Hidup dalam dunia sekarang memerlukan ilmu keibubapaan yang cukup tinggi. Membesarkan anak mungkin dapat dilakukan oleh kebanyakan mak, ayah. Tetapi mendidik anak-anak generasi sekarang menjadi ‘manusia’ memang payah.

Kadang-kadang kita cuba usahakan apa yang anak mahukan dan cuba penuhi segala permintaan anak-anak. Mula-mula memang dihargai, tetapi lama-kelamaan anak jadi besar kepala dan mula kurang ajar.

Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin :

Perkara yang tak akan terjadi pada anak-anak terdahulu…
Lihatlah anak-anak kita sekarang… Apa saja kemahuannya kita patuhi dan penuhi… Apa saja yg disuarakan, kita beli…
Sebab itulah dia boleh memberontak bila tak dapat… Sebab itulah dia boleh menghentak-hentakkan kakinya bila tak ikut… Sebab itulah dia boleh keluar, lari dari rumah bila kita tak tunaikan.
Salah kita juga…
Kita terlalu tunduk kepada apa yang anak mahu atas alasan, kita dahulu tak rasa apa yang dia nak rasa, maka kita bagi segala-galanya… Kita tak mahu dia susah, kita tak nak dia kempunan, kita tak nak dia tak sama macam kanak-kanak lain.
Kita "mewah"kan dia…
Tapi bukankah kita jadi manusia hari ini kerana ada yang kita hajati, tak dipenuhi orang tua kita? Bukankah kita jadi manusia hari ini kerana kita berusaha sendiri untuk dapatkan apa yang kita inginkan…
"Ini semua salah bapak… bapak membesarkan Sazali mengkhinzir buta…Sazali jadi kurang ajar sebab bapak memanjakan Sazali…"
“Bapaklah yang bertanggungjawab di atas kelakuan baik dan buruk Sazali…”
P Ramlee sudah pesan…
Ingat tuan-tuan, ingat puan-puan… ramai ibu bapa yang mampu membesarkan anak-anak, tetapi berapa ramai ibu bapa yang mampu mendidik anak-anak menjadi manusia setelah dia besar?

Dulu & Kini Sangat Berbeza

Dahulu, jika kita inginkan sesuatu, apa orang tua kita akan kata?
"Dapat nombor 1 dalam kelas, abah bagi… Dapat UPSR 5A, abah beli… Dapat PMR 7A, abah bawa bercuti…"
Tak akan terjadi hentak kaki depan orang tua sebab tak dapat benda yang kita nak pada saat itu jugak… Tak akan terjadi lari dari rumah sebab orang tua kita tak beli apa yang kita hendak waktu itu juga…
Tak akan jadi sebab tak berani…
Tapi ibu bapa hari ni, tengoklah anak-anak kita… tengok perangai mereka… tengok tingkah laku mereka…
Apa sudah jadi dengan mereka… siapa yang bertanggungjawab… siapa punya angkara…
Benarlah antara tanda akhir zaman ialah ibu bapa menjadi hamba kepada anak-anak mereka…
Ubahlah selagi masih boleh diubah… memanjakan anak-anak ada batasnya… memenangkan anak-anak ada hadnya…
Jangan membesarkan anak-anak untuk dia menjadi kurang ajar… Ibu bapalah yang bertanggungjawab terhadap akhlak anak-anak mereka..

Sumber:
Firdaus Shakirin

MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua, mendidik anak bukan mudah. Setiap orang lain caranya, namun paling penting jangan keterlaluan dalam memewahkan anak-anak. Bimbang kelak anak-anak tidak mampu berdikari apabila mereka sudah dewasa.