Mendidik anak bukanlah tugas yang mudah bagi mak-mak, apatah lagi dalam dunia yang semakin mencabar. Tak kiralah ibu yang bekerjaya atau suri rumah, masing-masing miliki cabaran yang tersendiri.
Sebenarnya kadang-kadang mak-mak terpaksa menjadi garang kerana inginkan yang terbaik untuk anak-anak. Belum lagi tekanan daripada persekitaran. Bukannya mak-mak tidak mahu menjadi ibu yang lemah lembut tetapi kadangkala keadaan memaksa seorang ibu bertegas.
Sebenarnya mak yang garang bukan tak penyayang, tetapi dia sedang mencuba menjadi ibu yang terbaik. Ikuti perkongsian Puan Siti Suryani Yaakop ini dan fahami penjelasannya:
Garang Bukan Tak Penyayang
Aku punya fahaman simple saja.
Mak yang garang bukanlah mak yang tak penyayang. Dia jadi garang pasalnya semua benda dia kena dan dia nak buat sendiri.
Padahalnya tenaga dia banyak itu saja dan kebanyakan harinya bateri dia masa balik rumah memang sudah habis. Kiranya kalau bateri sudah bau hangit. Kiranya kalau keturunan Ultraman dah lama beep-beep nak tunggu sampai bantuan dari langit. . Mak yang garang bukanlah mak yang tak penyayang.
Dia sama saja susah hati bila anak tak sihat. Malah kadang dia lebih sakit lagi dari anak dia sebab seperti alasan di atas, dia kena tambah satu job skop yang baru lagi iaitu menjadi seorang jururawat.
Tetapi Sedang Mencuba Menjadi Ibu Terbaik
Mak yang garang bukanlah mak yang tak penyayang.
Ads
Dia sama saja mengajar dan mengasuh anak dia. Cumanya masa dia mengajar dia simpan telefon entah dekat mana. Jadi tak ada siapa tahu dia bahawasanya dia pun ada mengajar anak sama.
Kalau dia ambil video pun dia simpan buat kenangan sendiri-sendiri saja. Tidak ada nak masuk TV3 apa semua. . Mak yang garang bukanlah mak yang tak penyayang.
Dia sama ambil berat hal anak dia. Nak sampai hari raya dia lah yang sibuk pergi cari baju 3-4 pasang untuk anak setiap seorang. Teringin selalu belikan anak perempuan barang kemas walaupun anak tu padahalnya merangkak pun masih lagi duk goyang-goyang.
Mak Garang Sedang Mengajar Anak Realiti Hidup
Mak yang garang bukanlah mak yang tak penyayang.
Dia sebenarnya pada masa yang sama sedang mengajar anak dia realiti kehidupan. Esok dekat luar sana bukan semua manusia akan bercakap dengan lemah lembut dan penuh sopan.
Mana tahu esok kerja jumpa bos yang tak pernah sekali nak bagi pujian. Jumpa jenis yang kerja bagus pun dia masih lagi nak maki-maki.
Kalau tanya anak tu, nak tak dia tukar mak dengan mak orang lain. Ikut mana pun dia tak nak. Sebab dia tahu ada masa mak dia garang macam seladang.
Ada masa mak dia lembut macam semut. Anak pun tahu kadang mak garang pasal dia sendiri pun memang salah. Jadi bila mak nak tegur marah tu tidaklah sampai jadi masalah.
Kesimpulan aku senang.
Mak yang garang bukanlah tak penyayang.
Dia cuma sedang berusaha mencapai segala maksud menjadi ibu yang baik dengan kapasiti yang kadang-kadang, yang ada masanya, yang ada harinya, yang ada situasinya, yang ada ketikanya…tidak berapa baik.
Mak yang garang tapi penyayang, Siti Suryani Yaakop #kaknis
MW: Sememangnya mak garang bersebab, bukannya membuta-tuli marahkan anak-anak. Kalau tak sayang, mak-mak tidak akan bertegas dan hanya abaikan anak. Betul tak?
Anak-anak perlu didedahkan dengan penjagaan kebersihan gigi sejak dari kecil lagi. Penggunaan ubat gigi juga perlulah dalam kuantiti yang yang bersesuaian dengan umur mereka.Mak ayah perlu memantau perkara ini, agar kebersihan gigi anak-anak terjaga dan miliki gigi yang cantik sempurna tanpa kerosakkan.
Berikut antara jawapan yang dikongsikan oleh Doktor Gigi, Dr Iqbal Rosali yang selalu menjadi persoalan dari mak ayah sebagai rujukan.
MEMILIH UBAT GIGI UNTUK ANAK KECIL
“Adakah perlu ubat gigi?”
Bagi bayi yang BELUM ada gigi, boleh bersihkan mulut dan gusi bayi menggunakan kain basah bersih.
Bagi bayi yang BARU TUMBUH gigi, boleh gunakan kain basah bersih juga untuk bersihkan giginya. Boleh juga gunakan ‘finger toothbrush’.
Perkenalkan ubat gigi bila ibu bapa yakin, dan anak tahu yang dipicit keluar itu ialah ubat gigi.
American Dental Association (A.D.A) mencadangkan supaya menggunakan ubat gigi berflourida walaupun anak masih kecil. Untuk pemahaman dan bahasa yang lebih mudah, lagi awal lagi bagus untuk perkenalkan ubat gigi pada si anak.
“Ubat gigi yang mana perlu digunakan?”
(A.D.A) mencadangkan untuk menggunakan ubat gigi berflourida. Di pasaran, ada ubat gigi kanak-kanak yang sudah ada flourida. Hat ni, ibu bapa tak perlu risau kerana kandungannya adalah jauh lebih rendah daripada orang dewasa punya.
“Tidak bahaya ke kalau tertelan ubat gigi?”
Sebab itu perkara paling penting adalah pemantauan daripada ibu bapa sendiri. Nasihat secara general ialah hanya gunakan ubat gigi berflourida apabila anak sudah pandai meludah.Walaubagaimanapun, (A.D.A) menggalakkan untuk menggunakan ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi flourida untuk pendedahan lebih awal dan perlindungan memyeluruh.
Walaupun ada ubat gigi kanak-kanak tanpa flourida dilabel selamat untuk ditelan, tolonglah pastikan dan pantau anak tak telan juga. Makanan pun kita berkira apa yang masuk ke dalam mulut, takkan ubat gigi kita relakan?
“Macam mana taknak bagi tertelan?”
Pertama, yang paling penting kena pantau. Please. Pantau.
Kedua, Gunakan kuantiti yang betul. Ini juga penting. Please.
Bagaimana tahu kuantiti yang betul? Sila rujuk gambar rajah diberikan.
Kanak-kanak bawah 3 tahun, gunakan ubat gigi sebesar sebiji beras.
Untuk 3-6 tahun, sebesar kacang pea. Cukup. Tak payah lebih-lebih. Tak payah sampai berbuih. Kalau cuma sebanyak itu, tak payah berkumur.
“Boleh tak kalau tak guna ubat gigi?”
Boleh. Tapi pastikan gigi anak dibersihkan ke semua permukaan. Dan seperti yang telah diberitahu awal-awal, lebih baik perkenalkan ubat gigi dan biasakan lebih awal.
“Anak tak suka ubat gigi ‘mint’ sebab rasa pedas.”
Ubat gigi kanak-kanak tak ada mint. Yang ada mint cuma ubat gigi orang dewasa. Janganlah digunakan pada kanak-kanak. Belilah ubat gigi yang sudah dikhaskan untuk kanak-kanak. Ia ada rasa yang lebih ‘kena’ dengan citarasa anak-anak kecil.
“Anak saya guna ubat gigi dewasa.”
Kandungan flourida dalam ubat gigi dewasa tak sama dengan yang untuk kanak-kanak. Ia wajib dielakkan, lebih-lebih lagi jika anak tidak pandai meludah.
“Berus gigi anak saya bersemut. Adakah kerana ubat gigi manis?”
Ubat gigi kanak-kanak dirumus supaya sesuai dengan citarasa mereka. Mungkin sedikit manis tetapi bukan gula seperti dalam masakan yang digunakan. Itu tanggungjawab ibu bapa lah untuk pastikan berus gigi dibersihkan selepas digunakan.
“Anak saya tak mahu gosok gigi kalau tak ada ubat gigi.”
Ya. Memang digalakkan memberus dengan ubat gigi. Tetapi pastikan ciri-ciri ubat gigi seperti yang diceritakan dari atas dan gunakan kuantiti yang sebetulnya.
“Boleh cadang jenama apa yang sesuai?”
Sebagai seorang professional, adalah melanggar etika mencadangkan jenama tertentu. Secara amnya, semua ubat gigi di pasaran adalah baik. Paling utama, pastikan ubat gigi mengandungi flourida untuk menguatkan gigi dan mencegah kerosakan.
“Bila sepatutnya tukar ubat gigi kanak-kanak kepada ubat gigi dewasa?”
Apabila gigi kekal pertama tumbuh iaitu sekitar umur 6 tahun. Keperluan gigi kekal adalah berbeza dengan gigi susu. Oleh itu lebih flourida diperlukan. Dan pastikan cuma gunakan ubat gigi sebesar kacang pea sahaja.
Setiap hari, rutin mak-mak akan sama. Berperang dengan anak-anak, kemas rumah, lipat kain baju, masak dan mungkin akan kemas rumah lagi. Aku pun sama, berulang-ulang dan kerja tak pernah habis.
Dalam masa sejam bersilat di dapur, aku keluar nak rehatkan badan kejap. Tetapi baru saja letak kepala di bantal, dengar sayup-sayup salam dari suami yang baru sampai dari tempat kerja. Anak-anak terus berlari buka pintu dan menyambut kepulangan Abinya.
“Yeaaayyy… abi dah balik!”
Suami masuk je rumah, terus ditegur.
“Eh, kenapa anak-anak Abi tak kemas mainan ni? Cepat, simpan mainan. Tolong Bonda kemas rumah.”
Aku macam nak menjawab tetapi ku biar dulu. Anak-anak yang tadinya berlari riang dalam dunia diorang, tetiba menjawab.
“Kakak main je. Nanti Akak simpanlah.”
Disambung pula si adiknya,
“Kejaplah Abi. Tak nak kawan Abi!”
Aku bangun, tak jadi nak manjakan tubuh badan. Dongak kepala tengok jarum jam, “Isyh, dah maghrib.”
Detik aku di hati tanpa mengeluh rasa penat pada suami dan anak-anak. Kalau luah pun, bukannya mainan tu masuk bakul balik. Jadi aku bangun dan kemas dengan mood yang masih baik.
“Baby, Kakak… cepat kemas. Kesian Bonda tu.”
Haaa… sebab dah banyak kali, aku terus sambung.
“Kakak, tolong Bonda simpan puzzle tu.”
Si kakak yang tadinya nak marah abinya, terus ikut arahan aku. Laju tanpa sebarang bantahan.
Serius, sebenarnya aku tak boleh dengar arahan suami pada anak. Rasa macam berdesing. Pernah dengar tak, MAK-MAK NI KALAU DIA MARAH ANAK TAK PE. TAPI JANGAN ORANG LAIN MARAH ANAKNYA.
Itulah aku. Walau suami sendiri yang tegur anak-anak, hati aku terusik. Belum lagi orang luar. Tak marah pun kalau tegur, tetapi biar betul caranya.
Dari ruang tamu TV, aku perhati je sambil menyapu debu-debu dalam rumah. Hmm… nampak sangat anak aku ni takut dengar maknya. Mungkin sebab seharian diorang duduk dengan aku, anak-anak tahu tahap mana aku boleh menyinga kalau diorang menjawab.
Yeke? Bukan nak kata anak-anak aku tak takut abinya, tapi cara dia mungkin patut diubah.
Percaya atau tidak, sebenarnya anak-anak akan buat bila diorang nampak tindakan mak ayahnya.
Bagi Arahan Tapi Kita Pun Tunjuk Baik-baik
Nak mendidik anak-anak ni mak ayah perlu beringat, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar.
Andai kata kita menyuruh anak-anak menguruskan masa dengan baik sedangkan kita sendiri sentiasa tidak menepati waktu dan sering tertangguh, maka mereka lebih mudah terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat kita lakukan.
Wajarlah dalam mendidik anak-anak, kita juga mendidik diri kita sendiri.
Jadi, pilihan nak menegur anak-anak ada dalam diri anda. Nak bagi arahan saja atau buat bersama-sama dan tunjuk contoh? Terpulang!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kadangkala mak ayah sukar nak memahamkan tingkah laku anak yang tiba-tiba bertukar bila mereka meningkat usia. Si kecil jadi ‘mood swing’ dan masalah tingkah laku ini memeningkan kepala mak ayah.
Mak ayah kena bertenang, sebab ada cara lebih cool yang boleh bantu mak ayah tangani masalah tingkah laku si kecil. Inilah yang dikongsikan pleh Occupational Therapist, Puan Maryam Jamadi.
Contoh Masalah Tingkah Laku
Di bawah ini adalah contoh masalah tingkah laku yang biasa muncul sekitar umur anak 18 hingga 3 tahun.
1. Pukul
2. Gigit
3. Tendang
4. Hantuk kepala
5. Baring di lantai
MAK AYAH FAHAMI FISIOLOGI ANAK
Masalah tingkahlaku memang normal bagi anak berumur 18 bulan hingga 3 tahun kerana fasa ini mereka dah ada kehendak sendiri walaupun kehendak tersebut susah nak ditunaikan dan kadangkala “merepek” seperti nak makan cicah sambal, tarik mak ayah ke pintu untuk keluar rumah di tengah malam, nak minum air panas menggelegak dan sebagainya.
Sebelum ini anak cuma tahu menangis atau ketawa sahaja. Perasaan gembira, kelakar, bahagia dan geli di geletek semua diluahkan dengan cara senyum dan ketawa. Emosi yang tak “best” pula seperti lapar, haus, bosan, cemburu, sakit perut, marah atau panas diluahkan dengan cara menangis.
Mereka belum “pandai” marah lagi semasa bayi disebabkan bahasa yang terhad. Sebenarnya “pandai” marah juga adalah salah satu perkembangan emosi bagi anak ya, jangan risau.
Disebabkan keterujaan dengan emosi baru iaitu marah, mereka jadi pelik dan cuba berlatih meluahkan perasaan marah seterusnya memerhati respon mak ayah. Macam “orang yang baru dapat kaki”, sentiasa nak berlatih. Pantang ada “point” sikit, ada sahaja yang nak dimarahnya, sikit-sikit nak baring di lantai, sikit-sikit nak mengamuk baling barang, semua benda tak kena dan menangis tak tentu pasal.
Anak yang dulunya comel, “behave” dan penyayang, tiba-tiba jadi pemarah apabila masuk umur 18 bulan. Mereka mengalami “mood swing” kerana mereka baru sedar yang banyak cara sebenarnya nak luahkan perasaan bukannya dengan cara menangis dan ketawa. Sebab itu mereka akan cuba pelbagai cara asalkan mereka dapat apa yang dikehendaki.
7 CARA MENANGANI TINGKAH LAKU ANAK
Ada banyak cara sebenarnya nak atasi masalah tingkahlaku sebab setiap mak ayah ada caranya tersendiri untuk mendidik anak. Dibawah ini adalah tips mengatasi masalah tingkahlaku daripada saya:
1. AUTONOMI
Mak ayah perlu faham keadaan anak, cuba bayangkan kita di tempat anak di mana situasi kita di negara asing yang perlukan bantuan tetapi semua orang tak faham apa kita cakap. Puas kita menjerit dan buat pelbagai “body sign”, orang lain masih buat muka “blur” dan kadang-kadang buat tak endah. Mesti rasa nak tumbuk dinding kan?
Sama juga seperti anak, mak ayah yang tidak memahami kehendak anak akan menyebabkan anak cenderung mengalami masalah tingkahlaku. Kena faham, anak umur 18 hingga 3 tahun adalah fasa autonomi vs malu/sangsi dalam perkembangan emosi dan sosial. Satu sahaja yang mereka mahukan semasa fasa ini, iaitu autonomi.
Kebebasan untuk bermain sendiri, makan sendiri, pakai baju dan seluar sendiri, pilih baju sendiri, pakai kasut sendiri, makan lauk yang mereka mahu sahaja dan sebagainya. Masa ini anak dah ada makanan kegemaran, warna kegemaran, patung kegemaran dan watak kegemaran mereka. Perlu faham situasi mereka, baru boleh bertindak dengan betul.
Jangan sesekali menghukum sebelum menyiasat kerana ia akan menyebabkan anak menjadi malu/sangsi tak ada keyakinan diri kelak.
2. MINDSET
Walau cuba pelbagai cara, mindset mak ayah masih tak ke jalan yang benar memang semuanya tak akan jadi. Mak ayah perlu tegas yang “NO MEANS NO” semasa menangani tingkahlaku yang tidak diingini.
Contoh situasi:
A) Anak mengamuk tak mahu kemas mainan walaupun sudah pandai kemas, semakin disuruh semakin mengamuk baling mainan.
Kalau sekali mak ayah layankan amukan anak, disuakan handphone, dipeluk, dibuatnya muka kesian malah siap cakap “sorry” dengan anak. Maka, maksudnya mak ayah dah di “manipulate’ dengan anak. Lain kali bila berdepan dengan situasi sama, anak akan buat “trick” sama dan benda ini akan berulang sampai anak jadi “kebal” tak kemas mainan.
Ditambah lagi bila ada “penyelamat dunia”, lagilah anak bertambah “kebal” tak kemas mainan. Mereka akan letak mindset yang “aku tak salah, mama papa yang salah”. Bila anak dah mindset sebegitu dari umur 18 bulan, cuba bayangkan betapa “kebal”nya anak bila dah umur 5 tahun kelak.
B ) Anak baring di lantai atau pukul apabila tak dapat apa yang dia nak.
Abaikan dia, jangan dipujuk, jangan dipandang atau dialihkan perhatian kerana anak akan belajar dan mindset yang “kalau nak sesuatu, baring di lantai/pukul”. Maka, situasi ini akan berulang dan berulang lagi. Apabila anak dah reda dan bangun, beritahu yang perbuatannya salah. Mulakan seawal anak “belajar” cara sebegini bagi membendung masalah tingkahlaku yang semakin serius.
Untuk mengatasi masalah tingkahlaku anak, mak ayah perlu mindset “Kita tak salah, anak yang salah” dan “kita yang bentuk dia, bukan dia bentuk kita”. Jika betul anak buat salah, tak perlu buat muka kesian atau sedih dan tak perlu cakap “sorry” sebaliknya ajar anak minta maaf. Kalau belum pandai sebut “sorry”, ajar anak salam dan cium tangan setiap kali buat salah.
Saya selalu berjumpa kes masalah tingkahlaku dimana mak ayah yang “takut” anak, takut anak nangis, takut anak sedih, takut anak marah, takut anak mengamuk dan sebagainya. Tolong buang perasaan “takut” kepada anak jika mahu menangani masalah tingkahlaku. Jadilah pemimpin anak, bukan dipimpin anak.
3. PERKATAAN KERAMAT
Nak marah anak pun ada caranya. Kalau anak yang umur 2 tahun cukup sekadar guna 1 perkataan keramat seperti “NO” sambil reaksi muka berkerut dan suara yang tinggi sedikit tetapi bukan menjerit atau menengking.
Perkataan keramat ini juga perlu dihadkan penggunaannya, hanya gunakan semasa terdesak sahaja demi memastikan keberkesanan perkataan ini. Kalau setakat anak minum air tumpah sikit ataupun makan tumpah sikit kita dah marah tinggi suara sebut perkataan keramat, lama kelamaan teknik ini dah tak berkesan.
Anak bawah 3 tahun ini bila kita membebel panjang laju-laju pun mereka tak faham, makin membebel makin mereka “mute” suara kita sebab malas nak dengar. Maka, ckap bahasa mudah dan jelas sudah mencukupi.
4. “CRY IT OUT”
Biarkan mereka menangis bila berdepan dengan keadaan di atas sebab menangis adalah cara untuk anak luahkan perasaan. Mereka perlu belajar terima yang tak semua yang kita nak kita akan dapat. Ia dipanggil “frustration tolerance” iaitu ketahanan anak untuk terima kekalahan. “Frustration tolerance” sangat penting dalam perkembangan emosi dan sosial anak contohnya semasa bermain, hubungan sosial dan sebagainya.
Biarkan anak rasa “frust” sekarang supaya mereka dapat hadapi “frust” di masa akan datang tetapi janganlah pula berlebih-lebihan. Risau pula saya, takut ada mak ayah gunakan alasan ini untuk membuli anak.
Dalam ketegasan kita, perlu juga ada kelembutan. Penerimaan “frust” anak juga ada tahapnya, kalau anak umur 18 bulan beri 10 minit “frust” dah mencukupi selepas itu peluklah anak sambil nasihat jangan lakukan perbuatan itu lagi.
5. ALIHKAN PERHATIAN
Sebenarnya teknik ini memang selalunya berkesan, cuma kadangkala anak akan lupa tentang kesalahan yang dilakukan dan cenderung melakukannya lagi. Terutamanya jika alihkan perhatian dengan gadget. Anak tak “feel” rasa bersalah yang telah dilakukan. Tak ada minta maaf mak ayah dah tarik perhatian dia ke arah tempat lain.
6. PUJUK
Kalau anak menangis sebab benda kecil, boleh dipertimbangkan kaedah pujuk. Pujuk dengan cara peluk seluruh badan anak sambil usap-usap kepala anak.
Tapi kalau dah sampai tahap masalah tingkahlaku mencederakan orang lain dan diri sendiri, TAK PERLU PERTIMBANGKAN kaedah memujuk kerana ini maksudnya masalah tingkahlaku anak dah semakin ‘tebal”.
Pujuk bila anak dah reda dari tangisan dan minta anak minta maaf. Salam dan cium tangan sebagai tanda mereka terima kesalahan yang dibuat. Masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk mak ayah buat “sosial story” tentang perbuatan baik dan tak baik.
7. “BUSY BAG”
Normal anak bawah 3 tahun memang suka bermain, bila tak dapat main memang mereka akan meragam dan mengundang masalah tingkahlaku yang tidak diingini. Maka, sangat penting untuk mak ayah kenalpasti punca anak meragam. Kalau sebab nak bermain, memanjat tapi tak dapat seeloknya mak ayah bawa bekal mainan kemana-mana. Boleh google atau cari di pinterest untuk idea busy bag.
Kesimpulannya, pokok pangkal untuk mengatasi masalah tingkahlaku adalah mindset mak ayah untuk menjadi pendidik anak dan bukannya “dididik” oleh anak. Tanamkan niat untuk membesarkan anak yang mendengar kata bukannya dengan niat menghambakan anak kepada mak ayah tetapi belajar menghambakan diri kepada Tuhan juga.
Terima kasih, semoga bermanfaat.
NOTA:
*Anak yang mempunyai masalah tingkahlaku yang serius selalunya mempunyai masalah sensori sama juga dengan kes anak terlewat percakapan. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang ini memerlukan penilaian sensori dan tingkahlaku daripada occupational therapist bertauliah.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.