Dalam rumah tangga, suami isteri mengharapkan dan impikan keluarga yang bahagia. Bahagia bukan hanya sentiasa berkasih sayang atau romantik sepanjang masa tetapi sebuah keluarga bahagia apabila suami isteri tahu tanggungjawab masing-masing.

Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga turut berkongsi pendapat tentang perkara ini. Katanya, keluarga bahagia yang dianggap oleh masyarakat adalah berdasarkan kepada:

  • Bebas daripada krisis kesihatan.
  • Bebas daripada krisis kewangan.
  • Miliki pengangkutan yang berkualiti.
  • Saiz rumah dan lokasi rumah yang bagus.
  • Mempunyai jiran tetangga yang berpekerti mulia.
  • Budaya bercakap seisi keluarga yang harmoni.
  • Miliki perolehan sumber kewangan yang mampan.

Jadi, kunci utama bagi membina keluarga yang harmoni, aman, bahagia serta bebas daripada sakit poket dan sakit penyakit ialah rahmat rezeki yang berkat. Terdapat juga pandangan kalangan bijak pandai yang berkata bahawa rezeki yang berkat itu bersifat “Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan”.

Rezeki Yang Diberkati

Salah satu perkara yang suami isteri tahu dalam memastikan punca rezeki jadi berkat, mudah bertambah dan cukup dari semasa ke semasa adalah dengan membudayakan sikap suka bersedekah.

Kalau ada sikap kedekut, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli, mencuri harta orang lain dan memakan harta anak yatim akan menjadikan seseorang itu rezekinya tidak berkat.

Kena ingat, bila rezeki tidak berkat, macam-macam perkara akan timbul seperti penyakit tekanan emosi, mudah stres, ditimpa pelbagai krisis hidup dan wajahnya akan kelihatan masam, menakutkan dan tidak dipercayai oleh orang kebanyakan.

IKLAN

Antara tanda-tanda hidup orang yang rezekinya tidak berkat ialah:

  • Ada kerja tetapi kerjanya tidak pernah siap
  • Ada tindak usaha tetapi hasilnya tidak berbaloi.
  • Ada duit banyak namun terlalu cepat sangat habis.
  • Ada banyak masa tetapi sentiasa terlepas begitu sahaja.
  • Ada banyak kawan tetapi tidak seorang pun sudi membantunya.
  • Ada bakat istimewa tetapi tidak boleh di manfaat oleh diri sendiri dan orang lain.

Raih Rezeki Berkat

Bagi memastikan rezeki kita berkat, pastikan perkara yang berhubung latar belakang, sebab musabab dan perkara penting berkaitan rezeki yang kita usaha dan miliki iaitu dari segi;

  • Barang
  • Sumber
  • Proses
  • Bahan
  • Pilihan
  • Cara

Ini adalah kerana, rezeki (duit, makanan, pakaian, kenderaan, rumah kediaman dan seumpamanya) akan diguna, dimakan dan dinikmati bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga buat pasangan dan anak-anak sendiri. 

IKLAN

Jangan ambil mudah berhubung halal dan haram dalam mencari rezeki. Pentas hidup setiap kita di dunia ini adalah untuk dinilai, diuji dan diambil peduli oleh setiap ummah.

Jenis Rezeki Berkat

Setiap pasangan yang beriman, mesti menyedari bahawa untuk mendapat rezeki yang berkat, kita mesti tahu apa jenisnya. Ia bagi membantu pemikiran dan hati kita agar sedar hala tuju dan fokus diri berhubung setiap tindakan yang kita lakukan.

Dari segi psikologi, fitrah setiap manusia ingin rezekinya berkat dan mendapat reda Allah. Berikut adalah jenis-jenis keberkatan menurut perspektif Islam;

IKLAN
  1. Keberkatan zahir: Kekayaan fizikal atau materi berupa harta benda seperti kenderaan, rumah dan peralatan elektronik yang membantu memudahkan seseorang itu beribadat dan menjadi hamba Allah yang soleh.
  2. Keberkatan tersembunyi: Seseorang yang memiliki akal yang cerdas, kesihatan yang baik dan tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh mengganggu kebahagiaan dan keharmonian hidupnya.
  3. Keberkatan akhirat: Seseorang yang tergerak hatinya untuk beribadat kepada Allah (solat sunat, mengaji al-Quran dan bersedekah di masjid) bertujuan untuk mendapat keredaan Allah.

Rezeki Berkat & Keluarga Sihat

Jika suami atau isteri memberi makan minum, pakaian dan rumah tempat tinggal hatta kereta motor yang digunakan bersumber rezeki haram, akan menghadapi krisis-krisis rumah tangga. Contohnya:

  • Ada kereta, tetapi kereta asyik rosak.
  • Ada kawan, tetapi kawan makan kawan.
  • Ada jiran, tetapi jiran tak hormati hak jiran.
  • Ada pekerjaan, tetapi asyik tukar-tukar pekerjaan.
  • Ada isteri, tetapi isteri tidak taat kepada perintah isteri.
  • Ada kemahuan untuk berjaya, tetapi susah nak bertindak dan mencuba jaya.
  • Ada anak tetapi anak mengalami kecelaruan mental (Mental Illness Disorder)

Biarlah kita bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Biarlah hidup kita patuh syariat dengan tujuan terhindar daripada masalah hidup yang berat, tidak bernoktah dan dipandang hina oleh masyarakat. Dengan adanya rezeki yang berkat, keluarga jadi sihat dan mudahlah masalah diatasi secara muafakat.