Hujung minggu adalah waktu untuk ibu luangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama si kecil tersayang adalah waktu mandi. Sememangnya mandi adalah rutin wajib yang dilakukan oleh semua orang termasuk si kecil. Di sebalik fungsinya untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran, rutin mandi sebenarnya memainkan peranan penting terhadap perkembangan tumbesaran anak anda. Masa mandi bersama si kecil adalah waktu terbaik untuk meningkatkan ikatan antara anak dengan ibu bapa dan merangsang otak si kecil anda.
Menurut kajian yang dilakukan, otak kanak-kanak terbentuk sebanyak 85 peratus pada usia mereka tiga tahun. Dalam tempoh tersebut rangsangan sensorik memainkan peranan penting bagi perkembangan anak untuk sihat dan gembira. Pada peringkat ini daya penyerapan kognitif amat tinggi, sistem saraf dan neuron pula berkembang pesat. Oleh yang demikian, waktu mandi juga perlu menjadi salah satu masa penting untuk anda dan si manja.
Ads
Tip kat bawah ini boleh anda guna pakai untuk buat waktu mandi si kecil lebih menyeronokkan:
Wangian untuk rangsang otak si kecil
Perkembangan kognitif anak juga dipengaruhi aroma. Aroma yang baik dipercayai dapat menstimulasikan bahagian otak sehingga menguatkan ingatan anak di kemudian hari. Pilihlah mandian yang wangi buat si kecil agar mereka juga gembira dan teruja setiap kali mandi. Selain itu, saat mandi jangan hanya digunakan sebagai waktu untuk membersihkan diri sahaja, berikan juga sentuhan lembut, ajak anak berbicara dan lakukan hubungan mata.
Ads
Permainan berwarna-warni
Menggunakan perkakas mainan yang berwarna-warni serta itik comel sebagai teman si kecil mandi pasti lebih menggembirakan anak di dalam bilik air. Berikan tugas untuk menjaga peralatan dan itik mainan mereka ketika mandi adalah sesuatu yang baharu untuk anak lakukan. Kemahiran berfikir anak akan terangsang apabila menggunakan imaginasi.
Asah kemahiran motor
Bagi membantu perkembangan fizikal anak anda ketika mandi, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan memberi si kecil objek yang selamat untuk diterokainya. Dengan cara tersebut, si kecil belajar cara untuk menggunakan jari dan tangannya bagi melakukan sesuatu seperti menggenggam dan memegang dengan kuat.
Ads
Pupuk sikap positif anak
Perhatikan juga cara si kecil menggunakan anggota badannya untuk melakukan sesuatu seperti memecahkan buih mandian. Dengan cara tersebut si kecil tahu bahawa dia mempunyai badan yang sihat dan kuat untuk melakukan banyak perkara yang hebat. Secara tidak langsung hal tersebut dapat membina harga diri si kecil agar lebih positif.
Oleh itu jadikan waktu mandi anak sebagai satu detik istimewa bukan sahaja untuk meningkatkan ikatan antara anda dan si kecil malah untuk membantu anak merangsang perkembangannya dengan baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kadangkala mak ayah sukar nak memahamkan tingkah laku anak yang tiba-tiba bertukar bila mereka meningkat usia. Si kecil jadi ‘mood swing’ dan masalah tingkah laku ini memeningkan kepala mak ayah.
Mak ayah kena bertenang, sebab ada cara lebih cool yang boleh bantu mak ayah tangani masalah tingkah laku si kecil. Inilah yang dikongsikan pleh Occupational Therapist, Puan Maryam Jamadi.
Contoh Masalah Tingkah Laku
Di bawah ini adalah contoh masalah tingkah laku yang biasa muncul sekitar umur anak 18 hingga 3 tahun.
1. Pukul
2. Gigit
3. Tendang
4. Hantuk kepala
5. Baring di lantai
MAK AYAH FAHAMI FISIOLOGI ANAK
Masalah tingkahlaku memang normal bagi anak berumur 18 bulan hingga 3 tahun kerana fasa ini mereka dah ada kehendak sendiri walaupun kehendak tersebut susah nak ditunaikan dan kadangkala “merepek” seperti nak makan cicah sambal, tarik mak ayah ke pintu untuk keluar rumah di tengah malam, nak minum air panas menggelegak dan sebagainya.
Sebelum ini anak cuma tahu menangis atau ketawa sahaja. Perasaan gembira, kelakar, bahagia dan geli di geletek semua diluahkan dengan cara senyum dan ketawa. Emosi yang tak “best” pula seperti lapar, haus, bosan, cemburu, sakit perut, marah atau panas diluahkan dengan cara menangis.
Mereka belum “pandai” marah lagi semasa bayi disebabkan bahasa yang terhad. Sebenarnya “pandai” marah juga adalah salah satu perkembangan emosi bagi anak ya, jangan risau.
Disebabkan keterujaan dengan emosi baru iaitu marah, mereka jadi pelik dan cuba berlatih meluahkan perasaan marah seterusnya memerhati respon mak ayah. Macam “orang yang baru dapat kaki”, sentiasa nak berlatih. Pantang ada “point” sikit, ada sahaja yang nak dimarahnya, sikit-sikit nak baring di lantai, sikit-sikit nak mengamuk baling barang, semua benda tak kena dan menangis tak tentu pasal.
Anak yang dulunya comel, “behave” dan penyayang, tiba-tiba jadi pemarah apabila masuk umur 18 bulan. Mereka mengalami “mood swing” kerana mereka baru sedar yang banyak cara sebenarnya nak luahkan perasaan bukannya dengan cara menangis dan ketawa. Sebab itu mereka akan cuba pelbagai cara asalkan mereka dapat apa yang dikehendaki.
7 CARA MENANGANI TINGKAH LAKU ANAK
Ada banyak cara sebenarnya nak atasi masalah tingkahlaku sebab setiap mak ayah ada caranya tersendiri untuk mendidik anak. Dibawah ini adalah tips mengatasi masalah tingkahlaku daripada saya:
1. AUTONOMI
Mak ayah perlu faham keadaan anak, cuba bayangkan kita di tempat anak di mana situasi kita di negara asing yang perlukan bantuan tetapi semua orang tak faham apa kita cakap. Puas kita menjerit dan buat pelbagai “body sign”, orang lain masih buat muka “blur” dan kadang-kadang buat tak endah. Mesti rasa nak tumbuk dinding kan?
Sama juga seperti anak, mak ayah yang tidak memahami kehendak anak akan menyebabkan anak cenderung mengalami masalah tingkahlaku. Kena faham, anak umur 18 hingga 3 tahun adalah fasa autonomi vs malu/sangsi dalam perkembangan emosi dan sosial. Satu sahaja yang mereka mahukan semasa fasa ini, iaitu autonomi.
Kebebasan untuk bermain sendiri, makan sendiri, pakai baju dan seluar sendiri, pilih baju sendiri, pakai kasut sendiri, makan lauk yang mereka mahu sahaja dan sebagainya. Masa ini anak dah ada makanan kegemaran, warna kegemaran, patung kegemaran dan watak kegemaran mereka. Perlu faham situasi mereka, baru boleh bertindak dengan betul.
Jangan sesekali menghukum sebelum menyiasat kerana ia akan menyebabkan anak menjadi malu/sangsi tak ada keyakinan diri kelak.
2. MINDSET
Walau cuba pelbagai cara, mindset mak ayah masih tak ke jalan yang benar memang semuanya tak akan jadi. Mak ayah perlu tegas yang “NO MEANS NO” semasa menangani tingkahlaku yang tidak diingini.
Contoh situasi:
A) Anak mengamuk tak mahu kemas mainan walaupun sudah pandai kemas, semakin disuruh semakin mengamuk baling mainan.
Kalau sekali mak ayah layankan amukan anak, disuakan handphone, dipeluk, dibuatnya muka kesian malah siap cakap “sorry” dengan anak. Maka, maksudnya mak ayah dah di “manipulate’ dengan anak. Lain kali bila berdepan dengan situasi sama, anak akan buat “trick” sama dan benda ini akan berulang sampai anak jadi “kebal” tak kemas mainan.
Ditambah lagi bila ada “penyelamat dunia”, lagilah anak bertambah “kebal” tak kemas mainan. Mereka akan letak mindset yang “aku tak salah, mama papa yang salah”. Bila anak dah mindset sebegitu dari umur 18 bulan, cuba bayangkan betapa “kebal”nya anak bila dah umur 5 tahun kelak.
B ) Anak baring di lantai atau pukul apabila tak dapat apa yang dia nak.
Abaikan dia, jangan dipujuk, jangan dipandang atau dialihkan perhatian kerana anak akan belajar dan mindset yang “kalau nak sesuatu, baring di lantai/pukul”. Maka, situasi ini akan berulang dan berulang lagi. Apabila anak dah reda dan bangun, beritahu yang perbuatannya salah. Mulakan seawal anak “belajar” cara sebegini bagi membendung masalah tingkahlaku yang semakin serius.
Untuk mengatasi masalah tingkahlaku anak, mak ayah perlu mindset “Kita tak salah, anak yang salah” dan “kita yang bentuk dia, bukan dia bentuk kita”. Jika betul anak buat salah, tak perlu buat muka kesian atau sedih dan tak perlu cakap “sorry” sebaliknya ajar anak minta maaf. Kalau belum pandai sebut “sorry”, ajar anak salam dan cium tangan setiap kali buat salah.
Saya selalu berjumpa kes masalah tingkahlaku dimana mak ayah yang “takut” anak, takut anak nangis, takut anak sedih, takut anak marah, takut anak mengamuk dan sebagainya. Tolong buang perasaan “takut” kepada anak jika mahu menangani masalah tingkahlaku. Jadilah pemimpin anak, bukan dipimpin anak.
3. PERKATAAN KERAMAT
Nak marah anak pun ada caranya. Kalau anak yang umur 2 tahun cukup sekadar guna 1 perkataan keramat seperti “NO” sambil reaksi muka berkerut dan suara yang tinggi sedikit tetapi bukan menjerit atau menengking.
Perkataan keramat ini juga perlu dihadkan penggunaannya, hanya gunakan semasa terdesak sahaja demi memastikan keberkesanan perkataan ini. Kalau setakat anak minum air tumpah sikit ataupun makan tumpah sikit kita dah marah tinggi suara sebut perkataan keramat, lama kelamaan teknik ini dah tak berkesan.
Anak bawah 3 tahun ini bila kita membebel panjang laju-laju pun mereka tak faham, makin membebel makin mereka “mute” suara kita sebab malas nak dengar. Maka, ckap bahasa mudah dan jelas sudah mencukupi.
4. “CRY IT OUT”
Biarkan mereka menangis bila berdepan dengan keadaan di atas sebab menangis adalah cara untuk anak luahkan perasaan. Mereka perlu belajar terima yang tak semua yang kita nak kita akan dapat. Ia dipanggil “frustration tolerance” iaitu ketahanan anak untuk terima kekalahan. “Frustration tolerance” sangat penting dalam perkembangan emosi dan sosial anak contohnya semasa bermain, hubungan sosial dan sebagainya.
Biarkan anak rasa “frust” sekarang supaya mereka dapat hadapi “frust” di masa akan datang tetapi janganlah pula berlebih-lebihan. Risau pula saya, takut ada mak ayah gunakan alasan ini untuk membuli anak.
Dalam ketegasan kita, perlu juga ada kelembutan. Penerimaan “frust” anak juga ada tahapnya, kalau anak umur 18 bulan beri 10 minit “frust” dah mencukupi selepas itu peluklah anak sambil nasihat jangan lakukan perbuatan itu lagi.
5. ALIHKAN PERHATIAN
Sebenarnya teknik ini memang selalunya berkesan, cuma kadangkala anak akan lupa tentang kesalahan yang dilakukan dan cenderung melakukannya lagi. Terutamanya jika alihkan perhatian dengan gadget. Anak tak “feel” rasa bersalah yang telah dilakukan. Tak ada minta maaf mak ayah dah tarik perhatian dia ke arah tempat lain.
6. PUJUK
Kalau anak menangis sebab benda kecil, boleh dipertimbangkan kaedah pujuk. Pujuk dengan cara peluk seluruh badan anak sambil usap-usap kepala anak.
Tapi kalau dah sampai tahap masalah tingkahlaku mencederakan orang lain dan diri sendiri, TAK PERLU PERTIMBANGKAN kaedah memujuk kerana ini maksudnya masalah tingkahlaku anak dah semakin ‘tebal”.
Pujuk bila anak dah reda dari tangisan dan minta anak minta maaf. Salam dan cium tangan sebagai tanda mereka terima kesalahan yang dibuat. Masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk mak ayah buat “sosial story” tentang perbuatan baik dan tak baik.
7. “BUSY BAG”
Normal anak bawah 3 tahun memang suka bermain, bila tak dapat main memang mereka akan meragam dan mengundang masalah tingkahlaku yang tidak diingini. Maka, sangat penting untuk mak ayah kenalpasti punca anak meragam. Kalau sebab nak bermain, memanjat tapi tak dapat seeloknya mak ayah bawa bekal mainan kemana-mana. Boleh google atau cari di pinterest untuk idea busy bag.
Kesimpulannya, pokok pangkal untuk mengatasi masalah tingkahlaku adalah mindset mak ayah untuk menjadi pendidik anak dan bukannya “dididik” oleh anak. Tanamkan niat untuk membesarkan anak yang mendengar kata bukannya dengan niat menghambakan anak kepada mak ayah tetapi belajar menghambakan diri kepada Tuhan juga.
Terima kasih, semoga bermanfaat.
NOTA:
*Anak yang mempunyai masalah tingkahlaku yang serius selalunya mempunyai masalah sensori sama juga dengan kes anak terlewat percakapan. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang ini memerlukan penilaian sensori dan tingkahlaku daripada occupational therapist bertauliah.
Susah hatikan mak ayah bila tengok kulit anak kering, menggelupas, kemerah-merahan malah bersisik. Anak pula menggaru tak berhenti. Sampai darah keluar dekat kawasan kulit yang gatal. Puaslah mak ayah tegah, anak tetap juga menggaru.
Tak boleh nak salahkan anak-anak juga, sebab dia bukan faham bila dah melecet keluar darah akan lebih terdedah dengan bahaya kuman. Yang dia tahu nak hilangkan rasa gatal, dia perlu garu. Akhirnya, mak juga yang susah hati sampai mengalir air mata sebab tak tahan tengok penderitaan anak.
Pengalaman Dato’ Dr Suriyakhatun Osman merawat pesakit ekzema membolehkan beliau berkongsi tip mencegah penyakit infeksi kulit atau ekzema ini. Ianya tip yang jarang mak ayah temui di mana-mana, insya-Allah jika diamalkan, ekzema dapat dicegah dari peringkat awal lagi.
Menurutnya, “Bila anak yang memang ada ekzema disahkan mendapat infeksi staphylococcus, ia tidak berlaku tanpa sebab.”
Ekzema Berjangkit Dengan Cara Yang Mak Ayah Tak Sedar Pun
Sebelum itu, ketahui dahulu apa penyebab anak-anak anda diserang infeksi kulit. Punca-punca ini antara yang ditemui di kalangan pesakitnya:
1. Balik ke kampung dan rumah kampung berhabuk, bilik lama tinggal .
2. Main dengan kucing yang ada kurap atau kudis.
3. Jatuh ke tanah dan luka.
4. Ibu/ penjaga kemas bilik untuk buang habuk bilik. Mereka punggah perkakas bilik yang sudah lama tidak berusik.
5. Bawa ke tempat permainan umum/terbuka seperti dalam pasar raya.
6. Letak anak dalam kerusi bayi di pasar raya.
Ini Bahayanya
* Tempat -tempat dan situasi begini kesemuanya memudahkan infeksi dengan staphylococcus atay streptococcus.
* Lebih lagi anak sudah ada kulit yang melecet disebabkan eczema maka mudahlah kuman ini jangkiti kulit anak.
Cegah & Kurangkan Ekzema Dengan Cara Semulajadi
1. Mandi secepat mungkin selepas terdedah kepada situasi yang saya sebut.
2. Selepas mandi, sapu badan dengan bahan natural yang bersifat antiseptik seperti tea tree oil, calendula atau echinacea . Awas minyak seperti tea tree perlu dicairkan dahulu dan beberapa titis sudah mencukupi maka boleh dicampur dengan krim lain.
3. Awas bila nak guna bahan sapu, pastikan bahan itu tidak berkuman. Ada pesakit saya yang dapat infeksi selepas pupuk daun gelenggang atau daun sirih sebab batu tumbuk yang digunakan kotor. Ibarat dia lumur kuman ke kulit anaknya dan terus anaknya dapat infeksi yang teruk.
4. Jika nak kemas bilik yang berhabuk, guna kain basah yang sudah celup Kloroks (Satu sudu besar dalam setengah baldi air) supaya kuman akan mati dan habuk tidak terbang.
5. Jika guna vacum cleaner, tutup bahagian yang keluar udara panas dengan kain basah atau guna vacuum cleaner yang ada air di mana habuk akan terperangkap dalam air .
Sumber/Foto: Fanpage Dato’ Dr Suriyakhatun via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Anak tengah mengamuk di tempat umum akan buatkan anda malu dan sangat marah. Anak pula akan menangis dan menjerit dengan sekuat hati ditambah dengan aksi berguling-guling tanpa menghiraukan orang di sekeliling.
Apa yang si kecil tahu kemahuan mereka mesti dipenuhi. Akibatnya segelintir ibu bapa memilih beralah dengan anak-anak, yang penting si kecil tidak lagi menjerit.
Hakikatnya, jalan mudah ini salah, jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan perkembangan anak secara positif.
Sebagai ibu bapa anda harus tahu cara yang betul untuk menangani anak yang sering mengamuk dan meragam.
Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita seharusnya menolong anak mengawal tabiat tersebut.
Panduan Hadapi Anak Tengah Mengamuk
1. Alih Perhatian Anak
Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis.
Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam. Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti menangis lalu terus memeluk dan mencium ibunya.
Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam selain mengalihkan perhatian mereka dengan sesuatu yang mereka suka.
2. Jangan Mengikut Kehendak Anak
Kanak-kanak mengamuk kerana mereka tahu cara tersebut mereka akan dapat apa yang diinginkan.
Elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya.
Kanak-kanak memang bijak sekali kita mengalah apabila mereka mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluan mereka tidak dipenuhi.
Jangka masa mengamuk juga akan lebih lama kerana mereka tahu anda akan mengalah akhirnya. Oleh itu cekalkan hati dan tegas dalam membuat keputusan.
3. Elak Marah Dan Menjerit
Jangan sesekali memarahi si kecil anda kerana ia tidak akan membantu. Terangkan pada mereka kenapa tidak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu.
Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya.
Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga dapat membantu anak-anak yang meragam.
4. Biarkan…
Membiarkan anak meragam adalah ubat paling mujarab kerana jika anda memujuk ia akan memberi gambaran bahawa dia akan dapat semua yang dimahukan bila dia meragam.
Cuma pastikan anak selamat kerana ada sesetengah kanak-kanak yang bertindak mencederakan diri apabila mengamuk seperti menghantuk kepala ke lantai dan ada juga yang sukar bernafas ketika mengamuk.
5. Apabila Anak Berhenti Mengamuk
Berbincanglah dengan anak kenapa permintaannya tidak dipenuhi dan kenapa mereka tidak sepatutnya bersikap sedemikian.
Tegaskan bahawa dengan mengamuk tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada mereka dan itu satu tingkah laku yang tidak baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah mengharukan tentang Dr Siti Ruqyah Adnan yang kehilangan ayahnya beberapa jam sebelum konvokesyen, namun tetap bangga menunaikan impian ayah untuk melihatnya bergelar doktor.