tu berhenti walaupun ramai kawan-kawan dia minta saya jual semula burger RM1. Gembira sekejap, tapi murung semula lepas tu.
Waktu ni saya tak fikir langsung untuk mengambil untung. Hanya satu kebajikan untuk membuat budak-budak kecil gembira dan menyerap aura gembira mereka.
Kemudian, saya mula aktifkan diri menjual kimchi dan tteokbokki dengan kakak di Jamae Shop 자매 가게. Tapi disebabkan terlampau penat, dengan kakak pula selalu ikut suami outstation, saya tangguhkan jualan. Murung makin bertambah.
Kemudian, saya bantu pula adik ipar menjual bento untuk lunch.
Namun, semua pun masih tak dapat mengembalikan kegembiraan.
Kedua : Menulis Di Facebook
Jadi, saya mula menulis di Facebook. Bermacam-macam cerita saya kongsi terutama sekali tentang anak-anak dan keluarga. Saya juga banyakkan membaca untuk memberi ketenangan. Saya mula rasa lega, kerana menulis ibarat terapi.
Saya banyak berborak dengan Rida, dan keluar mengopi dengan kakak nombor 2. Walaupun sering ditegur suami akibat selalu keluar dan tinggalkan anak-anak di rumah dengan mak, tapi saya tetap buat apa yang saya rasa suka. Rasa lega kepala setiap kali balik dari mengopi.
Suami takkan pernah faham, sebab saya pun tak tahu nak mula cerita dari mana.
Ketiga : Mak Minta Minum Air Ubat Dari Herba
Waktu ni, mak dah mula paksa saya minum dan makan apa yang dia buat. Iaitu air ubat dari herba dan rempah yang dibuat sendiri, dan daun hutan yang dipanggil daun harimau beranak untuk mengubati orang meroyan dan sakit badan.
Mak pengamal herba dan natural remedy. Jarang sekali dari muda hingga tua makan ubat doktor.
Dalam temubual Mastura bersama Ibu Rose, beliau berkongsi yang ibunya membuatkan jamu dan minuman herba dari daun-daun hutan seperti Daun Harimau Beranak.
Ianya petua bidan lama yang masih diamalkan untuk mengecutkan rahim.
Perubahan yang pertama, adalah emosi.
Perubahan kedua, kesihatan diri.
Perubahan ketiga, saya mula menyayangi kembali anak-anak dan suami.
Saya juga dah tiada rasa bencikan diri sendiri.
Setakat artikel ini ditulis, saya dah sihat sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
Langsung tak ada rasa nak buat perkara bodoh seperti dulu.
Saya tahu, Allah sayangkan saya, dan masih memberi kegembiraan.
Keempat : Baca Buku Motivasi
Bila baca buku “You Can Be The Happiest Woman In The World”, saya jadi sebak. Kenapa saya tak jumpa buku ni lebih awal waktu kemurungan tahun lepas. Setiap kali dah habiskan 1 topik, saya mendapat semangat baru, kerana tahu Allah sayangkan dan menunjukkan jalan keluar bagi saya.
Bukan saya tidak solat, bukan tidak mengaji, bukan tidak berzikir, tapi dalam keadaan otak bercelaru, jiwa kosong, badan sakit, kita memang tak punya apa-apa daya pun untuk menolak sebarang gangguan pada jiwa.
Kelima : Segera Dapatkan Sokongan
Berkongsilah cerita. Luahkan perasaan dengan orang yang paling kita percayai.
Dapatkan sokongan keluarga, dan jika perlu, berjumpa doktor dan dapatkan khidmat kaunseling.
Tak ramai tahu jika diri sendiri mengalami kemurungan. Perlu ada seseorang yang sedar dengan perubahan diri kita.
Apapun, sokongan keluarga sangat penting.
Keenam : Demi Nak Sihat, Tak Hirau Apa Kata Negatif Orang
Jangan hiraukan jika ada yang mengata anda pemalas, tak jaga anak-anak. Sebab mereka bukan tahu apa kondisi kesihatan anda, malah sebenarnya mereka taknak ambil tahu pun sebab sikap pentingkan diri. Tau mengata dan membawa cerita saja. Tolong taknak.
Cari aktiviti yang boleh buat kita keluar dari kemurungan dan kesedihan.
Ketujuh : Mula Berkongsi Perawatan Meroyan Dengan Natural Remedy
Antara perkara paling saya gembira, adalah bila mula membuat perkongsian tentang herba dan rempah yang boleh digunakan sebagai natural remedy dengan anda semua. Petua yang dikumpul dari mak, tukang urut, orang tua, bidan lama dan pembacaan buatkan saya gembira.
Mak paling gembira dengan aktiviti saya sekarang dan feedback yang saya terima.
Bila nampak sokongan, dan ucapan terima kasih di atas petua mak dan cerita dikongsi, semangat makin berkobar-kobar. Walaupun kadangkala saya melalut dan bahasakan diri sebagai fiona, tapi tetap berasa gembira. Aura gembira melimpah ruah.
Sentiasa tersenyum bila “fiona” adalah usikan comel yang suami berikan kepada saya sejak Shrek ditayangkan berbelas tahun lepas.

Rasa gembira dan manis bila kita dapat sebarkan kebaikan.
Kelapan : Baca Doa Hilangkan Sedih Dan Resah
Saya kongsikan juga doa hilangkan rasa sedih dan resah gelisah.
إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
.
— HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173.
Kesembilan : Sentiasa Amalkan Zikir Pagi
Amalkan juga zikir ini di pagi hari.
.
Zikir Pagi No. 4
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِيْ وَدُنْيَايَ وَأَهْلِيْ وَمَالِيْ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِى وَآمِنْ رَوْعَاتِى. اَللَّهُمَّ احْفَظْنِيْ مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِيْ، وَعَنْ يَمِيْنِيْ وَعَنْ شِمَالِيْ، وَمِنْ فَوْقِيْ، وَأَعُوْذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِيْ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ular atau tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang membuat aku jatuh).” (Dibaca 1 x)

Perilaku Ibu Meroyan Kerap Berubah Watak, Dari Bidadari Syurga Ke Raksasa
Ingat, jika mak-mak dah mula ada rasa marah dan benci tiba-tiba, rasa nak mencederakan anak, bertukar watak, tolonglah terus dapatkan rawatan. JANGAN BERTANGGUH, anda tak tahu nyawa siapa yang akan anda rentap.
Berita ibu meroyan bunuh anak bukan main-main. Bukan untuk dijadikan berita pandang sekali lalu saja. Ibu tak sedar pun siapa yang dia pegang, siapa yang dia tikam, siapa yang dia buang.
Untuk anda yang tiada kaitan, perilaku ibu meroyan, kemurungan ni, berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap garang, sekejap sayang. Dari bidadari syurga bertukar ke rasaksa sekelip mata.
Jangan hairan jika anda jumpa mereka di luar, mereka boleh tersenyum-senyum, melayan anda dengan baik, tapi bila balik ke rumah, anak di rotan hingga patah kaki.
Sokongan suami dan keluarga sangat penting. Berikan rehat secukupnya buat ibu berpantang. Jangan biarkan emosi ibu berpantang naik dan turun. Pastikan kesihatan mereka di dalam keadaan terbaik supaya emosi sentiasa stabil. Menangis adalah permulaannya.
Ibu kemurungan memang cenderung membunuh diri dan mencederakan anak-anak. Cari punca mereka murung, dan bantulah mereka keluar dari perangkap itu.
Tak ada siapa pun nak bunuh diri dan mencederakan anak sendiri, kalau bukan disebabkan gangguan pada jiwa.

Wahai Suami! Perhatikan Perubahan Isteri Jika..
Bantulah isteri. Perhatikan perubahan isteri. Jika sebelum ni dia bidadari dari syurga, tapi tiba-tiba menjadi rasaksa, carilah masa berbual dengan dia.
Penat badan lelaki yang bekerja, tak sama dengan penat seorang isteri yang membawa anak dalam perut selama 9 bulan dan keluarkan pula dengan pelbagai masalah.
Bantulah isteri dalam membuat kerja rumah. Isteri bukan orang gaji, tetapi bidadari anda sendiri. Orang gaji pun dibayar mahal RM800 sebulan. Isteri pula diberi mas kahwin untuk seumur hidup. Tapi isteri diberi beban seperti bergaji RM20,000 sebulan.
لرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِم (سورة النساء: 34)
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” SQ. An-Nisaa’: 34
Jangan hairan jika bidadari anda mula bersikap seperti rasaksa bila bersama-sama anak-anak. Masa anda pulang ke rumah, adalah masa untuk isteri berkongsi cerita, berborak gelak ketawa, anak-anak bergurau, dan bukan masa untuk anda menonton Maharaja Lawak atau konsert, main game di telefon atau keluar lepak dengan kawan-kawan. Isteri bukan tunggul, bukan mak guard.
Saya bersyukur suami mula memahami. Salah sendiri kerana tidak pernah cuba buat luahan hati. Kesibukan suami bekerja buatkan saya hilang mood.
Mak dan kakak nombor 2 paling banyak membantu. Saya akan ingat sampai mati jasa dan budi mereka. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sedang menangis di tepi kubur, meratapi kematian anak-anak. Mungkin juga dah masuk hospital gila.
Rasa boleh membantu yang lain, kongsilah supaya semua pun dapat manfaat.
CREATE AWARENESS pada yang lain.
Tapi jika anda berkongsi hanya untuk mengecam perilaku saya waktu kemurungan, saya hanya mampu doakan yang terbaik saja untuk anda. Apa lagi yang boleh saya katakan jika orang taknak faham dan taknak belajar?
Semoga anda semua mendapat manfaat dari perkongsian hari ini.
Nasihat Ibu Rose Tentang Meroyan
Meroyan ini berpunca dari kurang rehat dan tak mendapat tidur yang berkualiti (deep sleep). Ibu Rose sendiri pernah alami meroyan dan inilah nasihatnya semasa sesi live online bersama Puan Mastura.
- Cari orang yang boleh membantu untuk sedarkan anda. Bantuan daripada doktor atau pakar yang boleh
- berbincang untuk tindakan selanjutnya.Dekatkan diri dengan orang-orang yang positif dan empati, ada perasaan timbang rasa dan ada ilmu.
- Letakkan diri dalam vibrasi yang tinggi. Ini kerana semasa meroyan, vibrasi (tenaga) seseorang dalam keadaan rendah. Bila rendah ia akan menarik gangguan atau attach dengan yang bervibrasi rendah seperti jin. Masa itulah kita rasa teruk dan sebagainya.
- Solat dan amalkan zikir.
- Macam Ibu, apa yang Ibu lakukan adalah usahakan tolong orang lain. Misalnya berikan kata-kata semangat. Dari situ vobrasi akan naik. Dan makhluk ini takkan dapat attack pemikiran yang lebih kuat.
- Para suami kena peka dan prihatin dengan perubahan isteri. Kerana mungkin isteri sedang alami postnatal depression. (lihat simptom yang dikongsikan Puan Mastura)
Sumber/Foto : Mastura Rashid, Sesi Live Ibu Rose ‘An Evening With Ibu Rose’
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Datuk Mas Ermieyati Ikat Kasih Sayang Keluarga Dengan Masakan

Isi Kandungan
ToggleSeorang yang cukup disenangi dan mudah memberikan kerjasama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin,Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan juga merupakan seorang tokoh politik wanita yang berkarisma dan berkredibiliti. Seperti wanita lain, Datuk Mas Ermieyati juga tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu walau sibuk dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Apatah lagi, beliau merupakan seorang yang suka memasak dan akan menyediakan juadah istimewa tatkala punya masa luang untuk keluarga yang tersayang.
Sebagai ibu kepada lima cahaya mata dan suri hati kepada Hj. Mohd Helmy Abd Taib, Datuk Mas Ermieyati mengakui rutin kerjayanya memang agak padat. Sesekali ada waktu terluang, memasak dan makan semeja bersama keluarga menjadi waktu yang begitu berharga.
“Saya akan pastikan sebelum saya keluar bekerja, kami akan bersarapan bersama di rumah. Anak sulung saya sekolah berasrama penuh, dan yang kedua pula bersekolah di Putrajaya. Bila mereka berdua balik bercuti atau balik hujung minggu, suasana di meja makan lebih meriah dan sangat membahagiakan. Masa inilah mereka hendak merasa makanan di rumah.
“Lauk yang saya masak hari ini pun lauk ‘favorite’ anak-anak. Mereka suka lauk yang tak pedas macam masak lemak putih suhun dan bawal masam manis. Dalam seminggu, saya pastikan ada sekali yang saya masak sendiri di rumah, biar anak-anak dan suami dapat merasa air tangan saya.
“Makanan memang mengerat kasih sayang dalam keluarga. Alhamdulillah, suami saya tidak cerewet bab makanan. Apa sahaja yang dimasak, semuanya dimakan,” ujarnya sambil tergelak kecil.
Empat anak lelaki mereka masing-masing berusia 15, 14 ,9 dan 7 tahun, dan yang bongsu satu-satunya perempuan baru mencecah tiga tahun. Puteri tunggal bernama Eiman Misha sungguh bijak dan lasak tingkah lakunya. Tepat jam 3.00 petang, Eiman Misha bertambah ceria apabila abangnya Muhammad Hafiy pulang dari sekolah. Kelihatannya Hafiy begitu berselera dan ceria menikmati juadah tengah hari yang disediakan oleh ibu mereka. Benarlah, lauk lemak putih dan bawal goreng itu memang kesukaan anak-anak comel ini.
“Anak nombor dua saya, Muhammad Hakim, 14 tahun, ada resipinya yang tersendiri. Jika dia teringin nak makan lauk kesukaan, dia akan menyebut nama lauk dan menunjukkan resipi. Dia dan adiknya Hafiy minat ke dapur dan menawarkan diri untuk membantu di dapur,” ceritanya mengenai gelagat anak-anak lelakinya.
Bagaimana pun, pada hujung minggu atau cuti, beliau dan suami gemar juga membawa anak-anak makan di luar apabila teringin berubah selera kepada makanan barat yang turut menjadi kesukaan anak-anak.
Aktif Perjuangkan Suara & Kebajikan Wanita
Datuk Mas Ermieyati yang juga pernah bertugas sebagai peguam ini adalah wanita pertama dari Melaka yang terpilih sebagai ahli parlimen dari kalangan wanita.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka dan juga Ketua Puteri UMNO Malaysia ini juga aktif memperjuangkan suara dan kebajikan wanita. Tetapi apabila di rumah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ini tetap ibu yang meletakkan kebajikan anak dan keluarga sebagai keutamaan.
“Sibuk berkerjaya atau berpolitik bukan bermakna wanita tiada waktu hendak ke dapur. Paling penting adalah mengurus waktu dengan bijak. Bagi yang tiada pembantu rumah, pastikan semua ramuan masak sudah awal disediakan dan diletakkan dalam peti sejuk. Pembantu rumah saya menyiapkan bawang dan perencahnya semua dikisar dan saya pastikan stok sentiasa ada di dalam peti air. Jadi bila tiba hari memasak ia mempercepatkan tugas saya,” katanya memberi tip kepada wanita berkerjaya.
Ibu Didik Agar Belajar Memasak
Anak kedua daripada enam beradik ini, dahulunya agresif dalam sukan dan pelajaran. Bekas graduan undang-undang ini juga sangat aktif dalam kegiatan sukarelawan dan gerakan belia. Namun di sebalik kesibukan bergelar pelajar ketika itu, beliau masih punya masa untuk belajar memasak daripada ibunya. Bagi beliau, sibuk bukannya alasan untuk wanita langsung tidak ke dapur kerana ini adalah kemahiran hidup yang perlu dikuasai oleh wanita mahupun lelaki.
Menurut Datuk Mas Ermieyati, menjadi kepantangan dalam keluarganya memasak menggunakan bahan perasa atau MSG. Ini adalah pesanan dari abah sejak beliau mula memasak di zaman sekolah rendah lagi.
Ibunya memang mendidik anak agar belajar memasak. Walaupun berasal dari Melaka tetapi diisebabkan kampung beliau terletak berdekatan dengan Rembau, Negeri Sembilan, lauk lemak cili padi adalah antara lauk terawal yang dipelajarinya di samping lauk asam pedas Melaka.

“Lauk pauk tradisional adalah identiti penting sebuah negeri atau negara itu yang boleh menarik pelancong. Malaysia memang kaya dengan pelbagai lauk pauk dan kuih tradisional yang berkait dengan negeri seperti lauk ikan patin, segala macam sambal, pekasam , kuih kaswi, ketayap, kuih deram dan pelbagai jenis kerepek yang tak terdapat di negara luar. Buah-buahan tempatan juga adalah satu promosi makanan terbaik untuk menggamit pelancong ke Malaysia,” tegas Datuk Mas Ermieyati.
Kempen #sayang Malaysia melalui Tourism Malaysia
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui tanggungjawab yang digalas sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan giat menjalankan pelbagai kempen dan inisiatif bagi mempromosi makanan.
“Kami menjalankan kempen melalui media sosial bagi mempromosi pelancongan makanan. Kempen #sayang malaysia melalui Tourism Malaysia telah melakukan pelbagai inisiatif bersama pengusaha industri makanan bagi menggalakkan promosi makanan tradisi.
“Bukan hanya di peringkat domestik tetapi juga turut ditonjolkan ke peringkat antarabangsa dengan menganjurkan pameran dan ekspo di luar negara. Usaha memperkasa ilmu pelancongan makanan juga sentiasa dijalankan bersama penggiat industri bagi membangunkan pakej-pakej makanan yang menarik. Ini mampu merancakkan scenario makanan di sesuatu destinasi. Alhamdulillah, hasilnya baru-baru ini CNN Travel telah menyenaraikan Pulau Pinang dan menu asam laksa sebagai 10 destinasi makanan terbaik dunia,” akhiri beliau yang cukup peramah.
RALAT:
Merujuk kepada artikel di ruangan Gaya Hidup VIP isu April 2018 Vol 1, ayat yang dimaksudkan adalah abah dan bukan arwah abah. Kami memohon maaf di atas kesilapan yang tak disengajakan itu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI