Sedari kecil agama bukanlah subjek utama buat dirinya. Meletakkan diri di kedudukan tanpa agama atau free thinker menjadikan dirinya terapung-apung bak belon yang beriisi gas helium. Hanya ketika usianya mencecah 12 tahun, baru dia berjinak-jinak mengikuti kelas agama Kristian. Setiap Ahad rutinnya ke gereja berdekatan untuk mendalami lebih mendalam tentang agama itu.
Seiring dengan peningkatan usia dan nalurinya masih lagi longgar tentang agama yang dianuti. Dia kemudian dikejutkan dengan satu mimpi yang aneh lagi luar biasa. Malam itu, kebetulan ketika umat Islam sibuk menjalani ibadah di bulan Ramadan, wanita berdarah kacukan Cina dan Kadazan ini mengalami satu keanehan luar biasa yang mengubah persepsinya terhadap Islam. Ikuti kisah selanjutnya mengenai perjalanan Jeannifer Sudian Abdullah, 35 mengenai kisah pengislamannya.
“Masih segar diingatan, satu malam ketika di bulan Ramadan saya mengalami mimpi pelik yang aneh. Pada tahun 2005, ketika saya berusia 21 tahun saya bermimpi menyaksikan satu perhimpunan manusia dan ada satu sosok yang tidak jelas kelihatan, seperti kepulan asap mengetuai kumpulan itu. Saya tak faham tiap butir perkataan yang dipertuturkan.
“Apa yang saya lihat kumpulan itu berada dalam suasana ketakutan seolah-olahnya hari itu hari penamat. Saya kemudian diajukan dua soalan; apa yang saya takut dan siapa yang saya takut. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu, sebaik melihat sekelompok orang menunaikan solat buat kali terakhir, saya hanya memandangnya dengan perasaan takut kerana tak tahu solat. Saya yakin mimpi ini membawa makna yang besar dan ketika itu saya tidak tahu mimpi itu sebenarnya satu bentuk hidayah untuk saya lebih mengenali Islam,”cerita ibu kepada sepasang cahaya mata kembar Naura Auni dan Mohammad Emyr Zareed enam tahun.
Bermulanya pencarian
Kepada teman sebilik, Norashikin Mohd Dini berkongsi cerita mengenai mimpi itu. Kemudian wanita ini berkesempatan menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Abdullah (2), Semporna selama setahun pada tahun 2010. Kesempatan yang ada memberi saya lebih ruang untuk mengenali Islam lebih mendalam.
Ads
“Kisah mengenai mimpi itu sudah saya rujuk kepada mereka yang arif dalam Islam dan Kristian. Masing-masing punya pendapat sendiri. Saya kemudiannya membuat hipotesis sendiri dan meneruskan pencarian. Alhamdulillah atas bantuan teman-teman Muslim dan guru di sekolah tersebut, saya akhirnya terbuka untuk melafazkan syahadah dengan bantuan Ustaz Burari Ungsurani. Setahun kemudian saya mendaftar pengislaman saya di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS).
“Lima tahun pertama selepas memeluk Islam, sejujurnya saya mendapat tentangan dari keluarga. Persekitaran di kampung saya menjadi contoh kes terdekat, ramai diantara wanita yang memeluk Islam kemudiannya diabaikan suami dan ditinggalkan. Orang tua saya cukup skeptikal dengan isu menukar agama dan diabaikan bila berkahwin dengan lelaki Muslim. Mereka bimbang saya juga bakal melalui pengalaman yang sama,”kongsi wanita daripada tiga bersaudara yang kesemuanya perempuan.
Janji bapa mertua di hari pernikahan
Ads
Selaku anak yang baik dan matang, Jeannifer mengakui dia tidak memberontak dan melarikan diri dari keluarga. Dia tahu hal itu bakal memburukkan lagi keadaan. Hal menjadi lebih serius apabila dia bertemu dan menjalin hubungan dengan seorang lelaki Muslim. Kesungguhan suaminya memenangi hati ibu bapa Jeannifer dan usaha itu turut dilakukan oleh seluruh keluarga pihak lelaki memberi kekuatan buatnya.
“Saat paling mengharukan apabila bapa mertua saya sendiri mengeluarkan kenyataan tegas sewaktu hari pernikahan kami. Menurutnya anak lelakinya takkan mempersiakan saya sebagai isteri dan dia berjanji tidak ada isu menduakan atau mengabaikan saya. Dia benar-benar menerima saya sebagai menantu. Momen istimewa yang menjadi sejarah penting dalam permulaan perkahwinan kami kekal menjadi memori termahal dalam momen pengislaman saya. Dengan sekali lafaz saya menjadi suri halal buat Mohamad Syahrizal Izhar,”ceritanya yang terharu dengan penerimaan bapa mertuanya, Drs Hj Izhar Husin.
Tidak terhenti disitu, keluarga pihak suami Jeannifer terus menerus memelihara hubugan silaturahim dengan keluarga besannya. Apabila ada majlis keraian dan perayaan, mereka pasti datang menyambutnya sebagai tanda menghormati hubungan kekeluargaan ini.
Ads
“Saya bersyukur dikurniakan keluarga mertua yang begitu memahami. Mereka juga tidak skeptikal dan sama-sama melapangkan diri meraikan hari perayaan keluarga saya. Apabila melibatkan hal makanan, awal-awal lagi keluarga saya peka mengenainya. Bagi saya dikurniakan mertua yang baik adalah satu bentuk rezeki juga.
Rezeki yang mengalir bak air
Usai melepasi fasa penolakan dari keluarga sendiri, wanita ini perlahan-lahan mengutip manisnya Nur Islam itu. Mengakui masih lagi dalam proses mendalami Islam, dalam nada merendah diri dia mensyukuri tiap keajaiban yang sentiasa hadir dalam hidupnya.
“Sesungguhnya Allah S.W.T maha kaya. Selaku seorang Islam, kita ikut dan laksanakan tiap suruhannya dan meninggalkan larangannya. Saya juga bersyukur kehidupan kami lebih baik, ada sahaja rezeki yang tak diduga hadir dan membuatkan saya cukup mensyukuri kurniaanNya. Sejujurnya, masih banyak lagi yang perlu pelajari.
“Skop kerja saya juga membuka ruang untuk saya mendekati lebih ramai kelompok mualaf. Disamping membantu mereka, sama seperti mereka kami juga sama-sama dalam usaha mengenali Islam. Terima kasih Allah S.W.T diatas kurniaan yang luar biasa hebat ini,”tuturnya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jadilah syurga untuk dikenang. Jagalah diri agar tidak dinerakai. Kita hidup bukan sekali. Justeru perjalanan seterusnya perlu dibekali. Apabila kita mensyurgai maka nama kita akan diingati dan kita terus didoai biarpun sudah lama kita pergi.
Ikuti perkongsian daripada Dato’Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA. http://www.spiritual-nlp.com
Tinggalkan Nama Baik
Jika diberi pilihan, saya yakin kita semua mahu meninggalkan nama baik yang bakal menjadi sebutan biarpun setelah ketiadaan kita di dunia nanti.
Jadi, kita akan berusaha untuk menjadi orang baik lagi bermanfaat kepada mereka yang berada di sekeliling kita.
Berbuat Baik Itu Satu Tabiat
Misalnya seorang perompak yag dianggap jahat yang membantu orang susah itu sesuatu yang melapangkan dadanya biarpun hakikatnya dia seorang perompak. Justeru, kesimpulannya ialah, melakukan kebaikan itu adalah satu tabiat.
Jika tabiat ini dapat kita terapkan dalam hidup maka kita akan tetap melakukan kebaikan biar apa pun status kita. Dia mungkin dikeji orang kerana seorang perompak tetapi ada juga yang mengenangnya kerana kebaikannya.
Tak Perlu Berlakon
Kita juga tidak perlu berlakon untuk kebaikan kerana kebaikan itu adalah tabiat yang datang daripada satu keterbiasaan hati dan perasaan. Kita juga tidak perlukan mewar-warkan kebaikan kita kerana tidak semua orang suka dengan apa yang kita lakukan. Lebih buruk ia akan membawa sakit hati mereka dan menyakitkan hati kita.
Memadailah Dikenang Yang Tersayang
Jadi, memadai kita dapat meninggalkan nama pada orang yang kita sayang. Memadai kita dikenang oleh orang yang disayang sehingga akhir hayat mereka. Mereka akan sentiasa menghargai kita. Mereka akan selalu mengingati apa yang kita lakukan kepada mereka kerana setiap perlakuan kita kepada mereka disertai dengan kasih pernah menjadi syurga mereka sewaktu hayat kita di dunia.
Saya pernah mendengar satu nasihat yang saya rasa sangat baik. “Jadilah syurga untuk pasangan kamu.” Sangat benar. Kita perlu menjadi syurga bukan sahaja untuk pasangan tetapi pada anak-anak kita.
Perasaan Yang Tulus
Kita dikatakan syurga bagi mereka apabila keberadaan kita sentiasa dinanti. Kita dinanti bukan kerana apa tetapi keberadaan kita sangat menyenangkan hati mereka. Biarpun kita tidak memberi harta tetapi kita memberi satu kesenangan perasaan yang datang secara tulus.
Menjadi syurga tidak sesukar yang dijangkakan kerana kita tidak perlukan wang berjuta dan harta yang bertimbun. Kita dikatakan syurga apabila kita tidak melakukan apa yang tidak disukai dan menyakitkan hati. Kita sentiasa menjaga hati mereka agar tidak terguris kerana mereka mungkin sudah banyak terguris dengan orang lain.
Kita jadi penyejuk hati mereka kerana hati mereka mungkin sudah tinggi suhunya. Kita sentiasa menyokong tanpa memaksa. Kita sentiasa mendengar biarpun telinga sudah mula menjadi tuli. Kita sering terlepas pandang untuk menjadi syurga. Mungkin kerana kita sentiasa mahu disyurgai tanpa mahu mensyurgai.
Jangan Sampai Melukakan
Saya selalu memberitahu mereka yang bertanya, cara mudah untuk menjadi syurga ialah jaga perbuatan kamu jangan sampai perbuatan kamu melukai pandangan mereka. Jaga tutur kamu jangan sampai lidah kamu menikam perasaan mereka.
Jaga diri kamu jangan sampai dia menghidu bau hingga menjauhkan dia dari kamu. Kita boleh bermanja tetapi jangan sampai mengada-ngada. Kita boleh bergurau tetapi jangan sampai merosakkan hubungan. Kita boleh menasihati tetapi jangan sampai kita meninggi diri. Kita boleh meminta tetapi jangan sampai membebani.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang ada benarnya, benda baik yang kita buat dengan niat dapat menggerakkan hati orang lain untuk turut melakukannya tiada salahnya. Namun menjadi kebiasaanya apabila posting berkaitan perkara baik terutamanya bab agama seringkali dianggap ‘riak’, menunjuk baik dan diberi kata sindiran berbanding perkongsian perkara yang sia-sia.
Jika ini berterusan berlaku, tak mustahil orang ‘takut’ untuk kongsikan posting perkara berkaitan kebaikan, agama di media sosial.
Baru-baru ini, pelakon Emma Maembong ada kongsikan video dirinya sedang memakai telekung sambil menunggu Solat Isyak di samping suami yang sedang membaca Al Quran.
Berikut luahan yang dikongsikan pelakon ini;
“Sementara tunggu Isyak with my husband @shazli.a dan ayah mentua. Pelik zaman sekarang. Kalau post tiktok takpe jadi trend ramai-ramai akan ikut. Bila post bab agama mesti ada comment “Nak tunjuk la tu” “Nak perli-perli”.
“Bagi Emma kalau benda baik kita buat boleh gerakkan hati orang lain buat sekali apa salahnya? Kenapa bab agama je kene simpan diam-diam tak boleh war-warkan?”
“So please jangan negative sangat. Ada orang post sedekah pon kene kecam. Dengan tengok orang post sedekah buat kita tergerak hati nak sedekah sekali or teringat kan kita untuk sedekah kan bagus.”
“Jangan bila orang post agama je nak kecam. Lama-lama semua orang takot nak post. Last-last pasal agama semua dah senyap di IG. Hanya tinggal challenge-challenge yang merepek untuk di viral or menari-menari tiktok 😅 Please always positive.”
MW: Ada benarnya.Pedulikan sahaja kata-kata negatif ini. Siapa kita untuk menilai hati orang yang melakukannya, paling penting bersihkan hati sendiri. Tak mampu buat baik, jangan pandang hina dan pandang negatif orang lain yang berbuat kebaikan.
PeristiwaIsrak dan Mikraj Nabi Muhammad SAW terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian baginda. Ini merupakan peristiwa penting yang menjadi ingatan seluruh umat Islam hingga ke hari ini.
Tarikh ini bersamaan 622 M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum Hijrah dari Makkah ke Madinah. Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Nabi dan anak angkatnya Zaid ibn Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah.
Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah Al-Israa’ ayat 1 (Al-Quran:17:1). Surah An-Najm (Al Quran:53:13-18) juga menceritakan peristiwa ini. Perjalanan selama 3/4 malam sahaja dan Rasulullah SAW kembali semula ke Makkah sebelum terbit fajar. Israk bermaksud baginda menunggang Buraq (perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia).
Baginda bersama Jibrail dari Masjidil Haram ke Masjid Al- Aqsa di Baitulmaqdis yang lebih dikenali sebagai Palestin hari ini. Mikraj bermaksud perjalanan baginda dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. Selain dibawa ke langit Sidratul Muntaha, baginda juga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Sebagai umat Islam dan di kala Malaysia melalui saat-saat sukar menangani Covid-19, apa kata kita lipat gandakan amalan dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi perlindungan, diberi kesembuhan, diberi kekuatan buat mereka yang menjadi perisai terpaling hadapan membantu Malaysia dalam usaha bebas covid-19.
Berikut adalah amalan yang boleh dilakukan sempena hadirnya Israk Mikraj bersamaan 27 Rejab malam ini.
Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.
Amalan Malam Rejab
Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat
Solat Sunat Tasbih
Solat Sunat Taubat
Solat Sunat Witir
Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih
Berdoa
Memohon keampunan diri dan ibu bapa
Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh
Banyak lagi ganjaran yang Allah beri jika umat Islam beribadat sepanjang Rejab. Berpuasa sunat adalah antaranya. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari Israk-Mikraj.
Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.”
Amalkan zikir yang kita boleh lakukan setiap hari untuk menyelesaikan pelbagai masalah kita: LAILAHAILLA ANTA SUBHANAKA INNIKUMTUM MINADZOLIMIN. Bacalah zikir ini selama 10 minit setiap hari dan Insya-Allah dipermudahkan segala urusan.
Doa ini afdal dibaca 11 kali ketika sujud sebaik saja selesai salam solat fardhu. Kemudian, mohonlah doa daripada Allah SWT. Insya–Allah dengan izinNya akan dimakbulkan.
Bagi mengelak tularan virus ini, patuhilah arahan kerajaan sebaiknya. Jika tidak ada kepentingan untuk keluar, duduk diam di rumah jauh lebih baik. Dalam sedapnya kita makan, bersenang-senang menonton televisyen, melayan YouTube sambil anak-anak dan suami ada didepan mata. Ada orang yang merisikokan diri dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19. Hargailah usaha-usaha mereka, dan anda mampu mengubahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...