Rumah tangga penyanyi dan usahawan terkenal, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, bersama isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, kini kembali menjadi tumpuan apabila pendedahan dibuat bahawa pasangan ini pernah melalui lafaz cerai pertama lapan tahun lalu, sebelum sekali lagi berbuat demikian pada Ogos lalu.
Menurut peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir, lafaz cerai pertama pada tahun 2017 itu tidak pernah disahkan di mahkamah, begitu juga dengan proses rujuk semula selepasnya.
“Plaintif pada 2017 pernah melafazkan cerai, namun dalam masa terdekat selepas itu, mereka rujuk semula. Cuma kedua-dua tindakan itu tidak didaftarkan di mahkamah,” jelas beliau.
Tambah Akberdin, prosiding kali ini difailkan bagi mengesahkan kedua-dua lafaz cerai dan rujuk semula lapan tahun lalu, selain lafaz talak terkini yang berlaku pada Ogos 2025.
Ads
“Hakim hari ini akan putuskan sama ada mahu mendengar kedua-dua kes serentak, atau dahulukan lafaz talak pertama dan rujuk pada 2017 sebelum pengesahan lafaz talak yang kedua,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, sekitar jam 9.33 pagi.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa bulan sebelum lafaz talak pada Ogos lalu, Nubhan pernah menawarkan perceraian kepada isterinya secara rasmi.
“Nubhan ada kemukakan tawaran dan pada bulan Ogos lepas, dia pernah menghantar surat kepada anak guam saya yang antara lain menyebut mengenai hak isteri selepas bercerai. Kami sudah memberi maklum balas, namun ia tidak diteruskan,” ujarnya.
Ads
Ketika ditemui di luar mahkamah, Nubhan yang hadir sekitar jam 9.40 pagi tampil tenang dan hanya meminta agar semua pihak mendoakan yang terbaik.
Ads
“Doakan yang terbaik untuk apa yang bakal berlaku. Tiada apa untuk saya kongsikan sekarang,” katanya ringkas.
Inkues bagi menentukan punca kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, memasuki fasa baharu apabila kumpulan peguam mewakili ibunya melantik seorang pakar bebas untuk meneliti 21 dokumen dipercayai mengandungi tulisan tangan milik arwah.
Menurut peguam keluarga, Rizwandean M. Borhan, permohonan sudah dikemukakan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar yang dilantik dibenarkan hadir menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen tersebut.
“Masih terlalu awal untuk menilai isi kandungan dokumen itu selepas pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia selesai memberi keterangan hari ini. Dokumen terbabit merangkumi diari, cebisan kertas, buku teks sekolah dan pelbagai catatan lain. Namun, sehingga kini belum ada pengesahan sama ada kesemuanya benar-benar ditulis oleh arwah atau pihak lain.
“Kami bagi pihak ibu Zara melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini selain akan membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar (dilantik) kami dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Zara Qairina hari ini.
“Buat masa ini, ia hanya contoh ‘spesimen’ dan identiti penulis belum dapat dipastikan. Justeru, kami mahu pakar tulisan tangan bebas turut diberi peluang membuat pemeriksaan,” jelasnya selepas prosiding di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Beliau menambah, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan untuk menentukan masa dan lokasi pemeriksaan agar pakar yang dilantik dapat meneliti dokumen berkenaan secara terperinci.
“Lebih baik kita berhati-hati dan tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan,” tegas Rizwandean.
Baharu sahaja didenda atas kesalahan cuba melakukan perbuatan tidak bermoral dengan “ábang wiring”, Cikgu Fadilah pula membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati apabila mendapati video seksnya tersebar.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah ketika mengesahkan menerima laporan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.
Wanita itu membuat laporan polis pada 24 Mei lalu.
“Wanita itu tidak berpuas hati apabila mendapati video seks dirinya tersebar dan polis turut membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Superintendan Ashari Abu Samah lagi, pihak Polis sudah membuak pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik guru berkenaan dan ábang wiring namun tidak menjumpai video seks berkenaan yang dipercayai sudah dipadamkan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Terdahulu, juruelektrik yang dikenali ‘Abang Wiring’ atau nama sebenarnya Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan guru sebuah sekolah menengah, Nur Fadilah Zainal mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram di Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar ke atas kedua-dua mereka yang berusia 31 tahun.
Status Cikgu Fadilah
Dalam perkembangan lain, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman turut mengulas status Nur Fadilah dalam kerjaya perguruannya. Menurut beliau, guru terbabit kini ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan tidak dipindahkan ke sekolah lain.
Kes pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam kini berada di fasa akhir siasatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan bahawa siasatan di lokasi kejadian serta penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sudah selesai dilakukan.
Menurut beliau, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada ramai individu bagi membantu siasatan.
“Kini, kertas siasatan sedang dikemaskini untuk diangkat kepada pihak pendakwaan negeri bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar.
Memetik laporan Kosmo, Shazeli enggan mengulas sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan unsur buli atau tidak sehingga laporan penuh diserahkan kepada pejabat pendakwaan negeri.
Mangsa Masih Belum Sedarkan Diri
Sementara itu, mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, kini masih menerima rawatan di hospital dan dilaporkan belum sedarkan diri.
Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun polis memaklumkan sudah memperoleh beberapa petunjuk positif hasil daripada keterangan yang diambil.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen ini memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan, jagaan atau kawalan terhadap seorang kanak-kanak, tetapi mengabaikan, mendedahkan atau memperlakukan kanak-kanak itu secara menyakitkan fizikal atau emosi, sehingga boleh mendatangkan kecederaan, membahayakan kesihatan, atau mengganggu perkembangan mereka.
Sebelum ini, kes Ahmad Irfan mengejutkan orang ramai apabila beliau parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 24 Ogos lalu. Kejadian itu mencetuskan spekulasi ada kaitan dengan isu buli, yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.