Pejam celik sudah dua bulan bersama Mingguan Wanita. Sejujurnya nak hadap dateline setiap minggu memang memenatkan. Tapi bila tengok orang lain boleh buat jadi saya pun cuba kuatkan semangat. Memang ‘tabik spring’ la dekat mereka yang dah lama dalam team MW. Semuanya gigih dan hebat!
Sepanjang dua bulan ini saya dah dapat tugasan macam-macam termasuklah pergi interview orang-orang hebat yang ada kat Malaysia. Antaranya Ahyat Ishak yang cukup terkenal dalam dunia hartanah. Banyak ilmu yang saya dapat menerusi temubual yang dijalankan. Dia juga tak lokek dan very humble orangnya. Kalau nak tahu fasal pelaburan hartanah memang boleh cari Ahyat Ishak ni.
Seorang lagi anak muda yang berjaya pernah saya temubual adalah Nasrul Baharudin yang meneraju beberapa buah syarikat hanya pada usia 27 tahun. Hebat kan? siapa-siapa nak berniaga tapi buntu nak buat bisnes apa, Nasrul ada buat kelas coaching nak tolong orang melayu jadi ahli perniagaan berjaya. Kedua-dua figura yang dah berjaya ini bukan sahaja kaya dengan ilmu dunia, malah mereka juga tak lupakan ilmu akhirat.
Ads
Kalau fikirkan balik memang dateline MW setiap minggu tapi bila dapat interview individu seperti yang saya sebut kat atas tu rasa ada rahmat disebalik pertukaran ni. Memang sangat terinsipirasi dan semoga saya juga boleh berjaya seperti mereka bukan sahaja di dunia, malah juga diakhirat. InshaAllah.
Tip nak berjaya dalam hidup:
1. Solat jangan tinggal, buat juga solat sunat terutamanya Tahajud dan Dhuha.
Ads
2. Jangan pernah putus asa, gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya.
3. Tetapkan matlamat dan tetapkan waktu bila nak capai matlamat tersebut.
Ads
4. Berkawan dengan orang-orang yang ada nilai-nilai positif dan bonus kalau ada kawan-kawan yang berjaya. Boleh cedok ilmu kejayaan mereka sekali.
5. Usaha dan doa itu penting, selebihnya berserah kepada Allah sebab Allah Maha Mengetahui dan Dialah sebaik-baik Perancang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Semalam saya tanyakan pada teman-teman di status Facebook saya. Lebih kurang begini pertanyaannya,
“Ada Siapa Dalam Frenlist Saya Ni Yang Suri?
Anda suri rumah atau suri kerjaya?
Sudi2lah komen ya…”
Subhanallah saya terima berpuluh jawapan komen, setiap jawapan itu ada kebahagiaan dalam hati rakan-rakan FB yang menjawab.
Terima kasih banyak-banyak kerana sudi berkongsi maklumat dengan saya. Setiapnya ada yang menjadi suri rumah sepenuh masa, ada juga yang bekerja sepenuh masa tapi masih menjalankan tugas sebagai suri. Masing-masing mempunyai cerita suri yang tersendiri.
Baik anda suri sepenuh masa atau perlu membahagi masa antara kerja dan keluarga, kedua-duanya mempunyai kebahagiaan yang tersendiri. Hanya anda yang tahu bagaimana mahu membahagiakan hati anda itu.
Biarpun kita dihimpit dengan tugasan pejabat atau syarikat yang sukar, tugas sebagai ibu takkan sekali-kali ditidakkan. Saya ambil petua ini dari mak. Mak bukanlah suri sepenuh masa. Ketika saya masuk tingkatan enam, mak terpaksa bekerja semula di kilang kayu.
Waktu kerja mak dari pagi menjelang petang barulah sampai ke rumah. Tapi satu hal yang saya perasan tentang mak, biar penat macam mana sekalipun mak tak pernah balik kerja terus berehat atau tidur. Tapi dia terus singsing lengan dan masuk ke dapur.
Dapur itu walaupun daif saja keadaannya, tapi ia ruang paling bahagia untuk mak. Biarpun penat mak tetap masakkan lauk pauk untuk abah. Rupa-rupanya perkara yang satu ini saya warisi. Walaupun balik jam 11 malam sekalipun, akan ada sesuatu yang boleh dimasakkan untuk suami dan anak-anak. Walaupun anak-anak dah kenyang makan di rumah mak, mereka suka juga menjamah-jamah makanan yang ada.
Tapi tidaklah setiap hari semacam emak. Ada juga hari-harinya yang saya cukup stress dengan deadline dan sebagainya, kami berdua makan di luar saja. Tapi sebaik sampai di rumah, satu hal yang wajib dibuat adalah menyediakan segelas air manis yang hangat untuk suami.
Rupa-rupanya hidangan sekecil itu membawa satu makna yang besar dalam hubungan suami isteri. Kalau datang malas, saya selalu akan cakap begini. “Abang, buatkanlah air tuk saya. Kan abang buat air sedap.” Bila dah lama-lama, ini jawapan balasnya. “Tak tahulah kenapa, sekarang abang buat air dah tak sedap.”
Kesimpulannya beginilah. Bermakna kalau satu-satu kerja itu sudah jadi rutin, ia akan jadi kepakaran kita. Dan dalam konteks ini, saya sudah mengalahkan kepakaran suami membuat air hangat yang sedap dalam rumah (Sedap ini untuk lingkungan keluarga kami saja tau!). Tapi kalau bab-bab buat air bentuk jus, dia masih lagi juaranya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Soalan pertama orang akan tanya bila tahu saya kerja sebagai seorang wartawan adalah, “seronok tak kerja wartawan? Mesti seronok kan dapat jumpa ramai orang.” Apa jawapan saya? Ya, memang seronok sebab saya minat dunia penulisan. Tapi, kalau tak tahan cabaran jangan mimpi nak jadi wartawan. Jiwa kena kental, mampu kerja di bawah tekanan, dihimpit deadline. Tak sanggup, bidang ni bukan untuk kamu!
Sepanjang karier lebih 18 tahun berkhidmat sebagai wartawan, bermacam-macam kisah suka duka yang telah dilalui. Bila saya selak satu persatu, ia memberikan 1001 kenangan terindah untuk saya simpan. Kerjaya sebagai wartawan juga membolehkan saya berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat. Daripada golongan biasa sehinggalah VVIP.
Setiap tugasan juga ada cabaran tersendiri. Jika berjumpa dengan orang yang kurang bernasib baik, kita jangan meletakkan diri kita lebih tinggi daripada mereka. Cuba selami dan fahami penderitaan dan kepayahan mereka. Kadangkala mereka ada sifat rendah diri yang tinggi. Jadi, sebagai wartawan, perlu bijak untuk membuatkan mereka selesa berdepan dengan kita. Kadangkala kita tak dapat bayangkan situasi apabila kita ke kediaman mereka. Mungkin kediaman mereka terlalu daif. Jangan sekali-kali memperlihatkan diri kita kekok atau tak selesa. Takut mereka kecil hati.
Orang Melayu kita juga kaya dengan budi bahasa. Apabila membuat tugasan yang memerlukan saya ke rumah mereka misalnya, pasti diri akan dilayan dengan cukup baik sehingga kita pula rasa segan. Belum masuk bab dijamu dengan pelbagai hidangan. Hendak menolak, takut tuan rumah berkecil hati pula walau pun ketika itu mungkin kita sedang mengejar masa untuk tugasan seterusnya. Itu menunjukkan mereka meraikan kita sebagai tetamu walau pun itu kali pertama bersua.
Namun nama pun manusia. Ada perangai masing-masing. Pernah juga pengalaman saya, seharian mengadakan fotografi dengan seorang selebriti, dari pagi hingga ke petang di kediamannya. Hanya dihidangkan segelas air sirap saja. Tapi kami tak kisah. Sebagai wartawan, kami tak pernah minta apa-apa, tak pernah minta kami dilayan bak VIP. Yang penting kerja kami berjalan lancar. Itu belum lagi bab sudah tiba depan pintu rumah, tiba-tiba si selebriti batalkan temu janji. Wartawan, juru foto, juru mekap semua sudah terpacak di depan pagar rumah. Akhirnya, terpaksa kami balik dengan tangan kosong. Memang geram tapi itulah antara di antara cabaran yang terpaksa dihadapi.
Begitu juga bila berdepan dengan golongan VVIP. Ya, kadangkala ada rasa rendah diri bila berjumpa dengan orang yang kaya dan berpengaruh. Hendak melangkah masuk ke kediaman mewah mereka pun dah rasa diri kerdil. Tapi, wartawan kena ketepikan perasaan itu dan bersikap profesional. Tapi, protokol tetap kena dijaga.
Wartawan juga dikatakan sering mendapat layanan VIP jika ke majlis-majlis. Sentiasa duduk di barisan paling depan. Kami mendapat keistimewaan itu kerana penganjur hendak memudahkan kerja kami. Hadirnya kami ke majlis itu adalah demi tuntutan kerja. Tapi jangan tak tahu. Kadangkala wartawan dilayan seperti kami tak ada nilai diri. Dijemput membuat liputan, tapi tidak disediakan tempat duduk. Tidak dibenarkan masuk ke dewan, dihalau balik dan macam-macam lagi. Kadangkala dijemput ke majlis makan malam, tapi kami tak disediakan makanan walau pun tetamu lain disediakan makanan. Memang kami datang kerja, tapi bayangkan kalau majlis bermula jam 7.30 petang hingga 11 malam, agak-agak kami tak lapar ke?
Apabila hendak menemu bual, wartawan kena bijak untuk memulakan perbualan. Jangan terus ‘terjah’ sahaja. Sebaiknya mulakan dengan perbualan santai untuk mewujudkan mood yang lebih rileks. Barulah orang yang hendak ditemu bual itu juga rasa selesa. Namun, jangan bertanya soalan yang berbaur peribadi.
Sebelum menemu bual seseorang, biasanya saya akan cuba ‘kenal’ dahulu dirinya. Cuba cari maklumat tentang dirinya di internet supaya kita tidak ‘blur’ ketika sesi temu bual nanti. Kena bersedia sebelum menemu bual sesiapa saja. Seeloknya siapkan soalan-soalan sebagai panduan.
Pendek kata, hendak bercerita tentang pengalaman sebagai wartawan memang panjang. Setiap wartawan ada pengalaman masing-masing. Wartawan majalah juga berbeza pengalaman dengan wartawan akhbar. Apa pun masing-masing ada cabaran yang tersendiri dalam merealisasikan tugasan kami. Yang penting, kita minat dengan kerja kita. Apabila dapat menyediakan bahan bacaan yang informatif dan menarik untuk para pembaca, itulah kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tapi kalau nak kerja wartawan sebab nak cari glamor, baik lupakan saja niat kamu itu!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Mud-mud ini baik untuk kurus. Letak dalam air teh tanpa gula. Minum setiap hari, nanti boleh kurus. Kalau nak biakkan, letak saja dalam air teh, nanti dia akan hidup sendiri,” pesan Ustaz Azmi, orang yang saya temuramah di Kuala Selangor.
Balik ke pejabat, dengan rasa teruja, saya syerkan cerita kebaikan mud-mud ini dengan kak Nuri yang ketika itu bertindak sebagai Penolong Editor Bacaria, akhbar pertama saya ketika mula bergelar wartawan kira-kira 20 tahun lalu. Biasalah orang perempuan, dengar bab kurus, cepat beri respon. Dengan rasa teruja, saya menaip kisah mud-mud dan hantar ke editor, Encik Jalil Yusop yang kini sudah arwah.
“Stori apa ko buat ni? Mud-mud ini apa? Apa nama saintifik dia? Ko cari nama saintifik dia, kalau tak buang ajer stori ini,’ kata Encik Jalil marah-marah.
“Orang tu cakap nama dia mud-mud Cik Jalil. Mana ada nama lain,” saya masih cuba menerangkan kepadanya.
“Aku nak nama saintifik dia,’ jerkah Encik Jalil berkali-kali. Puas saya mencari, penat balik assignment, penat kena marah semua bercampur baur. Akhirnya saya menangis kerana dimarah bertalu-talu dan pada bahu kak Nuri saya sandar segala kesedihan.
“Sabarlah, cuba cari dulu. Mana tahu ada lagi,”kata Kak Nuri menasihati saya.
Akhirnya, sampai ke sudah nama saintifik Mud-mud ini tidak saya ketahui sehinggalah saya menemuramah Dato Dr Suriyakhaton, pakar perubatan dan pakar homoepati awal Mei lalu. Saat dia memberitahu saya Simbiotic Combination Of Bacteria and Yeast atau disebut sebagai Teh Kombucha atau dipanggil Mud-Mud oleh sesetengah orang, saya terus tergelak.
Kerana Mud-mud, tiga kali surat permohonan berhenti kerja saya dikoyak oleh arwah Encik Jalil. Dia mencabar saya menjadi seorang yang tahan lasak, boleh lakukan apa saja. Dan ketika dimarahi, Kak Nuri, bos saya sekarang di Mingguan Wanita adalah tempat sandaran saya.
Coretan diari wartawan kali ini khusus saya dedikasikan untuk orang yang banyak mengajar saya erti kehidupan. Orang yang sering menadahkan telinganya untuk mendengar cerita-cerita saya termasuk kenakalan saya dahulu. Orang yang akan menyiram hati saya dengan nasihatnya seperti saya mendengar kakak atau emak saya nasihati.
Orang yang sama-sama susah dan senang ketika menggubah keseluruhan Mingguan Wanita seperti apa yang anda baca hari ini. Kerana beberapa hari lagi, Kak Nuri akan meninggalkan saya dan ramai lagi karyawan-karyawan yang sangat menyayanginya selepas 34 tahun mencurah idea tanpa lelah dengan untuk MW yang selalu berada di hatinya. Sedihnya hati ini hanya Allah yang mengetahuiNya.
20 tahun di Kumpulan Media Karangkraf, saya membesar di bawah tangannya. Saya masuk kerja kala usia anak sulung saya tiga bulan. Ketika itu Kak Nuri, penolong editor di Bacaria. Hampir dua tahun lebih kemudian, akibat selalu dijadikan”sasaran” yang tak masuk akal dari arwah Encik Jalil, saya diberi pilihan oleh pihak HRD untuk memilih mana-mana majalah di bawah Karangkraf dan saya memilih MW.
Tiga bulan di bawah Sri Diah, kak Nuri dinaikkan pangkat sebagai Editor MW. Dan sejak itu, saya terus membesar bersamanya. Saya masih ingat karenah sesetengah staff tetapi Kak Nuri sering berpesan, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Tak rugi mengalah, katanya.
Bila bab gaji pula, saat saya merungut kerana gaji kecil ketika itu, dirinya sering menasihati saya biar gaji sikit tapi berkat. Keberkatan itu sangat penting kerana ia menjadi darah daging. Bila kerja terlampau banyak, nasihatnya lagi, biar masih ada kerja berbanding orang lain yang tidak ada kerja. Itulah dirinya sentiasa bersikap positif dalam semua aspek dan tindakan.
Di MW juga saya pernah disaman oleh seorang individu, Bahali (bila marah saya sebut nama, lol..lol belakangnya). Dan akibatnya, saya bersama Kak Nuri jadi stres bila gaji tidak dinaikkan untuk tempoh setahun lebih. Sehingga pihak HRD menyuruh kami membuat surat rayuan agar diberikan kenaikan gaji kerana kasihan. Biar gaji tidak dinaikkan tetapi Kak Nuri dan saya tetap cool dan sesekali bila diingatkan balik nama kontroversi itu, kami jadi tergelak.
Antara paling saya ingat, ketika Kak Nuri mahu merombak keseluruhan majalah dan dirinya sentiasa mendengar segala pendapat biar kami hanya anak buahnya tetapi katanya ini adalah kerja berpasukan dan dengan sikap keterbukaannya itu, MW masih kekal sebagai majalah kewanitaan yang mendapat permintaan tinggi dari pembaca suatu ketika dahulu dan diangkat sebagai majalah nombor satu.
Hasilnya dari jualan MW 80,000 naskhah ketika di zaman Sri Diah tetapi kemudian turun kepada 30,000 naskhah, tetapi selepas dirombak isi kandungannya, MW pernah mencecah jualan 160,000 seminggu dengan nilaian iklan sebanyak RM14 juta. Bukan satu nilai kecil. Biar ditempa kejayaan, Kak Nuri tetap maintain bahkan dirinya pernah ditawarkan oleh sebuah penerbitan dari Singapura yang mahu menanam modal dan mengangkat dirinya sebagai Pengarah Urusan dengan gaji terlampau berbaloi kerana mereka mahukan konsep yang sama seperti dalam MW untuk dibuat majalah baru terbitan syarikat dari Singapura itu.
Kalau pada orang, saya pasti sudah pasti pergi kerana wang dan pangkat tetapi Kak Nuri tetap dengan kesetiaannya sehingga beliau punya idea lebih super untuk menubuhkan sebuah kios atas nama MW satu ketika dahulu (impian ini tidak kesampaian).
Tidak hairanlah ramai yang dalam kesedihan bila mana dia ingin meninggalkan kami semua!Sebutlah majalah kecil warna merah, itu sinonim dengan majalah ini dan orang yang mencoraknya adalah Kak Nuri bersama team-team MW yang sangat komited.
Dahulu, apa saja masalah mendatang, Kak Nuri yang akan menjadi tukang siram untuk melegakan hati saya kembali. Ceritalah apa saja masalah, penyelesaiannya cukup terbaik sehingga saya begitu menghormatinya. Sebab itulah bila dia meminta kami semua menjadikan MW sebagai majalah terbaik, itulah kami lakukan.
Bila pejabat memberikannya sebuah kereta untuk kegunaan hariannya, tiada rasa cemburu langsung di hati kami sebagai anak-anak buahnya kerana kami tahu Kak Nuri memang patut dan layak diberikan penghormatan sebegini bahkan harus dijulang dengan lebih lagi kerana jasa diberinya.
Paling saya senangi sifat dan sikapnya, saat MW dijulang sebagai majalah terlaris dan diiktiraf ABC, Kak Nuri tidak pernah menonjolkan diri mengata itulah ideanya. Dirinya sentiasa tunduk memandang bumi dan tidak pernah sekali mendongak ke langit.
Sayang saya kepadanya selama berbelas tahun bekerja di bawahnya, membuatkan saya sendiri tidak pernah berkira masa dan tenaga dan sering cuba memenuhi permintaannya kerana katanya, biarlah apa kita lakukan di dunia ini dinilai lebih tinggi oleh Allah taala di akhirat kelak.
Dia banyak mengajar saya sifat-sifat positif, sifat berbelas ikhsan kepada orang lain, sifat merendah diri, sikap tidak mendongak langit dan banyak lagi. Bayangkan, hari Isnin depan, dirinya akan pergi meninggalkan kami semua selepas 34 tahun bersama Karangkraf.
Saya sentiasa sematkan di dalam hati, terima kasih tidak terhingga di atas budi baik kak Nuri mengajar saya selama ini. Sehinggakan, bila kak Nuri ingin bersara dengan cara baik sebagaimana beliau datang dengan cara baik seperti katanya, ramai antara kami yang seakan mahu mengikut jejak langkahnya.
Buat Kak Nuri, halalkan segala ilmu yang akak berikan kepada saya, ampunkan segala salah silap saya kerana saya bukan insan sempurna. Saya sayangkan kak Nuri ketat-ketat dan mendoakan agar kak Nuri terus sukses biarpun tidak “menjaga” kami-kami yang sudah tua ini.
Hari Isnin depan, mungkin “payung” yang memayungi kami sudah tiada lagi. Tiada lagi orang lama dalam bidang editorial ini dan tiada lagi orang yang sangat disenangi dan dikasihi ramai orang. Biar ramai editor silih berganti tetapi Kak Nuri tetap satu, sentiasa merendah diri. Saya pegang kata akak,
Paling utama, biar gaji sikit asal berkat untuk diberi kepada anak-anak dan mak ayah kita.
ALMASWA HAJI CHE ROS
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Niat awalnya nak ke sekolah, tetapi tiba-tiba motor yang dibonceng bertembung kereta guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang hari ini