MahuAda segelintir suami, niat di hatinya mahu menghargai isteri. Sanggup bawa isteri ke kedai belikan isteri emas, bawa isteri berjalan di pusat membeli belah tengok perabot. Sayangnya, baru diuji tuhan sedikit, hatinya dah mula berbolak balik.
Mulalah memperlekehkan isteri yang tak faham kenapa tiba-tiba suami dari sweet loving husband, boleh jadi ‘singa lapar’ marah-marah sekelip mata.
Isteri dari rasa seronok, terus tawar hati. Makan dalam dengan sikap suami sendiri. Apa yang dikongsikan Akhtar Syamir ini banyak wanita lalui. Tapi tak terluah saja, apa yang mereka sedang alami.
Akhirnya pendam diam-diam. Jadi, kongsikan saja kisah ini pada suami. Biar suami hadam dan faham yang isteri itu bukannya anak patung, masa suka kau belai, tiba-tiba tak suka suami lempar.
Niat Nak Belikan Isteri Emas, Tiba-tiba Ini Yang Jadi Dekat Suami
Dalam tidak sedar, pasangan buat sesuatu yang merugikan dalam perhubungan.
Ianya umpama niat itu sudah sangat bagus, tetapi kemudian tersilap langkah dan menjadikan ianya hampir sia-sia.
Contohnya begini.
Si suami nak belikan emas untuk isteri. Sudah ada budget semua. Niatnya untuk gembirakan isteri dan dalam masa yang sama, untuk simpanan aset juga. Ini semua terdetik selepas baca perkongsian saya mengenai emas.
Si isteri punyalah seronok. Bersyukur akhirnya si suami sudah celik emas dan faham yang barang kemas itu bukan semata-mata perhiasan tetapi satu pelaburan dan pemangkin semangat buat isteri.
Ads
Niat tu bagus kan? Tujuan tu juga bagus. Tapi bila sampai kedai emas, terngaga si suami melihatkan barisan yang beratur panjang untuk masuk ke kedai. Si suami mula tertekan.
Mula dia mengeluh, membebel-bebel. Si isteri memberi cadangan supaya suami tunggu je dalam kereta, biar dia sahaja yang beratur. Lagipun hanya duduk di kerusi, bukan berdiri.
Tapi dimarahnya pula, membazir minyak. Minyak bukan murah macam zaman PKP dulu. Duit bukan susah nak cari bla bla bla.. Tapi akhirnya dibenarkan juga si isteri beratur dan dia tunggu dalam kereta.
Selang 10 minit, dapat mesej dari suami, “lama lagi ke?” Jawapan yang sama diberi isteri, “sabarlah sayang“. Kemudian suami membalas dengan “kalau tahu lama gila tunggu macam ni, baik tak payah datang, buang masa je“.
Di sini mulanya hati isteri disiat-siat. Hati yang gembira pada awalnya mula bertukar menjadi kecewa.
Belum Sempat Belikan Isteri Emas, Macam-macam Dikatanya
Nak, tinggalkan barisan dan balik atau nak teruskan? Pilihan itu bermain-main di dalam minda. Hati dah mula sakit, tapi perasaan sayang kerana hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk dapat emas yang diidamkan.
Sampai sahaja giliran untuk masuk, si suami pun tiba. Belum sempat si isteri memilih, suami seperti memaksa ambil yang dia pilih sedangkan jenis itu tidak diminati isteri. Apabila isteri tidak setuju, berlaku sedikit gaduh kecil. “Orang nak belikan pun mujur, nak memilih-milih pulak“.
Hancurnya hati si isteri dibuat begitu. Umpama kucing liar yang diberi makan. Mujurlah diberi tulang ikan.
Ads
Si isteri tahan juga, kalau dia memberontak, nanti lagi bergaduh dan memalukan dan akan beri kesan yang lebih teruk.
Mujurlah akhirnya si suami bersetuju untuk membiarkan si isteri pilih. Kena pula dengan budget, suami terus bayar dan pulang.
Tak Cukup Dimarahi, Disindir Pula Si Isteri
Dalam perjalanan, si suami tak habis-habis bertanya “suka la tu?”, “suka tak?” “Sayang abang tak?”, “Bukan senang abang cari duit ni, lepas ni jangan membebel-bebel, ikut je abang cakap.. bla bla bla“.
Jari jemari si isteri mengusap-usap gelang biskut tawar yang baru dibeli tadi. “Aku sayang suamiku, aku sayang suamiku, aku sayang suamiku, aku bersyukur, aku bersyukur Ya Allah“. Pujuknya dalam hati.
Air matanya tak dapat ditahan. Bergenang di kelopak mata. Dialih pandangannya ke luar tingkap kereta.
“Tu dah kenapa pulak? Dah belikan emas pun nak merajuk lagi? Bersyukur la ada suami belikan emas. Ada orang lain warna emas pun tak pernah nampak. Tak faham betul la dengan awak ni“.
Begitulah situasinya apabila niat yang baik bertukar menjadi kegagalan dalam mencapai tujuannya.
Ads
Bukan susah nak faham perempuan atau isteri sebenarnya. Mudah sahaja. Buangkan “me, me, me” dan fikirkan “you, you, you”. Niat yang baik itu untuk dia.
Mahu Gembirakan Hati Isteri, Tapi Jangan Sampai Memaksa
Gembirakan dia, bukan fokus untuk buktikan dan tunjuk anda yang bagus dan berjaya. Nak gembirakan dia, bukan dengan memaksa, biar dia pilih apa yang dia suka. Gembirakan dia dengan tidak mengeluh. Gembirakan dia dengan menjaga emosinya.
Betul, bukan mudah nak simpan duit untuk beli emas. Tapi janganlah sampai perlekehkan isteri. Bukannya isteri tu tak faham si suami kerja siang malam pagi petang. Tapi janganlah sampai buat isteri terasa.
Memang si isteri dapat emas. Tetapi adakah dia gembira? Jika anda ada perasaan “eleh, emas dapat jugak“. Anda sebenarnya sedang buat benda yang merugikan dalam perhubungan.
Situasi ini boleh digunakan pada hampir semua keadaan contohnya pergi bercuti, balik kampung, belikan rumah atau kereta, hadiah dan sebagainya. Pergi bercuti tapi dalam perjalanan bergaduh dalam kereta dan bermasam muka. Biasa lalui?
Apabila niat itu baik, tetapi perlaksanaannya penuh dengan ungkitan, perbalahan, keluhan dan sebagainya. Ia adalah satu perkara yang merugikan.
Jika niat nak menggembirakan, gembirakanlah. Jangan ditambah dengan kekecewaan. Kerana ia sangat menyakitkan.
Semoga dapat membuka mata untuk lebih memahami isteri. Jangan tergelincir dari niat yang baik ye.
Lagi beberapa hari keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan. Sebelum ini, anak-anak yang menduduki peperiksaan SPRA pun sudah diketahui permarkahan mereka.
Ada anak-anak yang cemerlang keputusan peperiksaannya, ada anak sebaliknya yang dapat. Masing-masing bergantung pada rezeki mereka.
Dalam pada menerima keputusan anak-anak, mak ayahlah yang sebenarnya kena kawal emosi. Jangan keterlaluan sampai, buat anak yang tak mencapai jangkaan mak ayah rasa bersalah.
Ini pengalaman peribadi, Cikgu Ezatul Marini yang pernah berasa sedih dengan keputusan peperiksaan anaknya. Dan pengalaman itu akhirnya mematangkan diri.
Saya Minta Anak Sulung Cerdas Dalam Pelajaran, Tapi..
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik.” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Kecewa Sampai Tak Mampu Pandang Wajah Anak
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya? ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya? iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Teralpa Dengan Qada Dan Qadar Tuhan
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
5 Tip Ini Bantu Mak Ayah Lebih Bertenang Terima Keputusan Peperiksaan Anak
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah.
ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
v. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doakan mereka.
Selamat melalui debaran yang sama pernah kami lalui tapi lalui detik itu dengan lebih tenang dan bersedia.
Menghadapi gelombang kedua wabak Covid-19, sungguh sukar untuk hati berasa tenang. Bimbangnya hati, lagi-lagi semalam Malaysia dirundung kesedihan dan kebimbangan dengan kematian dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19.
Dalam menghadapi kalut-ribut pandemik Covid-19 ini, Ustazah Asma Harun memberi pesan agar teguhkan kesabaran dan solatlah. Malah, disarankan membaca surah-surah dari Al-Quran, sebagai amalan harian. Lagi-lagi ketika dikuarantin 14 hari ini.
Tulisnya, “Allahu Akbar, Innalillahi wa inna ilaihi Raajiun. Moga arwah di kalangan para solihin.
Kematian yang membawa hiba seluruh negara. Kematian yang mengejutkan mereka yang masih lena, leka, santai dan mamai.”
Ujian Hati Untuk Mereka Yang Sabar..
Ujian dan Musibah ini..
Bagi yang beriman, akan menguatkan keimanan.
Yang sabar, semakin tinggi kesabaran.
Yang bergantung padaNya menjadi semakin kuat tawakkalnya.
Yang solat semakin menambah kekhusyukannya.
Yang baca AlQuran dan zikrullah semakin merasai kemanisannya.
Yang bangun malam, semakin awal bangun dan berlama bersamaNya.
Yang berusaha makin kuat ikhtiarnya.
Yang kufur nikmat, yang tidak kenal tuhanNya, yang masih enggan kembali padaNya, yang masih berat untuk berzikir berdoa sujud padaNya, yang masih enggan taat dan tinggal laranganNya.. Maka semakin bertambah ketakutan, kemarahan, menyalahkan, mencaci maki, resah gelisah dan membenci.
Syukur Dan Sabar Itu Sifat Orang Mukmin
Sahabat semua, kita di kelompok mana saat ini ?
Dalam apa jua keadaan, tetap teguhlah kita dengan kesabaran dan solat, yakinlah Allah sentiasa bersama orang yang sabar.
FirmanNya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (١٥٣)
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Qs Al Baqarah : 153)
Apapun berlaku biarlah kita hanya antara dua sahaja, iaitu antara syukur dan sabar, tiada yang ketiga.
Kerana keduanya itu adalah sifat orang mukmin yang membuatkannya makin dekat dengan Allah dan makin baik dan belas kasih dengan manusia.
Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)
Firman Allah swt :
إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ (١١)
“Kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal saleh; mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar.” (Qs. Hud: 11)
√ Setiap subuh, baca Yaasin dan Addukhan. √ Setiap malam, baca alMulk dan Assajadah. √ Siangnya, bacalah alWaqiah dan Arrahman. √ Baca dan hafal 10 ayat awal surah alKahfi. √ Dalam tempoh kuarantin ni, cuba habiskan baca surah alBaqarah dan Ali Imran. Kepada siapa yang beriman pada hari kebangkitan iaitu alam Akhirat pasti akan baca dua surah ini.
Daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)
Atau baca sahaja sebanyaknya alQuran atau mana surah yang mudah bagi yang tiada masa duduk dengan alQuran. Ketika bekerja dan jalankan tugas, maka basahkan sahaja lidah dengan mengulang mana-mana surah yang dah dihafal walaupun hanya alfatihah dan 3 qul.
Allahu Akbar.. Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan pengampunanNya. Kembali dalam Husnul Khatimah..
Berapa ramai isteri yang sedar, dalam tempoh perkahwinan dia boleh menuntut bayaran nafkah dari suaminya. Jika anda sebahagian darinya, anda isteri yang berilmu.
Bagi yang belum jelas, mohon baca agar tidak terus menjadi mangsa aniaya suami yang culas tanggungjawab.
Perkongsian Peguam Syarie, Mohd Azlin Bin Mohamad Razali dalam Perunding Keluarga Islam menjelaskan seorang isteri itu berhak menuntut nafkah daripada suaminya dalam tempoh perkahwinan.
Dan ini yang dilalui ketika mengendalikan satu kes kliennya.
Kisah Wanita (Isteri) Yang Ada Ilmu
Pengalaman terlibat mengendalikan satu kes tuntutan tunggakan nafkah anak dan tunggakan nafkah isteri. Seorang wanita memfailkan tunggakan nafkah anak dan nafkah isteri (beliau) yang telah tidak dibayar oleh suaminya semasa dalam tempoh pernikahan.
Saya mewakili salah satu pihak dalam tuntutan tersebut. Tugas kita bukan sahaja kenal pasti jumlah sebenar yang tertunggak, malah bantu cari cara pembayaran semula yang lebih memudahkan kedua-dua pihak.
Saya nak kongsikan bagaimana wanita (Plaintif) ini bijak dan ada ilmu berkaitan haknya dalam rumahtangga.
Wanita ini telah memfailkan satu tuntutan nafkah anak dan nafkah isteri semasa dalam perkahwinan beliau lagi. Beliau tidak tunggu lama bila suami beliau mula culas dalam membayar nafkah. Bila nampak macam tak konsisten je beliau terus dapatkan perintah mahkamah.
Jangan Fikir, Kes Nafkah Hanya Boleh Dituntut Selepas Bercerai
Nampak macam simple tapi kesannya besar. Tak ramai yang macam beliau yang berbuat begitu. Betul, ia memang tak ramai. Kebanyakkannya tunggu bila berlaku perceraian baru mula menuntut.
Sedangkan pengabaian nafkah telah mula berlaku dalam tempoh kahwin lagi. Tak salah jika buat begitu. Mungkin itu lebih baik sebab kalau fail dalam tempoh perkahwinan nanti keruh pulak hubungan suami isteri.
Tak kisah tempoh yang mana nak difailkan. Cuma jangan letakkan dalam mind kita kes nafkah hanya boleh dituntut selepas bercerai. Nafkah isteri boleh dituntut dalam tempoh kahwin walaupun pihak-pihak tidak bercerai.
Cara Bijak Isteri Lindungi Dirinya
Berbalik kepada kes tadi. Bila wanita ini failkan nafkah anak dan isteri semasa dalam tempoh perkahwinan lagi. Mahkamah keluarkan perintah arahan bayar nafkah anak dan isteri setiap bulan. Termasuk cara pembayaran sekali.
Perkahwinan beliau masih berjalan seperti biasa. Cuma beza nya wanita ini dengan orang lain adalah dia dah secure nafkah dia dan anak-anak dengan perintah mahkamah.
Jika suami tak bayar, atau mengelat dia boleh tuntut kemudian sebagai hutang pada mana yang tertunggak. Dan itulah yang beliau tuntut sekarang bilamana suami beliau (kini bekas suami) gagal konsisten dalam pembayaran nafkah selepas perintah dikeluarkan.
Berdasarkan perintah tersebut beliau dapat buat kiraan yang jelas berapa tunggakan yang tidak dibayar. Itu gunanya ada ilmu dalam rumah tangga.