
Pengawal keselamatan meninggal ketika tahiyat akhir, anak kongsi baap sangat cintakan rumah Allah. Pemergian seorang pengawal keselamatan ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Bahru, Isnin lalu mengundang rasa sebak dalam kalangan masyarakat.
Allahyarham Abdul Malik Zakaria dilaporkan rebah dalam solat ketika berada dalam tahiyat akhir sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Detik terakhir Allahyarham turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan sebelum rakaman itu dikongsikan oleh anak saudaranya menerusi akaun TikTok, Snower Rewons.
Video tersebut kemudiannya tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang tersentuh melihat pemergian Allahyarham ketika sedang menunaikan ibadah.
Pengawal Keselamatan Meninggal Ketika Tahiyat Akhir

Menurut perkongsian keluarga, Allahyarham keluar bekerja seperti biasa pada hari kejadian demi mencari rezeki halal buat keluarga tercinta.
Tiada sebarang petanda yang menunjukkan hari tersebut bakal menjadi hari terakhir buat dirinya bersama insan-insan tersayang.
“Keluar bekerja mencari rezeki halal untuk keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.
“Arwah rebah ketika tahiyat akhir solat Isyak, saat hati dan jasadnya sedang menghadap ALLAH SWT.
“Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanan hidupnya di dunia,” menurut perkongsian ahli keluarga.
Perkongsian itu pantas mendapat perhatian ramai yang turut menzahirkan rasa simpati dan mengirimkan doa buat Allahyarham.
Kenangan Anak Terhadap Seorang Ayah
Di sebalik pemergian yang menyentuh hati ramai itu, anak Allahyarham turut berkongsi sisi peribadi bapanya yang mungkin tidak diketahui ramai.
Menerusi ruangan komen, Noramalina mengucapkan terima kasih kepada semua yang menitipkan doa buat Allahyarham.
Baginya, pemergian bapanya meninggalkan seribu satu kenangan yang sukar dilupakan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah ayah saya. Semoga Allahyarham Abdul Malik Zakaria ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan bertakwa,” tulisnya.
Menurut Noramalina, antara perkara yang paling melekat dalam ingatannya ialah kecintaan bapanya terhadap rumah Allah.

Katanya, selagi diberikan kesihatan, Allahyarham akan berusaha untuk menghadirkan diri ke masjid atau surau berhampiran.
Bukan sekadar datang menunaikan solat berjemaah, malah arwah juga gemar membantu sekiranya ada perkara yang memerlukan tenaga atau sumbangannya.
“Antara perkara yang paling saya ingat tentang ayah ialah kecintaannya kepada rumah ALLAH. Selagi diberikan kesihatan, dia akan berusaha hadir ke masjid atau surau terdekat dan membantu sekadar termampu,” katanya.
Bagi Noramalina, bapanya juga merupakan seorang insan yang sangat mementingkan nilai hormat kepada ibu bapa serta sentiasa mendahulukan keluarga dalam apa jua keadaan.
“Ayah juga seorang yang suka membantu tanpa mengharapkan balasan, menghormati ibu bapa dan sentiasa mengutamakan keluarga,” katanya lagi.
Perkongsian itu mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan yang meninggalkan kenangan baik kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.
Anda mungkin berminat dengan

Dibanjiri Ucapan Takziah Dan Doa
Ruangan komen hantaran tersebut turut dipenuhi ucapan takziah serta doa daripada orang ramai.
Ada yang mengakui mereka tersentuh selepas menonton rakaman berkenaan, manakala ada juga yang mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman.
“Penutup cerita yang sempurna,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi berharap agar dirinya juga dikurniakan pengakhiran yang baik apabila tiba masanya nanti.
Pemergian Allahyarham Abdul Malik Zakaria bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah turut menyentuh hati ramai yang mengikuti kisah tersebut.
Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta dikurniakan rahmat dan keampunan Allah SWT.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

