Ada benarnya memang nampak remeh, tapi setiap hari kita kena cari sebab kenapa cintakan pasangan. Bukan apa, adakalanya perkahwinan yang didirikan bertahun-tahun lamanya semakin hilang rasa cinta dan serinya. Berkahwin sekadar melaksanakan tanggungjawab tapi rasa cinta semakim pudar. Perkara ini lah yang perlu diingatkan kembali, agar rasa cinta pada pasangan semakin erat berkekalan hendaknya.

Baca perkongsian daripada Puan Intan Dzulkefli ini sebagai panduan;

Pernah terbaca satu artikel Inggeris tentang perkahwinan. Tentang perkahwinan yang semakin lama semakin hilang ‘spark’. Makin lama makin hilang rasa cinta, rindu.

Dalam artikel, penulis itu mengingatkan kepada semua pasangan berkahwin tentang keperluan untuk ambil satu-satu masa untuk muhasabah kembali, fikir kembali kenapa kita cintakan pasangan kita dan kita pilih untuk berkahwin dia dengan dia.

Recall semula detik-detik kali pertama kita rasa jatuh cinta dengan dia. Recall semula detik ketika kita decide, “Ya Allah, saya nak kahwin dengan dia,”

Kalau boleh, tiap-tiap hari kita kena cari ‘sebab’, tak kisahlah walau ‘sebab’ itu berbeza setiap hari.

Oh ya, ‘sebab’ itu tidaklah termasuk dengan rasa terhutang budi dia tanggung nafkah keluarga, sebab dia sediakan tempat tinggal, sebab dia lahirkan anak dan sebagainya. Tetapi lebih kepada ciri-ciri yang menjadi ‘qurratu ain’ pada mata kita sebagai pasangan.

Kelebihan yang buatkan kita bersyukur sangat si dia menjadi pasangan kita.

Cari Sebab

Jadi, apa yang dimaksudkan ‘sebab’ itu?

Contohnya, kejap lagi, bila kita duk tenung muka pasangan masa dia tidur, baru teringat, eh dulu masa awal-awal kahwin suka tengok bulu mata dia, suka tengok hidung dia.

Maklumlah, kadang apabila sibuk sangat dengan rutin harian, dengan anak-anak lagi, manalah kita ada masa nak duk merenung sangat macam lagu Siti Nurhaliza – “menjeling, menjeling ku bertentang” tu kan.

Tambahan lagi, apabila sudah masuk 10, 15 tahun perkahwinan dengan ‘features’ masing-masing yang sudah berubah, kita kadang terlupa pada ‘spark’ panahan kali pertama bertentang mata yang membuatkan kita tak boleh lupakan si dia dulu tu.

“Recall” Kelebihan & Keistimewaan Pasangan

Nampak macam remeh kan? Tapi pernah tak bila kita terfikir, semua ‘sebab’ remeh inilah yang menjadi bualan dan kenangan apabila kita kehilangan seseorang. Waktu itulah kita akan ‘recall’ segala kelebihan dan keistimewaan si dia yang kita telah hilang itu.

Masa itulah baru kita nak rindukan hidung ‘jambu air’nya, rindukan lesung pipitnya, rindukan gelak tawanya, rindukan sifat kelakarnya. Jadi, kenapa nak tunggu pasangan dah tiada baru kita nak recall benda-benda seperti ini kan?
Kenapa tidak sekarang?

Percaya atau tidak apabila kita ambil masa untuk cari dan recall semua ‘sebab’ kita cinta dan pilih pasangan kita ini, tak ubah ibarat menyiram dan membaja bunga-bunga cinta di taman hati gitu. Kerana apa? Kerana kita ni manusia yang selalu terlupa. Tambahan hal-hal kecil dan remeh begini, lagilah mudah kita lupa.

Konsep Muhasabah Setiap Hari

Konsep ni lebih kurang dengan muhasabah untuk kita mensyukuri nikmat Allah setiap hari.

Bangun pagi still boleh buka mata – melihat, boleh bangun sendiri tanpa susahkan pasangan, boleh peluk cium anak-anak. Alhamdulillah.

Benda tu nampak macam tak ada apa kan, tambah kalau kita bangun Subuh pun Subuh gajah memanglah tak sempat nak muhasabah apa, atau seharian disibukkan oleh gajet dan skrin semata, memanglah kita terlepas pandang perkara-perkara ini.

Tetapi kalau kita boleh letgo sekejap semua distractions ni dan ambil masa untuk recall dan muhasabah barulah kita nampak betapa sekecil-kecil hal pun boleh menjadi asbab untuk kita bersyukur dan berbahagia. InsyaAllah.

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Ruum : 21)

MasyaAllah. Sungguhlah sebab kita ini manusia yang selalu terlupa dan terleka, perlu selalu diingatkan.

Muhasabah diri Kak Intan yang menulis.

Baca Lagi Di Sini:
Isteri Tak Perlu ‘Hebohkan’ Kebaikan Suami, Elak Timbul Riak & Ada ‘Memerhati’

Suami Isteri Ambillah Peluang ‘Pillow Talk’ Sebelum Tidur, Inilah Cara Kekalkan Momentum Cinta

Amalan Orang Lama Eratkan Hubungan Suami Isteri, Perkahwinan Berkekalan Hingga Hujung Usia

Mingguan Wanita:Setuju sangat memang ada benarnya. Mungkin nampak remeh perkara ini, namun ia mampu menyemarakkan hubungan dalam rumahtangga. Lebih-lebih lagi saat perselisihan dalam rumahtangga, perkara sebegini memang dapat membantu memulihkan keadaaan kembali.

Sumber: Intan Dzulkefli

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di

YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita

Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI