baru

Bila dah jadi mak-mak ni, ‘ilmu’ memilih barangan segar baik di pasar basah mahupun pasaraya bagaikan suatu kemestian.Bila ada ilmu barulah, barulah barangan yang dipilih benar-benar segar dan berbaloi dengan harga yang dibayar.

Salah satu bahan mentah yang sering dibeli dan menjadi kemestian ialah ayam segar. Ayam sering dijadikan menu hidangan kegemaran seisi keluarga. Namun seringkali juga ayam yang dibeli sudah berbau dan lagi tidak segar setelah dibeli.

Menurut perkongsian seorang dietitian di sebuah hospital, yang juga menyelia makanan di bahagian dapur, RuQayyah Muhd telah kongsikan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan dalam memilih ayam segar ini.

Berikut merupakan antara perkongsian dari beliau;

“Sejak saya mula bertugas menyelia perkhidmatan makanan di dapur hospital di samping memberi rawatan terapi diet kepada pesakit di wad, salah satu tugasan adalah memeriksa bekalan makanan yang sampai. Antaranya adalah ayam.

Setiap pagi bekalan ayam segar akan tiba ke dapur kami dan penyelia bertugas harus memastikan bekalan mentah yang sampai memenuhi spesifikasi yang ditetapkan. Ayam mesti segar. Tidak beku dan tidak ada bau. Dan baru disembelih pastinya.

Memastikan ayam itu elok untuk diterima pihak kami adalah satu ilmu baru yang saya tidak arif. Selalu saya main tunjuk saja ayam di pasar. Tak kisah betul segar atau tidak. Ilmu memilih ayam ini saya belajar daripada Chef saya di dapur dan daripada penyelia perkhidmatan makanan. Mujur ada mereka yang rajin turun ilmu. Kalau tak, sampai ke tua pun tak pandai pilih ayam”.

IKLAN

Lima Tip Memilih Ayam Segar

1. Warna Ayam

Ayam yang kulitnya berwarna putih kemerah-merahan adalah ayam yang segar. Jika ayam itu pucat, kebiru-biruan, ayam itu biasanya telah diletakkan formalin dan di sejuk bekukan.

2. Tekstur Ayam

Ayam yang segar, apabila ditarik kepaknya ke belakang akan kembali ke posisi asal. Tetapi jika ia tidak segar, kepaknya akan terkulai layu di tasik madu pastinya.

Isi yang segar apabila ditekan terasa empuk akan kembali ke bentuk asal tetapi sekiranya ditekan ia tenggelam, ayam itu ayam lama. Ayam yang kenyal biasanya diletakkan formalin. Manakala ayam yang kelihatan bengkak biasanya telah disuntik.

IKLAN

3. Darah Ayam

Apabila ayam yang dibeli kelihatan mempunyai banyak darahnya atau cecair berdarah. Biasanya ia adalah ayam yang telah dibekukan dan dicairkan semula. Ayam segar tidak mempunyai air berdarah yang banyak.

4. Bau Ayam

Ayam yang segar tidak akan mempunyai bau yang busuk atau hanyir. Elakkan membeli ayam yang berbau hanyir.

IKLAN

5. Lalat

Sekiranya ada lalat yang mengurung atau hinggap pada ayam, biasanya ayam ini tidak lagi segar. Berpindah ke penjual yang lain dan elakkan membeli pada penjual yang dihurung lalat.

Selamat membeli ayam segar.

Mingguan Wanita : Semoga tip berguna ini boleh dijadikan panduan buat mak-mak dalam memilih ayam yang benar-benar segar untuk hidangan keluarga tersayang.

Sumber: RuQayyah Muhd

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI