Pejabat Mufti Negeri Sabah menegaskan mufti dan timbalannya tidak terbabit dalam proses penggalian semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, seperti yang didakwa sebelum ini.
Mufti Sabah, Timbalan Nafi Terlibat Proses Gali Kubur Zara Qairina, Fitnah Hidu Bau Haruman
Penafian itu dibuat susulan penularan sebuah video ‘penggali kubur’ berdurasi 46 saat di media sosial pada Khamis lalu yang mendakwa mufti dan timbalan mufti terhidu haruman pada jenazah berkenaan dan dakwaan itu disifatkan tidak benar serta tidak berasas yang boleh mencemarkan nama baik institusi kemuftian negeri.
Pejabat Mufti Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah dilakukan seperti yang didakwa oleh penggali kubur tersebut.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam Ahad.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak terbabit diminta menarik balik kenyataan berkenaan serta membuat permohonan maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih. Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut,” katanya.
Ads
Pejabat Mufti Negeri Sabah turut berharap penjelasan tersebut dapat menghentikan salah faham berhubung isu berkenaan dan turut disertakan irsyad hukum berkaitan isu kubur arwah Zara Qairina sebagai rujukan umat Islam di negeri ini.
“Menziarahi kubur adalah amalan yang dituntut dalam Islam kerana ia menjadi peringatan kepada setiap umat bahawa mereka pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini untuk menuju ke hari akhirat yang dijanjikan.
Ads
“Namun, dalam melaksanakan tuntutan ini, setiap umat Islam hendaklah menjaga adab yang digariskan oleh syariat serta memberi perhatian kepada segala larangan agar amalan tersebut benar-benar mendapat keredaan ALLAH SWT.
Antara larangan semasa menziarahi kubur termasuklah meratap, meraung, memukul pipi dan meronta-ronta kerana terlalu bersedih.
“Larangan lain ialah duduk atau merangkak di atas kubur, melangkah atau bersandar pada kubur, serta memijak kubur kecuali jika tiada laluan lain untuk menuju ke sesuatu kubur.
“Umat Islam juga dilarang melakukan perbuatan khurafat yang menjejaskan akidah, seperti menjadikan kubur sebagai tempat sembahan atau pemujaan, mengambil keberkatan daripada kubur, serta meniru adat atau amalan agama lain seperti membawa kalungan bunga,” katanya.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut menegaskan umat Islam diseru menghadapi isu berkaitan kubur arwah Zara Qairina dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan agar tidak melampaui batas ajaran Islam.
“Semoga dengan pendekatan yang sederhana dalam setiap tindakan menjadi asbab bagi umat ini diberikan inayah serta hidayah daripada ALLAH SWT serta sentiasa berada di dalam reda dan maghfirahNya,” katanya.
Ibu tunggal buat laporan polis, syaki anak perempuan 15 tahun duduk dengn bekas suami jual diri di Telegram. Seorang ibu tunggal nekad tampil membuat laporan polis selepas mengesyaki anak perempuannya yang berusia 15 tahun yang kini tinggal bersama bekas suami, terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral apabila didakwa menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi Telegram.
Menurut sumber, wanita berusia 43 tahun itu yang bekerja sebagai tukang cuci membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Puteh selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya tentang kegiatan tidak bermoral adik mereka yang baru berusia 15 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, sumber berkata, wanita itu mendakwa salah seorang anaknya, anak perempuan sulung memaklumkan perkara itu kepadanya ketika dia berada di rumahnya di Jerteh, Terengganu pada 15 September.
“Menurut wanita itu, anak perempuan sulungnya memberitahu bahawa anak perempuannya yang lain berusia 15 tahun telah menawarkan perkhidmatan seksual.
“Katanya, anak keenam daripada tujuh beradik itu menawarkan perkhidmatan itu melalui Telegram dengan percuma untuk pelanggan pertama dan mulai kali kedua, bayaran akan dikenakan.
“Ibu itu percaya anak perempuannya, seorang pelajar sekolah menengah, sudah terbabit dalam hubungan seksual dengan beberapa lelaki.
“Dia membuat laporan itu untuk membolehkan polis mengambil tindakan lanjut,” kata sumber itu kepada NST.
Difahamkan, gadis itu dan adik-beradiknya yang lain tinggal bersama bapa mereka di Pasir Puteh selepas ibu bapa mereka bercerai 10 tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan kes itu, berkata polis masih menyiasat kes berkenaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kasih seorang bintang, bukan sekadar pada sinarnya di pentas, tetapi juga pada kekuatan dirinya ketika diuji. Begitulah keadaan penyanyi dan pelakon, Abby Abadi, yang kini sedang menerima rawatan di hospital selepas mengalami demam panas ketika menjayakan Konsert Elite di Plenary Hall, KLCC, Sabtu lalu.
Menurut Abby, kesihatannya mula terganggu sejak sehari sebelum konsert ketika sesi latihan. “Balik dari rehearsel tu terus rasa tak sedap badan, tapi belum teruk lagi. Esoknya pagi sebelum konsert, ada latihan lagi dan masa tu badan dah mula rasa lain. Saya tetap kuatkan semangat untuk meneruskan,” jelasnya.
Meskipun berdepan sakit tekak dan selesema, Abby tetap gagahkan diri, turun padang untuk menghiburkan peminat bersama rakan-rakan sepasukan Elite. Namun, kelemahan fizikal membuatkan fokusnya terganggu di atas pentas.
“Serius, lemah rasa badan. Itu yang hilang fokus. Saya minta maaf pada semua terutamanya anggota Elite, X Factor dan penonton yang hadir,” luahnya penuh rendah hati.
Selepas konsert selesai, Abby segera mendapatkan rawatan di hospital apabila suhu badannya mencecah 40 darjah Celsius. Pemeriksaan darah mengesahkan beliau dijangkiti influenza.
Tidak lupa menitipkan doa dan pengharapan, Abby menulis di laman sosial: “Berehatlah sekejap Abby Abadi. Konsert pun dah selesai. Semoga ia meninggalkan kenangan manis buat semua.”
Ujian sakit ini disambut Abby dengan penuh syukur, semoga ada hikmah tersirat di sebalik setiap kepayahan. Biarpun tubuhnya rebah, semangatnya sebagai seniman tetap kental hadir di pentas, memberi yang terbaik untuk peminat.
Kes Zara Qairina: Jenazah Alami Pereputan Tidak Seperti Diviralkan, Ini Pandangan Sudut Syarak. Kes Zara Qairina mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara. Ketika penggalian semula kubur arwah, ramai yang memperkatakan tentang pelbagai keajaiban antaranya jenazah tidak reput dan berbau harum.
Memetik laporan Harian Metro, jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Jessie Hiu berkata, tahap pereputan tubuh adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah. Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya ketika membacakan keterangan bertulis di Mahkamah Koroner.
Dr Jessie berkata, penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang. Beliau berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE.
1. Saya tidak berbicara isu ini ketika ia viral awal dahulu. Sewaktu itu orang masih bersemangat dan mungkin tidak dapat menilai dengan pemikiran yang waras. Isu apakah itu?
Isu berikut:
I: Berkaitan bau harum di perkuburan Zara.
II: Jasad Zara elok seperti baru dikebumikan.
2. Saya mula rasa “sesuatu” dengan dua dakwaan ini. Ini kerana Peguam yang bersama keluarga Zara bermula sejak penggalian semula kubur, post mortem hingga dikebumikan semula tidak keluarkan maklumat terperinci seperti yang viral tersebut.
Sebelum ini viral berkaitan orang yang dikaitkan terlibat menggali semula kubur Zara, mengatakan terdapat bau haruman ketika proses itu dan perkara ini sendiri disebutkan oleh Timbalan Mufti Sabah. Itu dakwaan mereka. Mereka menjual nama Timbalan Mufti.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Sabah pula telah menafikan dan menyangkal dakwaan itu. Mufti dan Timbalan Mufti tidak hadir pada majlis tersebut. Jadi bagaimana mereka boleh menjual nama Timbalan Mufti mengatakan ada bau harum pada mayat Zara?
Kebiasaannya jika orang biasa yang claim perkara sebegini, ia sukar dipercayai. Namun apabila ditempelkan nama Timbalan Mufti, ia akan menambah keyakinan masyarakat. Tuan-tuan, dalam bersolidariti jangan mengaitkan unsur menipu dan “nasi tambah”.
Cukuplah dengan memberikan fakta dan maklumat yang dapat membantu pendakwaan.
Nabi sallallah alaih wasallam bersabda: وإياكم والكذب، فإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وما يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
“Jauhilah penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang menipu dan sentiasa menipu sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang penipu”. [HR al-Bukhari]
3. Kita dituntut menutup aib jenazah, tapi kita juga berdosa jika menipu dalam menyebutkan tentang sesuatu perkara berkaitan jenazah yang tidak benar walaupun tujuan dan niat yang baik.
Peguam Zara yang terlibat dalam urusan ini sejak kubur dibongkar semula hingga masuk bersama-sama dalam bilik post mortem, tidak melaporkan bau harum dan lain-lain. Jika beliau sebut ‘ada sedikit kesan reputan sederhana’, ini akan mendatangkan tohmahan.
Kerana ada sesetengah masyarakat kita memandang nilai iman kedudukan seseorang di sisi Allah berdasarkan keadaan fizikal jenazah.
4. Sejak insiden yang menimpa pelajar UPSI iaitu kemalangan bas sebelum ini, trend mengaitkan kubur atau jenazah harum ini semakin menjadi-jadi dalam negara kita.
Apabila diteliti dalam teks ulamak terdahulu, memang ada jasad atau kubur yang wangi ini. Itu tidak kita nafikan. Adapun pada zaman sekarang, kelihatan seolah-olah berlumba-lumba hendak menyampaikan maklumat pada masyarakat walaupun diragui kebenarannya.
5. Trend menilai zahir jasad jenazah, lalu dikaitkan dengan baik atau buruk kedudukan jenazah itu telah ada dilakukan pada zaman terdahulu. Antaranya ia dilakukan oleh golongan munafik.
Lihat pada kisah ketika kewafatan Saad bin Muaz. Beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang mempunyai banyak kelebihan pada dirinya. Orang munafik membenci Saad.
Lalu orang-orang munafik mengambil kesempatan menyindir jenazahnya yang ringan, disebabkan dendam kesumat mereka terhadap diri Saad.
لما حملت جنازة سعد بن معاذ، قال المنافقون: ما أخف جنازته، وذلك لحكمه في بني قريظة
Tatkala dipikul jenazah Saad bin Muaz, orang munafik berkata: “Alangkah ringannya jenazah Saad ini. Itu merupakan balasan terhadap apa yang diputuskan oleh Saad terhadap bani Quraizah”.
Perkataan orang munafik ini sampai kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda:
إن الملائكة كانت تحمله “Sesungguhnya malaikat yang memikul jenazah Saad”. [HR al-Tirmizi, hasan sahih gharib]
Ya, orang munafik telah lama ambil kesempatan menilai zahir jasad jenazah sama ada baik atau sebaliknya. Kalau dalam konteks sesetengah masyarakat kita, jenazah berat atau kubur berair dan lain-lain itu tanda ada sesuatu yang buruk pada jenazah. Seeloknya tinggalkan sangkaan buruk sebegitu.
6. Keadaan jasad yang nampak seolah-olah terseksa atau buruk di mata kita ketika kematian, tidak semestinya ia tanda seseorang itu hina di sisi Allah. Tidak sama sekali. Jaafar bin Abi Talib adalah sahabat baginda. Kedua-dua tangannya kudung kerana dicantas oleh musuh dalam peperangan Mu’tah. Bayangkan beliau meninggal dunia dalam keadaan kudung.
Tangan ditebas musuh. Namun terdapat riwayat dengan Sanad yang Hasan menunjukkan beliau terbang bersama malaikat, ada juga menunjukkan beliau mempunyai sayap. Ini semua di alam sana setelah kematiannya.
Setelah kewafatan Jaafar, Ibn Umar ketika bertemu dengan keluarga Jaafar beliau akan tegur anak Jaafar.
كان إذا سلم على ابن جعفر، قال: السلام عليك يا ابن ذي الجناحين
Ibn Umar apabila memberi salam keatas anak Jaafar beliau akan berkata ‘Assalam Alaik wahai anak pemilik dua sayap’. [HR al-Bukhari]
7. Dalam hadis memang ada disebutkan ciri-ciri kematian baik yang dapat dinilai dari zahirnya, tapi bukan sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita. Antara syarahan ulamak terhadap hadis tanda kematian seorang itu mukmin adalah dengan berpeluh dahinya:
هو عبارة عن شدة الموت، وقيل هو علامة الخير عند الموت
“Ia menunjukkan terhadap dasyatnya (kesakitan) ketika menghadapi kematian. Dikatakan juga itu tanda kebaikan saat kematiannya”.
Dahi berpeluh merupakan tanda dasyatnya kematian seseorang. Bukan semestinya ia tanda seseorang itu diazab. Bukan tanda kurangnya nilai kedudukan seseorang di sisi Allah.
8. Selain itu, terdapat juga teks dari para ulamak yang menyebutkan kisah jenazah golongan terkorban dalam peperangan masih utuh dan sebagainya. Bahkan memang terdapat riwayat pada zaman Rasulullah berkaitan sahabat yang terkorban ketika perang
UHUD, jasadnya masih utuh dan elok lagi setelah digali semula. Jabir berkata:
فكان أول قتيل ودفن معه آخر في قبر ثم لم تطب نفسي أن أتركه مع الآخر فاستخرجته بعد ستة أشهر، فإذا هو كيوم وضعته هنية غير أذنه
“Ayah aku merupakan orang pertama yang terkorban dalam peperangan dan dia dikebumikan bersama-sama jenazah yang lain dalam satu kubur. Kemudian aku rasa tak sedap hati meninggalkan jasad bapa aku bersama jenazah lain. Lalu aku mengeluarkannya (korek kubur) setelah enam bulan (dari dikebumikan). Keadaan ayah aku elok seperti hari aku meletakkannya (ke dalam kubur) kecuali pada telinganya”. [Sahih al-Bukhari]
Namun pada hari ini, bukan tugas kita untuk menyebutkan secara pasti seseorang itu syahid atau tidak tanpa nas spesifik. Kita tidak ada kelayakan dan hak.
9. Saya masih ingat perbahasan dalam parlimen berkaitan isu Memali. Ada suara dalam parlimen ketika itu mengusulkan dibongkar kembali kubur tersebut (Ibrahim Libya) untuk melihat semula jasad mereka setelah hampir 20 tahun dikebumikan.
Cadangan datang dari pihak MP Kerajaan memerintah sewaktu itu. Jika jasadnya utuh itu tanda mereka di pihak benar. Sekiranya sebaliknya, itu tanda mereka bukan syahid. Hingga begitu sekali cadangan yang diutarakan oleh ahli parlimen pada saat itu. Bagaimana pun keadaan jasad itu elok atau tidak, bukan tugas kita menilai kedudukannya di sisi Allah.
10. Untuk isu Zara, doktor yang bertugas berkata badan Zara ada kesan reputan sederhana, beliau berkata:
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan”. Itu kenyataan doktor yang bertanggungjawab dalam hal ini. Selain itu, akhbar Metro juga berkata:
“Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik”. Akhbar Bernama melaporkan bahawa jasad Zara mula mengalami pereputan iaitu pereputan sederhana.
Tuan-tuan, jasad Zara yang ada kesan mereput itu bukan semestinya tanda yang buruk. Itu memang keadaan yang berlaku bagi orang meninggal dunia. Sebab itu saya kurang gemar mengaitkan semata-mata keadaan jasad jenazah semata-mata untuk mengukur iman dan kedudukan seseorang di syurga atau sebaliknya.
Perkara utama yang penting sekarang ini ialah kita hendak pembuli dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukuman yang selayaknya jika benar ada unsur buli. Kita tidak perlu nasi tambah yang menambah cerita misalnya keadaan jasad seperti baru dikebumikan semalam dan lain-lain ketika bersolidariti.
Lagipun doktor juga telah menyatakan ada kesan pereputan sederhana. Perkara utama yang kita harapkan agar keadilan dapat ditegakkan. Emosi penting, tapi jangan emosi digunakan dengan cara yang salah.