
Ada anak yang baru kahwin, masih kekok masuk dapur. Bukan nak kata lelaki sahaja, perempuan pun masih ramai yang kurang mahir di dapur. Maklumlah zaman sekarang anak dara lebih fokus dengan dunia belajar, akhirnya nak beli barang mentah pun kurang mahir.
Bila berlaku situasi ini, nak salahkan siapa? Haaa… di sinilah mak ayah kena mainkan peranan. Macam yang saudara Ahmad Affzan Abdullah biasakan anak-anaknya, lama-lama bila ajak ke pasar pun anak tak rasa geli.
Cuba tengok caranya didik anak-anak…
Ajak Anak Beli Barang Basah
Hujung minggu atau cuti begini, memang seronok kalau pergi beli barang dapur sekeluarga.
Aku akan cari ikan, ayam atau daging dan segala kudapan yang lain, sementara isteri aku akan pilih sayur.
Anak-anak pula, kami akan ajar jenis-jenis ikan dan sayur serta bagaimana nak pilih mana yang elok. Kalau pergi ke Mydin, biasanya mereka dah tahu lokasi semua benda yang nak dibeli.
Paling aku suka tekankan, jangan geli dan jijik nak pegang ikan.
Pegang dengan tangan, tanpa lapik. Baru kau tahu tekstur dia macam mana. Tak payah nak geli. Ikan itu nanti kau juga nak siang, masak dan telan.
Biasakan hidung itu dengan bau makanan laut. Takkan kau nak cuci ikan dengan sabun. Dah memang dari kecil sampai besar ikan tu duduk dalam laut, macam itulah baunya.
Itu makanan kita. Mesrakan diri dengan bahan mentah ini semua. Jadi nanti dah besar, nak pergi pasar beli barang pun tak kekok. Tak adalah sepuluh kali kau whatsapp gambar pada pasangan sebab tak tau macam mana rupa ikan jaket.
Kesannya Inilah!
Dan kau juga insya-Allah tak kekok beraksi di dapur. Barulah pasangan kau sayang terlebih. Tidaklah kau tinggal dia seorang diri gaul ikan dengan kunyit dan garam. Sekurang-kurangnya, bagilah kuku kau tu kuning sikit. Baru nampak macho.
Ha, begitulah aku selalu pesan pada anak-anak. Setakat ini berkesan nampaknya. Kalau aku lepaskan dekat tempat ikan tu, dah tau nak beli ikan apa dan cari yang molek-molek.
Ini kemahiran hidup, mungkin tak ada dalam silibus di sekolah. Namun di ‘sekolah kehidupan’ kami, ‘subjek’ ini mereka harus lulus cemerlang.
Bila Sikap Anak Ditegur, Mak Ayah Pula Yang Menjeling! Kisah Ini Patut Dijadikan Iktibar Orang Ramai…

Salah satu tanda kegagalan mendidik hari ini adalah apabila sikap anak tak boleh ditegur orang lain, yang mana kalau si anak buat perangai maknya akan backup atau katanya anaknya tak salah!
Allah… mendidik anak-anak adalah perkara yang sering memeningkan kepala mak ayah Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah.
Tetapi sebagai mak ayah, kita perlu ingat bahawa anak-anak adalah amanah Tuhan kepada kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya. Untuk dijadikan sebagai renungan, jemput baca perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini…
Cara Bercakap Si Anak
Petang semalam, menemankan anak solehah ke taman permainan. Kelihatan lebih kurang 10 orang anak-anak berumur 7-12 tahun bermain di situ.
Sedang menghayunkan buaian Maira sambil mendukung Insyirah. Tiba-tiba kuat suara menerjah.
“Wei babi! Tak boleh pijak pasirlah!”
Jerit seorang kanak-kanak dari atas papan gelongsor.
“Bodohlah perempuan ni. Sakitlah siak!”
Seorang lagi menjerit apabila kawan perempuannya berlari merempuh badannya.
Bulat mata ini mendengar perbualan sesama mereka. Rasa tidak percaya pun ada. Tidak enak telinga ini mendengar. Kelihatan tidak padan kata-kata itu keluar dari mulut kanak-kanak seusia itu.
Paling tersentuh, padahal ibubapa yang menemani turut mendengar kata-kata itu. Namun, mungkin tidak berapa jelas kerana fokus hanya pada handset di tangan.
Allahu…
Iya betul, kadang di rumah puas kita mengajar berkata yang baik, namun bila bercampur gaul, anak-anak ni mudah terikut.
Sikap Pelik Anak-anak
Malamnya pergi ke Tesco untuk membeli pampers anak yang tinggal berbaki dua keping.
Suami offer nak beli apa yang dihajati. Katanya sebagai balasan jaga anak. Fuh, alhamdulillah berbunga hati.
Terus menolak troli berisi anak-anak solehah ke ruang pastri. Alhamdulillah lengang. Hajat nak beli donut Tesco yang sedap tu.
Alih-alih nampak seorang kanak-kanak perempuan sedang berdiri di hadapan deretan donut, selamba mencolek-colek topping donut & memasukkan ke mulutnya. Dua tiga topping ‘selamat’ dirasanya.
“Adik, jangan buat macam tu..”
Spontan mulut ini menegur.
Wallahi, tak perasan langsung ibunya rupanya ada tidak jauh dari situ memerhati. Sangka saya, akan ditegahnya anak itu.
Namun sebaliknya pula berlaku. Bukan sahaja tidak ditegur perbuatan anaknya, sebaliknya patik pula dijelingnya.
MasyaAllah, ampun!
Saya terus menolak troli menjauhi. Cuba senyum pada si ibu, tapi si ibu mengalih pandangan ke arah lain. Dipanggilnya anak itu untuk memilih cupcakes.
Terbiarlah donut yang telah ‘disentuh’ itu begitu sahaja.
Allahu.. terus hilang selera nak ber-donut.
Jadikan Ikhtibar…
Dua peristiwa ini menjadi iktibar untuk diri ini sebagai seorang ibu yang mempunyai dua amanah yang besar ini.
Anak-anak ibarat kain putih. Kitalah ibubapa yang mencorakkannya. Sesuatu perbuatan jika dibiasakan akan menjadi tabiat. Tabiat yang telah sebati dalam diri akan membentuk akhlak anak-anak.
Perbuatan salah anak-anak perlu ditegur. Ya memang penat kerana sekali tegur takkan terus menjadi. Namun, tetap tugas ibubapa, hal yang salah perlu dibetulkan.
Sayang bagaimanalah kita kepada anak, yang batil tetap batil, hak tetap hak. Jangan kerana kita biarkan perbuatan salah, menyebabkan anak berfikir apa yang dilakukannya itu adalah benar.
Fikirkanlah impaknya kelak kepada masyarakat.
Maka, apabila kemudiannya kesalahan itu ditegur orang luar termasuklah guru, jiran, mak/pak saudara, sudah tidak lagi dapat ‘diserap’. Tambahan pula jika ibubapa tetap bermatian menyokong si anak.
Saya menulis ini berpesan pada diri saya sendiri. Tugas kita sebagai ibubapa ini amat berat. Bukan sekadar bagi makan, pakai & belikan segala kehendak anak.
Bahkan yang paling penting ialah, ‘sentuhan’ tarbiyyah kita kepada anak-anak yang bakal diwaqafkan untuk masyarakat, bangsa, agama & negara.
Apakah anak kita kelak menjadi generasi yang memberi manfaat untuk agama atau sekadar menjadi beban kepada masyarakat, & tentu menjadi beban kepada kita di dunia & akhirat.
Iya, jangan lupa, segalanya akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah.
Astaghfirullah.
Allahumma islih dzuriyyati.
Jangan Jadikan Grup WhatsApp Kelas, Jalan Pintas Manjakan Anak-anak

Anak yang tak sempat salin kerja sekolah guru beri di papan hitam, akan selesaikannya di rumah. Mana yang tertinggal boleh dapatkan info yang guru beri dari grup whatsApp kelas.
Sayangnya, ada mak ayah tak sedar menjadikan grup whatsApp kelas sebagai jalan pintas untuk manjakan anak. Macam mana tu?
Haa.. cuba hadamkan perkongsian ibu anak tiga ini, Firda Ashaary. Ada benarnya untuk difikir-fikirkan.
Grup WhatsApp Kelas Sepatutnya Mudahkan Guru Dan Waris
Rata-rata sekolah sekarang memang ada grup whatsAap khas untuk guru dan waris bagi memudahkan guru menyebarkan sebarang info tentang aktiviti sekolah.
Ada juga waris yang prihatin, buat grup whatsAap sesama waris untuk memudahkan urusan semakan kerja sekolah atau kerja rumah anak-anak. Boleh bersama-sama berkongsi info bagaimana cara nak menyelesaikan kerja rumah anak yang kurang difahami dan boleh juga bertukar-tukar buah fikiran.
Bagus kan semangat permuafakatan begini.
Tapi apa yang tak bagusnya bila grup whatsAap ni dijadikan amalan wajib setiap hari untuk memudahkan urusan kerja sekolah anak sendiri.
Contohnya bila disemak buku latihan anak dan anaknya tak siap salin apa yang cikgu tulis di papan putih. Lalu si ibu pun whatsAaplah kat group.
“Maaf ganggu, boleh tak ibu-ibu tolong snapkan latihan pada buku anak matapelajaran sekian-sekian bla bla bla. Anak saya tak sempat salin habis, cikgu dah padam katanya.”
Selalunya akan ada lah ibu-ibu yang memang tak kisah berkongsi. Rasa bertanggungjawap nak tolong. Terus gi ambik buku anak, snap dan share kat group. Sharing is caring kan.
Sayangnya, Masalah Ini Yang Timbul
Si ibu yang bertanya tadi rasa lega. Lalu si ibu hulur hp kat anak dan si anak pun menyiapkan tugasan tu dari rumah dengan bantuan ibunya.
Jadi apa masalahnya? Baguslah tu, anak dah siapkan kerja sekolah yang terbengkalai tadi. Takkan nak biar je tak lengkap, nanti cikgu marah.
Ya betul, memang bagus kita bantu anak tapi efeknya sangat besar dan tidak bagus sebenarnya.
Percaya tak, nanti anak akan jadikan itu satu tabiat dan kebiasaan. Dalam kelas, dia akan kurang fokus dan tak kalut pun nak salin cepat-cepat macam kawan lain. Sebab nanti balik rumah pun dia boleh buat, mak dia akan tolong settlekan.
Sesekali mungkin tak apa atau memang ada sebab kukuh kenapa depa tak sempat siapkan dalam kelas tapi kalau hari-hari begitu, bukankah tidak bagus?
Ingat ya ibu-ibu, kerja sekolah dan kerja rumah adalah 2 tugasan yang berbeza. Kerja sekolah sepatutnya disiapkan di sekolah dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan dan bukan bawak balik siapkan di rumah. Kerja rumah pula adalah tugasan yang cikgu suruh balik siapkan di rumah. Bahasa omputihnya homework lah kan?
Rupanya Jadi Habit Anak, Hilang Fokus Dalam Kelas
Dulu masa mula masuk sekolah Suffiya dan Suffian pun pernah mintak Akak buat macam tu katanya kawan dia cakap,
“Takpa weii ang tak siap pun, nanti suruh Mama ang wassap kat group. Mama aku selalu buat macam tu.”
Tapi Akak cakap tak boleh, Mama segan.
“Kenapa orang lain boleh salin sampai habis dalam kelas? Kenapa anak-anak Mama tak boleh? Masa belajar sama ja.” itu yang Akak tanya depa. Terkulat lah nak menjawap.
Selalunya Akak akan suruh depa pi sekolah awal esoknya dan pinjam buku kawan yang dah siap. Salin bagi siap sebelum cikgu masuk kelas. Tak kisah la sebelum rehat atau selepas waktu rehat. Siapkan kat sekolah sebab itu kerja sekolah.
Bila kena macam tu, depa akan terus ingat dan semat dalam kepala.
“Aku kena tulis cepat masa cikgu bagi tugasan. Tak boleh sembang atau main-main dalam kelas, nanti tak sempat salin. Mama mesti bising lagi.”
Ajar Anak Tak Ambil Mudah Dengan Kerja Sekolah Cikgu Bagi
Alhamdulillah ia berjaya melatih anak-anak Akak untuk lebih bertanggungjawap dan tak ambik mudah dengan kerja sekolah yang cikgu bagi. Kena siap kat sekolah dan hanya bawa pulang kerja rumah sahaja setiap hari.
Syukur.
Teknologi gajet ni memang banyak kebaikannya tapi kalau salah guna atau terlebih guna ia juga boleh membawa kesan yang buruk. Jadi berpada-padalah dalam mendedahkan penggunaan gajet untuk anak-anak yang masih bersekolah.
Sekian. Pesanan ikhlas dari Mama Anak Tiga.
#SuffianSuffiya Semoga bermanfaat untuk semua ibu-ibu yang anaknya baru nak masuk sekolah.
Sumber/Foto : Firda Ashaary
Mak Ayah Kena Bertegas Dengan Anak Soal ‘ Top Up’ Saham Akhirat

Mak ayah memberikan pengaruh besar dalam kehidupan anak-anak. Dalam mengharungi kehidupan, pelbagai perkara ditempuhi. Ada yang menggembirakan dan tidak kurang yang mengecewakan.
Jangan Terpesona Godaan Dunia
Hakikatnya, hari dan waktu tetap terus berjalan sehingga ke detik ia diperintahkan berhenti buat selamanya. Pada ketika itu, hancurlah yang bernama dunia dan melangkahlah kita sekaliannya ke alam yang kekal abadi.
Di situlah permulaan hidup yang hakiki berbekalkan segala amal di dunia berserta belas kasihan daripada-Nya. Pernah satu ketika, seorang sahabat baik berpesan ketika pertemuan terakhir kami sebelum dia berpindah ke tempat yang baru, katanya: kita sama-sama sedang berjalan menuju tempat yang sama, jadi usah khuatir, teruskan berjalan.
Persiapan Ke Alam Kekal
Rakan penjaga yang dihormati, kata-kata ini memberikan saya inspirasi betapa jika kita sedar dan menerima hakikat yang kita semua sedang meninggalkan dunia ini perlahan-lahan dan menuju ke pangkuan Rabb, kita akan berbuat yang selayaknya seorang musafir lakukan iaitu tidak berhenti lama terpesona dengan apa yang sedang berada di hadapan kita namun menggunakan semua yang ada di sini untuk membantu meneruskan perjalanan.
Begitulah kefahaman yang harus kita sama-sama semaikan dalam diri anak-anak kita sedari usianya kecil. Letakkan prioriti yang betul dalam kehidupan mereka. Walau apa jua keadaan kehidupan dunia kita biarkan ia menjadi alat untuk mencapai kebahagian di akhirat. Anak harus tahu bahawa tujuan utama kehidupannya adalah akhirat.
Lagi artikel menarik di sini:
Nak Anak Berjaya, Mak Ayah Kena Jadi Teladan Terbaik Untuk Mereka
Nampak Macam Mengada-Ngada, Sebenarnya Inilah Tanda-Tanda Anak RINDU Pada Mak Ayah
Ikuti Mingguan Wanita di instagram
Musibah Adalah Ujian
Justeru, apa sahaja yang dihadapinya di dunia sama ada dalam bentuk nikmat yang membahagiakan ataupun cabaran yang menggerunkan mahupun musibah yang memberatkan. Semua ini sekadar ujian yang menyapa untuk menguji hamba-hamba-Nya. Sejauh mana keteguhan dan kepercayaan.
Jadi usah mudah terpesona dengan nikmat mahupun terduduk lemas dengan musibah dan cabaran. Ia sekadar mengukur solat dan sabar kita selaku hamba-Nya. Yang bagusnya, Tuhan yang menurunkan nikmat, musibah dan cabaran ini tidak berbuat kecuali hanya untuk kebaikan hamba-Nya. Dia juga Yang Maha Pengampun lagi Mengasihani terus tetap bersedia menerima doa dan pengharapan yang ikhlas daripada hamba-hamba-Nya.
Mak Ayah Sokong Dan Bimbing Anak
Memberi kefahaman yang tepat dan benar tentang Allah memberikan pengharapan hakiki kepada anak-anak. Selaku penjaga juga kita harus memberikan makna yang sebenar menerusi tindakan kita dalam menyokong setiap perbuatan anak-anak. Jika silap yang dilakukan anak-anak tidak menjejaskan perjalanan abadinya maka teruskan memberi tunjuk ajar dan sokongan usah diperbesarkan.
Namun, jika silap yang dilakukan melibatkan bekalan akhirat, maka bertegas lah dan teruskan memberikan kefahaman yang benar. Ia adalah perkara yang harus diberikan penekanan dan fokus.
Rakan penjaga yang dihormati, dalam dunia serba baru disulami dengan teknologi yang semakin baik, cabaran yang anak-anak kita sedang hadapi juga semakin kuat.
Mak Ayah Sebagai Penunjuk Arah
Kekeliruan dan kecelaruan semakin menebal lantaran banyaknya sumber maklumat yang agak sukar untuk ditapis jika tanpa bantuan dan pedoman. Jadi, diri kita harus diperteguhkan agar bisa menjadi penunjuk arah yang betul kepada anak-anak. Sikap dan tingkah laku yang terbit menerusi sistem kepercayaan yang kita pegang harus dipastikan kebenarannya.
Kayu ukurnya adalah ilmu, dan ilmu itu haruslah bersandarkan kepada Quran dan sunah. Hal ini kerana, tindakan yang kita ambil dalam segenap hal itulah yang akan dijadikan kayu ukur oleh anak-anak tanpa kita sedar.
Tingkat Kualiti Ibadah
Selaku hamba Allah, banyak yang harus kita terus pelajari demi memastikan kesayangan kita semuanya berada di dalam tempat yang selamat di negara abadi itu nanti. Usah gusar jika masih belum bermula atau masih sedang cuba perbaiki, Allah melihat proses dan usaha bukan kepada hasilnya. Jadi teruskan melangkah untuk sentiasa berbuat amal soleh iaitu amal yang sentiasa ada peningkatan kualiti.
Allah lah yang akan menjadi saksi. Ini hari yang baru, jadi teruskan melangkah. Kita sedang menuju kepadaNya jadi teruskan berbuat apa yang enak mengikut pandangan-Nya. Wallahuallam..
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)