Ini catatan ibu anak 3, Puan Rahimah Ahmad Akhirudin, tokey Gula-Gula Kurus yang terpaksa melalui detik getir dalam ‘labour room’ ketika bersalinkan anak bongsunya secara caesar (pembedahan). Biarpun ngilu membacanya, namun di hujungnya anda akan faham betapa besarnya pengorbanan seorang wanita ketika melahirkan.
Dari Mata Hati Seorang Ibu, Ikut Tingkap Kali Ke-3
“Anak pertama dan kedua keluar ikut tingkap. Jadi anak ketiga pun sama, awak pilih sahaja tarikhnya,” jelas doktor dengan tenang.
Aku tak tau nak menangis atau nak berlagak kuat. Siapalah boleh lupa kenangan pisau menusuk perut 7 lapis, disiat hidup-hidup demi melahirkan cahayamata kali ke-3. Serius ngiluuuuuu.
“Dan lagi satu, kalau rupa rahim tak elok, kita ikat mati je. Takut risiko untuk mengandung anak ke-4, boleh berlaku pendarahan,” bertubi-tubi pesanan doktor.
Mata ku mula kecil besar kecil besar. Badan makin tak berdaya, sungguh rasa terjelepuk macam nak pitam di situ juga. En somi dah mula bertanya soalan sains dengan doktor, fikiran ku pula melayang entah ke mana.
Tarikh keramat pagi 28 Julai 2011. Masih ingat lagi tatkala tubuh ini ditolak masuk ke bilik bedah. Kelihatan di satu sudut, tersusun rapi pisau bedah pelbagai saiz di atas tray. Ditepi nya seorang pemuda yang asyik mengelap satu persatu hinga terpancar kilauan tajam menusuk kalbu.
Memang prosedur sebelum dibedah, doktor bius akan beraksi dahulu. Saat inilah sebenarnye yang paling sakit, bila di cucuk di belakang, peritnya terasa hingga ke sum sum tulang. Auuuchhh.
Ads
Kepala ku mula terasa berat dan memeningkan. Loya ya amat hingga keluar muntah hijau, mujur doktor bius cekap menadah. Separa badan ku mula tidak memberi apa-apa reaksi, seperti hilang ibu jari kaki.
Ku lihat doktor bedah mula merapati ku. Membaca nama dan menerangkan situasi atas apa yang akan berlaku. Sempat juga aku mencelah.
“Doktor, jangan ikat mati peranakan saya, tanpa saya izinkan.” Itu sahaja yang terus bermain di kepala. Ianya lebih menyeramkan dari melahirkan si kecil ini. Aku tekad akan berjuang mati-matian tanpa tenggelam dalam kesakitan mahupun lambaian tidur.
Doktor mengangguk kepala dan terus mencapai satu demi satu pisau yang di hulurkan padanya. Segala itu belaku dibalik tirai putih, namun aku boleh bayangkan apa yang berlaku mengikut gerak tubuhnya. Cukuplah aku simpulkan ianya agak mencemaskan.
Walau pun begitu, aku gagal menahan air mata dari terus berderai satu persatu. Doktor bius tetap duduk disisi dan bertanya pening ke? Aku hanya diam membisu. Sebenarnya aku risau kondisi rahimku. Takut kena simpul mati.
Ads
Hampir 20 minit, memang boleh terasa banjirnya katil bedah tak bertilam itu dek sebaldi air mata ku. Sejuknya makin terasa. Doktor bius berbisik dan suruh aku bersabar, sikit lagi katanya.
“Tolak,” kata doktor pada assistant di sebelah. Bergegar rasa badan. “Sekali lagi. Lagi. Lagi.”
Ooooh mak, susah betul nak keluarkan baby yang kali ni. Seram jugak seingat yang pertama dan kedua cepat je dah dengar bunyi tangisan bayi.
Badan aku makin lemah. Mata dah makin kabur, namun ku gagahkan diri, takut disimpul mati.
Rasanya adalah lebih 10 kali percubaan assistant doktor ‘berguling’ dengan perutku. Rasa macam nak ku lututkan, mujur aku tak mampu mengangkat kaki, jika tidak nahas kau dikkk.
Ads
“Uweeeek,” tiba-tiba terdengar tangisan bayi menangis. Doktor masih tak berkata apa-apa, lelaki ke pompuan ke. Sihat ke. Bilik bedah itu terlalu senyap. Dan kemudian bayi tadi hilang dari penglihatan.
Aku masih pening. Namun ku gagahkan badan melawan ubat yang makin menenggelam aku ke lautan dalam. Perasaan ingin tahu dan risau makin kuat. Terasa ini satu penantian yang paling panjang,
“Rahimah, bahagian rahim awak masih ok, boleh untuk kali ke-4,” sebut doktor sebutir sebutir. Mungkin dia tahu aku dah makin lalok. Dan tatkala itulah air mata ku berderai laju tanda syukur pada Illahi.
Pertempuran di katil bedah ini berakhir dengan satu perasaan sedih dan gembira. Sedih untuk mengharungi berpantang sendiri tanpa mak, namun sujud gembira atas kehadiran bayi Imran dan tiada simpulan mati dalam diri ku lagi.
Yang ada hanyalah simpulan kasih sayang tak berbelah hati buat suami dan anak-anak tersayang.
Beratnya ujian yang dilalui ibu tunggal ini. Rasyidah Binti Mujari, 31 terpaksa melalui saat-saat getir diceraikan suami ketika masih menuntut di semester 2 pengajian IPTA, 3 bulan kemudian ayah yang kuat memberi sokongan meninggal dunia.
Sebulan selepas pemergian arwah ayah, anaknya pula diarahkan oleh doktor untuk melalui pembedahan tonsil di hospital. Dalam serba kepayahan wanita ini tak putus harap. Hari ini nasibnya berubah.
Susah senang itu dikongsikan dengan Mingguan Wanita. Dengan impian mahu menyuntik semangat kekuatan kepada wanita yang sedang melalui ujian dalam hidup mereka.
Selepas Diceraikan, Hari-hari Menangis Kenangkan Anak
“Ketika semester kedua saya diceraikan. Sangat sukar untuk saya lalui. hari-hari menangis kenangkan anak kat kampung.
“Duit tak ada untuk makan. Kadang berlapar. Selepas bercerai bapak saya ambil tanggungjawab bantu dari segi financial.
“Genap 3 bulan saya bercerai, Allah lebih sayangkan bapak saya. Dia kembali ke rahmatullah. Saya terduduk, rasa hilang habis kekuatan untuk sambung belajar.
“Saya fikir semula. Kalau bapak tengok saya belajar tak habis tentu dia sedih. Saya kuatkan semangat. Teruskan juga belajar. Lepas sebulan bapak meninggal, anak saya kena jalani pembedahan tonsil.
“Sekali lagi saya hanya mampu menangis. Maklah jadi kekuatan saya. Abang saya pun banyak juga membantu. Keluarkan duit untuk pembelajaran saya.
“Saya cuma belanja RM300 saja sebulan. Lagi RM200 saya gunakan untuk tengok anak saya di kampung setiap minggu.
“Alhamdulillah berkat kesabaran, semangat yang kuat dan support dari anak dan famili saya berjaya sampai ke tahap sekarang dan diterima bekerja di syarikat Jepun.”
Ada Juga Berdepan Gangguan Seksual
Kerjaya tenaga pengajar bidang automotif menjadi periuk nasinya kini. Sudah 8 tahun dia bergelumang dengan dunia yang dimonopoli kaum lelaki
“Tak mudah untuk wanita macam saya mengendalikan kenderaan berat. Macam-macam perangai dan ragam manusia saya temui.
“Disayangi pelajar-pelajar sampailah pernah berdepan dugaan dengan lelaki dan tak terlepas dari gangguan seksual dari manusia-manusia yang tak boleh menahan nafsu.” Itu antara kenangan pahit manis yang perlu ditempuh.
Akuinya, sepanjang mengajar dia tak berhadapan masalah bergaul dengan pelajar. Apabila melibatkan sesuatu yang berat semasa sesi latihan praktikal dia tetap memerlukan tenaga lelaki.
“Mengalah sebelum mencuba itu bukan cara saya. Kena kuat semangat, mental dan fizikal. Setiap kali hampir patah semangat, saya fikir ada famili anak umur 5 tahun yang perlu diberi makan.
“Dari situ saya bangkit majukan diri. Pegang jati diri dan fikir tanggungjawab sama.”
Tawaran Kerja Tak Putus Dari Pelbagai Syarikat Automotif
Kata anak kelahiran Pahang ini zaman sekarang bidang automatif yang sinonim kepada kaum lelaki amat luas peluang kerjayanya.
“Saya bermula waktu umur 18 tahun sampailah sekarang. Kalau perempuan terlibat kerjaya ini pun, masyarakat dah boleh terima.
“Saya sendiri, belajar dari sijil sampailah degree. Belum pun habis study saya dah terima offer dari banyak syarikat automotif di Malaysia.
Tambahnya jangan sesekali menganggap wanita tak mampu melakukan kerja yang dimonopoli oleh kaum lelaki. Wanita juga kuat.
Bukan mudah untuk berpisah selamanya dengan suami yang kita cintai. Lebih sedih pemergiannya secara mengejut. Suami yang sihat tiba-tiba meninggalkan kita dan anak-anak tanpa pesan.
Inilah yang berlaku kepada Rokitah Jusoh. Sama sekali Rokitah tidak menduga. Niat suami yang membawanya bersiar-siar melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 dan keluar di susur Durian Mentagau, Dungun selepas menghantar anak balik ke asrama berakhir dengan tragedi pahit.
Pertembungan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang pemuda yang berada di bawah pengaruh dadah dan menaiki kenderaan curi mengakibatkan suaminya, Mohd Jefri bin Ibrahim, 44 maut sehari selepas kemalangan sekali gus menjadikan sambutan hari raya tahun lalu bagi keluarganya dipenuhi dengan kesedihan.
Ciuman Terakhir
Lebih menyayat hati, dengan tulang pinggul patah, diikuti bahu, kedua belah tangan dan lain-lain kecederaan, Rokitah disorong menaiki troli bagi membolehkan dirinya mencium arwah suami buat kali terakhir di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kala umat Islam berpuasa pada hari ke-14.
Jelasnya, tarikh 18 Jun 2016, akan terus melekat dalam memorinya sampai bila-bila. Pada tarikh itulah kemalangan berlaku dan arwah suaminya maut sehari kemudian. Dia perlu menjalani fisioterapi.
“Saya minta katil kami dirapatkan. Dengan tulang pinggul patah selain bahu dan tangan, saya cium arwah suami buat kali terakhir. Saya berkeras mahu menatap wajahnya kerana saya tahu, ini saja peluang terakhir bertemunya.
“Kami hidup bersama hampir 20 tahun lamanya dan sama-sama membina impian ke alam syurga tapi kerana kecuaian orang lain, keindahan dunia ini terhenti,” luah Rokitah Jusoh.
Sebelum kemalangan, kata Rokitah, dia nampak kereta dari arah hadapan dipandu terhoyong-hayang. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan dan memasuki laluan orang lain.
Saya tepuk peha suami untuk suami mengelak tetapi mungkin ketika itu malaikat maut sudah menanti setia di sisinya.
“Hentaman kuat itu mengakibatkan hati suami pecah selain paru-parunya parah tertusuk tulang rusuk. Doktor juga sempat mengeluarkan darah beku sebanyak dua kilo dari perutnya.
“Saya pula alami lima kecederaan termasuk patah kedua belah tangan, patah tulang bahu selain patah tulang pinggul. Lebih sebulan saya dirawat di hospital dan terlantar di katil berbulan lamanya.
“Paling tidak dilupakan, semasa menghantar anak ke asrama, suami, suami sempat memeluk anaknya dan berpesan belajar baik-baik. Memang sedih kerana suami meninggal akibat kecuaian orang lain,” kata ibu kepada empat anak ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kesabaran ada batasnya, berhati-hatilah dalam berkata-kata jangan sampai menghina dan menyakitkan hati orang lain.Bila hati dah sakit dan geram, macam-macam perkara boleh dilakukan sehingga sanggup meracun dan membunuh ahli keluarga sendiri!
Memetik laporan Hindustan Times, akibat tidak tahan sering dihina kerana tidak pandai memasak, seorang wanita di India dihukum mati atas pertuduhan membunuh lima ahli keluarganya dalam sebuah majlis ‘housewarming’ pada Isnin lalu.
Guna Racun Ular
Dalam kejadian di daerah Raigad, tertuduh didakwa mencampurkan sejenis racun untuk membunuh ular ke dalam kuah dal yang dihidangkan kepada tetamu. Menurut pihak polis, tertuduh, Pradnya Survase, 23 tahun, sering dihina oleh keluarganya kerana warna kulitnya dan tidak pandai memasak.
Sehubungan itu, polis juga berkata, Survase mempunyai niat untuk membunuh suaminya, ibu mertua serta dua kakak ipar dan seorang birasnya yang sering melontarkan kata-kata hinaan hampir setiap hari.
“Sejak perkahwinannya dua tahun lalu, dia telah dihina hampir setiap hari kerana berkulit gelap dan tidak dapat memasak dengan baik.
“Survase yang pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya mempercayai saudara mara beliau juga telah merosakkan hubungannya dengan suami,” kata jurucakap polis kepada Hindustan Times.
Dianggarkan 120 orang tetamu hadir ke majlis berkenaan yang bermula pada pukul 2.30 petang hingga 11.30 malam, lapor media tempatan. Bagaimanapun, tetamu lain yang menikmati makanan pada majlis itu mula berasa mual, muntah dan sakit perut hanya beberapa jam kemudian dan sedang dirawat di hospital.
Ujian forensik mendedahkan racun tersebut wujud di dalam kuah dal berkenaan dan racun itu dijumpai berhampiran rumah mangsa. Survase didakwa atas tuduhan membunuh dan konspirasi cubaan membunuh di bawah Kanun Keseksaan India.
Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran, jangan suka sangat jadi makcik pakcik ‘bawang’, yang menyakitkan hati orang lain dalam berkata-kata. Bagi yang bergelar ibu mertua, kakak ipar, adik ipar mahupun biras, jagalah hubungan dan ikatan kekeluargaan. Jika tidak ada perkara yang perlu diperkatakan, adalah lebih baik diam daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati.