Siapa sangka gelaran cikgu yang selalu menjadi panggilan ketika masih muda remaja dan masih bersekolah di kalangan saudara mara dan rakan taulan akhirnya menjadi kenyataan buat Noraini Mat Nawi, 38. Guru seni yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra (1) Kuala Krai, Kelantan ini sememangnya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan.

Sebaik sahaja tamat belajar di sekolah menengah, Noraini mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM),Shah Alam selama empat tahun. Demi untuk terus mengejar impian dan cita-cita yang disemat sejak kecil, Noraini cuba memohon untuk melanjutkan lagi pelajaran di universiti yang sama tapi kali ini dalam bidang perguruan pula. Kalau sudah rezeki tidak ke mana, permohonannya diterima.

Setahun belajar dalam bidang perguruan, pada Ogos 2004, dia telah melaporkan diri dan berkhidmat di SMK Johor Jaya (2), Johor Bahru. Bermulalah kehidupan sebenar Noraini bergelar seorang guru seni di sekolah tersebut selama lima tahun.

“Memang dari kecil saya bercita-cita nak jadi seorang guru. Ketika di kampung dulu, saudara mara dan kawan-kawan memang panggil saya dengan gelaran cikgu. Tak tahulah kenapa mungkin dah ada rupa seorang cikgu barangkali. Tak dinafikan minat untuk menjadi warga pendidik memang kuat dalam diri saya.

“Selepas SPM, saya sambung belajar dalam bidang seni rekaan grafik di UiTM, Shah Alam. Tamat pengajian ijazah sarjana muda, saya mohon pula untuk sambung dalam bidang perguruan bagi membolehkan saya mengejar impian untuk menjadi seorang guru. Syukur permohonan saya diterima. Setahun saya belajar dalam bidang tersebut sebelum di tugaskan di SMK Johor Jaya (2), Johor Bahru selama lima tahun,” ujar wanita yang berasal dari Kelantan ini.

5 Kali Berpindah

IKLAN

15 tahun berkhidmat, tidak pernah sekali pun timbul rasa bosan dalam diri ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang yang tinggal di Kelantan ketika mula-mula bertugas, bagi Noraini demi minat yang mendalam untuk memberikan ilmu kepada pelajarnya, semua itu bukanlah halangan untuk dirinya.

“Lima tahun di SMK Johor Jaya (2), saya terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang yang berada di Kelantan. Selepas itu, saya dipindahkan pula ke SMK USJ 8 pada tahun 2010. Hanya sempat setahun saya di situ sebelum saya mohon untuk pulang bertugas di sekolah di Kelantan kerana ingin menjaga ibu yang sedang sakit. Ketika itu saya perlu berjauhan dengan suami tercinta.

“Dua tahun saya di Kelantan dan bertugas di SMK Bandar Kuala Krai saya dipindahkan sekali lagi SMK USJ 12. Enam tahun berkhidmat, tahun lalu saya dipindahkan sekali lagi ke Kelantan. Sekarang, saya berkhidmat di SMK Sultan Yahya Petra (1), Kuala Krai. Setiap sekolah yang pernah saya mengajar tentunya mempunyai kenangan manis yang tersendiri yang mana akan sentiasa tersemat dalam ingatan saya.

IKLAN

“Bagi saya tiada isitilah bosan menjadi seorang guru dalam kamus hidup. Kerana minat dan cinta saya dalam bidang ini memang tak pernah terlintas rasa bosan. Namun, tak dinafikan ada ketikanya saya berasa down dengan sesuatu situasi, tapi kerana minat yang mendalam, perasaan itu hilang begitu sahaja. Minat untuk mengajar anak-anak murid adalah perkara utama dalam kerjaya seorang guru,” ujar guru yang pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2009.

Noraini Ingin Tukar Mind Set Pelajar, Subjek Seni Juga Ada Masa Depan
Noraini bersama rakan setugas

Inisiatif Tarik Minat Pelajar

Selama bertugas, pelbagai suka duka telah ditempuhi oleh wanita ini dalam mendidik para pelajarnya. Menjadi seorang guru seni mungkin sahaja kelihatan mudah di mata orang lain, tapi hakikatnya bukan seperti yang disangka. Menurut Noraini, antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh guru seni adalah bagi menarik minat pelajar yang kebanyakannya menggangap subjek seni tidak berapa penting dalam pembelajaran mereka.

IKLAN

“Saya mengajar subjek seni dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, Jujur saya katakan bukan semua pelajar yang minat dengan subjek ini. Bagaikan ada satu mind set bahawa subjek ini tidaklah begitu penting dan tidak menyumbang kepada masa depan mereka, tiada peluang kerja yang bagus jika cemerlang dalam mata pelajaran ini. Tugas saya menjadi semakin besar kerana perlu tukar mind set mereka untuk belajar sehingga mereka dapat belajar melukis walaupun hanya melukis bulatan atau garisan.

“Bagi seorang guru seni, setiap tahun murid tingkatan lima perlu membuat satu kerja kursus. Jadi para guru perlu membuat kelas tambahan. Sebagai seorang guru seharusnya kita mahukan yang terbaik untuk para pelajar, jadi kebanyakan guru seni dengan ikhlas mengeluarkan wang sendiri untuk membeli keperluan para pelajar. Tujuannya untuk bagi insentif kepada pelajar sebagai galakan supaya mereka buat yang terbaik.

“Menjadi seorang warga pendidik, tiada yang lebih menggembirakan apabila kita dapat melahirkan generasi cemerlang dari semua bidang. Terutama dalam bidang yang diajar. Saya sendiri cukup berbangga apabila ada dikalangan anak didik saya yang berjaya. Syukur ada antara pelajar saya yang sudah berjaya dan menjadi pereka grafik di Singapura dan ada juga yang pada mulanya lemah dalam subjek seni tapi mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Bagi saya itu semua kenangan manis untuk saya kenang sebagai seorang guru,” ujarnya lagi.

Rapat dengan para pelajar, antara kaedah yang digunakan oleh Noraini dalam mendekatkan diri dengan murid-muridnya

“Cara saya mendekati pelajar adalah dengan menjadi kawan kepada mereka. Tak boleh jadi guru yang terlalu garang dan tak boleh terlalu berlembut sangat. Kalau nampak yang kurang berminat atau kurang rajin kena pakai psikologi dan berikan pujian. Saya buat mereka macam kawan-kawan, boleh kongsi apa sahaja tapi masih mengekalkan batas-batas seperti seorang guru,” akhirinya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI