Dalam keadaan sekarang, boleh dikatakan duit adalah segalanya-galanya dalam meneruskan kehidupan. Tanpa duit, semua benda yang dilakukan tidak berhasil. Duit juga boleh menyebabkan pergaduhan dan perceraian berlaku antara suami isteri.
Inilah yang dibincangkan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga tentang keluarga yang sihat datangnya bila rezeki yang dibawa oleh suami isteri itu berkat.
Untitled design (6).
Keluarga Bahagia
Secara asasnya, pasangan suami isteri yang sihat dari segi emosi dan mental punyai impian untuk miliki sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dari segi:
• Bebas daripada krisis kesihatan
• Bebas daripada krisis kewangan
• Miliki pengangkutan yang berkualiti
• Saiz rumah dan lokasi rumah yang bagus
• Punyai jiran tetangga yang berpekerti mulia
• Budaya bercakap seisi keluarga yang harmoni
• Miliki perolehan sumber kewangan yang mampan
Persoalannya, apakah ilmu sebenar yang berhubung rezeki yang berkat menurut syariat Islam? Jelasnya, terdapat juga pandangan kalangan bijak pandai yang berkata bahawa rezeki yang berkat itu bersifat “Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan”.
Rezeki Berkat
Punca rezeki jadi berkat, mudah bertambah dan cukup dari semasa ke semasa apabila kita budayakan sikap suka bersedekah.
Ads
Sebaliknya, sikap kedekut, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli, mencuri harta orang lain dan memakan harta anak yatim akan menjadikan seseorang itu rezekinya tidak berkat. Kesannya ialah timbul penyakit tekanan emosi, mudah stres, ditimpa pelbagai krisis hidup dan wajahnya akan kelihatan masam, menakutkan dan tidak dipercayai oleh orang kebanyakan.
Kesan hidup dengan rezeki yang tidak berkat banyak diperkatakan dan di bahas oleh kalangan ahli psikologi. Di antara tanda-tanda hidup orang yang rezekinya tidak berkat ialah:
Ada kerja tetapi kerjanya tidak pernah siap
• Ada tindak usaha tetapi hasilnya tidak berbaloi
• Ada duit banyak namun terlalu cepat sangat habis
• Ada banyak masa tetapi sentiasa terlepas begitu sahaja
• Ada banyak kawan tetapi tidak seorang pun sudi membantunya
• Ada bakat istimewa tetapi tidak boleh dimanfaat oleh diri sendiri dan orang lain.
Ads
Setiap ahli keluarga mesti ambil berat soal rezeki berkat (halal) ini kerana jika dipandang remeh, ia akan menatijahkan barah psikososial ummah yang impaknya bukan sahaja memberi imej buruk terhadap bangsa Melayu malah ummah Islam itu sendiri.
Ini adalah kerana, rezeki (duit, makanan, pakaian, kenderaan, rumah kediaman dan seumpamanya) akan diguna, dimakan dan dinikmati bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga buat pasangan dan anak-anak sendiri.
Seterusnya bagi memiliki setiap rezeki yang diterima sama ada banyak atau sedikit itu mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T maka kita perlulah juga meneliti perkara berikut :
Ads
1. Tidak meninggalkan sebarang perintah Allah seperti sembahyang dan mengeluarkan zakat sepanjang tempoh mencari rezeki.
2. Tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan maksiat seperti menipu, tidak amanah, tidak menepati masa, bertangguh kerja dan seumpamanya tatkala di tempat kerja.
3. Bekerja dengan niat untuk membantu diri sendiri dan orang lain dengan penuh ihsan, jujur dan tekun.
4. Menjaga lidah dan anggota badan kita daripada merosakkan maruah diri, keluarga dan orang lain.
5. Yakin bahawa Allah yang memberi kita rezeki. Justeru, kepada Allah sahaja kita berserah, mengadu dan berharap.
Kaitan Rezeki Dengan Keluarga
Banyak bukti yang terkumpul dalam sirah pengalaman hidup saya sebagai pakar kaunseling keluarga di Malaysia mendapati jika seseorang suami atau isteri memberi makan minum, pakaian dan rumah tempat tinggal hatta kereta motor yang mereka guna bersumber rezeki yang haram, akan menghadapi krisis-krisis rumah tangga yang kadangkala tak sanggup untuk saya dengar dan sukar untuk saya interpretasikan. Misalnya isu;
• Ada kereta, tetapi kereta asyik rosak
• Ada kawan, tetapi kawan makan kawan
• Ada jiran, tetapi jiran tak hormati hak jiran
• Ada pekerjaan, tetapi asyik tukar-tukar pekerjaan
• Ada isteri, tetapi isteri tidak taat kepada perintah isteri
• Ada kemahuan untuk berjaya, tetapi susah nak bertindak dan mencuba jaya.
• Ada anak tetapi anak mengalami kecelaruan mental (mental illness disorder)
Peranan Suami
Jelasnya, rezeki yang cukup dan berkat banyak berkaitan dengan sikap suami yang:
• Mendirikan solat sunat Dhuha kerana solat sunat Dhuha menjemput rezeki yang banyak.
• Bangun malam (Qiamullail) untuk laksana solat Hajat. Dia ingat dan sedar bahawa Allah yang kurniakan rezeki. Jika kita bersungguh meminta daripadanya, maka dia akan kurniakan.
• Rajin bekerja, berdisiplin tinggi dan fokus untuk mencari duit, mengumpul duit dan merancang kegunaan duit keluarga demi masa depan yang selesa dan selamat daripada masalah kewangan.
• Memastikan sumber pendapatan keluarga daripada pekerjaan yang halal.
• Membayar zakat.
• Berjimat cermat
Peranan Isteri
Isteri mesti bersikap pengimbang dalam membina keluarga yang bahagia sambil menikmati rezeki yang halal, berkat dan cukup. Banyak orang perempuan mudah sakit hati, murung, tertekan dan bimbang jika miliki keadaan kewangan keluarga yang bermasalah, tidak cukup dan paling teruk daripada sumber yang tidak halal misalnya menggunakan duit curi, rasuah dan seumpamanya.
Isteri yang baik dari aspek mengundang rezeki yang berkat ialah seperti berikut;
• Istiqamah melaksana solat sunat Dhuha
• Sentiasa bersyukur akan segala nikmat yang diperoleh dari aspek rezeki kewangan, kesihatan, pakaian, makanan dan kenderaan.
• Sentiasa peka dengan kebajikan suami dan anak-anak dari segi makan minum, kebersihan dan keharmonian emosi suami dan anak-anak
• Memastikan diri sebagai faktor penenang dan inspirasi kepada suami untuk bersungguh mencari rezeki yang diperlukan dan halal sumbernya.
• Sentiasa berusaha menggunakan perkataan yang lembut dan tingkah laku yang lemah lembut dalam melayan suami dan anak-anak di rumah.
Tujuan pihak isteri menampilkan sikap tenang dan lembut di dalam rumah ialah supaya pihak suami tidak tertekan selepas pulang dari kerja. Manakala fitrah pihak suami bahawa mereka amat memerlukan sikap isteri yang bijak dan bernas dalam memberikan kata-kata perangsang agar suami gigih bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal dan cukup di luar sana. Kata-kata lembut dan wajah manis yang ditunjukkan oleh isteri akan membina motivasi diri yang tinggi oleh setiap suami yang berakal, waras, beragama dan bertimbang rasa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berita gembira buat peminat pasangan diraja ini, Kate Middleton yang merupakan isteri kepada Putera William, telah selamat melahirkan anak ketiga pasangan itu di hospital di London,semalam.Bayi lelaki pasangan ini dilahirkan pada 11.01 pagi waktu tempatan dan seberat 3.8 kilogram.
Menariknya, meskipun baru sahaja melahirkan anak, wajah Kate Middleton tampak sungguh berseri-seri, cergas dan anggun dengan memakai dress rona merah cili, malah manis mengukir senyuman serta memberikan lambaian mesra buat para peminat, rakyat dan media yang setia menunggu diperkarangan hospital.
Terdahulu, Putere William dan Kate Middleton, memilih untuk tidak mengetahui jantina bayi dengan lebih awal.Jantina bayi hanya diketahui ketika hari kelahirannya.
Pewaris Kelima Takhta Britain
Kenyataan Istana Buckingham menyatakan, William berada di sisi isterinya ketika Kate melahirkan pewaris kelima takhta Britain itu di Hospital St Mary di barat London.Dua lagi anak mereka, George dan Charlotte turut dilahirkan di hospital berkenaan.
“Ratu, Duke of Edinburgh, Putera Charles, Duchess of Cornwall, Putera Harry dan anggota kedua-dua keluarga dimaklumkan dan gembira dengan berita itu.
“Kate dan anak berada dalam keadaan sihat,” menurut kenyataan istana.
Bayi lelaki yang masih belum diberi nama itu merupakan cicit keenam Ratu Elizabeth dan berada di belakang George, Charlotte, William dan datuknya, Putera Charles, sebagai pewaris takhta.
Nama bayi ini akan diumumkan dalam beberapa hari lagi. Dijangka, nama-nama seperti Arthur, Albert, Frederick, James dan Philip antara nama ramalan bayi yang bakal dipilih oleh pasangan diraja ini.
Poligami sentiasa menjadi polemik, pihak yang pro dan kontra saling menunjuk hebat dengan segala dalil dari pelbagai kitab rujukan.
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding undang-Undang Keluarga Islam, juga kolumnis di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/DatoMurshidDiRajaDr/
isteri Cuba Faham Dan Terima
Isteri cuba menghadam apa yang difahami suami tentang poligami, dia ternganga mendengar kawan-kawan suami memperlekehkan dirinya sebagai wanita jahil yang tak faham sunah poligami.
Dia wanita yang baru kenal agama, baru pandai menghadam satu dua hadis, baru lurus lidahnya membaca al-Fatihah tiba-tiba dipaksa untuk menerima dalil seolah-olah poligami itu wajib, sesiapa tidak menerima maka dia sesat!
Poligami Dijadikan Indah Pandangan Dtutupi Kepahitan
Mengapakah tuduh isteri menolak sunah? Padahal isteri mengakui poligami adalah syariat Allah begitu juga monogami, tiada siapa menolak sunah. Berhati-hatilah dalam isu poligami, jangan berbangga dan riak tayangkan kemampuan kerana ia satu ujian! Bagaimanakah Iblis membelit dalam isu poligami?
Tiada siapa yang menafikan nikmat tertinggi bagi lelaki adalah berhubungan intim, apa-apa pun kononnya niat suci kerana Allah itu semua datang selepas niat pertama diperoleh. Oleh itu lelaki cuba memanipulasi untuk niat berahinya. Ia tidak salah, asalkan suami memahami cara mendapatkan kenikmatan itu mesti ikut syarak.
Tak Layak Poligami Tapi….
Sudahlah badan ada penyakit, harta tidak banyak, anak isteri yang pertama pun tak selesai hal nafkah, tiba-tiba boleh pukul isteri tua yang menolak dipoligami, kononnya nusyuz?
Tengoklah betapa belitan iblis itu sudah kemas di leher si suami; iblis mempengaruhi dirinya untuk memaksa isteri. Iblis kata semuanya manis, tidak ada yang pahit dalam bermadu. Buktinya orang-orang soleh zaman Nabi s.a.w boleh buat, kenapa aku tidak?
Bandingkan Dengan Isteri Rasulullah Dan Sahabat
Dia tak tanya, siapakah orang soleh zaman Nabi itu? Apakah kesabaran dirinya boleh disamakan dengan mereka, imannya boleh dinaiktarafkan seperti mereka, ilmunya setanding dengan mereka? Apakah isterinya ada kekuatan sepertimana isteri para sahabat? Apakah amal ibadah isterinya cukup untuk menampung kebocoran hati akibat cemburu buta?
Jika seorang ummul mukminin semulia Aisyah RA berasa cemburu sehinggakan membuat pakatan untuk menjatuhkan isteri-isteri Nabi yang lain, apakah boleh bagi isteri kamu menghadapi kecemburuan itu dengan iman senipis bawang, ilmu secetek air longkang kekeringan, akhlak serapuh ranting kayu bila dibakar api cemburu?
Memang hakikatnya poligami indah, tapi pelakunya yang memburukkan wajah poligami ini disebabkan dia tidak layak memikul bebannya.
Ujian Bertubi-Tubi Buat Isteri
Wahai isteri, semangat yang tinggi mahu menerima sunah sebagai jalan hidupmu tidaklah cukup tanpa mujahadah kerana akan ada suara-suara yang cuba melunturkan niatmu dari jalan Allah.
Mereka akan berkata: “Setelah berpoligami, baru kau tahu rasa remuknya hati bila disakiti! Senang saja nak cakap move on. Macam mana nak kikis kerak benci, dendam dalam hati? Menangislah selagi kau boleh berasa tenang, takkan hilang bayang-bayang kecemburuan kau selagi belum bercerai! Akan datang wanita-wanita yang cuba mencari-cari kelemahan suami dan diri kamu. Mereka berkata: “Awak tak cemburukah, madu dapat lebih, anak daralah kan? Malam-malam awak boleh tidurkah kalau suami giliran di sana? Apa rasa bila suami marahkan awak, sedangkan isteri muda dipuja-puji?
Cemburu Isteri Bila Poligami
Setaat-taat wanita beriman, terlontar juga kata-kata nak mati bila dapat tahu suami berkahwin lain. Tak percaya? Bukankah ia perkataan yang dilafazkan ummul mukminin Aisyah yang cemburu kepada madunya?
Diriwayatkan daripada Aisyah, dia berkata: Rasulullah s.a.w apabila hendak melakukan perjalanan, baginda mencabut undi untuk isteri-isterinya. Keluarlah nama Aisyah dan Hafsah untuk bermusafir bersama Rasulullah s.a.w. Suatu malam baginda keluar bersembang-sembang bersama Aisyah sambil berjalan-jalan. Hafsah berkata kepada Aisyah: Mahukah kamu malam ini menunggang untaku dan aku menunggang untamu supaya kamu boleh melihatku dan aku boleh melihatmu? Aisyah berkata: Baiklah. Kemudian Aisyah menunggang unta milik Hafsah dan Hafsah menunggang unta Aisyah. Kemudian datanglah Rasulullah kepada unta milik Aisyah yang dinaiki Hafsah, mengucapkan salam kepadanya dan berjalan bersama sampai keduanya turun kembali. Tiba-tiba Aisyah merasa kehilangan Rasulullah s.a.w dan cemburu. Ketika mereka turun berhenti, Aisyah menendang-nendang kakinya ke rumput izkir yang harum baunya sambil berkata: Wahai Tuhanku, semoga ada kala jengking atau ular yang menggigitku sedangkan aku tidak dapat mengatakan apa-apa kepada Rasul-Mu.” (Hadis riwayat Muslim)
Boleh Bawa Mudarat
Cinta itu boleh memudaratkan jika manusia tidak dapat mengawal perasaan. Kegilaan seseorang disebabkan cemburu boleh mendatangkan bahaya jika akal dan perasaannya kalah dalam belitan iblis. Bukan mudah berpoligami, hanya mereka yang sabar dan tebal iman mungkin boleh selamat. Ya mungkin kerana ramai yang bergantung pada kekuatan iman akhirnya gagal juga.
Oleh itu segala pergantungan hendaknya dikembalikan kepada kuasa-Nya, qada dan qadar-Nya semata! Apakah anda masih mahu riak menayangkan poligami, bukankah ia ujian mengapa mahu dibangga-banggakan? Sepertimana nasihat Rasulullah kepada Aisyah apabila diserang cemburu, takutlah kamu kepada Allah wahai Aisyah!
Sedap berbual dengan kawan, tetiba anak tumpahkan air. Agak-agak nak marah atau biarkan? Haaa… inilah tugas mak-mak yang patut diketatkan bila bawa anak pergi beraya rumah orang.
Ya, memang betul budak-budak akan berperangai seperti budak-budak. Ada perasaan ingin tahu, ingin mencuba BUT pada masa yang sama mereka juga perlu didedahkan dengan tatacara ketika berada di rumah orang termasuklah bertegur sapa dengan tuan rumah (bukan suruh bersembang macam orang tua pun. Cukuplah bersalam dan ucap selamat hari raya), hormat-menghormati sesama manusia termasuklah hormat hak privasi tuan rumah.
Nak lagi mudah, jemput baca perkongsian Puan Nurul Ilyani tentang adab bawa anak beraya.
Tugas Mak-mak Bila Bawa Anak Pergi Beraya
Walaupun ada pembantu rumah, jangan selalu tinggalkan anak yang kecil..
Sunnah kita berkunjung ke rumah saudara dan jiran tetangga di hari raya. Ada anak kecil-kecil berderet-deret, pasti kita rasa risau jika mereka ‘buat perangai’ di rumah orang?. Biasakan, jika kita ada pembantu rumah, kita cenderung meninggalkan anak yang cenderung buat perangai samaada memalukan kita atau membuat kita tertekan dengan tingkahlaku mereka.
Saya pernah ada pembantu rumah dan kini saya tidak ada lagi pembantu rumah. Satu perkara paling ketara, kami tidak pernah meninggalkan anak dengan pembantu rumah apabila kami bersosial. Maksudnya menghadiri kenduri, atau berhari raya. Walaupun ketika itu Dhuha Tihani masih tidak boleh mengawal diri dan tidak boleh berhenti bergerak ke sana sini.
1. Jangan sub didik adab berkunjung kepada pembantu rumah
Adab berkunjung ke rumah orang perlu dipelajari dengan hands on. Bawa anak berkunjung, anak akan buat salah, kemudian tegur dan betulkan. Berulang-ulang kali sehingga baik. Jika ditinggal dengan pembantu rumah, anak-anak langsung tidak dapat belajar. Apabila tidak belajar sampai bila-bila ibubapa akan rasa anaknya sentiasa akan buat perangai di rumah orang. Sampai bila mahu dikurung dengan tidak bersosial?
2. Pembantu rumah tidak mampu ajar adab tanpa situasi sebenar
Sesungguhnya berkunjung ke rumah tetamu itu mempunyai peraturan. Kanak-kanak yang aktif dan masih belajar mengawal dirinya pasti akan banyak buat kesalahan.
+Salam tuan rumah apabila sampai dan sebelum pulang +Tidak boleh makan tanpa izin +Tidak boleh usik barang orang +Tidak boleh meminta duit raya +Tidak boleh merampas sampul raya dari tangan tuan rumah sebelum diberikan +Tidak boleh membuka sampul raya di depan tuan rumah +Tidak boleh sebut berapa jumlahnya dengan kuat di depan pemberi
Semua etika di atas paling baik disebut semasa situasi itu sebelum berlaku, sedang berlaku dan selepas berlaku. Ulang semua peraturan.
Menurut Puan Ummu Ilham, selama 7 tahun mula mendidik anak kecil, dia menjadi seorang yang tidak segan silu mengulang peraturan dengan jelas dengan anak-anak walaupun di hadapan tuan rumah. Malah apabila situasi ini berlaku, selalu membuatkan tuan rumah senyum dan mereka kata “tak apa, budak-budak”.
Ya pasti mereka berbasa basi, namun kita sebagai ibu bapa, tidak boleh penat dan lelah membentuk tingkahlaku positif.
Alhamdulillah, kini dia tidak malu lagi berhari raya. Kesalahan kecil yang biasa yang belum berlaku, semua peraturan asas adab berkunjung, ibu ini akan betulkan semula dalam bentuk social story sebelum setiap rumah yang dia kunjungi tanpa penat dan lelah.
3. Beri anak peluang buat kesalahan
Anak-anak perlu diberi peluang buat kesalahan untuk mereka belajar. Cause and effect learning adalah salah satu cara pembelajaran untuk anak kecil.
Namun, jangan marah dan pukul mereka. Mereka hanya akan menjadi takut tetapi mereka tidak faham dengan jelas mengapa sesuatu itu tidak boleh dilakukan.
4. Jangan sedap sangat makan dan menyembang
Kadang-kadang ralit sungguh kita bercakap sehingga anak-anak kita melompat-lompat di sofa tuan rumah. Ya, kadang-kadang ralit sungguh kita makan sehingga anak kita asyik main tap air yang dihidangkan sampai basah lantai tuan rumah. Jadi ibubapa yang sedang mendidik anak, tiada hari adalah honeymoon. Setiap hari adalah learning mode. Mata kena tajam macam helang. Pergerakan kena cepat macam cheetah. Sebelum anak melompat, mata kena jegil dulu atau kena lari dulu tangkap tangan anak sebelum dia tekan air oren tuan rumah.
Tak mudah bukan?
This is parenting world. This is real world. There are no passengers in this world. All are responsible to their children.
Walaupun ada pembantu rumah yang boleh ganti tempat kita jaga anak, tapi DIDIK anak? Pastikan no sub-mom.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!