Biasanya anak-anak kecil akan diam kalau ibu ayah ‘umpan’ makanan manis atau sejenis jajan waktu mereka memberontak. Tetapi sampai bila nak guna cara ini?
Ibu bapa yang ada anak kecil, jika anak-anak masih bersih daripada makanan dan minuman tidak berkhasiat, JANGAN SESEKALI DEDAHKAN mereka dengan makanan dan minuman perosak itu.
1. Jangan sesekali MEMULAKAN memberikan jajan, keropok, aiskrim.
2. Jangan sesekali MEMULAKAN memberikan air-air manis.
3. BILA DAH MULA sekali, akan ada kali kedua, ketiga keempat dan seterusnya.
4. Pergi kedai jangan biasakan diri membeli jajan untuk anak-anak. Mereka akan meminta-minta lagi dikemudian hari
5. Kawal pemakanan anak-anak dari segi pengambilan kalori, gula dan sebagainya.
Anak-anak dah biasa makan dan minum, macam mana nak buat ye?
Cara Nak Kawal Anak Makan Makanan Manis
Mulakan dengan KURANGKAN minuman dan makanan manis untuk anak-anak khususnya minuman coklat. Sebab apa coklat sahaja? Sebab jarang anak-anak minum neskepe, teh dan kopi.
Majoriti dirumah ada minuman coklat bukan? Dan Coklat yang dijual di pasaran banyak yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Maka kurangkan dahulu. Jangan terus tak bagi sebab anak-anak akan memberontak kerana minuman manis telah sebati dengan diri mereka.
Ikuti pula dengan kurangkan pengambilan, minuman bergas, bergula, dan bersusu pekat (selain susu segar)
Kemudian boleh ikut perlahan-lahan asingkan jajan, aiskrim dan gula.
Ads
1. Ambil masa sikit. Tak apa. Ikut pepatah omputih, “Better late than never”.
2. Terangkan pada mereka makanan dan minuman itu tak elok untuk kesihatan.
3. Tunjukkan kesan-kesan buruk yang terjadi pada diri mereka seperti gigi yang rosak, badan gemuk dan sebagainya.
ULANG
ULANG
ULANG
ULANG-ULANG Nasihat anak-anak. Jangan putus asa!
4. Lepas dan perlahan-lahan berjaya kurangkan, perlahan-lahan tarik pula. Lama-lama anda boleh ucap bye bye pada makanan dan minuman tersebut.
5. Bila dah berjaya, JANGAN sesekali dibawa masuk dalam rumah tayang depan anak.
Kami tahu ramai ibu bapa memberikan anak-anak kecil mereka minuman malt coklat Mi*o.
8. Tahukah anda minuman malt coklat Mi*o tidak dibenarkan untuk diminum oleh anak-anak prasekolah (majoriti umur 5-6 tahun)? Ini bukan rekaan. Pekerja lori Mi*o sendiri menyatakan minuman ini tidak boleh diminum oleh murid-murid prasekolah semasa mereka datang kat sekolah. Katanya nak minum juga itu tanggungjawab cikgu prasekolah yer…
9. Tapi kita dirumah masih menyajikan minuman tersebut untuk anak-anak kecil. Malah ada yang siap membawa bekal.
10. Coklat-coklat lain pun sama. KURANGKAN.
11. Coklat memang memberikan tenaga, sesuai untuk orang yang mahu kekal aktif.
12. Tetapi dalam masa sama ia mengandungi gula yang tinggi. Kerana hakikatnya Koko Asli tidak semanis air coklat yang telah diproses.
13. Mungkin OK untuk orang dewasa, tidak ok untuk anak-anak kecil.
Ads
BERINGATLAH
1. Elok makanan yang anda beri, maka eloklah perkembangan tubuh dan minda mereka
2. Tak elok makanan yang anda beri, meranalah mereka.
3. Apa yang mereka makan mempengaruhi diri mereka.
4. Jangan tanya kenapa anak-anak anda susah masuk belajar.
5. Malas
6. Degil
7. Hiperaktif
Inilah Risikonya…
1. Gemuk
2. Kencing manis atau lain-lain penyakit di usia muda.
3. Tepuk dada, tanya diri sendiri makanan apa yang anda beri pada mereka sejak kecil.
Jagalah kesihatan mereka semasa kecil ni. Kesian woo anak bila dah bersekolah nanti badan dah obes, belajar pun susah masuk, degil, takut-takut dibahan.
Jiran-jiran, mak pak sedara, atau sesiapa yang baca tolonglah JANGAN BAGI ANAK-ANAK atau ANAK ORANG LAIN gula-gula, jajan apa benda tu semua. Ibu ayah nak tolak tak sampai hati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Satu hal yang paling menggerunkan mana-mana ibu hamil secara normal, tentulah melalui saat melahirkan dalam bilik bersalin. Paling dibimbangi tentulah menghadapi koyakan besar atau sebaliknya pada bahagian perineum atau digunting (episiotomi) semasa bersalin.
Masa nak dekat-dekat bersalin itu dah macam-macam terbayang dalam fikiran mak-mak. Besar mana koyakan, banyak mana jahitan dan tentunya semua itu merungsingkan perasaan.
Bagi yang pertama kali melalui proses kelahiran, koyakan pada vagina mungkin sesuatu yang agak asing untuk anda. Namun jika anda ada mengikuti kelas persediaan sebelum kelahiran pastinya terma tersebut telah anda ketahui.
Menurut Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, FPSK, UPM dan juga Pakar Perunding (Jemputan) Perubatan Reproduktif & Infertiliti, Hospital Pakar An-Nur,
“Perineum di dalam bahasa Yunani disebut Perineos; adalah bahagian di antara kedua belah paha, yang dibatasi oleh vulva dan anus, dengan tulang simpisis pubis di bahagian atas, dan tulang koksigeus di bahagian belakang.
“Perineum terdiri dari otot dan fasia urogenitalis serta diafragma pelvis. Perineum merupakan bahagian yang sangat penting bukan sahaja dalam hubungan intim.
“Malah terlibat secara langsung dengan proses kelahiran bayi, juga bertindak sebagai bahagian yang penting untuk mengawal proses pembuangan air kencing dan najis.
Sebenarnya, mak-mak yang bakal melahirkan boleh mengurangkan koyakan besar pada bahagian perineum jika tahu caranya. Lakukan sebelum tibanya tarikh melahirkan. Ketahui 7 tip pencegahan yang dikongsikan Dr Maiza ini.
1. Jangan Panik! Bersedia dengan ilmu kelahiran menjadikan bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran.
2. Senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan tiga kali sehari sepanjang tempoh kehamilan.
3. Urutan perineum beberapa minggu sebelum kelahiran berpotensi untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk.
4. Meneran dengan betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah.
5. Jangan teran terlalu awal! Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih tinggi menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
6. Posisi yang betul! Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung!
7. Dengar arahan doktor dan amalkan berzikir dan doa sepanjang proses kelahiran.
Koyakan tahap pertama dan kedua adalah koyakan yang boleh dijahit secara langsung tanpa memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke dewan bedah. Rawatan susulan juga agak ringkas dan tidak memerlukan rawatan susulan yang kerap.
Koyakan tahap ketiga dan keempat diklasifikasikan sebagai kecederaan perineum yang kompleks di mana pesakit perlu melalui pembedahan di bilik bedah untuk menjahit bahagian yang koyak.
Bergantung kepada tahap kesukaran untuk merawat koyakan tersebut, pesakit mungkin memerlukan perawatan dan pemantauan kombinasi daripada pakar bedah kolorektal dan uroginekologi.
1. Lazimnya ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk melembutkan najis bagi membantu melawaskan proses pembuangan najis.
2. Jahitan pada vagina tidak perlu dibuka, benang yang digunakan merupakan benang mudah-serap.
3. Proses penyembuhan bergantung kepada tahap koyakan vagina. Bagi yang mengalami tahap koyakan pertama dan kedua, lazimnya luka akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 2-3 minggu bergantung kepada tahap kesihatan dan imuniti badan.
4. Ibu hendaklah sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih dan kering terutama selepas mencuci bahagian kemaluan mahupun selepas mandi.
5. Dinasihatkan tidak menyapu sebarang bahan pada bahagian luka tanpa nasihat doktor.
6. Pemakanan yang seimbang dengan nutrisi yang lengkap dan minum air secukupnya menggalakkan penyembuhan yang pantas.
7. Bagi kelahiran yang dimaklumkan kepada klinik kesihatan, Jururawat desa akan memeriksa luka dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
8. Tanda luka telah sembuh adalah apabila ibu tidak lagi merasa pedih pada bahagian luka ketika mencuci bahagian sulit.
9. Bagi ibu yang mengalami jangkitan pada luka, atau luka yang lambat sembuh atau sentiasa berair adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan selanjutnya.
10. Manakala, bagi ibu yang mengalami koyakan tahap 3 dan 4, lazimnya rawatan susulan di hospital pakar adalah dalam tempoh 2 hingga sebulan selepas kelahiran. Tanda luka perineum tidak mengalami komplikasi adalah apabila ibu masih mampu menahan kentut & pembuangan air besar.
Statistik menunjukkan bahawa sekitar 90% wanita mengalami kecederaan perineum semasa bersalin; manakala segelintir wanita boleh mengalami kecederaan perineum yang lebih teruk yang boleh merosakkan otot dubur dan fungsi seksual.
Statistik yang dilaporkan oleh British Journal of Obstetrics & Ginekology yang menganalisis trend kecederaan perineum di semua hospital NHS di England menonjolkan kenaikan tiga kali ganda koyakan perineum tahap ketiga atau keempat, dengan kadar peningkatan dari 1.8% pada tahun 2000 kepada 5.9% pada tahun 2011 di kalangan ibu yang pertama kali melahirkan.
American Journal of Obstetrics and Gynecology, melaporkan wanita Asia lebih cenderung mengalami kecederaan perineum, dengan 2.5% daripadanya mengalami koyakan perineum tahap ketiga atau keempat
Malangnya, adalah sukar untuk meramal dan menghalang kemungkinan berlakunya kecederaan perineum kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kelahiran.
Walau bagaimanapun, doktor perbidanan akan menimbangkan faktor risiko tertentu untuk menjangkakan kemungkinan berlakunya kecederaan perineum dan langkah-langkah merawat yang sewajarnya dapat di laksanakan.
Faktor/risiko tersebut termasuk sejarah mengalami koyakan vagina yang teruk, distosia bahu, ibu mengalami proses kelahiran pada fasa yang panjang, kelahiran pertama, jangkaan bayi dalam kandungan yang besar, kelahiran yang perlu dipaksa dengan ubat atas faktor kesihatan dan kelahiran secara vakum atau forsep.
Episiotomi adalah kaedah memotong sedikit bahagian di antara faraj dan lubang dubur ketika kepala bayi mula keluar dari faraj.
Ia bagi mengurangkan risiko koyakan yang tidak terkawal pada faraj ketika bersalin. Kaedah menggunting atau memotong sedikit pada faraj ini dapat memudahkan laluan bayi.
Hospital kerajaan dan kebanyakan hospital swasta mengamalkan polisi ‘selective episiotomy’ atau ‘episiotomi selektif’ di mana hanya ibu yang mempunyai risiko seperti kelahiran songsang, kelahiran vakum atau forceps.
Namun, teknik ini bukanlah menjadi kemestian atau rutin setiap kali menyambut kelahiran bayi melainkan sebagai pilihan terakhir semata-mata.
Koyakan tahap pertama : Koyakan melibatkan lapisan kulit sekitar vagina sahaja, atau lapisan luar perineum.
Koyakan tahap kedua : Koyakan melibatkan kulit sehingga lapisan mukosa vagina dan otot perineum.
Koyakan tahap ketiga : Melibat otot di bahagian dubur, ia perlu dijahit lapisan demi lapisan dan sekiranya tidak dijahit dengan sempurna, akan mendatangkan komplikasi yang serius
Terbahagi kepada koyakan tahap ketiga iaitu:
3a: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan kurang daripada 50%.
3b: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan lebih daripada 50%.
3c: Koyakan yang melibatkan sfinkter dalam dubur.
Koyakan tahap keempat : Melibatkan koyakan terus dari kulit perineum, mukosa vagina, otot, sfinkter dubur, sehingga ke mukosa rektum.
Rujukan : American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) & RCOG
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Usik mengusik dan senda gurau didalam perkahwinan menambah lagi kemanisan serta kemesraan dalam hubungan suami isteri. Perkara ini tidak terkecuali dilakukan oleh pasangan selebriti Zamarul Hisyam dan Diana Rafar.
Gelagat pelakon Zamarul Hisham mengusik isterinya, Diana Rafar yang memakai telekung untuk menunaikan solat berjaya mencuit hati pengikut akaun beliau dan peminatnya.
Zamarul berkongsi video pendek berdurasi 41 saat itu menerusi akaun Instagram (IG)nya semalam mendapat tontonan hampir 213 ribu.
“Selalu dia kacau. Sekarang dia pula kena. Apa salahnya ambil wuduk banyak kali. Bagus biar diri kita sentiasa dengan air wuduk.
“Nak gurau dengan siapa lagi. Ini je la intan payung yang ada. Lain la kalau dia izinkan satu lagi. Ooppppsss,” tulisnya.
Video tersebut merakamkan Diana cuba mengelak daripada bersentuhan dan bersalaman dengan suaminya kerana tidak mahu air wudhunya batal. Diana telah menekup mukanya dengan kain telekung manakala Zamarul pula cuba menyentuh wajahnya.
Bagaimanapun, Diana terpaksa mengambil kembali air wudhu kerana Zamarul telah memegang tangannya.
Diana secara spontan terus berkata “Alaaaa dah batal,”.
Pasangan bahagia ini dikurniakan dua orang anak, Kashfi Haikal 8 tahun dan Kayla Resha, 6 bulan.Meskipun perkahwinan mereka pernah dilandai badai satu ketika dahulu, pasangan ini belajar daripada kesilapan dan memperbaiki hubungan mereka. Mingguan Wanita ucapkan semoga rumahtangga pasangan ini berkekalan bahagia hingga ke syurga. Rajin-rajinlah usik pasangan kita selalu iya.
Sejak 7 hari lalu, puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39 cuma memiliki nama timang-timangan. Malam tadi, bersempena majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik puterinya itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami mengumumkan kepada hadirin pilihan nama anak sulung mereka adalah Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa.
Sebelum ini Ibu dan ayahnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 59 memanggil Siti Aafiyah dengan nama gelaran Fatimah Az-Zahra bersempena nama puteri rasulullah SAW. Malah panggilan manja, Comel Pipi Merah turut digelar ibunya yang juga penyanyi tersohor negara.
“Selepas saya hamil, kami mula mencari nama yang paling sesuai. Ilham nama ini diperoleh ketika di Tanah Suci Makkah. Di sana, doa pendek inilah yang sering suami saya nampak.
Doa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah, Allahumma inni asaluka al’afiyah (Ya Allah, aku meminta kepada kamu ‘afiyah).
Afiyah ini membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, untuk menjadi sihat, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai wang , kita berada dalam afiyah, untuk hidup, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai anak-anak kita dilindungi, kita berada dalam afiyah. Dan jika kita sudah diampuni dan tidak dihukum, kita berada dalam ‘afiyah.
“Kemudian, suami saya tanya sama ada setuju atau tidak memberikan nama Aafiyah. Nama itu membawa segala-gala maksud yang baik-baik.
“Dalam masa yang sama saya memikirkan nama yang dicadangkan suami. Tak sangka, setiap hari dekat handphone doa-doa yang diupdate pada saya adalah doa yang memang menyebut tentang aafiyah.”
Daripada situlah tercetusnya, beliau dan suami memilih Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa sebagai nama yang diberikan kepada permata sulung mereka.
Akui Siti lagi sepanjang 7 hari ini, dia memanggil anaknya dengan nama Fatimah Az-Zahrah. Memandangkan nama Siti Aafiyah pun sudah melekat di hati, ada ketikanya dia memanggil puterinya itu dengan panggilan Aafiyah,
“Bila panggil Fatimah Az-zahrah pun dia senyum, panggil Siti Aafiyah pun dia senyum. Ternyata dia bayi yang suka senyum.” Ulas beliau lagi, beliau akan memanggil anaknya dengan nama penuh memandangkan nama itu adalah doa.
“Biar dia dapat maksud doanya dan saya yang memanggil pun dapat juga.” Datuk Seri Siti Nurhaliza juga lebih selesa jika membahasakan dirinya sebagai ibu. Agar lebih mesra dan lembut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat merakam perasaan indah sebaik bergelar ibu.
“Alhamdulillah, Allah perkenankan doa selama 11 tahun. Setiap detik, setiap waktu tak pernah saya lupa memohon pada Allah agar diberi pengalaman untuk menjadi seorang ibu, merasai pengorbanan seorang ibu.
“Syukur pada ibu yang melahirkan saya, ibu mentua yang telah melahirkan suami saya. Ini adalah anugerah yang sangat terindah dalam hidup saya.
“Pengalaman jadi ibu hamil dan melahirkan pengalaman yang sangat nikmat. Walaupun sewaktu melahirkan ada komplikasi, Allah mudahkan segalanya.”
Majlis tahnik dan aqiqah puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid ini disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli al-Bakri yang bertempat di kediaman pasangan suami isteri ini.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada para ulama yang dihormati dan sanjung, Dato Mufti Wilayah Persekutuan, guru-guru agama kami yang sentiasa menasihati dan membimbing keluarga kami. Begitu juga dengan sahabat, saudara mara tercinta sepanjang saya hamil sehingga saya melahirkan.
“Doakan yang terbaik untuk saya menjadi ibu, isteri, anak malah menantu yang baik untuk anak, suami dan seluruh keluarga.” Akhiri Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam ucapannya malam tadi.