
Isi Kandungan
ToggleSekarang PKP, tentu mak-mak ligat dok fikir nak masak untuk sarapan, tengah hari, minum petang dan malam. Kalau nak jimat, masak pagi tu merangkap ke tengah hari. Ini belum masuk kemas rumah, basuh baju dan macam-macam lagilah.
Suami pula, janganlah dok silang kaki depan televisyen, tiba masa makan, mulalah masuk dapur tengok apa yang tersedia. Mahunya tak angin mak-mak. Masa yang ada ini, tolonglah isteri apa yang patut.

Tak tahu, nak buat apa dan isteri tak cakap apa pun. Itu alasan semata-mata. Kalau mak-mak tengok suami dok rileks depan televisyen tapi keje masih berlambak-lambak, apa kata cuba cara lembut ini, mesti suami pun ringan tulang nak bantu. Jangan menyuruh dengan kata-kata kasar pula. Daripada nak tolong terus dia masuk bilik tidur. Lagi mak-mak naik ‘hantu’.
Minta Tolong Dengan Lembut Dan Penuh Hormat
- Kalau nak suruh suami tolong, jangan cakap kasar-kasar. Daripada nak tolong terus tak jadi. Bagitaulah secara elok apa yang perlu suami buat. Tolong jemurkan baju…minta tolong buang sampah sekejap….
Sama-sama Gotong-Royong
- Tak semua kerja rumah mak-mak kena buatkan. Kadangkala ada kerja rumah yang perlu dilakukan bersama. Contohnya, semasa nak bersihkan lantai. Mintalah tolong suami alihkan sofa. Atau anda boleh minta tolong suami bersihkan kipas siling.
Beri Latihan, Boleh Buat Masa Mak-mak Tiada Di Rumah
- Kadang-kadang bila anda bersihkan rumah, suami dok ‘pose cantik’ depan kerusi. Sambil-sambil anda buat tu, cuba bagi latihan. Contohnya, bila mencuci baju, asingkan mana baju basahan, baju pejabat, baju anak mahupun seluar jean.
Bincang Dulu Sebelum Ubah
- Bosan juga kalau kedudukan sofa atau meja makan statik tanpa perubahan. Untuk cipta suasana baru, bincang dulu dengan suami untuk susun atur barangan itu. Kadang-kadang suami boleh beri idea, walaupun anda kurang setuju. Tapi tak salah mendapat idea dia.
Jangan Marah Kalau Rasa Tidak Puas Hati
- Masa suami buat kerja rumah tu, mesti ada benda yang buat mak-mak tak puas hati. Tapi janganlah membebel memberitahu cara dia buat tidak kemas. Biarkan saja. Suami tolong itu sudah kira cukup baik.
Dah Tolong, Ucaplah Terima Kasih
- Bila kerja rumah dah siap, jangan lupa ucapkan terima kasih pada suami. Bukan sahaja dengan ucapan tapi anda boleh memasak makanan kegemaran untuk makan sama-sama.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gagal Akademik Tak Bermakna Anak Corot Akhlak, Mak Jangan Putus Doanya

Isi Kandungan
ToggleMana-mana ibu pun berdoa agar setiap anaknya cemerlang akademik dari sekolah rendah. Namun, tak semua anak dapat penuhi harapan ibu. Sebab kemampuan mereka berbeza-beza.
Dan ibu, usah terlalu memberi tekanan kepada anak. Lagi-lagi anak yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR dalam minggu terakhir persekolahan ini. Biar apa pun keputusan mereka, ibu peluklah, kekal dalam mood positif demi si anak.
Perkongsian Ezatul Marini yang sebelumnya begitu tegas dengan si anak. Begitu kecewa apabila anak tak dapat capai apa yang ibu harapkan. Sampai satu tahap, ibu ini mengalah. Yakin bahawa yang penting adalah akhlak dan pegangan agama anak itulah sebenar-benar erti bahagia
Murid Tahun 6 Bakal Terima Keputusan UPSR
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Gagal Akademik & Harapan Ibu Yang Berkubur
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Tiga Soalan Suami Ini, Buka Minda Ibu
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya?
ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya?
iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Keputusan Akademik Anak Bukan Penamat Segalanya
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”

Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
Agar Lebih Positif, Renungkan Kata-kata Ini
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah. i
i. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
qqv. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doa.
MW : Ingat ya mak ayah, anak gagal akademik tak bermakna anak itu gagal untuk segalanya. Mak terus berikan sokongan positif. Siapa tahu, anak inilah nanti yang akan jaga mak ayah apabila sampai usia senjanya.
Sumber/Foto : Ezatul Marini
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Walau Orang Tua Nak Duduk Serumah, Jangan Bebankan Mak Jaga Anak Kita…”

Ada sesetengah orang, cukup berkira nak duduk dengan orang tua sendiri, itu belum lagi kes jaga mentua!
Sebelum anda terus hanyut dengan ego sendiri, sedarlah bahawa jaga orang tua sendiri atau mentua adalah BONUS dari Ilahi.
Nak tahu kenapa? Baca pekongsian oleh saudara Mohd Fadli Salleh ini…
Untungnya Duduk Dengan Orang Tua
Bil letrik sampai tengahari tadi. Aku tengok dan senyum. Nanti gaji aku bayarlah. Macam selalu. Hari pertama gaji masuk terus aku bayar segala jenis bil secara online.
Tengok bil ini, aku tak terkejut. Memang purata bil api rumah aku kebelakangan ini rm250-rm280. Rumah aku 3 bilik. Semua bilik ada aircond.
Semua bilik rumah aku ada penghuni. Aku kat master bedroom, bilik ke dua adik ipar dan bilik ketiga untuk emak mertua.
Bilik mak pun ada bilik air. Kiranya macam master bedroom kedua lah. Emak tinggal dengan aku setelah ayah mertua dijemput Illahi beberapa bulan lepas.
Aku bersyukur sangat emak sudi nak tinggal dengan aku. Bila mana emak menyatakan hasrat untuk tinggal dengan aku, berikut ayat pertama aku bagitahu kat puan isteri aku.
“Alhamdulillah. Mak nak duduk dengan kita. Walau mak duduk dengan kita, baby Ammar tu kena hantar kat pengasuh juga.
Jangan bebankan mak jaga anak kita. Mak nak duduk dah rahmat besar dah.
Jangan larang mak buka aircond semata-mata nak jimat letrik. Kalau mak selesa ada cahaya, biar je mak buka lampu berjaga sampai subuh.
Barang dapur kita yang beli. Dan jangan suruh mak masak melainkan mak yang nak tolong.
Soal bil letrik tak payah risau. Jangan sesekali merungut depan mak. Abang bayarkan walau berapa jumlah pun.
Ada orang tua dalam rumah kita satu rahmat besar dah. Setiap hari ada doa dari mak. Setiap hari ada orang yang baca Quran dalam rumah kita. Beruntung kita.”
Beberapa kali aku terbaca iklan adanya servis meng’ejas’ meter letrik, walau banyak mana kita guna, tapi bil datang tak mahal. Ala, macam tipu meter lah.

Aku tak nak berlakon malaikat kat kau orang. Hati ini terdetik sangat nak hubungi dan buat benda tu. Tapi bila fikirkan semula, buat apa jimat letrik kalau kita ‘mencuri’ dengan cara itu?
Dosa yang ada tak tertanggung dah, nak tambah dosa free setiap hari dari kegiatan mencuri elektrik? Tak sanggup aku.
Biarlah berapa jumlah sekali pun bil elektrik dan air rumah aku. Aku akan bayarkan. Kalau tak mampu bayar penuh, aku bayar sebahagian dulu. Ada rezeki lebih, boleh bayar lebih. Kederat ada untuk bekerja, apa nak susah.
Yang pasti, aku takkan sesekali minta mak dan adik ipar jimatkan penggunaan elektrik; aircond khususnya. Benda tu untuk keselesaan, gunalah.
Biar mak selesa selalu. Kerana bacaan ayat suci dan doa dari mak setiap hari itu tidak ternilai harga. Lebih mahal dari dunia dan segala isinya. Sungguh!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nadia Annuar Langsing, Cantik Persis Anak Dara, Kongsi Rutin Amalan Harian

Isi Kandungan
ToggleNadia Annuar Langsing, Cantik Macam Anak Dara, Kongsi Rutin Amalan Harian
Nadia Annuar memiliki kulit putih bersih, tinggi lampai dan bertubuh langsing. Pengacara yang cukup terkenal dengan kepetahan bila berbicara ini walaupun sudah punya anak dua namun penampilannya persis anak dara.
Nadia yang juga merupakan anak kepada usahawan kosmetik terkenal, Zaiton Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini rupa-rupanya sangat aktif dengan aktiviti kecergasan. Kesempurnaan yang ada pada dirinya tidak datang bergolek sebaliknya dengan daya usaha yang tinggi.
Biarpun sibuk menguruskan keluarga, tetapi dia tetap komited menjalankan perniagaan berasasaskan kecantikan kerana minat mendalam ke arah itu. Sibuk dengan tugasan harian bukanlah alasan untuk Nadia tidak melakukan aktiviti kecergasan.
Nadia tetap meluangkan masa untuk melakukan senaman. Kata ibu jelita ini lagi, amalan aktiviti senaman yang berkala dan konsisten akan membuatkan otak jadi lebih cergas, badan yang cantik serta sihat.
MINUM KOPI KOSONG
Mengamalkan gaya hidup sihat, Nadia amat menitikberatkan pemakanan diet yang sihat. Akui Nadia, dia sudah mula ‘melupakan’ gula dalam diet hariannya sejak enam tahun yang lalu. Seperti yang kita ketahui bahawa pengambilan gula yang berlebihan akan mendatangkan banyak penyakit.
“Saya memang tidak minum minuman manis. Tidak dapat dinafikan sebelum ini saya sudah terbiasa mengambil makanan dan minuman yang manis memandangkan keluarga saya berasalkan dari Kelantan. Namun lama kelamaan saya sedar tabiat ini harus diubah.
“Apa yang saya lakukan untuk menghentikan pengambilan gula dalam deit harian saya ialah dengan cara minum kopi kosong. Saya jadikan kebiasaan minum kopi tanpa gula. Secara tidak langsung amalan ini membantu untuk ‘mencuci’ lidah. Percayalah apabila kita sudah terbiasa minum kopi kosong, kita tiada keinginan lagi untuk minum minuman yang manis,” ujar Nadia membuka butir bicara.
EKSTRIM DALAM SOAL PENJAGAAN KESIHATAN
Menjalani rutin kehidupan yang sentiasa diburu dengan kesibukan tentunya memerlukan daya stamina yang tinggi. Bagi wanita berusia 36 tahun ini, dia sangat ekstrim dalam soal penjagaan kesihatan dan juga stamina tubuh.
“Paling penting untuk mendapatkan stamina yang tinggi, bukan hanya perlu bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu pola pemakanan. Pastikan kita makan makanan yang sihat.
“Ramai orang salah sangka, apabila berbicara tentang bersenam. Apabila sebut bersenam, mesti akan ingat perlu pergi bersenam di gimnasium sedangkan hakikatnya bersenam tidak semestinya perlu pergi ke gimnasium. Sebenarnya aktiviti senaman boleh dilakukan di rumah sahaja.
“Untuk mengekalkan stamina tubuh, kita perlu konsisten bersenam. Cara saya mengekalkan stamina tubuh ialah dengan cara bersenam dan melakukan aktiviti senaman secara berkala. Bila kita sudah biasa bersenam, kita akan dapat rasa yang tubuh kita sentiasa cergas.
“Seelok-eloknya amalkan bersenam pada waktu pagi. Alhamdulilah sejak saya aktif dan konsisten bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan, saya tidak lagi ‘nap’ berbanding sebelum saya aktif bersenam. Malah saya rasa tubuh saya lebih cergas dan bertenaga,” ujar Nadia.
PERNAH ALAMI MASALAH ‘EATING DISORDER’
Kongsi Nadia lagi, kira-kira 10 tahun yang lalu iaitu ketika usianya 26 tahun, dia pernah mengalami masalah ‘eating disorder’ atau masalah gangguan pemakanan. Jelas Nadia, masalah kecelaruan pemakanan yang dialaminya sudah sampai ke tahap tidak mahu makan.
“Ketika sakit, saya cuba cari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Alhamdulillah senaman dan aktiviti kecergasan adalah terapi terbaik buat diri saya. Sejak itu, saya mula bersenam setiap hari secara konsisten.
“Dalam seminggu, saya akan memperuntukkan empat hingga lima hari untuk bersenam. Tubuh juga perlu perlukan masa untuk berehat jadi tidak perlulah kita bersenam berlebihan sehingga boleh membahayakan tubuh. Selalunya dalam setiap sesi senaman, saya akan memperuntukkan masa selama lebih kurang satu jam setengah. Paling lama pun sekitar dua jam untuk satu sesi senaman,” jelas Nadia.
Cerita Nadia lagi, untuk permulaan cubalah berlari di taman. Jangan mulakan sesuatu yang melibatkan komitmen seperti mendaftar keahlian di gimnasium misalnya. Tidak perlulah memaksa diri untuk memulakans senaman sehingga membebankan diri sendiri.
“Paling penting jika kita ingin berhajat untuk melakukan aktiviti kecergasan, kita jangan tunggu orang lain. Biar semangat itu datang daripada kemahuan diri kita sendiri, bukan sebab orang lain. Boleh juga berdamping dengan rakan-rakan yang sudah sedia aktif dengan aktiviti kecergasan jadi secara tidak langsung ia menjadi pendorong untuk kita kekal aktif bersenam.
“Komitmen ‘level’ saya memang lain sebab saya memang mahu konsisten untuk bersenam. Pulang sahaja dari kerja, saya akan terus pergi ke gimnasium untuk bersenam. Tidak dapat dinafikan mula-mula memang susah tapi percayalah, selepas dua bulan kita konsisten dan disiplin dengan jadual senaman yang kita buat maka ia akan jadi lebih mudah,” tutur Nadia.
SUDAH CUBA SEMUA JENIS WORKOUT
Menurut Nadia setakat ini dia sudah mencuba semua jenis senaman workout. Ia umpama satu kepuasan buat diri Nadia apabila dapat mencuba pelbagai jenis senaman workout. Hanya mereka yang aktif dalam aktiviti kecergasan sahaja dapat memahami ‘kenikmatan’ yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Ia umpama satu ketagihan buat diri saya apabila dapat bersenam. Kalau tidak bersenam terasa seperti tidak lengkap hari-hari yang saya lalui. Walau bagaimanapun perlu ada ‘off day’ agar tubuh kita dapat berehat daripada melakukan sebarang senaman dan aktiviti kecergasan.

“Setakat ini saya sudah mencuba pelbagai jenis workout antaranya powerplate, boxing, spinning dan hit classes. Buat masa sekarang aktiviti senaman yang paling saya suka ialah indoor spinning. Saya akan mengikuti kelas ini tiga hingga empat kali dalam seminggu. Sejak kebelakangan ini juga saya turut menggabungkan aktiviti indoor spinning ini dengan boxing,” ungkap Nadia.
“Jadual harian saya memang namun itu bukanlah alasan untuk tidak melakukan aktiviti kecergasan. Saya bersyukur kerana punya pembantu rumah yang dapat memudahkan urusan saya di rumah. Dengan cara itu saya ada masa untuk bersenam.
“Sebenarnya bagi saya tiada alasan untuk kita tidak bersenam. Paling penting kita perlu bijak membahagikan masa. Pendek kata ia bergantung pada diri kita sendiri. Terpulang pada diri kita sama ada untuk memilih gaya hidup yang sihat atau pun sebaliknya. Kalau kita sudah sakit, no tunning back,” kata Nadia.
OBSES DENGAN PAKAIAN SUKAN
Melihat gaya Nadia dalam pelbagai persalinan sukan menggambarkan Nadia seorang yang gemar melaram meskipun ketika melakukan aktiviti kecergasan. Akui Nadia dia tidakm kisah berbelanja besar untuk membeli pakaian sukan berjenama kerana katanya ia bukan sahaja selesa dipakai tetapi tahan lama.
“Walaupun pakaian sukan berjenama ini agak mahal namun saya suka sebab, ia boleh dipakai dalam tempoh yang lama. Selalunya warna pakaian sukan yang menjadi pilihan saya ialah warna hitam. Selain warna hitam, saya juga suka dengan warna-warna terang.
“Sebenarnya pakaian sukan yang selesa memainkan peranan penting kerana akan membuatkan tubuh kita nampak ‘kemas.’Saya memang memperuntukkan jumlah bajet yang agak tinggi untuk membeli pakaian sukan yang saya suka. Bagi saya, pakaian sukan yang selesa dan cantik dengan warna dan corak yang ceria merupakan satu motivasi untuk saya terus bersenam,” tutur Nadia menutup perbualan.
Artikel ini diolah daripada bahan asal dari HIJABISTA
Kredit foto: Instagram Nadia Annuar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI