Diakui buah badam menjadi pilihan dan kegemaran orang ramai. Rasanya yang agak berlemak dan sering dijadikan makanan kudapan antara waktu makan. Biasanya, kita makan badam yang telah dipanggang sebagai kudapan. Apa kata, ubah cara pemakanan ini dan mula mengambil badam yang telah direndam.

Pengambilan badam yang telah direndam dalam pemakanan anda dikatakan mampu mengeluarkan segala zat dan bahan aktif kacang popular ini. Badam amat menyihatkan dan boleh dimakan begitu sahaja. Tetapi dengan merendamnya, anda boleh mendapat lebih banyak vitamin dan mineral daripada kacang yang dikenali dengan nama saintifiknya prunus dulcis ini.

Badam yang telah direndam mengandungi banyak zat sama seperti badam mentah. Ia juga tinggi kandungan vitamin B dan enzim seperti lipase. Selain itu, badam memiliki sumber potassium, serat pemakanan, protein dan lemak menyihatkan termasuk lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu. Lemak tepu yang terdapat dalam badam juga berada dalam tahap rendah. Kalsium dan besi juga turut ditemui dalam badam.

Kaedah Merendam Badam

Apa itu badam yang telah direndam? Sebenarnya badam ini telah direndam semalaman. Ia bukannya badam mentah. Merendam badam boleh mengurangkan jumlah tannin dan asid-asid yang terdapat dalam kulit kacang.

Kaedah betul merendam badam adalah dengan meletakkan satu cawan badam di dalam mangkuk yang telah dibubuh dua cawan air panas. Selepas 12 jam, buangkan air dan tambah dua sudu teh garam. Selepas itu tuangkan air panas ke dalam mangkuk berisi kacang badam itu. Rendam selama 12 jam.

Selepas selesai tempoh 24 jam, jika kulit badam itu tidak tertanggal dengan sendirinya, anda boleh mengupas kulit kacang badam itu dengan mudah sekali. Badam yang telah direndam ini boleh disimpan sehingga seminggu. Khasiatnya tidak akan hilang dengan mudah.

IKLAN

Perlu diingat, pengambilan badam yang telah direndam juga perlu dikawal. Nilai saiz pemakanan seharian badam yang telah direndam adalah lebih kurang satu pertiga cawan (1/3). Terlebih makan boleh memberi kesan sampingan seperti masalah pencernaan dan penambahan berat badan.

Kebaikan

Banyak kebaikan yang boleh diperoleh jika anda mengambil badam yang telah direndam.

Sihatkan Kulit Dan Rambut

Terdapat lebih banyak vitamin E dalam kacang badam yang telah direndam jika dibandingkan dengan kacang badam mentah. Vitamin ini boleh bertindak sebagai anti oksidan bagi mengurangkan keradangan dan kerosakan pada rambut dan kulit.

IKLAN
Baik Untuk Wanita Hamil

Tahap kandungan asid folik amat tinggi dalam badam yang telah direndam jika dibandingkan dengan badam mentah. Ia juga dikatakan mampu membantu mencegah kecacatan tiub saraf yang disebabkan oleh kekurangan folat.

Melancarkan Pencernaan

Serat pemakanan yang terdapat dalam badam yang telah direndam dikatakan mampu membantu mengatur pergerakan peristaltik dan mengurangkan gejala-gejala sembelit, ketakcernaan, perut kembung dan kejang perut.

Membantu Mengurangkan Berat Badan

Serat pemakanan yang terdapat dalam badam yang telah direndam bukan sahaja mampu membantu proses pencernaan, tetapi ia juga boleh mencegah rasa lapar. Amat sesuai sekali badam yang telah direndam ini diambil oleh mereka yang ingin mengurangkan pengambilan kalori dan mengurangkan berat badan.

IKLAN
Kurangkan Risiko Penyakit Kronik

Badam sumber terbaik anti oksidan yang dikatakan mampu meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan risiko penyakit kronik termasuklah kanser, penyakit jantung dan arthritis rheumatoid.

Menjaga Kesihatan Jantung

Badam yang telah direndam memiliki kandungan tinggi lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu yang dikatakan mampu membantu menseimbangkan kolesterol dan mencegah serangan jantung, stroke dan atherosclerosis.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI