Pengalaman ini dikongsikan oleh seorang wanita yang cuba berdakwah pada wanita cantik yang tidak mengenakan hijab. Padanya biarlah kita tidak nampak alim, namun kita tidak pernah lupa menyebarkan kebaikan.
Sejak awal, dia, Musalmah (bukan nama sebenar) sedar bukan mudah untuk menyampaikan kebaikan, tetapi dia cuba mendidik jiwanya dengan cuba mendidik orang sekeliling untuk berubah kebaikan.
Mengajak berbuat jahat adalah lebih mudah daripada mengajak orang berbuat kebaikan, percayalah. Namun hatinya utuh memegang kata Almarhum bapanya agar tidak henti sebarkan aura positif kepada orang lain biar pun kita tidak sebaik atau sealim mana.
Kadang-kadang selain mendidik orang, jiwa kita juga secara tidak langsung mendapat isyarat agar tidak melakukan perbuatan mungkar dan tidak menepati syariat Allah.
Kejadian 3 Tahun Lalu..
Pernah sekali, Musalmah mengajak rakannya bersolat ketika berada di universiti setelah hampir satu semester mereka berkongsi bilik di universiti. Tidak lama kemudian, rakan biliknya menukar bilik atas alasan Musalmah sibuk menjaga soal tepi kainnya.
Kadang kala Musalmah mencuba menyusun ayat agar tidak menyinggung hati mereka yang ditegur, tetapi masih juga mereka beraksi negatif apabila disapa gadis ini.
Kejadian tiga tahun membuatkan hati Musalmah benar-benar luluh.
Ads
Kala itu, dia baru sahaja mendapat tawaran kerja. Salah satu persiapan yang dilakukan adalah melakukan pemeriksaan kesihatan. Bagi menjimatkan wang, dia melakukan pemeriksaan tersebut di hospital kerajaan.
Mendapat satu-satu perkhidmatan di hospital kerajaan sememangnya makan masa agak lama, maklumlah caj yang dikenakan rendah dan ada sesetengahnya pula percuma.
Musalmah sedari awal cuba memperuntukkan waktunya dengan membaca ayat suci Al-Quran secara perlahan. Bimbang mengganggu orang di sekelilingnya.
Ramai yang memandang tingkah laku Musalmah, malah tidak kurang juga yang kurang senang dengan tindakannya. Lebih pedih ada yang berbisik seolah-olah Musalmah cuba berlagak alim.
Ads
Lalu Musalmah menyimpan semula Al-Quran dalam beg tangannya dan seterusnya menunggu gilirannya tiba.
Gadis Angkuh Menyinga
Seorang demi seorang berganti pesakit duduk di sebelahnya. Kelibat gadis cantik berskirt pendek benar-benar menjentik perasaan Musalmah.
Hati gadis ini meronta-ronta ingin menegur keterlanjuran gadis yang tidak segan-silu membuka auratnya, tambahan lagi hospital merupakan tempat awam dan terdapat ramai orang.
Ads
Pada awalnya, ada bisikan halus menghalang Musalmah untuk terus menegur. Tetapi akhirnya terluah juga teguran tulus dari Musalmah.
Sebaik mungkin gadis ini menyusun ayat, tetapi wanita cantik tadi terus menyinga dan cuba menarik tudung Musalmah.
Katanya sebaiknya Musalmah diamkan diri dari menegurnya. Sekali lagi Musalmah cuba menegur gadis tersebut, bayangkan jika malaikat maut datang menjemput anda sekarang, apakah tindakan anda?
Gadis tersebut dengan angkuh menjawab, “Kalau malaikat maut datang sekali pun, aku akan menghalaunya”.
Musalmah yang terkejut terus menuju ke bilik rawatan apabila nombornya dipanggil. Usai membuat beberapa pemeriksaan, Musalmah keluar untuk pulang ke rumah.
Kala itu, dia ternampak wanita tadi dikerumuni doktor dan jururawat. Dia telah tidak sedarkan diri secara tiba-tiba lalu menghembuskan nafas terakhir.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Allahu.. inilah yang jadi pada jenazah seorang wanita usia pertengahan 40-an. Yang terlalu taksub nak kelihatan cantik semasa hayatnya. Sanggup buat apa saja termasuklah ubah wajah dengan pembedahan.
Wartawan Mingguan Wanita menemuramah Ustazah Halimah, yang kami rahsiakan identiti nama sebenarnya demi menjaga kerahsiaan antara kami. Kisah yang dikongsikan ustazah berlaku ketika beliau diminta menguruskan jenazah seorang wanita tak lama dulu.
Dan pengakuan tentang kehidupan semasa hayat ibunya dimaklumkan oleh anak wanita ini. Perkongsian ini tak lain tak bukan semata-mata untuk memberi pedoman pada mereka yang masih hidup.
Ustazah Halimah sudah lama melibatkan diri sebagai tukang mandi jenazah. Kerja amal yang diceburi secara tidak sengaja ini sudah menemukan dirinya dengan pelbagai kisah pelik yang boleh memberi pengajaran kepada umat Islam yang lain.
“Sebagai seorang tukang mandi jenazah, kerja kami ini boleh dikatakan tidak mengira masa sebab mati itu tidak ada yang dapat menyangkanya. Ajal maut itu semuanya di tangan Tuhan dan sebagai hamba-Nya, apa yang boleh kita buat adalah mengisi masa hidup yang ada dengan amalan yang baik dan meninggalkan amalan yang mungkar.
“Kembali semula kerja saya sebagai tukang mandi jenazah, saya boleh kongsikan satu cerita mengenai seorang wanita yang pernah saya uruskan pemandian dan pengkafanannya. Saya tidak mengenali wanita tersebut. Namun disebabkan arwah tinggal di dalam kawasan kariah masjid tempat saya menabur bakti, saya perlu menunaikan amanah dengan sebaik mungkin.
“Saya masih ingat, wanita itu meninggal dunia pada waktu petang. Dia meninggal dunia di rumah. Punca dia meninggal saya kurang pasti. Tidak pula saya bertanya lebih lanjut pada waris yang menelefon masjid pada hari itu.
“Sebaik saya sampai di rumah arwah, tidak ramai yang ada di sana. Hanya waris yang terdiri daripada anak dan menantunya. Suami arwah telah meninggal dunia beberapa tahun sebelum ini. Sampai sahaja di sana, saya terus menuju ke bilik yang menempatkan jenazah arwah. Saya memang tidak pernah bertemu dengan arwah dan sebab itu jugalah saya tidak pernah tahu bagaimana rupa arwah.
“Sebab tidak mahu melengahkan masa saya terus membuka kain yang menutup wajah jenazah. Terkejut saya melihat wajah arwah yang berkedut dengan teruknya. Sudah tua sangat arwah ini. Fikir saya dalam hati. Saya tidak bertanya kepada waris apa-apa. Sebaliknya saya meminta bantuan waris untuk mengangkat jenazah untuk diletakkan pada tempat yang luas dan tertutup agar mudah untuk dimandikan.
“Tanpa berlengah, saya uruskan jenazah sama seperti jenazah yang pernah saya uruskan sebelum ini. Anak perempuan arwah turut membantu. Kami diam sahaja sewaktu memandikan jenazah. Hanya sedikit rasa sedih terlihat pada wajah anak arwah apabila tangannya menyentuh wajah arwah ibunya.
“Selesai memandikan jenazah kami terus mengkafankan dengan sempurna sebelum disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan yang berdekatan. Selesai urusan memandikan jenazah saya tidak terus tidak bertemu dengan anak arwah.
“Hanya beberapa hari selepas itu anak arwah telah bertemu saya. Sebenarnya saya hampir lupa pada dirinya. Hanya setelah dia memperkenalkan diri barulah saya ingat semula. Katanya tujuannya bertemu saya adalah untuk memberitahu saya mengapa wajah ibunya berkedut dengan agak teruk.
“Saya hairan kenapa pula dia mesti terangkan keadaan arwah ibunya. Bukankah setelah berusia wajah wanita akan berkedut sebegitu. Fikir saya dalam hati. Anak arwah menerangkan ibunya memang sudah berusia tetapi sepatutnya wajah tidak berkedut teruk sehingga seperti tidak dikenali sebegitu. Ibunya baru berusia 45 tahun. Wajah ibunya jadi begitu kerana sewaktu hidupnya arwah agak taksub dengan penampilan wajahnya.
“Arwah sanggup buat apa sahaja asalkan wajahnya sentiasa cantik. Setiap kali ada kedut yang muncul, dia akan risau. Pelbagai krim telah digunakan. Rawatan wajah usah cakap. Apa sahaja yang dia tahu akan dicuba sehinggakan suntikan botox sudah menjadi satu rutin bagi ibunya. Anaknya cuba menasihatkan ibunya untuk menghentikan rawatan botox tetapi tidak dihiraukan. Apabila ibunya meninggal dunia barulah kesan pengambilan botox itu jelas kelihatan. Ibunya juga pernah melakukan pembedahan kosmetik bagi mencantikkan lagi wajahnya.
“Terkejut sungguh saya mendengar penjelasan anak wanita tersebut. Daripada cerita itu saya dapat simpulkan adalah jangan mengubah kejadian yang diberikan oleh Tuhan. Di dunia kita mampu mengubah tetapi sebaik menghadap Ilahi, segala-galanya tidak akan kekal sebaliknya mampu memberi aib pada diri dan waris yang masih ada.
“Si anak tidak berhajat mengaibkan ibunya tetapi dia berharap wanita mahu pun lelaki sebelum mengambil keputusan mengubah kejadian Tuhan untuk berfikir kesan buruk di kemudian hari,” akhiri ustazah Halimah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setelah hampir 8 hari bertarung nyawa, pelajar perempuan Tingkatan Dua yang dituduh mencuri telefon bimbit gurunya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas cuba membunuh diri, minggu lalu.
Memetik laporan Hmetro, lebih 500 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan rapat kepada mendiang M Vasanthapiriya, 14, yang meninggal dunia selepas cuba membunuh dirinya minggu lalu hadir memberi penghormatan terakhir sebelum mayatnya disemadikan petang, hari ini.
Vasanthapiriya disahkan meninggal dunia semalam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) Butterworth apabila keadaan kesihatannya mula merosot sejak dimasukkan ke wad pada 24 Januari lalu.Suasana pilu menyelubungi kediaman ahli keluarga mendiang dengan tangisan dan air mata apabila tidak dapat menerima pemergian Vasanthapiriya apatah lagi pelajar tingkatan dua itu dikatakan pergi dalam keadaan kecewa selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya.
Ibu bapa mendiang, R Muniandy, 54, dan A Malaveily, 51, juga tidak dapat menahan sebak apabila dilihat sentiasa berada dekat dengan mayat anak bongsu mereka.Muniandy berkata, dia kesal sehingga kini guru yang dipertanggungjawabkan atas kematian anaknya masih tidak tampil berjumpa dengannya dan isteri bahkan menghilangkan diri.
“Saya cuba mencari dan menghubungi guru berkenaan tetapi dia mengelak daripada berjumpa dengan kami malahan turut menghilangkan diri hingga sekarang.
“Mengingati kembali apa yang diceritakan mendiang kepada seluruh ahli keluarga atas kejadian tuduhan itu membuatkan saya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku terhadapnya” katanya.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar itu, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik guru sekolahnya.Pelajar tersebut juga ada meninggalkan nota kepada ibu bapanya, menafikan dia mencuri sebelum beliau ditemui tidak sedarkan diri.
Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja itu ke hospital tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ), 3.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, menurut rakan kepada mendiang I Rubhasiri, 16, beliau percaya dan yakin M Vasanthapiriya, 14, tidak buat (mencuri) telefon bimbit guru. Rubhasiri berkata, dia berkawan rapat dengan Vasanthapiriya sejak mendiang memasuki sekolah sama, tahun lalu.
Katanya, sifat Vasanthapiriya yang peramah dan baik hati memudahkan sesiapa sahaja untuk mendekati dan berkawan dengannya.
“Mengenangkan persahabatan kami membuatkan saya sedih selepas menerima berita kematiannya dan terus bergegas ke rumahnya hari ini sebaik sahaja habis waktu sekolah untuk memberi penghormatan terakhir.
“Sehingga kini, saya masih tidak percaya apa yang sudah berlaku dan berharap ada keadilan untuk dirinya, namun saya yakin dia tidak melakukan seperti apa yang dituduh,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga mendiang Vasanthapiriya di Kampung Tong Hai, Nibong Tebal, hari ini.
Menurut Rubhasiri lagi, guru yang dipercayai menuduh Vasanthapiriya juga didapati tidak hadir ke sekolah sejak Jumaat minggu lalu.
“Saya tidak tahu sebab apa dia (guru) tidak hadir ke sekolah, namun berharap dia dapat berjumpa dengan keluarga mendiang untuk menjelaskan perkara sebenar” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan takziah buat keluarga mendiang dan semoga mendiang bersemadi dengan aman.Apa pun yang berlaku, siasatan sedang dijalankan semoga keluarga ini diberi kekuatan dan mendapat keadilan yang sewajarnya diatas kehilangan anak tersayang.
Bukan sekali dua mak-mak dengar cerita anak kecil tertelan ‘barang’. Ada cincin, kerongsang, bateri kecil malah syiling boleh jadi punca. Jika situasi itu jadi dekat diri sendiri, barulah rasa betapa cemas. Waktu itu, setiap langkah diserahkan pada Yang Esa. Doa dan zikir takkan padam dari bibir mak ayah.
Tak terkata debaran ibu ini, Farah Hanim Ibrahim apabila dikejutkan dengan kejadian anak kecilnya, Nur Qismiyya Umaira Binti Ruslan (Mia), 2 tahun 6 bulan tiba-tiba muntah dengan banyaknya.
Panik usah cerita. Namun, mak ayah ini masih dapat berfikir dengan pantas. Segera dia ke hospital untuk mendapatkan kepastian penyebab muntah anak perempuannya, Mia.
Dari 1 Februari sampailah 2 Februari 2018, mak ayah ini tak putus debaran. Bimbangkan keadaan anak kecilnya yang sudah tertelan syiling 20 sen.
Asalnya Mia, Umar ini main permainan yang banyak-banyak dalam bakul. Daripada happy happy dengan Umar, Mia tiba-tiba tersedak keluar muntah dengan banyak.
Mukanya jadi merah macam orang tercekik atau tersedak susu. Mama panik menjerit tak berhenti. Papa panik, tapi papa masih boleh tepuk-tepuk kuat belakang Mia.
“Masa kejadian itu, bila dah tahu ada benda masuk dalam badan Mia, kami cuba tepuk belakang leher Mia dengan harapan apa yang lekat tu jatuh daalam perut terus.”
“Waktu tu juga saya teringat ada kawan pernah jadi sebelum ini beritahu kalau tertelan duit kena duit tu jatuh dalam perut. Tu yang kami cuba tepuk kuat belakang bagi rasa Mia selesa sikit pernafasan.
Cubaan korek dalam tekak Mia dilakukan. Tapi tak dapat nak tarik. Sebenarnya, masa korek dalam tekak tu dah boleh rasa duit. Tapi tak boleh nak tarik. Campur panik sebab muntah penuh keluar tanpa henti.
Walaupun Mia mula nampak tenang, tak batuk, bernafas pun ok, Mia jadi tak cakap apa-apa.
Dia cuma peluk je mama. Sebab panik dan rasa lain macam. Terus kami ke hospital dengan muntah yang banyak. Sampai Mia jadi letih, lesu badan bila sampai hospital.
Bila dalam bilik doktor, mula-mula tengok x-ray ini rasa mana-mana yang namanya ‘IBU’ tak boleh bayangkan duit dalam tekak anak sendiri.
Anak yang dikandung 9 bulan yang diceaser perut Mama ni untuk bagi Mia tengok dunia. Dalam hati tak berhenti sebut LAILAHAILLAANTASUBHANAKAINIKUMTUMINAZOLIMIN.
Duit syiling itu dalam saluran esofagus iaitu laluan makanan. Rangka ke-6. Doktor beritahu bukan saluran pernafasan. Lega sikit hati Mama. Sekurang-kurangnya ada ‘good news’.
Dari KPJ Pakar Perdana KB ke HRPZ, KB. Sebab di KPJ tak cukup peralatan yang sesuai untuk tarik keluar syiling itu. Si, refer kecemasan di HRPZ dan warded jam 11 malam lebih.
Bila dalam wad, Mama ini berusaha menenteramkan anak kecilnya. “Mama selalu suruh Mia senyum. Selalu buat-buat lucu nak bagi Mia senyum. Tak nak bagi nampak sakit biarpun Mama tahu Mia malam itu muntah waktu minum air. Tak boleh minum susu dan kena berpuasa sampai pagi esok.”
Walaupun dah nak tidur, mata letih.. susu tak boleh minum langsung. Air pun kalau minum akan muntah hijau cair.
Terpaksa masuk bilik OT lambat sikit sebab Mama Kesian tengok Mia lapar. Jadi Mama terbagi sikit je roti. Tapi sebenarnya tak boleh sebab bila bius doktor beritahu risiko tinggi kalau makanan tu tak sempat nak cerna.
Jadi tunggu lagi 6 jam. Sampai jam 4 petang.
Tangan Mia kena cucuk untuk prosedur pembedahan “Tengan tangan saya yang kena cucuk ini, tapi saya kuat macam Mama saya.”
Nak bawa Mia ke bilik OT pun satu cabaran buat ibu ini. “Mama kena pujuk bagi tidur dan rehat dulu. Sebabnya Mia asyik minta nasi, susu dan Milo. Walhal ada 3 jam lagi nak masuk bilik OT.”
Akhirnya Mia tidur waktu solat Jumaat. Mama ambil air tawar campur minyak sikit, urut-urut dada Mia dengan perutnya. Mudah-mudahan duit tu jatuh perlahan-lahan dalam perut Mia.
Jam 3.45 petang
Mia happy sebab Mama beritahu dia kita nak pergi school. Tipu sunat. Bawa beg school lepas itu tanya Mama mana kasut Mia? Mama beritahu dalam kereta. Lagi suka dapat hadiah belon daripada my mentor, Arma Wahab.
“Dalam hati Mia rasa happy sebab nak pergi sechool.”
Depan bilik OT. Masa ini Mia nampak pelik dah. Bilik sunyi. Dari sini Mia dah peluk lama-lama tak nak turun sebab dah rasa macam pelik suasana.
Mama tak berhenti doa dan zikir dalam hati. “Hanya pada Allah yang Mama mohon. Tiada daya hambaMu ini Ya Allah.”
Dalam bilik OT. Ibu ini cekalkan hati. “Mama happy, Mia happykan?” Sebab semua doktor yang kacak lagi handsome, doktor-doktor yang cantik lagi datang tegur Mia nak ke sekolah ke hari ini.
Siap Mia bye bye semua. Konon rasa dah nak pergi tadika ini. Doktor tanya “Bye bye nak pergi mana tu?”
Bagus betul doktor-doktor HRPZ dekat bilik bedah ni. Dari mula-mula masuk saja terus semua bagi Mia happy seolah-olah tak ada apa-apa. “Tabik for doc and nurse HRPZ bilik OT”
Ini pula apa yang ibu ini rasa. “Mama kena letak Mia. Mama rasa dah nak hanyut lemah badan. Tapi kena kuatkan diri. Sebelum keluar doktor minta Mama cium Mia. Masa itu Mia dah tak sedar sebab bius penuh.
“Mama serah pada Allah keselamatan anak.”
Mak dan ayah ini menunggu dengan penuh sabar. Anak tak pernah masuk bilik bedah. Ini kali pertama rasa. Biasa mama sendiri yang masuk. Dua kali dah kat dalam sebab ceaser masa lahirkan Umar dan Mia dulu.
Biasa Papa yang tunggu kat luar. Hari ini Mama dan Papa yang tunggu Mia dekat luar.
Dalam proses pembedahan. “Doa tanpa putus. Ini yang mok beritahu agar baca surah Al Kahfi sampai habis. Mama tunggu tengok papan tanda ini.”
Setelah hampir sejam lebih nurse panggil Mama masuk. Sebak Mama tengok. Sebab duit 20 sen sampai macam ini jadinya Mia kena tanggung. Ujian daripada Allah.
Mama selawat, zikir tak berhenti. Doa daripada semua mk ayoh, Cik Long, Ayhlong, Uncle Que, Aunty Liza, Che Teh, Che Tan, Auti Dira semua sahabat-sahabat di FB yang kenal ataupun tak kenal. Sahabat-sahabat CWA dan Prudential. Semua doa untuk Mia supaya duit tu jatuh dalam perut.
Alhamdulillah, duit dah jatuh dalam perut masa doc buat scoop tak jumpa duit tu. Rupanya tengok-tengok x-ray dah dalam perut. Masih ada 20 sen lagi. Takpe Mama lega bukan di tekak lagi.
Mia dah makan nasi dan sup malam itu. Roti lembut, susu pun dah minum. Alhamdulillah, tak ada muntah-muntah lagi. Cuma next step mencari duit 20 sen dalam najis Mia.
Duit dalam perut lagi. Insya Allah bagi makanan yang banyak serat mudah-mudahan cepat keluar 20 sen berharga ini.
Doc maklumkan akan ambil masa dan tengok pada badan kanak-kanak. Ada yang ambil masa sampai seminggu barulah keluar ‘benda’ itu. Paling lambat 20 hari.
Buat masa ini, selagi Mia makan tak muntah, tak sakit, dan boleh minum tak adalah masalah untuknya. Kiranya ketika ini kami tunggu masa saja duit itu akan keluar sendiri. Doc ada bagi ubat cairkan najis untuk bagi mudah lalauian duit tu nak turun.
Hari ini saya beri julap. Untuk bagi mudah berak cair. Duit dah ada kat bawah. Tunggu Mia buang air besar.
Dalam pada itu, saya beri Mia banyak makan buah pisang, betik dan makanan berserat.
Terima kasih semua yang mendoakan tanpa henti untuk Mia.Terima kasih mok ayoh famili famili jauh dekat, sahabat sahabat muka buku yang jauh yang dekat, sahabat-sahabat kerjaya di CWA dan Prudential. Sahabat-sahabat yang tidak dikenali yang mengaminkan doa untuk anak kami.
Semoga Allah membalas kebaikan hati anda semua.
Mingguan Wanita mendoakan agar duit syiling 20 sen itu dapat dikeluarkan secepatnya ikut laluan najis Mia. Moga Puan Farah dipermudahkan urusan menjaga anak kecilnya yang baru saja menjalani pembedahan. Amin.
Kehidupan sibuk di kota sering kali membuat kita terperangkap dalam rutin yang sama. Namun, di sebalik kesibukan kerja, sesekali rasa mahu bertukar angin, menikmati...