Bawa anak bercuti, mungkin ada mak ayah anggap inilah ‘bonding’ terbaik untuk merapatkan kemesraan keluarga. Mungkin ye dan boleh jadi tidak buat keluarga masing-masing.
Jangan anggap bawa anak bercuti ini menjadi satu kejayaan untuk mak ayah bonding dengan anak-anak. Silap haribulan, boleh ‘spoil’ mood dengan anak meragam, mak ayah yang cerewet dan sebagainya.
Nak bonding dengan anak-anak, di rumah pun boleh. Tapi mak ayah kena tahu macam mana untuk rapatkan hubungan kekeluargaan. Perkongsian daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini boleh mak ayah terapkan di rumah.
Mak ayah tahu tak, bawa anak-anak pergi bercuti, bukan semestinya akan menguatkan “bonding” antara kita dan anak-anak?
Ramai mak ayah sangka jika mereka bawa anak-anak pergi berjalan, mereka PASTI akan mengeratkan kemesraan dan jalinan kekeluargaan dengan anak-anak.
Tidak semestinya.
Kadangkala bila kita pergi bercuti, anak-anak akan jadi stres, malah dalam sesetengah situasi boleh menyebabkan mereka menjadi tidak senang dengan kita.
Contoh bercuti yang tidak merapatkan hati ahli keluarga.
Sebelum perjalanan, si ibu sibuk menguruskan barang-barang yang perlu dibawa.
Anak-anak minta nak bawa itu ini, lalu si ibu menyuruh anak jangan menyibuk.
Semasa perjalanan, si ayah bersengkang mata semasa memandu. Isteri tidur kerana kepenatan. Anak-anak disuruh ikut tidur, atau diberi telefon untuk menonton Youtube.
Ads
Di destinasi, anak-anak melompat-lompat dan berlari-lari teruja. Si ayah marah-marah kepada anak kerana tak duduk diam. Anak ditarik-tarik oleh si ayah ke tempat dituju.
Sewaktu makan, anak-anak makan dengan seleranya, tapi bersepah-sepah dan comot. Si ibu marah kepada anak-anak kerana mengotorkan baju mereka.
Kemudian agenda utama keluarga bercuti ini adalah untuk ambil gambar cantik-cantik supaya boleh dikongsikan di media sosial. Anak-anak di suruh bergaya begitu begini.
Jika cutinya untuk 2-3 hari, perkara ini jugalah yang diulang untuk dua tiga kali.
Akhirnya percutian pun berakhir dan mereka pun kembalilah ke rumah.
Percutian Yang Stres
Mak ayah pun rasa bangga, anggap mereka dah berjaya bonding dengan anak-anak mereka. Sedangkan perkara yang sebaliknya berlaku.
Percutian begini sebenarnya mendatangkan stres kepada anak-anak. Mereka dilarang-larang, digesa-gesa, diarah-arah, dimarah-marah. Emosi mereka akan terganggu.
Ads
Malahan, ia mendatangkan stres kepada mak ayah juga. Pastinya selepas pulang dari percutian tu, mak ayah akan rasa penat dan lesu. Bukan rasa segar dan bermotivasi.
Jadi bagaimana cara yang betul untuk bonding dengan anak-anak?
Nak bina “bonding”, perkara yang paling penting sekali adalah komunikasi antara mak ayah dengan anak. Antara cara untuk menerapkan komunikasi yang baik antara ahli keluarga, dengan semulajadi adalah:
Meminta anak mengajar kita sesuatu yang mereka tahu, kemudian barulah kita ajar sesuatu kepada mereka (memperbetulkan kesalahan)
Minta mereka bercerita tentang perkara yang mereka suka, kemudian kita bercerita sesuatu yang kita suka (menasihati mereka)
Bermain bersama permainan yang mereka suka, kemudian kita ajak mereka lakukan perkara yang kita suka (mengemas, dsb)
Membenarkan mereka memilih sesuatu, kemudian kita pula memilih sesuatu. Kalau ada percanggahan, maka cari titik persamaan.
Ads
Berterima kasih jika mereka membantu, memohon maaf jika kita tersilap, meraikan bila pencapaian serta kejayaan mereka.
Melibatkan mereka dalam perbincangan dan perancangan aktiviti keluarga, seperti percutian, menghias rumah dan sebagainya.
Membaca buku cerita yang menarik dan menjawab soalan mereka tentang cerita berkenaan. Kemudian bertanya apa mereka faham tentang cerita itu.
dan banyak lagi.
Mingguan Wanita : Tak dinafikan bawa anak bercuti akan beri keseronokan pada mereka, itu kadang-kadang keterujaan mereka itu di luar kawalan kita. Raikan saja. Tak perlu stres pun.
Haa.. memang wujudkan kluster-kluster macam ni dalam rumah. Yang pasti, kalau tak mak jadi hijau.. mak urut dada tahan sabar. Dalam rumah tu, memang ada je yang macam ini.
Baik mengaku cepat, orang dalam rumah kome kluster yang mana. Walaupun perkongsian Kelas Baking Online Cikgu Miza ini bunyinya lucu, namun inilah realiti yang jadi bila semua duduk rumah waktu PKP ini.
Jenis Kluster-kluster Ni, Korang Yang Mana
KLUSTER SUIS
Buka lampu tak reti nak tutup. Buka lampu bilik air, lampu dapur, lampu bilik lepas tu biar je menyala. Buka TV tapi tak tengok. Dah on komputer tak reti nak tutup. Charge hp tapi lepas tu tak tutup suis. Tugas aku siang malam tutupkan semua sampai satu tahap aku dah malas nak layan. Lantak kome lerrr. Ingat ayah kerja TNB bil letrik free ke.
KLUSTER PERIUK API
Dari ruang tamu, semua bilik, atas katil hatta dalam bilik air pon bersepah barang mainan. Aku penat-penat konon nak landinglah atas tilam sekali aku smackdown barang mainan diorang. Mengelupur aku atas katil tu. Paling sakit jiwa kalo aku terpijak lego. Pergghhh….terus aku jadi diva AA tau. Sakit wehhhhh.
KLUSTER BISKUT
Ni jenis buka biskut tu biskut ni pastu biar je terdedah macam tu. Last-last masuk angin. Ehhh… berbulu je aku tengok. Penyudahnya aku nyorok semua biskut. Haaaa….rasakan takde benda nak ngunyah dah.
KLUSTER TAK RETI PENAT
Pelik aku tengok deme ni. Siang malam main tak henti. Dahlah malam tidur lewat sejak PKP ni. Boleh plak subuh-subuh dah bangun. Aku kadang tunggu lerrr deme tido awai. Bolehlah aku me time makan coklat ke, kek ke, eskrem ke. Hurrmmmm….sampai kesudah aku telan air liur jela.
KLUSTER MENANGIS
Asyik nak meragam, nak nanges aje. Orang pegang tu dia nak. Orang main tu dia nak. Orang usik sikit nanges. Tak dapat itu nanges. Nak cakap pon nak nanges. Nak tidur nanges, lapo nanges, ngantuk nanges.
KLUSTER MEMERAP
Langsung aku tak boleh bergerak. Aku kat dapur semua kat dapur. Aku masuk jamban semua diri depan pintu buat kuiz ibu tengah buat apa. Aku duduk depan tengok TV, semua berdiri depan TV. Aku masuk bilik baju nak lipat kain, semua ada dalam bakul kain. Time tidur pon, sedor-sedor semua dah melekat celah aku, takde ruang aku boleh bergerak dah. Dah macam berlatih tidur dalam kubur…hahaha tapi bila aku cakap jom solat dengan ibu terus semua lesap.
KLUSTER MEMUNGGAH
Aku baru kemas rumah, 5 minit lepas tu udoh bersepah balik. Aku kutip mainan, deme keluarkan dari kotak. Aku susun buku, deme teraburkan. Aku lipat kain, deme nak sidai kain. Memang maraton dok ngemas siang malam.
KLUSTER SUSAH NAK MAKAN
Tiap kali nak suap makan memang aku jadi tarzan, kingkong, hulk semua. Jenuh terpekik terlolong panggil deme makan. Aku masak bagai nak rak, deme buat nohen je tak terliur nak makan. Tapi kalo aku bagi nasi, telur, kicap 3 pinggan pon licin. Suami aku cakap baguslah senang kerja ibu tapi aku emo lebih sebab anak orang lain macam-macam menu diorang request nak makan. Anak aku tengok buttermilk chicken dia cakap eeeuuwww apa ni ibu.
KLUSTER SINKI
Aku baru basuh pinggan. Sampai berkilat sinki aku kerjakan. Sat je dah penuh balik cawan, pinggan mangkuk. Kerja aku dok basuh pinggan mangkuk je. 10x minum air, 10xlah cawan lain deme guna. Haaa…ko darab lerrr 5 orang anak.
KLUSTER BILIK AIR
Suruh mandi punyalah susah. Dah masuk bilik air udoh tak keluar-keluar dah. Abeh deme berpesta songkran pula dalam tu. Sabun sebotoi kejap aje abeh. Ubat gigi deme buat pencuci muka….hahaha macam manala mak kome tak jadi ur mother is green.
KLUSTER BUKA PETI AIS
Ntah berapa ratus juta kali ntah deme dok buka tutup pintu ais tu. 5 orang dok bergilir pergi buat lawatan sambil belajar ke peti ais tu. Aku pon naik heran kadang tu sekadar buka tengok gitu je then tutup blk….teruk beno angaunya.
KLUSTER TV
Kalo deme dah start ngadap TV, jangan harap lerrr dapat tukar channel lain. Yang lagi geram nyer, remote tu melekat kat tangan deme je. Sampaikan p jamban pon deme bawak takut ibu tukar channel lain. Dok nyorok remote sana sini penyudahnya sampai laaa ni remote hilang. Deme lupa kat mana deme sorokkan.
Paling last sekali KLUSTER KE SANA, KE SINI, KE SANA SINI. Seminit pon tak dok diam. Ada je kerja deme nak buat tapi bila suruh baca buku terus penat siap tertidur lagi.
Tuntutan membesarkan anak sendirian memaksa ibu menjadi kreatif, baik dari segi kekuatan emosi mahupun pencarian nafkah keluarga. Sikap lemah apatah lagi tak redha dengan ujian tuhan perlu dibuang jauh-jauh. Redha menjadikan ibu lebih kuat dan tabah.
Ini pengalaman Puan Zureiny Zulkafly yang bekerja sebagai pengasuh dalam masa sama membesarkan dua orang anaknya sendirian selepas ketiadaan suami. Salah satu tip membesarkan anak sendirian ini adalah tidak terlalu ego dengan anak. Selanjutnya boleh fahamkan prinsipnya dalam perkongsian beliau ini.
Ibu Ini Macam Mana Orangnya?
Selepas pemergian hubby, anak-anak bergantung harap dan kasih sayang sepenuhnya pada saya. Ainalah yang paling ketara sampaikan tidak mahu berenggang dengan saya. Memang saya lemah jiwa bila tengok anak matanya yang seakan mengharap saya menghantarnya ke sekolah setiap hari. Memang hati saya diruntun pilu bila tidur setiap malam dia akan memeluk saya seeratnya. Seakan tidak mahu melepaskan.
Saya terasa lelah dengan amanah yang berat ini. Rasa senget bahu saya ini. Kadang-kadang saya jadi terlalu penat. Letih dan hilang segala kudrat. Saya bukan mahu jadi hebat. Cukuplah sekadar menunaikan tanggungjawab menurut apa yang mampu saya buat.
Saya akan menangis sendirian merindui hubby. Kalaulah dia masih ada, rasanya saya sudah menangis di ribaannya. Paling tidak pun saya akan mengomel bercerita tak tentu hujung pangkal kepala ekor. Hubby akan mendengar walaupun saya rasa dia seperti tidak mengendahkan. Rupa-rupanya dia faham bila dia jawab “Sabarlah.”
Memang itulah yang selalu dia pesan pada saya. Mendengar perkataan sabar mampu menghilangkan segala kedukaan hati. Meredakan marah yang tersembunyi. Melenyapkan segala dendam yang berapi. Meleraikan segala kekusutan jiwa. Sekarang ini saya terlalu rindu mendengar perkataan sabar dari mulutnya. Betapa saya mengharapkan akan mendengar kata-kata itu di telinga saya.
Begitu juga soal saya dan anak-anak. Bukan mudah mereka hidup tanpa seorang ayah. Saya cuba memahami perasaan mereka. Cuba mengerti apa yang mereka ingini. Bila anak-anak menjawab mereka ‘Ok’ saya terasa dibohongi. Benarkah mereka tidak apa-apa? Atau sekadar menjaga hati saya.
Saya masih merasa kepiluan bila hubby pergi. Tak kan semudah itu anak-anak sembuh dari kehilangan ini. Saya usaha sebaiknya untuk menjaga kedua mereka seperti yang hubby amanahkan. Saya lindung keperitan saya dengan sikap saya yang tegas. Saya tutup kelemahan saya dengan sikap saya yang sangat melindungi. Akhirnya, saya buntu dengan sikap saya sendiri. Saya panggil anak-anak dan secara jujur saya bertanya kepada keduanya.
“Adik, kalau ada yang tanya adik, ibu ni orang yang macam mana…adik jawab apa?”
“Ibu garang!” Terpacul kata-kata itu dari bibir Aina yang mungil. Spontan jawapannya. Saya pun terkejut.
“Ibu garang sangat ke dik?” Aina tersenyum simpul. Mengulum senyumnya. Tak tahulah kalau dia sengaja menyakat saya. Pada saya, itu jawapan yang jujur dari hatinya.
“Ayah garang tak dik?” Saya mengumpan Aina.
“Tak. Ayah tak garang. Ayah baik. Ayah selalu bawak adik pergi taman.” Haih…celoteh sungguh budak kecil ini.
“Tak baik tau adik jawab macam tu. Ibu garang sebab ibu sayang kita.” Tiba-tiba Afrina menyampuk. Saya ketawa tengok muka Afrina yang berkerut memandang adiknya.
“Kalau orang tanya, Fina jawab apa?”
“Ibu ni pendidik.” Lagilah saya terkejut dengan jawapan anak sulung saya ini.
“Maksud Fina?”
“Ibu kan didik kakak dengan adik. Banyak yang ibu ajar,” jawab dia ringkas.
“Ye ke?” Afrina mengangguk.
Fahamkan Prinsip Ini
Dari situ, barulah saya faham pandangan kedua anak saya adalah berbeza terhadap saya. Mungkin kerana faktor usia ataupun faktor kematangan. Afrina yang sudah berusia 13 tahun merasakan saya telah mendidiknya dengan baik. Mengajarnya tentang betul salah, buruk dan baik. Mengajarnya untuk hidup berdikari tanpa ayah di sisi.
Berbanding Aina yang baru 5 tahun, apa yang dia harapkan adalah tumpuan dan kasih sayang. Itulah sebabnya mengapa dia kata saya garang. Dia rasa saya tak perlu marah atau tegas dengan dia sebab dia cuma inginkan perhatian saya sahaja. Dia selalu fikir dia tak buat salah apa-apa.
Cuma yang saya tahu, segarang-garang saya macam singa (ni Aina yang cakap) saya tidak merotan anak. Saya tidak menghukum anak tanpa sebab. Saya hanya tegas terhadap sesuatu disiplin. Kalaulah saya ni betul-betul garang, rasanya anak-anak asuhan pun tak kan nak dengan saya. Tak mungkin saya bertahan hampir 10 tahun sebagai pengasuh anak-anak.
Okey…saya pun belajar perkara baru ketika itu. Sebagai ibu atau bapa, jangan terlalu taksub dengan status kita sehinggakan kita ego dengan anak-anak. Tidak pula terlalu beralah sehinggakan anak hilang hormat dan pijak kepala. Apa yang Afrina dan Aina cakap telah menjelaskan siapa saya sebenarnya. Pandangan mereka menjadi panduan untuk saya. Juga menjadi kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan ini bersama mereka.
Terima kasih abang kerana abang telah mendoakan saya sebelum ini. “Didik anak-anak abang dengan baik. Abang nak anak-anak pandai macam Yang. Sekolah elok-elok. Ajar agama. Jangan biar anak-anak jadi macam abang.”
Mulanya saya memang tidak faham maksud hubby. Dia selalu ulang kata-kata ni sejak dari Afrina kecil lagi. Sehinggalah kami dikurniakan Aina pun, dia cakap perkara yang sama. Rupa-rupanya hubby pesan didik anak-anaknya menjadi orang yang berilmu kerana orang yang ada ilmu akan tahu mana letak dirinya. Walaupun hubby tiada segulung ijazah tetapi kebaikan akhlak hubby banyak diwarisi oleh anak-anak. Dan sikap saya yang tegas sebenarnya yang akan membantu segala didikan hubby kekal dalam diri anak-anaknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan untuk hubby kerana kebaikannya terhadap kami.
Saat ini cuba tanya pada diri sendiri. Siapa kita pada pandangan anak-anak? Hanya mereka yang lebih mengetahui.
Sumber/Foto: zureinyzulkafly.blogspot.my via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bergelar ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi buat wanita yang mempunyai enam orang cahaya mata. Selepas berpisah dengan suami sememangnya hidup wanita ini cukup menderita. Besar jiwanya menadah setiap ujian yang tiba. Namun dia tidak mahu terus dibuai perasaan dan melepaskan jiwa yang gundah itu sejauh yang mungkin. Demi anak-anak dia bangkit dan mengharungi kehidupan yang sememangnya sukar untuk dilalui.
“Alhamdulillah Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Namun sekarang Allah pilih saya untuk menjadi seorang peniaga. Dengan usaha yang dijalankan saya nekad untuk berniaga dan semuanya dilakukan demi masa depan anak-anak. Melalui perniagaan saya juga punya masa yang lebih dalam menguruskan anak-anak,” ungkap Nor Hafizah Abdul Aziz, 50 yang juga kini sudah bergelar nenek kepada dua orang cucu.
Nor Hafizah yang cukup peramah ini juga menerangkan dalam mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal dia melakukan pelbagai perniagaan seperti berniaga nasi lemak, menguruskan majlis artis, menjual baju dan sebagainya untuk mencari sesuai nasi demi membesarkan anak-anak.
“Saya cukup beruntung kerana anak-anak merupakan sumber kekuatan saya. Semua saya lakukan untuk mereka. Anak pertama Mohammad Azwan, 27, diikuti kedua Emiza Ezyln, 25, Alfian Akimi, 22, Mohmmad Amirul, 19, Asril Zhuri, 16 dan yang bongsu Ammar Yasin.
“Bagi membesarkan anak-anak saya berusaha sendiri. Jika terkenang masa dulu saya kerap menangis kerana sering melihat nasib yang tidak seberapa baik seperti orang lain. Malah ada kala saya cemburu dengan kebahagiaan yang dikecapi insan lain. Cuma pada masa yang sama saya kumpulkan kekuatan dan semangat untuk saya berjaya dan hidup senang seperti orang lain.
“Saya melihat satu persatu wajah anak ketika itu, timbul rasa semangat dan dari situlah munculnya kekuatan yang luar biasa. Pada masa itu anak-anak semua masih kecil dan perlukan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan persekolahan,” terang Nor Hafizah yang cukup tenang tatkala berbicara.
Pendam Masalah
Walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah dalam meneruskan kehidupan namun itu semua sedikit pun tidak mencarikkan semangat Nor Hafizah. Malah dia bersyukur kerana Allah sentiasa membuka luas pintu rezekinya terutamanya dalam bidang perniagaan.
“Walaupun hidup susah namun saya tidak suka susahkan sesiapa terutama keluarga. Ini kerana mereka punya tanggungjawab masing-masing. Tapi saya sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang sangat baik dan sentiasa memberi sokongan yang padu kepada saya untuk saya bangkit. Malah mereka juga antara tulang belakang yang penting dalam mendorong saya berniaga.
“Kini saya sudah mempunyai kios menjual Kuih Keria Gula Merah dan minuman di Shah Alam. Syukur alhamdulillah, dengan ilmu yang saya ada dalam bidang masakan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menjana pendapatan. Malah anak-anak juga akan membantu saya berniaga di kios,” ungkap Nor Hafizah sambil tersenyum.
Sokongan Padu Dari Mentor
Nor Hafizah juga turut menerangkan dia bersyukur kerana mendapat sokongan padu dari rakan baiknya yang juga mentor buat dirinya iaitu Puan Rodiah. Malah kini Nor Hafizah juga sudah terlibat dalam bidang urutan dan bergelar Penasihat Kecantikan di RIAS Kosmetik.
“Saya beruntung dapat berkenalan dengan Puan Rodiah. Dialah orang yang selalu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya senang kata dia saya anggap sebagai seorang mentor. Dia juga bertanggungjawab menjaga rupa bentuk badan saya, supaya tak nampak gemuk dan lesu.
“Puan Rodiah merupakan seorang pengusaha bisnes kecantikan yang memiliki produk jenamanya sendiri di samping mempunyai jumlah pengedar produknya yang ramai. Rakan saya ini juga merupakan Pengarah Urusan merangkap pengasas produk jenama sendiri, RIAS KOSMETIK, yang mesra dipanggil sebagai Kak Rodi juga mempunyai salun kecantikan sendiri.
“Di salun ini lah saya akan membuat urutan jika punya masa luang. Malah Kak Rodi juga mengajar saya sehingga saya pandai mengurut dan terlibat dalam bidang kecantikan. Pada saya bukan senang nak senang dan bukan sesah hendak susah. Pucuk pangkal terpulang kepada hati,” terang Norhafizah yang tidak pernah patah semangat dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya.
Bijak Kendalikan Masalah
Ditanya apakah nasihat yang akan diberikan kepada wanita yang bergelar ibu tunggal di luar sana, Nor Hafizah menerangkan mereka perlu bijak dalam mengendalikan masalah yang mendatang.
“Dalam perkara ini, wanita yang bergelar ibu tunggal perlu bijak mengendalikan maslalah yang dihadapi. Dalam masa yang sama terus berusaha serta berdoa agar segala urusan dipermudah oleh Yang Maha Esa. Jangan malu dengan status diri dan jangan sesekali putus asa dalam hidup dan fikirkan semuanya demi kebaikan diri dan anak-anak,” akhiri Nor Hafizah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mas Idayu bersyukur bekas suami lepaskan secara baik. Tiada pasangan berkahwin yang inginkan perpisahan namun jika ditakdirkan jodoh tidak panjang pastinya kena reda dengan...