Anak suka bermanja tu tak salah. Namun, adakala memang buntu dibuatnya bila anak terlampau manja dan mengada-ngada.  Serba serbi nak ikut kehendak dan kemahuan dia. Seringkali juga terfikir adalah kesilapan dalam mendidik anak-anak, kekurangan skil keibubapaan menjadi punca anak berperangai begini.

Berikut merupakan antara perkongsian yang dikongsikan oleh Ustazah Isfadiah yang merupakan seorang Penceramah Bebas dan Motivator bengkel mahupun seminar berkaitan kekeluargaan, keibubapaan dan Bina Insan, 3 sebab yang menjadi punca anak jadi manja mengada-ngada sebagai panduan bersama.

Anak-anak dilahirkan dalam keadaan pasrah dan tersedia untuk dibentuk. Manja dan mengada-mengada bukanlah sifat aslinya. Dia lahir bersih dari sifat-sifat itu. Kalau anak manja mesti ada yang memanjakan, kalau anak mengada-ngada mesti ada yang suka melayan kemengadaannya.

Namun manja tidak salah kerana melalui sifat manja dia bersedia menzahirkan emosinya yang ingin dibelai dan dikasihi. Anak yang manja ada potensi untuk dibangunkan kecerdasan emosinya, kita boleh sarankan dia meletakkan dirinya di tempat orang lain lantas memupuk empati diri.

Yang agak merisaukan adalah bila manja membawa kepada mengada-ngada, semoga saranan berikut dapat membantu ibubapa mengesan sebab kenapa anak-anak menjadi manja mengada-ngada tak dengar kata.

Mak Ayah Perlu Tahu 3 Sebab Punca Kenapa Anak Jadi Manja Mengada-Mengada

IKLAN

1. Ikut Cakap Anak

Kesannya anak merasakan suaranya mempunyai kuasa arahan dan ibu atau bapa WAJIB dengar arahan tersebut. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika setiap jeritannya dan tangisannya akan disusuli dengan kepatuhan ibu dan ayah. Apa sahaja yang dingini anak akan dituruti oleh si ibu atau si ayah.

Cara Terbaik: Biasakan anak sabar menunggu, di saat dia meminta sesuatu jelaskan padanya apa yang diingininya perlu melalui proses persediaan, kalau perlu terangkan langkah-langkahnya terangkanlah.

Contoh: Nak buat air susu; harus dimulai dengan mencari botol susu terlebih dahulu diikuti dengaan cuci dan rebus dalam air mendidih, perlu masak air dan jadikan suam kuku sebelum dicampur dengan susu.

IKLAN

Ada masanya libatkanlah anak dalam mana-mana langkah yang sesuai dengan tahapnya seperti mencari botol susunya, atau langkah terakhir menggoncang campuran susu dalam botol.

2.Serba Salah Nak Tegur Dan Tegah Anak

Perasaan ini menyebabkan anak rasa apa yang dilakukannya adalah ok. Diam kan tandanya setuju. Sedari kecil anak perlu diajar tentang apa yang salah dan apa yang betul, jika panjat meja adalah etika yang salah segeralah sampaikan maklumat tersebut pada anak, sama ada mengangkatnya turun dari meja atau kenalkan padanya tentang perbuatan itu salah atau beri alternatif aktiviti yang lain.

IKLAN

3.Anggap Anak Kecil Lagi

Anggapan ini menyebabkan kita ambil mudah potensi berdikari pada diri anak. Mengharapkan anak akan faham bila dewasa nanti dan mengambil alih potensi mandirinya akan menjadikan anak itu terbiasa jadi “tuan” serta tidak kenal keupayaan diri.

Anak yang biasa dengan kerja di rumah, diberi kepercayaan untuk mengurus dan membersihkan dirinya di samping ibubapa sebagai pemantau yang rapi, akan menjadi anak yang matang dan berjiwa pemimpin.

Semoga Allah pandang dan sayang usaha kita.

Kredit: Ustazah Isfadiah

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI