Tengahari tadi Mingguan Wanita Talkshow telah bersiaran selama sejam dengan membincangkan isu yang agak panas iaitu Dadah Penghancur Rumah Tangga.
Dek kerana hari ini merupakan hari ke sembilan PKP, tetamu undangan dihubungi dari studio. Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang telah berkongsi pendapat mengenai isu ini. Menurutnya kadangkala pasangan yang berkahwin tidak tahu pasangan mereka adalah penagih.
“Isu dadah ini sangat besar kadang-kadang mereka yang ambil dadah bukan satu ketagihan. Tapi bila jadi ketagihan, itulah yang menjadi punca berlakunya keruntuhan rumahtangga. Kadang-kadang pasangan yang berkahwin tak tahu pasangan mereka adalah penagih. Ada yang tahu awal tapi dia terima dengan harapan pasangan mereka akan berubah,” ungkap Tuan Musa.
Isteri Berhak Mohon Cerai
Ditanya adakah isteri berhak memohon perceraian dek kerana masalah ini;
“Isteri berhak memohon perceraian iaitu secara fasakh atas alasan suami berperangai keji (ketagihan dadah).
“Bila isteri dah patah hati barulah akan failkan cerai ke mahkamah.
“Harapan yang diberikan terlalu besar. Kadang-kadang perceraian itu isteri tak nak dan mampu bertahan. Tapi bila isteri dah tak mampu barulah dia failkan cerai.
Tip buat isteri bagaimana jika isteri nak jaga aib suami dan nak cari penyelesaian?
“Dalam rumahtangga seorang isteri tak boleh bercakap sendiri dengan suami. Isteri kena cari orang ketiga yang suami hormat seperti mak ayah atau bapa saudara atau kaunselor atau jabatan agama untuk memberi nasihat kepada suaminya. Jika suami masih tak berubah telah diberi nasihat. Namun dalam tempoh setahun jika suami masih dalam keadaan yang sama, isteri boleh buat keputusan yang terbaik untuk dirinya,” akhiri Tuan Musa.
“Gadis Cantik Berjubah, Tudung Litup Lepas Kahwin Berubah Perangai” Dr Sallina Mansor
Menurut Pengarah PUSPEN Sg Besi, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dr Salinna Mansor pula kebanyakkan mereka yang terlibat dalam penagihan najis itu adalah lelaki.
“Saya pernah ada klien seorang gadis yang sangat cantik, berjubah dan bertudung labuh, rupa-rupanya bila berkahwin dia tak tahu suami penangih. Lepas bersalin dia berasa sakit dan suami bagi ubat yang mengandungi najis itu. Isteri tak tahu itu dadah dan lama kelamaan dia ketagih,” terang Dr Sallina Mansor.
Malah ada juga isteri yang ketagih bila terasa ingin mencuba dek kerana suami merupakan seorang penagih.
Menurut Dr Sallina lagi di AADK mereka menerima mereka yang mahu pulih secara sukarela.
“Kami memulihkan penagih. Setakat ini secara sukarela, kami terima orang yang nak pulih. Ada program keagaamaan, kaunseling, pembimbing rakan sebaya (PRS). Kami juga memegang konsep iaitu Komuniti Kita Tanggungjawab Kita,” luah Dr Sallina.
“Terlibat Sejak Usia 11 Tahun” Mak Wan
Salah seorang tetamu yang dihubungi merupakan seorang Sahabat AADK, Pembimbing Rakan Sebaya iaitu Wan Kamariah Daud (Mak Wan).
“Mak Wan terlibat dengan najis itu lebih kurang usia 11 tahun, faktornya disebabkan tekanan emosi. Sebab waktu tu Mak Wan duduk dengan keluarga angkat. Pergaulan sosial tak ada.
“Kemudian Mak Wan kahwin dengan suami yang juga seorang bekas penangih dan pengedar. Dan mula dari situ terlibat dalam najis tersebut. Rumahtangga, pada tahun 1991, suami Mak Wan dihukum gantung mandatori, lepas dia tak ada, Mak Wan terus terjerumus lagi dalam dadah.
Pulih Sepenuhnya
“Dengan AADK, Mak Wan banyak program yang dibuat sebab banyak kali keluar masuk. Ada program Halaqah berkonsepkan kegamaan dan kerohaniaan. Dan akhir sekali Mak Wan ikut program Terapi Kekeluargaan.
“Proses pemulihan yang paling sulit yang Mak Wan harungi apabila harus mengharungi gian. Sebab gian itu tidak pada tubuh badan saja. Gian ada dalam emosi kita, itu payah nak pulih. Bergantung pada pegawai AADK, bantu untuk kita selesaikan apa yang kita nak alami.
“Mak Wan ambil masa selama lapan tahun untuk pulih dan masa itulah bekerja sambil bantu rakan-rakan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya di bawah AADK,” ungkap Mak Wan yang berpesan agar jangan seesekali cuba walau apa jenis dadah pun. Najis ini bukanlah penyelesaikan kepada masalah yang anda hadapi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI