Terkejut dengan kes pelajar perempuan meninggal jatuh bangunan sekolah semalam, ramai zahir rasa simpati dan ingin tahu punca kejadian yang berlaku. Nak-nak pula apabila tahu kes berlaku waktu pagi.
Suasana tenang di sekolah menengah di Sendayan bertukar pilu apabila seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah.
Pelajar Perempuan Meninggal Jatuh Bangunan Sekolah
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Insiden tragis berkenaan menggemparkan seluruh warga sekolah serta penduduk sekitar apabila orang ramai dilihat mula berkumpul di kawasan sekolah sejurus selepas kejadian berlaku.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran sekolah berkata, dia hanya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila melihat ramai orang berkerumun di kawasan berkenaan.
“Rumah saya bersebelahan sahaja dengan sekolah ini. Saya nampak ramai orang berkumpul. Tak sangka pula ada kes pelajar terjatuh,” katanya.
Ads
YB Fadhlina Zahir Simpati
Difahamkan, pihak berkuasa telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Setakat ini, polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
Ads
Tragedi yang berlaku ketika perjumpaan tiga penjuru sedang berlangsung ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam. Keutamaan KPM saat ini adalah memastikan kebajikan dan sokongan emosi (psikososial) terbaik diberikan kepada keluarga serta warga sekolah yang trauma.
Kes kini dalam siasatan penuh pihak polis dan JPNS turut menjalankan siasatan dalaman. Mohon ruang dan privasi diberikan kepada keluarga arwah.
Kejadian itu turut mengundang rasa sedih dalam kalangan netizen yang menzahirkan ucapan takziah serta berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
Kisah pasangan bertemu jodoh di hospital, seorang lelaki bernama Syakir pernah lalui 100 kali kemoterapi melawan barah dan Eryna pula diuji dengan SLE, sejenis penyakit autoimun.
Mereka sama-sama berjuang dan saling kuatkan satu sama lain. Dari hospital ke jinjang pelamin, 6/6/2026 akhirnya jadi tarikh paling indah buat Syakir dan Eryna.
Kalau orang lain mencari kesempurnaan dalam memilih pasangan hidup, lain pula kisahnya bagi Syakir dan Erina Rasid. Pasangan yang berasal dari Pahang dan Perak itu membuktikan cinta sejati wujud apabila dua jiwa saling menerima kekurangan dan berjuang melawan takdir bersama.
Syakir merupakan seorang pejuang kanser yang telah melalui fasa getir menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 100 kali. Manakala isterinya, Erina, diuji dengan penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan penyakit Crohn (radang usus kronik).
Detik awal pertemuan mereka bukanlah di tempat yang romantis, tetapi laman sosial TikTok. Ketika itu, Erina yang sedang berada dalam keadaan tertekan akibat penyakitnya, terpandang satu video yang dimuat naik oleh Syakir.
“Kami berjumpa di media sosial di TikTok. Isteri saya yang mendekati saya dahulu. Dia bertanya, bagaimana saya masih boleh tersenyum dengan keadaan seperti itu?” imbau Syakir.
Dalam video berkenaan, Syakir sedang menarik rambutnya yang gugur kesan daripada rawatan kemoterapi. Namun, apa yang menjentik hati Erina adalah senyuman yang terukir di wajah lelaki itu, seolah-olah tiada bebanan penyakit yang sedang ditanggungnya.
“Saya jawab kepadanya masa itu, kenapa awak mahu merasa sedih? Jika itu adalah dugaan untuk awak, kita harus teruskan hidup. Kita harus sentiasa positif.
“Jika kita negatif, kita seolah-olah membiarkan penyakit ini menang. Kita hidup, biarlah kita yang menentukan hidup kita. Kenapa kita mahu biarkan penyakit yang menentukan hidup kita?” kata Syakir, menitipkan kata-kata semangat yang akhirnya mengubah seluruh pandangan hidup Erina.
Hubungan yang bermula sebagai pembakar semangat akhirnya bertukar menjadi cinta. Walaupun Syakir terpaksa bertarung nyawa melalui 100 kali sesi kemoterapi, Erina tetap setia memegang janjinya untuk bertahan sehingga mereka disatukan sebagai suami isteri.
Bagi Syakir, Erina bukan sekadar seorang isteri, tetapi adalah inspirasi untuknya terus bernafas.
“Kami terima kekurangan masing-masing, berjuang bersama tidak pernah mengalah,” ujarnya.
Sementara itu, Eryna berkongsi bagaimana suaminya menjadi sumber kekuatan dan mengubah cara dia melihat kehidupan.
“Sejak mengenali dia, banyak benda yang berubah. Dulu saya pernah berputus asa dulu, tetapi dia sentiasa menyokong saya.
“Jika dia boleh melawan penyakit dan kembali sihat, saya rasa saya juga perlu menjadi kuat seperti dia,” kongsi Eryna menerusi petikan temu ramah bersama Storiemy.
Sempena hari bahagia mereka baru-baru ini, suasana bertukar hiba apabila bait-bait penghargaan luahan hati seorang suami diucapkan.
“Kami sama-sama belajar, berjuang. Apa pun jangan sesekali mengalah kerana setiap langkah kecil akan membawa kepada keputusan yang besar. Jangan berhenti berjalan, teruskan melangkah,” kongsinya.
Bagi Syakir, pengorbanan Erina yang sudi menerima dirinya yang serba kekurangan adalah hadiah paling tidak ternilai dalam hidupnya.
“Sampai ke hari ini, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sentiasa ada dan menerima saya.
“Saya mungkin tak mampu membalas semua itu, tetapi saya sudah tunaikan janji saya. Saya akan jaga awal sampai bila-bila,” tutur Syakir sambil menahan sebak.
Dalam pada itu, Eryna turut meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang begitu matang dan sudi menerima dirinya seadanya.
“Terima kasih kerana tak pernah menyerah dan tetap menerima saya walaupun saya mempunyai banyak kekurangan yang orang lain mungkin tak boleh terima,” kongsinya.
“Awak tak pernah rasa terbeban, tak pernah rasa saya menyusahkan. Terima kasih kerana sudi jaga saya insya-ALLAH sampai akhir hayat,” luahnya.
Perkongsian itu menerima kata-kata positif daripada warganet. Di samping ucapan tahniah, rata-rata memberikan semangat agar Syakir dan Eryna terus kuat serta berbahagia.
“Both are fighter! Respect and happy for you two.”
“Inilah makna sekufu yang sebenar. Yang bersama waktu susah dan senang.”
“Saya tak minta lebih daripada ALLAH untuk korang berdua, saya cuma nak tengok korang bahagia, insya-ALLAH, till Jannah,” kongsinya lagi.
Apa pun, doakan yang baik-baik buat pasangan ini. Jika bertemu seseorang yang mampu terima kekurangan kita, itu adalah rezeki dan jodoh terbaik dariNya.
Bagi masyarakat Melayu, ulam bukan sekadar pelengkap hidangan malah menjadi sebahagian daripada warisan pemakanan yang diamalkan sejak turun-temurun. Sama ada dimakan bersama sambal belacan, budu atau cencalok, ulam sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati pencinta makanan kampung.
Menariknya, ramai tidak menyedari bahawa ulam sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien dan sebatian semula jadi yang boleh memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh.
Malah, beberapa kajian mendapati banyak jenis ulam mengandungi antioksidan yang tinggi, selain mempunyai potensi membantu mengawal gula dalam darah, tekanan darah dan mengurangkan keradangan.
Jika selama ini anda hanya mengenali petai dan pegaga, berikut lapan jenis ulam popular yang wajar dimasukkan dalam menu harian.
Ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus sememangnya antara ulam yang paling popular di Malaysia.
Kajian mendapati tumbuhan ini mempunyai kandungan antioksidan yang sangat tinggi berbanding beberapa jenis buah-buahan seperti epal, tomato dan oren.
Selain itu, ulam raja juga dikaitkan dengan manfaat antikeradangan, antimikrob dan membantu mengekalkan kesihatan tulang.
Bagi wanita terutama yang menghampiri fasa menopaus, pengambilan ulam ini dikatakan berpotensi membantu mengurangkan risiko osteoporosis.
Nama sambung nyawa sahaja sudah cukup menarik perhatian.
Tumbuhan yang dikenali sebagai Gynura procumbens ini sering dijadikan ulam oleh masyarakat tempatan kerana dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.
Antara khasiat yang sering dikaitkan dengannya ialah membantu mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah serta mempunyai sifat antioksidan dan antikeradangan.
Tidak hairanlah ia sering menjadi pilihan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Daun selom merupakan antara ulam yang sangat sinonim dengan masakan kampung.
Selain dimakan mentah, daun selom juga lazim dijadikan urap iaitu campuran kelapa parut, cili api dan belacan yang ditumbuk halus.
Kajian menunjukkan daun selom mempunyai sifat antioksidan dan berpotensi membantu melindungi fungsi hati serta memori.
Rasanya yang segar menjadikan ulam ini sesuai dimakan bersama ikan bakar dan sambal belacan.
Ramai mengenali cekur sebagai bahan dalam masakan, namun daunnya juga boleh dijadikan ulam.
Cekur atau Kaempferia galanga mempunyai sifat antiradang, antioksidan dan antimikrob.
Dalam amalan tradisional, daun cekur sering digunakan untuk membantu meredakan masalah seperti sakit perut, pening kepala dan sakit sendi.
Aromanya yang unik membuatkan ulam ini mempunyai peminat tersendiri.
Antara ulam paling terkenal dalam kalangan wanita ialah pegaga.
Tumbuhan ini sering dikaitkan dengan petua awet muda dan penjagaan kulit secara semula jadi.
Kajian moden turut mendapati pegaga membantu merangsang penghasilan kolagen dan elastin yang penting untuk kesihatan kulit serta proses penyembuhan luka.
Sebab itu, ekstrak pegaga kini banyak digunakan dalam produk penjagaan kulit terkenal di seluruh dunia.
Daun kaduk mempunyai bentuk yang hampir menyerupai daun sireh tetapi tumbuh menjalar di atas tanah.
Ulam ini mempunyai rasa sedikit pahit dan payau, namun kaya dengan khasiat tersendiri.
Dalam perubatan tradisional Melayu, daun kaduk dipercayai membantu mengurangkan masalah sembelit, sakit gigi, demam serta sakit tulang.
Ia juga sering dimakan bersama nasi panas dan sambal bagi menambah selera makan.
Petai sememangnya antara ulam yang paling digemari rakyat Malaysia walaupun mempunyai bau yang agak kuat.
Selain memberikan rasa unik dalam masakan, petai juga mengandungi antioksidan yang tinggi serta berpotensi membantu mengawal kandungan gula dalam darah dan tekanan darah.
Dalam perubatan tradisional Melayu, petai turut dipercayai membantu membersihkan buah pinggang dan meningkatkan tenaga tubuh.
Namun begitu, pengambilannya perlu sederhana kerana boleh menyebabkan nafas dan air kencing berbau kuat.
Selain petai, jering juga terkenal sebagai ulam yang mempunyai aroma tersendiri.
Kajian mendapati jering mengandungi sebatian unik yang berpotensi memberi kesan positif terhadap kawalan gula dalam darah.
Walau bagaimanapun, pengambilan jering secara berlebihan tidak digalakkan kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan buah pinggang dan organ lain.
Seperti makanan lain, konsep kesederhanaan adalah yang terbaik.
Hakikatnya, terdapat puluhan jenis ulam yang menjadi sebahagian daripada warisan makanan masyarakat Melayu termasuk kacang botol, pucuk betik, rebung buluh dan peria katak.
Walaupun kelihatan sederhana, ulam-ulaman sebenarnya menyimpan pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh jika diamalkan sebagai sebahagian daripada diet seimbang.
Jadi, jika selama ini anda kurang gemar makan ulam-ulaman, mungkin sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada makanan tradisional ini berada semula di atas meja makan keluarga.
Bersambung kisah tragedi Kem Hobart, ini naluri seorang ibu. Ada rasa sesuatu dalam dirinya sewaktu anak datang rumah. Cuma si ibu tidak menyangka kepulangan anak lelakinya ke rumah pada malam sebelum kejadian menjadi pertemuan terakhir selepas anggota tentera itu maut dalam letupan ketika Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Gurun.
“Semasa dia keluar ke tempat kerja, saya melihat keretanya sehingga hilang dari pandangan. Kebiasaannya saya tidak begitu, tetapi pagi itu tiba-tiba saya berasa sangat sayang kepadanya,” luahnya.
Fatimah Ismail, 78, berkata, arwah anaknya, Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pulang ke rumah keluarga di Kampung Tupah, Merbok, kira-kira jam 11.30 malam sebelum kejadian.
“Arwah balik ke rumah malam sebelum kejadian dan dia makan nasi serta lauk gulai ikan yang mak cik masak dengan penuh berselera.
“Masa tu mak cik baru nak tidur dan dia pula baru sampai rumah. Bila mak cik tanya kenapa balik, dia kata baru selesai kerja di Gurun dan saja nak jenguk mak cik, pak cik serta adiknya sedangkan dia baru balik tiga hari lepas,” katanya ketika ditemui semalam.
Fatimah berkata, ketika bangun menunaikan solat Subuh, dia sempat bertanya kepada arwah sama ada akan pergi bekerja dan anaknya itu ada meminta untuk mengejutkannya.
Katanya, ketika mengejutkan arwah pagi itu, dia sempat memegang badan anaknya yang terasa sangat sejuk sebelum menyediakan kopi panas untuk diminum.
“Selepas minum, arwah salam dan cium mak cik sebelum berpesan supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke kem di Gurun.
“Kebiasaannya kalau dia hendak bergerak dari rumah, mak cik tengok biasa saja, tetapi semalam mak cik tunggu sampai keretanya hilang daripada pandangan. Tak tahu kenapa, mak cik rasa sayang sangat dekat dia dan berat hati hendak lepaskan dia,” katanya.
Mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu, Fatimah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu daripada isteri arwah yang menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Katanya, menantunya meminta dia supaya bersabar dan memaklumkan bahawa arwah sudah tiada,
“Arwah anak ketiga dari lima beradik. Dia sangat menghormati dan sayang kepada ibu bapa dan keluarganya.
“Arwah tidak pernah melawan atau membalas kata-kata apabila ditegurnya, sebaliknya hanya mendengar dan berdiam diri. Dia juga sayang pada adik-beradik yang lain terutamanya adik bongsunya (Norazrul Fitri, 32),” katanya.
Sementara itu, adik bongsu arwah, Norazrul Fitri, 32, berkata, abangnya seorang yang tegas tetapi baik dan gemar bersembang, namun banyak berdiam diri ketika berada di rumah malam sebelum kejadian.
“Saya tak sangka itu kali terakhir saya jumpa abang,” katanya.
Untuk info, allahyarham Norazmi meninggalkan dua orang anak, Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlaku satu insiden ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun, kira-kira jam 10.57 pagi, semalam.