Bila anak-anak buat perangai, mampu ke mak ayah nak sabar? Ada masa dia tumpahkan air atau mungkin dia menangis-nangis sebab nak kan sesuatu.
Allah… nak ungkap kata sabar itu cukup mudah tetapi nak bertindak itu bukan mudah. Tetapi ingatlah, anak-anak tak selamanya begitu. Suatu masa, anak-anak akan membesar dan tinggalkan kita jua.
Seperti yang Puan NurulAa Mustofa kongsikan, manisnya dari sebuah kesabaran itu memang luar biasa!
Sabar pada tamparan pertama
Ada satu malam, kami nak pergi satu majlis, masa tu dah masuk waktu, so kelam kabut siap-siap nak kejar masa. Siapkan barang anak-anak, berkejar-kejar jugak lah. Sambil siapkan barang-barang, berulang kali pesan kat kakak, suruh dia kencing dulu. Tapi masa tu dia sibuk main, so jawapannya as expected, “tak rasa nak kencing punnn”. Bila semua dah siap, dah masuk kereta, dah reverse pun, tiba-tiba kakak cakap, “ibu..nak kencing”.
Apa lagi, merengus laa ayah dan ibu. Berleter panjang lebar sambil ayah bawak kakak masuk dalam balik untuk selesaikan urusan dia.
Ads
Itulah tamparan pertama. Mampu tak kita nak sabar pada tamparan pertama. Biasanya kita hanya boleh mula sabar dengan ujian bila kita mula untuk redha, untuk menerima.
Masa Dengan Anak-anak
Cuba ingat masa anak jatuhkan barang berharga, masa anak tumpahkan air atau makanan kat baju kerja sebelum kita pergi ofis, atau masa kita disahkan menghidap penyakit kronik, masa terima berita kematian, masa anak sakit, masa org sakitkan hati, dan segala ujian lagi. Org yang betul-betul hebat ialah orang yang sabar pada tamparan pertama dan dia ucapkan, “dari Allah kita datang, dari Allah kita kembali.”
Ads
Perkara yang sama berlaku, bila kita rasa kita dimalukan dihadapan org ramai. Soalan-soalan cliché yg kita dapat, bila nak habis belajar? Bila nak kerja? Bila nak kawen? Bila nak ada anak? Bila nak tambah anak? Bila nak kurus? Eh. Macam mana nak hadap dengan soalan ni? Kena balas balik ke kat yang bertanya tu?
Teringat kisah dalam surah Toha, ayat 17-19. Masa tu Allah nampak Nabi Musa pegang tongkat. Allah tanya, ada apa ditanganmu wahai Musa? Kenapa Allah tanya sedangkan Allah memang Maha Melihat, Dia nampak, Dia Maha Mengetahui. Sebab Allah nak ajar kita adab dalam berbicara. Allah nak ajar kita macam mana nak memulakan perbualan. Dan Nabi Musa pun jawap, ditanganku ini tongkat wahai Allah. Nabi Musa pun cerita, tongkat ni dia buat bersandar, apa kelebihan tongkat itu. Jawap dengan passion. Nabi Musa taktau ke yg Allah tu Maha Mengetahui? Mestilah tau. Tapi kenapa Nabi Musa jawap bersungguh-sungguh juga? Sebab Nabi Musa penuh dengan adab. Meraikan yang bertanya.
Ads
Kadang-kadang yang bertanya tu saja je nak create conversation. Mungkin itu perkara yang terlintas dalam kepala dia. “Hang tak kena, senang laa cakap.” Mana hang tau aku tak kena woii. Hahaha.
Macam mana Allah nak didik kita, didik hati kita, semua dah ada dalam Al Quran. Back to basic. Kalau Allah nak ajar Nabi Musa ja, cerita tu tak akan dirakam dalam Al Quran.
Ingat Ganjaran Sabar
So kesimpulannya, kita husnudzon jelah. Dan yang paling susahhhh nak buat ialah sabar. Sebab sabar tu ganjaran dia sangatlah tinggi. Tapi nak dapat “sabar pada tamparan pertama” tu memang payah laa. Silap-silap tampar dulu baru sabar. Hehe. Kita ni banyak dosa, memang sah-sah lah lemah iman. Tapi cuba lah berubah. Doa banyak-banyak. Allah yang pegang hati kita, minta Dia bantu.
Yang lepas, biarkan ia berlalu. Agama ni bukan berkenaan dengan apa yg kita dah buat, tapi berkenaan dengan apa yg kita akan buat nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam rumahtangga amat memerlukan kerjasama diantara suami isteri, baik dalam urusan kerja rumah mahupun anak-anak. Lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang ramai dan masih kecil-kecil.Pertolongan dan bantuan daripada suami sendiri amatlah diharapkan.Keletihan dan kepenatan tidak dapat digambarkan buat wanita yang bergelar isteri dan ibu jika terpaksa menguruskannya sendiri seorang diri.
Sesuatu yang perlu di semat dalam fikiran para suami ialah anak ramai bukanlah bukti kelakian. Mohon jangan ‘mendera’ emosi isteri, inginkan anak ramai namun tidak sedikit pun ingin membantu membuat kerja rumah apatah lagi mengupah pembantu. Isteri bukan ‘robot’, bila jiwanya sangat penat mahupun dalam keadaan tekanan dan kemurungan, boleh menyebabkan bertindak diluar batasan.
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yang aku lakukan 3 tahun lepas. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yang akan bagi kata nasihat, ada insan yang kesian akan doakan yang baik-baik. Tapi aku redha kalau dikecam. Sebab apa aku dah buat memang berdosa tapi aku terpaksa. Confession aku buat sebab viral ada seorang ustaz cakap anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sangat.
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dapat menghakimi aku secara keseluruhan. Aku seorang wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dapat jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal-awal memang dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, macam peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah daripada apa yang aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulit muka pon menggerutu sebab aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia memang rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia memang tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak-anak. masa tu aku ambil untuk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka dinegeri lain. Mereka tak campur sangat urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik lelaki, dia sekarang ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.Tepat anak ke-enam ku 1 tahun 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak macam nenek orang. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa untuk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde siapa takde urut lah orang dulu-dulu’. Aku stress. Aku rindu kawan-kawan aku yang sekarang dah lost contact. Aku takde orang nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji-janji dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterima kasih sebab muka aku tak pernah senyum.
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit-sikit.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira-kira bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak-anak aku jadi garang sangat. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bagitau aku mengandung. Aku tak bagitau sesiapa aku mengandung. Hari-hari aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya badan aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua orang. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2 pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3 ribu. Aku simpan diam-diam hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat-jimat. Satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain-lain balik rumah. Dia je manusia yang berborak dengan aku ditaman ni. Wanita-wanita lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis macam orang tak siuman. Aku meraung-raung cakap aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tengok aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian untuk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke Kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dengan ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7 minggu, dia pon bagitau prosedur (aku tak nak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku cakap aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku cakap aku period pain. Bibik tu aku pakat dengan dia tipu suami aku cakap tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dengan kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada orang asing dalam rumah).
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh datang untuk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak-anak dan ahmoi ke klinik. Anak-anak aku bising dalam klinik, ahmoi tolong jaga sementara aku check dengan doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lagi. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita datang kata tak ready pregnant sebab anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak-anak aku dah besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dengan suami dingin. Aku bosan dengan dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sebab dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dengan apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari-hari minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku sayang anak-anak yang aku ada. Biarlah ayah mereka macam tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi macam ayah mereka.
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kadang-kadang rasa benci dengan suami. Tapi aku sabarkan diri dengan alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak-anak. Tahan je la selagi nyawa dikandung badan. Aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. Bukan badan mereka yang penat. Pakai je senyap-senyap.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak-anak aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan Berdosa
Mingguan Wanita mengharapkan semoga para suami,mendapat pengajaran daripada perkongsian ini. Bantulah isteri yang kepenatan, sama-samalah menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri yang berada dalam keadaan sangat kepenatan dan kemurungan mampu bertindak diluar batasan dan akal fikiran. Buat wanita ini, menggugurkan kandungan tetap satu dosa.Apa pun teruslah berdoa dan meminta keampunan daripadaNya.Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dan menguruskan keluarga dan anak-anak.
Biasalah, semua mak ayah mengharapkan anak-anak dapat result yang bagus pada kertas ujian tetapi tak adil lah kalau sampai buat anak rasa tak dihargai.
Siapa tahu, mungkin anak-anak sudah buat sehabis baik. Namun hasilnya nombor yang tertulis pada kertas ujian tetap tak cantik. Mungkin bukan rezekinya.
Jadi mak ayah sepatutnya jangan cepat melatah dan boleh bertindak seperti situasi Puan Nieza Termizi ini. Nasihat anak tapi biar berlapik.
Anak kami pulang dengan membawa 2 kertas ujian. Hari sebelumnya kerta jawi, 98%. Semalam kertas Bahasa Arab juga 98%.
Secara keseluruhan dia dapat menjawab dengan baik cuma careless. Terletak huruf alif semasa mengeja. Kertas Bahasa Arab pula dia tulis ک pada ruang kosong walaupun dalam pilihan jawapan terang-terang huruf ﻙ . Dah kene tolak 2 markah.
Reaksi spontan kami sebagai ibu bapa,
“Laaa..kan kat sini ada pilihan jawapan dah. Salin je la yang ni.”
“Alaa..salah 1 je kalau tak mesti dapat 100 markah!
“Ayaka ni tak cek balik ni. Cuai. Lepas dah siap kan umi pesan cek balik…”
Selepas beberapa ketika muka dia berubah. Saya cakap pada suami,
“Kita kena bagi semangat kat dia. Bukan down kan dia macam ni.”
Sebagai ibu bapa, bila anak tunjuk kertas periksa..walaupun markahnya bagus, hampir 100%, average ataupun teruk, kita kena jaga reaksi kita.
Kenapa kita sibuk nak fokus kepada 2% markah yang hilang tu. Sedangkan 98% markah lagi yang dia capai kita buat-buat tak nampak.
Benda sepatutnya kita ucapkan,
“Alhamdulillah. Pandainya kakak. Lagi 2 markah dapat 100%. Ok la ni. Cuma lain kali kene tengok betul-betul. Jangan cuai”
“Well done kakak! U did very well. Kakak anak bijak dan suka belajar. Ummi bangga dengan kakak”
“Tak mengapa. Kecuaian ni jadikan pengajaran. Maknanya kakak kene usaha kuat lagi. Cuti ni kene belajar dengan ummi tau. Tak boleh banyak main dah.”
Begitulah..
Kita pun pernah alami benda sama juga. Bila ibu bapa down kan kita dengan keputusan tak memuaskan, benda pertama terlintas dalam hati,
“Aku dan buat sehabis baik dah. Kenapa tak dihargai?”
Sebenarnya anak pun rasa ralat dan sedih dengan keputusan yang diterima. Kalau kita ‘salahkan’ dia lagi, lagi turun motivasinya. Carilah ayat yang sesuai untuk menaikkan semangatnya. Bukan terus-terusan menekan.
Pakar motivasi pernah kata, hargai usaha bukan result. Dia rajin pergi sekolah walaupun malas ulangkaji di rumah. Rajin ke sekolah tu pun dah usaha. Puji usahanya.
Dia sentiasa tumpukan perhatian semasa cikgu mengajar, walaupun kat rumah tak pernah baca buku pun. Masa periksa, dapat jawab dengan baik cuma cuai kerana kurang latihan. Cari titik kekuatan dia iaitu fokus semasa cikgu mengajar. Puji usahanya.
Kalau kita tak berlatih dari sekarang, sejak anak darjah satu untuk mengubah reaksi kita sebaik sahaja dia tunjukkan kertas peperiksaannya, pasti kita akan jadi ibu bapa yang sama sahaja untuk 5 ke 10 tahun akan datang. Malah emosi anak mungkin akan tercedera kerana reaksi-reaksi negatif kita.
Berlatih dari sekarang ya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan senang nak handle kalau anak dah start meragam, kalau kat rumah boleh lah buat tak nampak. Tetapi kalau kat tempat orang ramai, macam mana?
Mesti ‘habis hati’ cuba pujuk anak. Tetapi sebenarnya anak meragam ini berkait rapat dengan cara pemakanan yang anak ambil setiap hari. Nak-nak pula kalau mak ayah suka belikan anak makanan yang tinggi gula dan garam.
Macam yang Doktor Taufiq Razifini kongsikan, ada beberapa jenis makanan yang patut mak ayah elakkan bagi pada anak. Lagi bagus, jangan ada dalam rumah pun!
Mak yang ayu pun boleh bertukar jadi singa kalau anak tiap hari meragam!
Paling stress kalau anak kita selalu meragam dan tantrum tak berhenti. Kita ingat ke mereka meragam tanpa sebab. Makin hari, makin kita pulak yang rasa nak tantrum kan?
Padahal mungkin perangai tantrum, hyperactive dan suka meragam tu datang daripada MAKANAN yang kita duk bagi kat anak anak kita tiap hari.
Dalam buku Healthy Food, Healthy Gut, Happy Child oleh Dr Maya Shetreat, sorang paediatric neurologist ada tulis kaitan makanan dan perangai anak anak kita semua.
Ini antara kandungan makanan yang mak mak kena nak kena pantau dan waspada
Makanan yang tinggi kandungan gula menyebabkan kenaikan paras gula dalam darah. Bila gula tinggi, insulin yang tinggi diperlukan menyebabkan kanak-kanak jadi kurang gula dalam darah (hypoglyecemia) atau orang kita sebut hypo. Bila hypo ni senang lah mereka nak tantrum.
MSG mengandungi glutamate yang menjadi stimulant kepada otak. Bila banyak sangat stimulant ni banyak sangat free radical yang akan dihasilkan. Free radical ni boleh merosakkan fungsi otak. Lagi-lagi kalau kanak-kanak yang sangat sensitif pada glutamate, memang boleh sebabkan kegelisahan. pening kepala dan juga sawan.
Makanan yang berwarna-warni memang nampak sedap dan menyelerakan. Tapi pewarna tambahan menyumbang kepada masalah kelakuan pada kanak-kanak. Selain tu, pewarna tambahan jugak adalah karsinogen dan menyebabkan kanser pada jangka masa yang panjang.
Sebenarnya susah untuk mengubah kalau kanak-kanak tu terbiasa makan makanan yang tinggi gula, pewarna dan MSG. Elakkan beli dan elakkan menyimpan makanan begini di rumah. InsyaAllah bila kita jaga pemakanan, mak mak akan perasan kelakuan anak akan berubah menjadi lebih baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hanya disebabkan tidak berkongsi foto bersama isteri pada hari raya, timbul spekulasi kononnya rumah tangga pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim kembali bergolak.