Kepetahannya berbicara dan suka berkongsi ilmu serta sesuatu kebaikan dengan insan lain membuatkan empunya menanam cita-cita untuk bergelar seorang guru sejak kecil. Dirinya bersyukur, Allah makbulkan impiannya untuk bergelar seorang pendidik.

Norafizah binti Abdul Razak, berusia 48 tahun dan ibu kepada tiga orang cahaya mata ini mengakui karier guru memberi padanya satu kepuasan kerana dia mampu berkongsi idea dan ilmu dengan pelajarnya. Sudah tentu, minat yang sangat mendalam dalam bidang pendidikan menyebabkan dia memilih kerjaya ini.

Mengajar Dari Hati, Cikgu Norafizah Hero Di Hati Pelajar Sekolah Luar Bandar

Ternyata kerjaya mulia ini banyak memberi peluang kepada Norafizah menabur bakti di sekolah-sekolah antaranya sekolah Sekolah Kebangsaan LKTP Chini Timur 1 Pekan, Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar Pekan, Sekolah Berprestasi Tinggi Sekolah Kebangsaan Seri Biram Pekan dan Sekolah Kurang Murid Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Jerantut Pahang.

Dalam diam tak diam, dirinya telah bergelar seorang guru selama 26 tahun dan kini Norafizah bergelar Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media Kementerian Pendidikan Malaysia. Minat dan kecintaan yang mendalam kepada bidang pendidikan membuatkan dia tidak pernah merasa penat dan bosan kerana setiap hari Norafizah berhadapan dengan situasi baru bersama murid-muridnya.

Selain seorang guru di dalam bilik darjah, Norafizah merupakan penulis Buku Siri Bacaan Tunas NILAM, Buku Dari Subis ke Bologna: Guru Malaysia Mengubah Dunia dan Kolumnis Majalah Pendidik.

IKLAN
Mengajar Dari Hati, Cikgu Norafizah Hero Di Hati Pelajar Sekolah Luar Bandar
Kegembiraan bersama murid-murid ketika meraikan Pesta Buah-buahan Tempatan di sekolah.

Mantapkan Kefahaman Murid

Selain melunaskan tugas hakiki sebagai seorang guru di dalam bilik darjah, dirinya turut memegang pelbagai jawatan khas di sekolah. Norafizah merupakan jurulatih program pusat sumber sekolah berimpak tinggi kepada Guru Perpustakaan dan Media di seluruh Malaysia.

Kepakaran dan kemahirannya yang tinggi dalam bidang Pusat Sumber sekolah dan Pendidikan Abad 21 telah membawa dia ke seluruh Malaysia memberi latihan, kursus dan ceramah.

Mengajar Dari Hati, Cikgu Norafizah Hero Di Hati Pelajar Sekolah Luar Bandar
Menerima penghargaan usai membentang program berimpak tinggi di Seminar Teknologi Pendidikan Antarabangsa 2018.

“Di sekolah, saya merupakan guru mata pelajaran Sejarah. Saya memang mempunyai minat yang mendalam dalam mata pelajaran ini. Oleh sebab itu, mendorong saya untuk mengupayakan murid-murid belajar Sejarah melalui pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kajian & Penyelidikan (RBL). Ini kerana cabaran minat murid terhadap mata pelajaran sejarah masih rendah.

IKLAN

“Melalui pendekatan ini murid-murid akan dimantapkan kefahaman mereka  terhadap isi pelajaran melalui pendekatan kajian dan penyelidikan. Ia menekankan kemahiran menyelidik, mengkaji, menganalisis dan mengaplikasi ke dalam situasi baru.

“Pembelajaran harus lebih berpusatkan ‘murid’ daripada hanya menghabiskan sukatan ‘pelajaran’. Murid juga perlu dibekalkan matlamat hidup, mengklasifikasikan keutamaan masa dan kemahiran pelbagai ilmu. Aktiviti pembelajaran belajar benar-benar berlaku bila mereka mendapat ‘makna’,” jelasnya satu-persatu.

Mengajar Dari Hati, Cikgu Norafizah Hero Di Hati Pelajar Sekolah Luar Bandar
Bersama rakan guru wanita Sk Kg Baharu.

 Buka Lembaran Baharu

IKLAN

Pertukaran Norafizah ke Sekolah Kurang Murid membuka lembaran baharu dalam kerjayanya kerana banyak cabaran yang harus ditempuhi bagi mengupayakan murid-murid sekolah ini antara persekitaran yang masih tertutup, kekurangan dana dan masalah logistik.

“Apabila bertukar ke sekolah ini banyak aktiviti yang dilaksanakan di sekolah ini antara Pembelajaran Abad ke 21 dan Program Pusat Sumber Sekolah Berimpak  Tinggi.

“Usaha ini telah membuka mata pihak Bahagian Teknologi Pendidikan negeri Pahang dengan menyumbang 10 unit IdeaPad lenovo untuk mengupayakan murid dalam bidang Teknologi dan Komunikasi,” ungkapnya terharu.

Sebagai guru cemerlang, dirinya sedaya upaya akan terus berusaha mengupayakan sekolah ini agar setanding dengan sekolah-sekolah lain di bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan.

Harapan Norafizah kepada setiap pelajar generasi baru adalah mereka menjadikan pendidikan sebagai fokus utama dalam hidup. Dirinya juga berharap pelajar menjadikan membaca sebagai budaya atau trend hidup kerana melalui pembacaan sahaja ilmu dapat digali dan dapat mengubah nasib sesuatu bangsa.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI